Sesungguhnya berpuasa itu, tanpa berlebih-lebihan, adalah diet yang paling murah dan paling cepat memulihkan badan. Penurunan berat badan secara signifikan, diikuti amalan berbuka dengan pilihan menu yang sihat dan seimbang telah terbukti berkesan mengusir pelbagai penyakit moden.

MANFAAT PUASA

  • Menyahtoksin dan membebaskan tubuh dari racun
  • Menyekat makanan punca pembiakan bakteria atau virus
  • Memberi waktu rehat bagi sistem penghadaman dan pencernaan
  • Menambah sel darah putih yang penting untuk sistem imunisasi tubuh
  • Menyeimbangkan kadar asid dan alkali dalam tubuh
  • Memulihkan fungsi hormon agar kembali normal melalui sikap sabar
  • Meremajakan sel-sel tubuh kerana organ tubuh berada dalam posisi istirehat, sekaligus memberi peluang untuk sel diperbaharui
  • Meningkatkan fungsi organ dengan merangsang seluruh sel, jaringan atau organ tubuh. Ia juga membuat semua pancaindera menjadi lebih peka dan tajam

PELAN DIET BIJAK

Selama lebih 12 jam menahan lapar dan dahaga, ramai yang sering berasa kurang aktif, mengantuk serta pening. Perkara ini boleh diatasi dengan pengambilan diet bernutrisi tinggi agar anda dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Berikut antara pelan diet yang disarankan:

  • SAHUR

Seperti fungsi sarapan yang amat penting, bersahur juga membekalkan kesemua tenaga yang bakal digunakan pada siang hari. Antara makanan yang baik ialah kurma, roti gandum penuh atau biskut oat, secawan susu, semangkuk salad, sebiji epal atau buah-buahan lain. Anda juga digalakkan minum sekurang-kurangnya empat gelas air.

  • BERBUKA

Elakkan berbuka puasa dengan juadah berat dan minuman manis. Dikhuatiri perut anda ‘terkejut’ setelah seharian kosong tidak diisi. Sebagai pengalas perut, makanlah kurma, minuman jus buah, semangkuk sup sayur dan beberapa keping biskut sebelum anda menunaikan solat Maghrib.

  • MAKAN MALAM

Nikmati juadah sihat seperti nasi putih segenggam tangan bersama lauk-pauk yang tidak berminyak seperti ayam bakar, ikan kukus dan ulam-ulaman. Banyakkan sayuran serta pelbagaikan pemilihan menu seperti roti atau bijirin, minuman bersusu dan buah-buahan. Minum juga sekurang-kurangnya tiga gelas air.

  • SNEK

Anda digalakkan mengudap buah-buahan segar dan kekacang sebagai snek. Makanan ini baik untuk melancarkan perkumuhan dan mencegah masalah gastrousus. Kandungan sitrus membekalkan Vitamin C dan sumber serat terbaik semasa berpuasa.

 

 

Jangan Lupa Komen: