Masa bercinta semua dilihat indah, tetapi berlainan pula bila dah berkahwin. Apa yang disorokkan semasa bercinta sebenarnya boleh dilihat terang-terangan apabila duduk serumah. Kongsi lelaki bernama Amir Syahir ini, jadilah diri sendiri dan bukan orang lain ketika bercinta.
Kau bercinta lama-lama pun tak guna kalau berpura-pura. Ye dak? Tak hidup sebumbung lagi boleh la. Dah hidup sama nanti baru kau kenal macam mana pasangan kau. Kau berpura-pura nanti pecah juga rahsia tu.
Itu sebab masa bercinta kau jangan jadi orang lain. Jadilah diri sendiri. Kau kena ada prinsip. Jangan nak bersandiwara bagai. Tunjukkan diri kau yang sebenarnya. Realiti tentang diri dan kehidupan kau.
Tak payah nak bagi kemewahan sangat kepada makwe kau. Sayang sangat pun, kebahagiaan sejati bukan daripada wang semata-mata. Tak guna duk pinjam duit kawan-kawan semata-mata nak bagi hadiah kat makwe kau.
Kalau makwe tu tak leh terima gaji kau kecil, biarkan dia pergi. Kau tak perlu nak rasa sedih pun. Carilah perempuan yang sanggup susah senang bersama kau.
Ads
Masa bercinta tu jangan kemain janji manis. Janji nak honeymoon dekat Maldives lah, janji nak bawa naik Cruise lah. Alih-alih dah kahwin tak tunaikan. Situ dah nampak kau punya janji tak boleh pakai.
Yang perempuan tak salah kalau kau tak reti masak. Tapi akan salah kau berpura-pura kata kau power masak. Lelaki tak kisah pun, janji kau ada niat nak belajar nanti.
Itulah yang terjadi kalau kau bercinta tanpa guna akal. Bahagia sangat bercinta sampai kau tak boleh nak fikir dah. Sepatutnya kau selidik la latar belakang pasangan kau tu. Berkawan juga dengan kawan-kawan rapat dia. Barulah kau kenal perangai dia.
Ads
***
Ada lima perkara ni MESTI guna duit suami;
Makan minum.
2. Peralatan mandian.聽
3. Ubat-ubatan.
4. Pakaian baru, 2 persalinan setahun, termasuk tudung.
5. Rumah yang selesa.
***
Ads
Kaum makwe jangan pula nak mendesak bakal suami hingga di luar kemampuan dia ye. Kena bijak dan amanah jugak dalam menguruskan duit bakal suami bagi. Ini tidak, hidup baru berdua, masak serupa nak makan sekampung. Tak habis buang. Membazir je.
Jadi, jangan nak bercinta bagai nak rak sangat lah. Banyakkan membaca baru kau tahu sikit realiti kehidupan. Tambah sikit kenalan, biar skop pemikiran kau luas sikit. Ini tak, asyik fikir relationship goals je. Kah!
Walaupun suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pelbagai pekerjaan yang tidak pernah selesai, jangan diabaikan sikap romantik dalam hubungan suami isteri kerana ia merupakan elemen terpenting dalam mewujudkan rumah tangga bahagia.
Sebenarnya tak susah mana pun untuk menjadi suami romantik. Bagi segelintir suami yang malu atau mungkin tidak tahu cara-cara untuk bersikap romantis dengan isteri, apa kata jadikan amalan Nabi SAW ini sebagai contoh. Semoga resipi ini boleh memberi kebahagiaan yang berkekalan dalam rumah tangga anda berdua.
1. Jadikan rutin harian mencium isteri
Hati isteri mana yang tak berbunga kalau suami memberikan ciuman kepadanya. Pasti hati yang gundah bertukar menjadi bahagia. Amalan yang disarankan oleh Nabi SAW kepada suami untuk mencium isteri ini haruslah dijadikan rutin harian. Malah mencium isteri merupakan satu ibadah yang boleh dijadikan senjata ampuh untuk anda berdua mengekalkan romantis dan sebagai pembenteng untuk melawan segala godaan.
