
Sembilan tahun melayari alam rumah tangga, kebahagiaan Che Puan Juliana Evans dan suaminya, Y.A.M. Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj bakal diserikan lagi dengan kehadiran seorang lagi cahaya mata.
Menerusi perkongsian terbaharu di Instagram, pasangan berkenaan mengumumkan bahawa bayi ketiga yang sedang dikandung ialah lelaki. Khabar gembira itu nyata cukup istimewa buat mereka yang sebelum ini dikurniakan dua puteri.
Sementara menantikan kelahiran anggota baharu dalam keluarga itu, apa kata kita mengimbas kembali pesona Che Puan Juliana ketika melangsungkan pernikahan bersama Tengku Shariffuddin Shah pada 30 April 2017.
Pada hari bersejarah tersebut, Che Puan Juliana tampil mempesona dalam persalinan baju kurung rona putih gading. Busana berpotongan sopan itu dihiasi sulaman halus yang menambahkan seri tanpa membuatkan penampilannya kelihatan terlalu sarat.
Keseluruhan gaya disempurnakan dengan pemakaian layah pendek berenda yang ditata kemas, sekali gus menyuntik sentuhan lembut dan romantis. Solekan penuh seri semula jadi serta dandanan rambut ringkas pula menyerlahkan kecantikan asli pelakon dan pengacara berkenaan.
View this post on Instagram
Tidak perlu perincian berlebihan atau siluet terlalu dramatik, Che Puan Juliana membuktikan bahawa kesederhanaan juga mampu mencipta pesona tersendiri pada hari pernikahan.
Malah, gabungan potongan klasik, rona lembut dan perincian minimal menjadikan penampilannya terus kelihatan relevan serta malar segar meskipun hampir sedekad berlalu.
Che Puan Juliana dan Tengku Shariffuddin Shah disatukan dalam sebuah majlis tertutup di Shah Alam, Selangor. Dengan sekali lafaz, Tengku Shariffuddin sah bergelar suami kepada wanita pilihannya dalam majlis yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Sepanjang sembilan tahun mendirikan rumah tangga, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Yang Mulia Tengku Kamiliah Zanariah Ruby Ehsan Putri dan Yang Mulia Tengku Saidatul’Ihsan Zabedah Fauziah Putri, masing-masing kini berusia tujuh dan tiga tahun.
Tidak lama lagi, keluarga kecil mereka bakal menerima kehadiran anak ketiga yang juga merupakan bayi lelaki pertama pasangan berkenaan. Kehadirannya pasti menambahkan lagi warna dan kebahagiaan dalam rumah tangga Che Puan Juliana dan Tengku Shariffuddin, selain melengkapkan keluarga mereka yang kini diserikan dengan dua puteri kesayangan.
Kredit foto: Instagram Che Puan Juliana Evans, foto oleh Dreampeeks
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

