Kitaran haid wanita tidak selalunya berjalan dengan lancar. Sesetengahnya mempunyai tempoh yang tepat mengikut jadual setiap 28 hari, sesetengah wanita lagi haid mereka agak sukar diramal.
Sekurang-kurangnya 30 peratus wanita mengalami haid yang tidak teratur semasa usia reproduktif. Walaupun kebanyakan kitaran yang tidak teratur biasanya tidak mendatangkan masalah, tetapi ia kadang-kadang memberikan isyarat yang anda mungkin menghadapi masalah kesihatan.
Apakah yang dimaksudkan dengan haid tidak teratur ?
Satu kitaran haid yang normal berkitar di antara 21- 35 hari. Aliran haid dianggap tidak teratur jika ia berlaku lebih cepat dari 21 hari atau lebih lama dari 35 hari. Sekiranya terlewat berbulan bulan atau haid berlaku 2 kali sebulan ia dianggap tidak teratur.
Untuk menentukan sama ada haid anda teratur atau tidak, kira dari hari pertama haid anda sehingga hari pertama haid yang seterusnya. Ulang pengiraan ini untuk tiga bulan. Jika tarikh haid anda sangat berbeza dan tidak jatuh dalam lingkungan 21-35 hari, anda mengalami haid tidak teratur.
Punca Haid tidak teratur
Dalam banyak kes, haid yang tidak teratur adalah berkaitan dengan keadaan yang dipanggil anovulation atau tidak bertelur dan ia selalunya berkait dengan ketidakseimbangan hormon.
Haid tidak teratur di kalangan gadis belasan tahun sangat kerap terjadi. Selalunya disebabkan tahap hormon yang tidak stabil. Biasanya ia akan beransur pulih secara semulajadi walaupun mungkin memakan masa bertahun-tahun.
Haid juga boleh menjadi sangat tidak teratur di lewat usia reproduktif anda. Ramai wanita sedar bahawa mereka menghampiri menopos apabila haid mereka menjadi tidak seimbang. Apabila haid tidak datang selama 12 bulan berturut, anda dikatakan sudah menopos.
Hamil dan keguguran pula kerap menjadi penyebab kepada haid yang tidak teratur terutama sekiranya anda dalam lingkungan usia 20-40an. Pastikan dahulu anda tidak hamil dengan menjalani ujian kehamilan sebelum bergegas ke klinik doktor anda.
Ads
Faktor-Faktor lain
SENAMAN ATAU BERDIET KETERLALUAN.
Terlalu banyak bersenam boleh menyebabkan haid menjadi tidak teratur atau ia berhenti terus. Ini kerap berlaku pada ahli sukan yang berbadan kurus dan tidak berlemak. Kehilangan berat badan yang keterlaluan dari diet yang melampau boleh memberi kesan yang sama.
TEKANAN.
Tekanan perasaan yang kronik atau kebimbangan luar biasa tentang masalah tertentu boleh menyebabkan hormon anda tidak stabil seterusnya kitaran haid yang tidak teratur.
TEKANAN FIZIKAL.
Sekiranya anda baru pulih dari penyakit yang berat atau mengalami pembedahan, kitaran haid anda mungkin terjejas tetapi ia tidak memakan masa yang lama.
Ads
KAEDAH MERANCANG KELUARGA BERHORMON
Seperti Pil Perancang, Implanon atau Depo-provera boleh membuat tempoh haid anda menjadi singkat, berlaku sekali sekala atau tiada langsung untuk berbulan-bulan lamanya. Intrauterine Contraceptive Device (IUD) atau alat dalam rahim juga boleh menyebabkan haid tidak teratur.
POLYCYSTIC OVARIAN SYNDROME (PCOS).
Sindrom ovari Polisistik iaitu satu masalah perubatan yang menyebabkan sista kecil pada ovari dan mengganggu ovulasi anda. Wanita dengan PCOS biasanya mempunyai sejarah haid yang tidak teratur selama bertahun-tahun. Selain dari sukar hamil disebabkan tidak bertelur, PCOS boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan jantung.
MASALAH KETUMBUHAN DALAM RAHIM.
Fibroid rahim, polip dan endometriosis kerap dikaitkan dengan haid tidak teratur.
MASALAH PERUBATAN.
Gangguan tiroid boleh menyebabkan haid yang tidak teratur jika tahap darah hormon tiroid terlalu rendah atau terlalu tinggi. Keadaan kesihatan lain yang boleh menyebabkan kitaran yang tidak teratur termasuk penyakit buah pinggang, penyakit kencing manis dan masalah prolaktinemia.
Ads
MENYUSU BADAN.
Mereka yang menyusukan badan kerap mengalami haid yang tidak teratur tetapi haid anda akan pulih dengan sendiri sekiranya anda berhenti menyusu.
Jumpa Doktor Anda
Haid tidak teratur boleh menjadi petunjuk pertama bahawa anda mungkin mengalami masalah perubatan. Sekiranya anda mempunyai berat berlebihan dan haid yang tidak teratur bertahun-tahun lamanya anda mungkin mengalami PCOS. Kajian mendapati 10 peratus daripada wanita dalam usia reproduktif mengalami PCOS.
Anda juga perlu disaring untuk mengesan gangguan tiroid, prolaktin dan penyakit lain yang boleh dikaitkan dengan haid yang tidak teratur.
Kitaran haid yang tidak teratur juga boleh menyebabkan anda sukar hamil kerana anda tidak bertelur (ovulasi) secara semula jadi. Ujian ultrasound dan darah boleh memberikan diagnosa yang tepat terhadap masalah ini.
Rawatan Haid tidak teratur
Rawatan bergantung kepada punca kenapa haid anda tidak teratur. Jadi amat penting untuk anda berjumpa dengan doktor agar rawatan yang tepat dapat diberikan.