2. Mandi bersama isteri
Isteri jangan sesekali menolak atas alasan malu jika suami mengajak anda untuk mandi bersama. Amalan yang disarankan oleh Nabi SAW ini memberi banyak manfaat untuk keharmonian rumah tangga. Bukan hanya mandi biasa, mandi bersama pasangan juga boleh diamalkan ketika mandi hadas besar.
3. Berkongsi makanan atau makan lebihan isteri
Apabila suami isteri mampu untuk berkongsi makanan dalam bekas yang sama ataupun makan lebihan pasangan, ini menggambarkan betapa teguhnya cinta anda berdua. Tindakan ini dapat melahirkan keyakinan yang penuh antara suami isteri di mana anda berdua tidak berkira atau berasa jijik terhadap lebihan makanan pasangan sehingga menganggap ia seperti lebihan makanan anda sendiri. Nabi SAW pernah mengambil bekas minuman Aisyah lalu meletakkan mulut baginda pada tempat Aisyah meletakkan mulut pada bekas tersebut.
4. Sering berikan isteri hadiah
Hadiah merupakan daya pemikat untuk melunakkan hati. Apabila suami memberikan hadiah, ini membuatkan isteri rasa dihargai apabila menerimanya bahkan ada ketika pemberian hadiah boleh menghapuskan amarah. Nabi SAW sering memberikan hadiah kepada isterinya bagi tujuan untuk melahirkan perasaan kasih sayang antara suami isteri.
Ini disandarkan kepada hadis daripada Ummu Kalsum yang bercerita: “Ketika Nabi SAW baru berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku telah menghantar hadiah kepada An-Najasyi dengan pakaian berharga dan beberapa botol minyak wangi. Aku dapati bahawa An-najasyi sudah meninggal dunia, menyebabkan hadiah itu dipulangkan balik kepadaku. Jika hadiah itu dipulangkan kepadaku, maka hadiah itu adalah milik kamu.” Berkata (Ummi Kalsum) dalam riwayat lain; seperti sabda Nabi SAW: “Jika hadiah itu dihantar balik, hadiah itu akan diberikan kepada semua isteri-isteri baginda, dan baginda memberikan Ummu Salamah minyak wangi yang berbaki dan pakaian bernilai itu.”
5. Menemani isteri dalam perjalanan
Suami yang mencintai isteri tentu sahaja akan memastikan keselamatan isterinya sentiasa terjamin. Ambillah tahu tentang apa yang isteri lakukan kerana pastinya isteri akan rasa selamat berada di bawah naungan suami.
6. Tidak akan menerima jemputan tanpa adanya isteri
Kebahagiaan rumah tangga tidak sekadar wujud dengan adanya kemesraaan suami isteri tetapi ia turut disalurkan menerusi penghargaan suami terhadap isteri. Antara cara Nabi SAW bertindak mewujudkan perasaan kebanggaan isteri baginda adalah dengan menghadiri sesuatu majlis tertentu yang juga disertai oleh isteri baginda.
Ini disandarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW mempunyai seorang jiran berbangsa farsi dan pandai memasak lauk berkuah. Dia telah memasak untuk dihidangkan kepada Nabi SAW. Lalu dia menjemput Nabi. Nabi berkata: “Apakah Aisyah dijemput sama?” Dia menjawab: “Tidak”. Nabi berkata: “Kalau begitu, aku pun tidak akan menerima jemputan itu.” Dia pun pulang dan datang kembali menjemput. Nabi SAW berkata: “Apakah Aisyah dijemput sama?” Dia berkata lagi: “Tidak”. Nabi SAW berkata: “Kalau begitu, aku tidak akan menerima jemputan ini.” Dia pulang dan datang lagi menjemput. Nabi berkata: “Apakah Aisyah dijemput?” Dia menjawab: “Ya” pada kali ketiga. Nabi dan Aisyah pun bangun dan sama-sama ke rumahnya.
7. Suami menyuapkan makanan dalam mulut isteri
Saling suap-menyuap antara suami isteri pasti menyeronokkan kerana ia boleh membangkitkan rasa kecintaan dan suasana romantis dalam rumah tangga. Malah ia juga akan mewujudkan kemesraan antara anda berdua.
Nabi SAW bersabda: “Tidaklah kamu memberi satu nafkah pun yang kamu niatkan untuk menghadap wajah Allah SWT kecuali kamu akan diberi pahala ke atasnya, hingga apa yang kamu letakkan pada mulut isterimu.”
8. Mesra dengan isteri walaupun isteri sedang haid
Haid merupakan fitrah wanita yang tidak boleh dinafikan. Apabila isteri didatangi haid, ia bukanlah penghalang untuk suami bermesra dengan isteri seperti tidur di ribaan isteri, tidur bersama dalam satu selimut dan sebagainya. Malah dalam satu yang riwayat diceritakan bahawa Nabi SAW pernah meminta Aisyah untuk menghangatkan tubuhnya padahal Aisyah dalam keadaan haid.
9. Memberi ‘panggilan simpanan’ manja untuk isteri
Memanggil pasangan dengan nama yang baik dan disukainya akan menambahkan lagi romantis dalam hubungan suami isteri. Suami perlu menyediakan ‘panggilan simpanan’ yang lebih mesra dan manja berbanding panggilan mesra harian untuk isteri. Ia bukan untuk digunakan secara harian tetapi sebagai panggilan untuk memberi ruang kepada hati perempuan menilai cinta di kala menghadapi krisis. Nabi SAW sendiri memanggil isteri dengan panggilan biasa tetapi dalam keadaan tertentu, Nabi SAW menjadikan panggilan manja sebagai senjata tajam dalam melahirkan kemesraan.
Seringkali Rasulullah memanjatkan Aisyah dengan ucapan “Wahai Humaira” (panggilan sayang untuk Aisyah).
10. Bantu isteri ketika menaiki kenderaan
Cara ini sama sekali tidak merendahkan martabat suami jika suami membantu isteri menaiki kenderaan seperti membuka pintu buatnya. Ia sebenarnya memperlihatkan akhlak mulia yang dapat memupuk sikap prihatian suami terhadap isteri sebagai balasan sikap hormat dan ketaatan isteri terhadap suaminya.
Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa: “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda membengkokkan lututnya. Lalu isteri baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik ke atas unta”.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cinta akan lebih dirahmati dan menjadi ibadah apabila ia diletakkan di tempat yang sebaiknya. Namun jika cinta itu tidak diletakkan sesuai dengan reda Allah SWT maka ia akan menjadi sesuatu yang boleh membawa keburukan.
Dalam Al-Quran, Allah SWT ada memberi petunjuk yang menyingkap tentang cinta. Ini termasuklah cinta yang membawa kepada kebaikan, begitu juga jenis cinta yang boleh membawa kepada keburukan.
Ibnul Qayyim pernah mengatakan bahawa: “Cinta tidak bisa didefinisikan dengan jelas, bahkan apabila didefinisikan tidak menghasilkan (sesuatu) melainkan menambahkan kabur dan tidak jelas, (bererti) definisinya ialah adanya cinta itu sendiri.”
1. Cinta Mawaddah
Sejenis cinta yang sentiasa membara dan ingin memonopoli cintanya sehingga membuatkan orang yang mengalaminya akan sentiasa memikirkan tentang cintanya. Pemilik cinta jenis ini juga selalunya ingin bersama dan tidak mahu berpisah, malah ingin selalu memuaskan rasa cintanya.
Ia ada disebut dalam surah Ar-Rum ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
2. Cinta Rahmah
Sebuah cinta yang penuh dengan kelembutan, kasih sayang serta sanggup berkorban dan melindungi orang yang dicintainya. Bagi pemilik cinta ini, kegembiraan dan kebahagiaan orang yang dicintainya adalah lebih penting walaupun dia sanggup menderita. Malah pencinta ini begitu memahami segala kekurangan dan sentiasa memaafkan kesalahan pasangannya.
Cinta ini termasuk cinta yang ada pertalian darah seperti cinta orang tua terhadap anaknya, cinta terhadap pasangan yang halal dan sebagainya. Dalam Al-Quran, kerabat disebut al-arham, dzawi al-arham iaitu orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitri, kasih sayang ibu disebut rahim (dari kata rahmah) dan kasih sayang suami isteri yang diikat dengan cinta mawaddah dan rahman.
