Baru Sempat Adakan Majlis Resepsi, Azlee Khairi Raikan Isteri Dengan Persembahan Istimewa!

Share

Pelakon Azlee Khairi dan isteri, Fatimah Nurul Hidayah baru-baru ini merealisasikan impian mereka untuk mengadakan majlis resepsi setelah selamat melangsungkan pernikahan dalam suasana Perintah Kawalan pergerakan tahun lalu. Dewan Cornerstone IPC, Jalan Ampang Kuala Lumpur menjadi lokasi pasangan ini mengadakan majlis respsi pada 18 Mac lalu. Pesona Pengantin sempat turut meraikan pasangan ini yang mengadakan majlis resepsi dalam suasana pematuhan SOP yang ketat.

Melangkah masuk ke Dewan Cornerstone IPC, Azlee membuat kejutan dengan mendendangkan lagu permata Untuk Isteri tatkala Dhiya melangkah masuk menuju ke pelamin impiannya! So sweet!

Permata Untuk Isteri persembahan istimewa Azlee buat isteri tersayang.

Azlee Khairi merupakan rakan kongsi perniagaan Aura Kasih sejak tahun 2000 lagi. Sebagai tanda sokongan yang kuat, Aura Kasih turut menjayakan majlis resepsi Azlee dan isteri yang lebih mesra disapa Dhiya.


Menurut pelakon yang dikenali ramai dalam drama Love You Mr Arrogant, Azlee sebenarnya telah lama merancang mengadakan majlis resepsi buat isteri tersayang namun terpaksa beberapa kali menunda majlis tersebut lantaran kekangan masa dan kegusaran terhadap pandemik Covid-19 yang masih belum menemui noktahnya itu.

Majlis resepsi pasangan ini telah mendapat khidmat perancang perkahwinan eksklusif Cornerstone IPC, Villa Busainna yang memastikan kelancaran majlis tersebut agar ia mencipta memori indah buat Azlee dan isteri tersayang.


Bertemakan rona lilac purple, majlis resepsi pasangan ini diilham mengikut warna kegemaran Dhiya yang menggemari rona lilac purple. Wajah Dhiya telah mendapat sentuhan jurusolek popular, Ayang Kamell manakala persalinan serba putih digayakan oleh Dhiya merupakan sentuhan dari pereka fesyen terkenal Rico Rinaldi. Azlee Khairi pula segak mengenakan sepasang sut rona kelabu rekaan Bono.


Antara tetamu yang memeriahkan majlis persandingan Azlee dan Dhiya termasuklah kaum keluarga kedua belah pihak, rakan perniagaan Aura Kasih serta ahli kelab peminat aktor tersebut.


Untuk rekod, Azlee berkahwin secara rahsia buat kali kedua pada Januari tahun lalu. Majlis pernikahan dibuat atas talian dan hanya membabitkan ahli keluarga dan sanak-saudara masing masing.
Ini juga merupakan perkahwinan kali kedua buat Dhiya yang memiliki dua cahaya mata. Hasil perkongsian hidup, Azlee dan Dhiya dikurniakan cahaya mata lelaki yang kini berusia lima bulan.


Azlee atau nama sebenarnya, Azlee Khairi Zulah Hainee berkata, dia dan isteri sepatutnya mengadakan majlis resepsi pada Mac tahun lalu. Bagaimanapun, perancangan tergendala berikutan situasi pandemik COVID-19.

Kedua-duanya melahirkan rasa syukur akhirnya dapat melaksanakan majlis resepsi 18 Mac lalu untuk meraikan keluarga dan sahabat serta peminat yang sentiasa menjadi pendorong untuk mereka.

Walaupun terpalit kontroversi, Pesona pengantin mendoakan semoga perkahwinan dua insan ini dirahmati dan selamat melayari alam rumahtangga dengan penuh keindahan dan mawaddah.

Foto:@theputehproduction, IG @azleekhairioffiicial

 

IKLAN