Bila tibanya Ramadan, perut secara tidak langsung dapat direhatkan daripada menikmati makanan. Namun begitu ketika berbuka dan bersahur anda perlulah memilih makanan yang boleh memberi tenaga dan menyegarkan tubuh badan sepanjang menjalankan ibadah puasa.
Beberapa disiplin diet yang boleh anda praktikkan ialah mengambil 8 jenis makanan berikut untuk kekal sihat dan bertenaga.
1. Bijirin
Amalkan makan bijirin yang mengandungi karbohidrat kompleks dan serat tinggi iaitu beras merah dan gandum. Setiap kandungannya mengandungi hanya 38 mg karbohidrat dan sangat baik untuk anda berpuasa di samping berdiet.
2. Kentang
Jika anda rasa kentang menggemukkan, sebenarnya tidak. Kentang merupakan sejenis makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks yang tinggi dalam bentuk pati. Selain itu, kentang memiliki kandungan vitamin C, vitamin B6, zat besi dan memiliki serat yang tinggi. Maka ia baik diambil ketika puasa dan juga mereka yang ingin berdiet.
3. Roti gandum
Sepotong roti gandum mengandungi 20 gram karbohidrat. Selain itu roti gandum mengandungi vitamin, mineral dan serat yang baik untuk metabolisme tubuh. Kurangkan pengambilan roti putih yang memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi.
Ads
4. Oat
Oat mempunyai kandungan karbohidrat kompleksnya mencapai 98%. Selain itu oat juga mengandungi serat, protein, vitamin B dan zat besi yang diperlukan untuk proses metabolisme tubuh badan.
5. Putih telur
Amalkan makan putih telur di mana selain mengandungi protein, putih telur juga memiliki kandungan karbohidrat tinggi, robiflavin dan rendah lemak. Mengambil putih telur akan membuatkan anda tidak mudah merasa lapar.
6. Sayuran hijau
Sayuran hijau kaya dengan karbohidrat, ia juga memiliki kandungan serat tinggi yang sangat baik bagi melancarkan pencernaan.
Ads
7. Buah-buahan segar
Pisang: Selain sebagai penghasil vitamin B6 dan vitamin C, ianya juga mengandungi kandungan potasium dan berserat tinggi. Sebiji buah pisang mengandungi 24 gram karbohidrat.
Berry: Terdapat pelbagai buah di dalam keluarga Berry iaitu strawberry, blueberry dan blackberry. Buah berry selain memiliki kandungan karbohidrat kompleks, juga mengandungi antioksidan untuk melindungi tubuh dari radikal bebas.
Tembikai: Buah tembikai memiliki kandungan vitamin C, beta karotin sebagai antioksidan dan dapat mencegah katarak. Tembikai mengandungi kadar air yang tinggi dan rendah kalori yang sangat bagus diambil terutamanya sewaktu haus.
Ads
8. Buah yang dikeringkan
Buah kering boleh diambil sebagai hidangan pencuci mulut setelah anda selesai berbuka puasa dan sahur. Antara buah-buahan kering yang sangat bagus dimakan ialah kurma, kismis, kiwi dan plum.
Kurma kaya dengan potasium dan beberapa zat galian yang lain. Potasium adalah elektrolit yang akan seimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutamanya sepanjang bulan Ramadhan.
Berbuka: 3 biji buah kurma, 1/2 cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau 1/2 cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih.
Makan Malam: 1/2 cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan sebiji buah.
Moreh (Makan Lewat Malam): Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich, kuih-muih, kacang atau buah-buahan.
1 1/2 cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, 1/2 cawan sup sayur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong atau 1 gelas susu rendah lemak
1 cawan bijiran sarapan dengan 1/2 gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang, 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong.
Kredit : lovingcarehealthylife via Ezdiet.com.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak lama lagi, kita akan menyambut bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan kasih sayang. Ternyata Ramadan kali ini cukup berbeza dan tidak sama seperti tahun-tahun yang lalu apabila tidak semua berpeluang untuk pulang ke kampung menyambut bersama keluarga.
Jika tahun lalu kita boleh berjemaah menunaikan solat terawih di masjid, suasana itu tidak akan kita rasai pada tahun ini. Begitu juga dengan bazar Ramadan. Semuanya terpaksa dibatalkan kerana wabak Covid-19 yang melanda negara kita. Aduh, terasa sungguh sayu sekali Ramadan tahun ini.
Walau apa pun, hidup perlu diteruskan dan kita perlu berpuasa seperti biasa. Jalanilah Ramadan tahun ini dengan penuh ketenangan dan kesabaran. Berdoalah agar wabak ini segera pergi dan kita boleh pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga tercinta.
Menurut Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan menerusi artikel di mStar, ini antara persiapan yang boleh kita lakukan untuk menghadapi bulan Ramadan pada musim Covid-19.
1. Ikhlaskan Niat Kerana Allah
Pasanglah niat di dalam hati untuk menggunakan waktu di bulan mulia ini untuk beribadah dengan membaca Al-Quran, qiamullail, berzikir, berdoa dan apa sahaja amalan yang mendekatkan diri dengan Allah.
2. Buat Jadual
Sediakan jadual untuk kita melakukan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri dengan Allah. Jika tidak, kita akan leka dengan telefon pintar atau televisyen. Maklumlah, banyak cerita menarik yang disajikan di televisyen hingga kita lupa tujuan sebenar kita berpuasa.
3. Wujudkan Suasana Ramadan Di Rumah
Inilah masa untuk kita berkumpul bersama ahli keluarga untuk melakukan ibadah bersama-sama seperti solat berjemaah, tadarus Al-Quran, berzikir dan banyak lagi. Jika anda berjauhan dengan keluarga, lakukanlah amalan ini bersama rakan-rakan atau orang yang ada berhampiran anda. Ingat, jangan keluar rumah! Semua aktiviti perlu dilakukan di dalam rumah.