Ia ada disebut dalam surah Al-Kahfi ayat 81:
“Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya (rahmahnya).”
3. Cinta Syaghaf
Merupakan cinta yang sangat mendalam dan mengasyikkan sehingga membuatkan pencinta jenis ini (qad syaghafaha hubba) seperti lupa diri dan seolah-olah tidak menyedari apa yang dilakukannya. Al-Quran menggunakan terma syaghaf ketika menceritakan kisah cinta Zulaikha iaitu isteri pembesar Mesir terhadap Nabi Yusuf.
Ia ada disebut dalam surah Yusuf ayat 30:
“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”
* Cinta seperti ini merupakan cinta yang tidak dibenarkan dalam Islam kerana ia membuatkan pelakunya keterlaluan mencintai pasangannya sehingga melupakan tugasan hakikinya di dunia.
4. Cinta Mail
Sejenis cinta sementara yang membara sehingga terlalu menumpukan pada cintanya hinggakan perkara lain tidak diberi perhatian. Dalam Al-Quran, cinta jenis ini disebut dalam konteks poligami di mana ketika orang tersebut jatuh cinta pada pasangan yang muda (an tamilu kulla al mail) dan cenderung mengabaikan pasangannya yang tua.
Ia ada disebut dalam surah An-Nisaa ayat 129:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
5. Cinta Ro’fah
Cinta jenis ini melahirkan rasa kasihan, tidak sampai hati, sanggup mengetepikan norma-norma kebenaran dan membela orang yang disayangi walaupun hakikatnya. Dia juga meletakkan cintanya kepada makhluk lebih tinggi daripada cintanya kepada Allah SWT sehingga sanggup melonggarkan peraturan Allah SWT. Misalnya, kerana terlalu kasihankan anak yang mengantuk sanggup tidak mengejutkan anak untuk bangun bersolat.
Ia ada disebut dalam surah An-Nur ayat 2:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan (Ro’fah) terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”
6. Cinta Shobwah
Sejenis cinta buta yang mendorong pencintanya menyimpang daripada agama dan norma kehidupan tanpa sanggup mengelak. Misalnya pasangan yang bercinta berniat pada mulanya untuk berborak santai tetapi atas dasar cinta, apabila digoda pasangan ini sanggup melakukan kemungkaran.
Cinta sebegini ada disebut dalam Al-Quran ketika kisah Nabi Yusuf berdoa kepada Allah SWT agar dihindarkan daripada Zulaikha yang ketika itu menggodanya setiap hari. Ketika itu, Nabi Yusuf bermohon agar dimasukkan ke penjara kerana bimbang imannya akan tergugat.
Ia ada disebut dalam surah Yusuf ayat 33:
“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.”
7. Cinta Al-Hub
Dr ‘Aidh al-Qarni mengatakan bahawa tidak ada ertinya cinta dalam bahasa Arab melainkan kata ‘Al-Hub yang terdiri daripada kata ‘ha’ dan ‘ba’. Huruf ‘ha’ keluar dengan mulut membuka hingga akhirnya menutup dan menyatukannya kembali. Kata Hub merupakan kata yang umum digunakan sebagai erti pada kata cinta. Kita sering mendengar Hubbudunya yang bererti cinta dunia atau uhibbuka yang bererti “Aku cinta padamu”.
Ia ada disebut dalam surah Al-Fajr ayat 20:
“Serta kamu pula mencintai (Hub) harta dengan kecintaan (Hub) yang berlebihan.”
8. Cinta Sakinah
Sakinah berasal dari sakana-yaskunu yang membawa maksud sesuatu yang menenangkan. Semua pasangan yang berkahwin pasti inginkan ketenteraman dalam rumah tangga, malah lebih produktif berbanding sebelum kahwin. Oleh itu carilah pasangan yang boleh memberikan kedamaian iaitu melalui agamanya.
Ia ada disebut dalam surah Al-A’raaf ayat 189:
“Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua daripada (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain…”
9. Cinta Syauq (Rindu)
Cinta jenis ini diambil daripada hadis yang mentafsirkan Al-Quran.