SUMBER : alamhamilblog.com
OLEH : Dr R Juhaidah adalah Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Columbia Asia Puchong dan mempunyai 17 tahun pengalaman sebagai Pakar.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menurut pakar, pasangan yang kelihatan sering update status yang menunjukkan saling bergurauan sesama sendiri di media sosial, sering berkongsi komen dan selfie diri sendiri walaupun berada dalam situasi yang biasa-biasa sahaja, mungkin bermaksud untuk menyembunyikan hubungan mereka yang tidak stabil.
Nikki Goldstein, pakar perhubungan dan seksologi dari Australia menyatakan bahawa pasangan yang kerap memuat naik status di media sosial selalunya mengharapkan tanggapan yang baik daripada orang luar tentang hubungan mereka.
Kebiasaannya, individu yang sering membuat posting itu adalah mereka yang mahu kelihatan bahagia di mata orang lain di media sosial. Jumlah like dan comment yang banyak memberi kelagaan kepada individu ini. Mereka sepertinya cuba membuktikan betapa bahagianya hubungan mereka dimata orang lain.
Goldstein juga berpendapat pasangan yang cenderung untuk mengambil gambar antara satu sama lain dan segera memuat naiknya ke Instagram adalah pasangan yang sering ‘hilang’ serta tidak dapat menghayati momen bersama pasangan.
Seseorang individu yang terlalu fokus mengambil selfie, kemudian mengaplikasikan filter terbaik dan meletakkan hashtag yang pelbagai sebenarnya terlepas momen indah yang berlaku disekelilingnya. Bukankah tujuan asal mengambil gambar itu adalah untuk merakamkan kenangan indah untuk dikenang semula satu hari nanti?
Pasangan masa kini lebih gemar merakamkan gambar dan terus memuat naik di media sosial dan sentiasa memerhatikan jumlah like dan comment yang diperolehi dari masa ke semasa.
Benar atau tidak kajian ini, tepuk dada tanya selera.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sudah sediakan duit raya atau belum? Baru kahwin atau lama sudah berumah tangga, tetap kena ada. Bukan paksaan tetapi ini cara nak eratkan hubungan juga.
Maklumlah, budak-budak jenis ingat. Siapa yang memberi pun memang akan dikenang. Tak perlu banyak pun, sesekali jumpa boleh lah ajar memberi pada sanak-saudara di hari yang mulia.
Sediakan Duit Raya
Namun seorang wanita berkata dia berasa kurang senangnya untuk beraya pada tahun ini apabila memikirkan tentang duit raya.
Meluahkan di laman X, wanita itu berkata dia berasa malu apabila pemberian sedekah RM5 pada lebaran sebelum ini menjadi pertikaian salah seorang saudaranya yang lebih kecil.
Rata-rata netizen menasihati wanita berkenaan agar tidak terlalu memikirkan tentang perihal kanak-kanak yang sepatutnya bersyukur menerima setiap pemberian.
Tak Wajib Pun, Janji Ikhlas
Sebenarnya, pemberian duit raya bukanlah satu perkara wajib tetapi ia sudah menjadi satu budaya dalam kalangan kita.
Jadi, perancangan harus dibuat bagi memastikan agar pemberian duit raya tidak membebankan diri sendiri sempena menyambut perayaan.
Pakar kewangan, Adam Zubir pernah berkongsi tiga tip untuk anak muda yang pertama kali mahu memberikan duit raya.
1. Bajet
Tetapkan bajet yang anda ingin keluarkan untuk dijadikan sebagai duit raya.
Mulakan dengan orang yang terdekat seperti anak-anak sendiri, anak buah serta ibu serta bapa.
2. Gunakan sampul berbeza
Masukkan duit raya terlebih dahulu menggunakan sampul-sampul tertentu seperti warna yang berbeza.
Kaedah ini memudahkan kita untuk membezakan jumlah duit raya diperuntukan kepada individu tertentu termasuklah ibu dan bapa.
3. Tujuan
Pastikan anda ketahui niat utama kenapa duit raya ini diberikan.
Anggaplah setiap wang yang diberikan itu sebagai satu sedekah amal jariah sebagai Muslim.
Haa… semua tip ini bukan sahaja memudahkan anda untuk menguruskan perbelanjaan tetapi juga dapat mengelakkan daripada anda menjadi pokai akibat tersalah pengiraan bajet yang dikeluarkan untuk duit raya.
Raya biar bersederhana, janji ikhlas!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saya ingin bertanya jika pasangan kita telah disahkan mengidap HIV positif, adakah Islam membenarkan perkahwinan ini jika kedua-duanya bersetuju?
Islam memuji umatnya yang memilih jalan kebaikan dengan mendirikan rumah tangga. Apatah lagi pernikahan itu akan menghalalkan sesuatu hubungan lelaki dan wanita yang pada asalnya tidak dibolehkan.
Islam juga menganjurkan kepada kita, sekiranya ingin memilih pasangan hidup, maka pilihlah dalam kalangan orang yang baik-baik. Keutamaan pula dalam sudut agama yang ada pada diri seseorang.
Adapun sekiranya pasangan kita mengidap HIV positif, maka hal ini tidak digalakkan walaupun kedua-dua pasangan bersetuju. Ini kerana dikhuatiri akan memberi kesan buruk pula kepada anak yang bakal lahir dalam keluarga.
Firman Allah SWT yang bermaksud:“…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam lembah bahaya kebinasaan, dan baikilah perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Al-Baqarah: 195.
Tetapi sekiranya ingin juga berkahwin maka perkahwinan itu tetap sah selagi mana memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Islam.
Oleh: Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan Penerbitan Al-Quran Karya Bestari.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!