4. Hayati Kisah Nabi & Para Sahabat Dalam Menghadapi Ramadan
Kisah para Nabi dan sahabat telah direkodkan di dalam Al-Quran dan banyak memberi ibrah di dalam kehidupan. Jika ada masa terluang, suami bolehlah menyelitkan perkongsian tersebut kepada isteri dan anak-anak untuk dijadikan teladan. Semoga kisah tersebut dapat memberi pengajaran kepada mereka tentang erti kesabaran dan kesyukuran.
Kepada pasangan yang baru berkahwin dan pertama kali berhari raya di rumah mertua, pasti teruja untuk mengalami suasana baru dengan keluarga pasangan. Ketika itu pelbagai perasaan dan tanda tanya bermain di fikiran.
Maklumlah jika selama ini berhari raya dengan keluarga sendiri, pada kali ini di tempat orang lain akan memberi suatu pengalaman baru dan secara tidak langsung menimba pengalaman mempelajari budaya dan adat istiadat pasangan.
Walaupun tidak dinafikan perasaan sedih tetap ada kerana tidak berhari raya dengan keluarga sendiri dan sanak saudara di kampung halaman, namun saat pertama berhari raya dengan keluarga mertua adalah momen penting dalam sejarah perkahwinan. Lelaki ini kongsi, adab beraya di rumah mertua.
ADAB BERAYA DI RUMAH MEnTUA
Setiap tahun, pasti banyak keluarga yang akan beraya di kampung. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan ini saya tujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mentua
1. Bantu mentua di dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
Foto: Sumber Internet
6. Tinggalkan kerja di rumah
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka dengan barang dapur mertua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
*****
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Semoga dengan penulisan ini dapat membuka mata kita semua. Janganlah terlepas pandang lagi.
Tolong SHARE supaya satu Malaysia lebih peka tentang adab beraya di rumah mertua.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ibu muda mungkin baru dengar nasi lemuni ini. Pokok lemuni sejenis pokok herba banyak dijumpai di kampung-kampung. Di pekan agak sukar mahu temuinya. Ada juga pencinta herba yang menanam untuk dijadikan campuran nasi ulam. Rupa-rupanya daun lemuni ini amat bermanfaat untuk ibu selepas bersalin yang dah nak habis pantang. Ini perkongsian resepi berpantang daripada Puan Zahwani Mohd Nor. Katanya ini resepi turun temurun.
Nasi Lemuni Berkhasiat Untuk Ibu Tamat Berpantang
“Pernah tak dengar nasi daun lemuni. Kalau orang utagha ni besa sangat dah ni. Kak Wani orang Melaka. Tapi disebabkan campuran dari Perak (sebelah mak), biasa jugalah dengar nasi daun lemuni ni. Terutama sekali masa dalam pantang.”
”Kisahnya, di bahagian Melaka, susah sikit nak jumpa pokok daun lemuni. Tiga kali bersalin, akhirnya berjodoh juga. Dapat makan nasi daun lemuni sebab pokoknya baru dapat hidup. Syukur. Nak tau macam mana rupa pokok lemuni, tengok kat gambar bawah ni.”
Kenapa Nasi Daun Lemuni
Ada banyak sangat khasiat. Bagus untuk peredaran darah. Adat orang tua-tua yang menjaga orang berpantang ni, nasi lemuni ini dibuat apabila sudah cukup 42 dan 44 hari berpantang.
AWAS!
Nasi lemuni tak sesuai untuk mereka yang mudah pitam. “Masak untuk orang boleh. Baca dan Share resepi Kak Wani untuk orang lain pun boleh sangat.
“Ini resepi tok nenek turun temurun ni. Doakan susur galur Kak Wani semoga dicucuri rahmat Allah selalu. Okey.”
“Nasi ini bagus untuk membuang angin dalam badan dan menjadikan badan ibu rasa lebih ringan dan segar. Sila expect untuk berlaku angin ribut puss puss dalam badan anda. Kalau makan berjemaah bersama keluarga, lepas makan duduk dalam jarak jauh naaa.”.
Bahan-bahan Nasi Lemuni Untuk Ibu Tamat Pantang
Segenggam daun lemuni
Jintan manis
Jintan putih
Lada hitam
Halba
1 inci halia
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cawan beras
Santan
Garam
Follow cara-caranya:
Kisar halus bahan kecuali santan dan garam.
Basuh beras dan toskan
Masukkan bahan kisar ke dalam beras tadi
Campurkan santan dan sukat air secukupnya.
Masak seperti masak nasi lemak. Jangan lupa perasakan dengan garam ye.
Makan Nasi Lemuni Dengan Lauk Ikan Berempah
Nasi lemuni untuk ibu berpantang sesuai dimakan bersama lauk ikan berempah. Caranya seperti di bawah:-
Sediakan Bahan-bahan Lauk Ikan Berempah:
Ikan seperti ikan merah
Jintan manis
Jintan putih
Lada hitam
Halia
Bawang merah
Bawang putih
Kunyit
Santan
Cara-caranya:
Goreng ikan merah seperti biasa dan ketepikan
Semua bahan kecuali ikan dikisar halus.
Tumis bahan kisar hingga naik minyak
Tambahkan santan
Masukkan ikan goreng tadi.
Reneh sehingga kuah agak kering
Nasi daun lemuni dengan ikan rempah siap dihidang dan dimakan panas-panas untuk ibu menamatkan lauk pantangnya. Selamat mencuba!
Sumber / Foto : Facebook Zahwani Mohd Nor
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!