Ia ada disebut dalam surah Al-‘Ankabuut ayat 5:
“Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Malah kalimat kerinduan ini turut diungkapkan dalam doa ma’tsur daripada hadis riwayat Ahmad:
“Aku mohon dapat merasakan nikmatnya memandang wajah-Mu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa dengan-Mu.”
Pasangan yang dilanda dengan cinta Syauq ini merupakan pasangan yang mampu mempertahankan cintanya walaupun menjalinkan hubungan jarak yang jauh.
10. Cinta Kulfah
Merupakan perasaan cinta yang disertai dengan kesedaran dalam mendidik perkara-perkara positif. Dalam Al-Quran disebut bahawa Allah SWT tidak akan membebani seseorang melainkan dengan kemampuannya.
Ia ada disebut dalam surah Al-BAQARAH AYAT 2:
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sememangnya sukar untuk menyimpan wang puluhan ribu ringgit dalam masa terdekat.
Tetapi,sekiranya disiplin diri tinggi dan anda mengikuti langkah-langkah yang kami berikan ini, ianya tidak menjadi penghalang lagi.
1. Beli rumah Harga rumah kini mencecah ratusan ribu ringgit. Untuk kesenangan bersama pasangan apabila anda berkahwin, rumah adalah sangat penting sebagai tempat berteduh saban hari. Rancanglah untuk membeli rumah dari awal kerana rumah juga merupakan aset yang bernilai tinggi.
2. Teliti dan hadkan belanja bulanan Senaraikan segala barangan keperluan rumah yang utama dan tidak melebihi had perbelanjaan. Sekiranya hidup bujang, hadkan wang makan di luar sebanyak 30% dan simpan selebihnya dalam tabung khas.
3. Beli barang pada harga diskaun Jangan terlalu obses dengan barangan mewah dan berjenama. Anda perlu berjimat untuk simpanan majlis perkahwinan. Dapatkan barangan yang berjenama ketika promosi dan harga diskaun. Pasti lebih jimat dan banyak wang boleh dilaburkan dalam simpanan peribadi.
4. Jangan guna kad kredit Kad kredit hanya akan menambah hutang. Elakkan berbelanja mengikut nafsu dengan mengingini sesuatu barangan di luar kemampuan bajet kewangan. Penggunaan kad kredit akan menyebabkan anda berhutang dan menangguh tempoh pembayaran. Ini akan membebankan di masa hadapan.
5. Melabur masa muda Pelaburan di bank adalah cara terbaik untuk simpanan kewangan di masa hadapan. Dengan simpanan secara bulanan selama 3 atau 5 tahun, anda dapat menggandakan wang sebanyak 2 kali ganda.
6. Hanya satu barang setiap bulan Sekiranya anda seorang yang suka membeli aksesori dan pakaian baru mengikut trend masa kini, hadkan perbelanjaan dengan membeli satu barangan sahaja setiap bulan. Bukannya membeli 3 atau 4 barangan kesukaan sekaligus. Anda juga perlu fikir untuk simpanan majlis.
7. Menabung untuk kecemasan Buatlah tabungan untuk hal-hal kecemasan. Simpanlah RM5 atau RM10 sehari setiap bulan untuk hal kecemasan seperti kemalangan, sakit dan sebagainya. Dalam sebulan, simpanan tabungan akan meningkat kepada RM150 atau RM300. Sekiranya setahun? Anda sendiri boleh menilainya.
8. Buat kerja sampingan Wang yang banyak tidak akan diperoleh tanpa usaha yang gigih. Anda boleh melakukan kerja sampingan seperti mengambil kerja separuh masa untuk mencukupkan kewangan anda menjelang hari bahagia nanti.
Penelitian yang mendalam tentang pengurusan kewangan perlu dititikberatkan. Sekiranya, anda baru menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, sedarlah akan kepentingan simpanan kewangan. Anda juga tidak akan rasa terbeban apabila majlis perkahwinan ingin dilangsungkan dalam tempoh yang terdekat!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelakon dan juara Dewi Remaja 2023, Nurel Baharin, 24, membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila selamat bergelar isteri kepada pilihan hati, Esmeer Mansor, dalam...