Jodoh tu kan dah ditentukan. Sampai masa Allah hadirkan la yang terbaik. Kahwin tu kan elok, cuma, perkahwinan ni bukan perkara biasa. Bukan perkara main-main. Bukan sekadar akad je. Kahwin ni besar tanggungjawabnya, sebab tu tak boleh main redah je. Jodoh itu rahsia Allah. Sekuat mana kita setia, selama mana kita menunggu, sehebat mana kita merancang, sekeras mana kita bersabar, sejujur mana kita berbagi kasih, ia tetap rahsia Allah. Putaran kehidupan dan usia di luar kawalan kita.
Sama halnya dengan soal jodoh. Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia. Sebagai makhluk Allah S.W.T, setiap manusia yang sudah dewasa pasti memerlukan teman hidup yang berlainan jenis. Setiap manusia itu memerlukan pasangan yang mampu untuk mencintai dan dicintai. Tak bercakap soal nikah, soal perkahwinan, tak bermakna seseorang itu tak punya keinginan untuk semua tu. Mungkin kerana keyakinannya pada Allah itu tersangat tinggi. Perkahwinan itu satu sunnah. Namun, cepat atau lambat bukanlah menjadi tugas kita untuk menentukan.
Perkahwinan menuntut seseorang untuk menggalas satu tanggungjawab besar dalam menunaikan apa yang telah digariskan dalam Islam. Big things awaits behind ‘aku terima nikahnya’. Tanggungjawab itu bukan hanya terletak pada si suami, tetapi juga pada isteri. Jodoh, ajal, rezeki, itu semua rahsia Dia. Sehebat manapun kita dalam mencorak kehidupan kita.
Takkan mampu kita selaraskan dengan perancangan Dia. Jodoh setiap orang sudah ditentukan. Sama ada bertemu di dunia ataupun di alam sana, kita takkan pernah tahu. Dekatkan diri pada Dia sebelum kita bersandar pada kasih ciptaanNya, kerana kasihNya umpama sehampar lautan luas. Jadilah hamba yang mendamba cinta Allah sebelum mencari cinta manusia. Bila Dia kasih, Dia akan berikan jodoh yang terbaik untuk kita jodoh yang sentiasa meletakkan Dia di carta paling tinggi. Allah itu sebaik-baik perancang. Sentiasalah bersangka baik dengan Allah.
Sedangkan kita juga belum tahu, antara kafan dan gaun pengantin, mana yang kita akan sarung dahulu; antara jodoh dan maut, yang mana akan melamar dahulu.