Berita

Bintang ‘Spider-Man’ Jacob Batalon Raikan Perkahwinan Romantis Di Provence, Isteri Anggun Dalam Persalinan Galia Lahav

Share

Pelakon yang cukup dikenali menerusi watak Ned Leeds dalam francais Spider-Man, Jacob Batalon, meraikan perkahwinannya bersama wanita pilihan hati, Veronica Leahov, dalam sebuah majlis romantis berlatar keindahan Provence, Perancis.

Tidak sekadar berlangsung sehari, pasangan ini memilih untuk menjadikan hari bahagia mereka sebagai pengalaman selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 Ogos 2026 di Château de Tourreau, Sarrians, Provence. Hanya 56 ahli keluarga dan sahabat terdekat dijemput untuk sama sama meraikan detik istimewa tersebut.

Jacob dan Veronica sebenarnya telah terlebih dahulu sah bergelar suami isteri menerusi sebuah upacara tertutup di mahkamah pada Julai lalu. Namun, pasangan ini tetap mahu meraikan penyatuan mereka bersama insan tersayang dalam suasana yang lebih bermakna dan intim.

Upacara utama berlangsung pada 26 Ogos, dengan pasangan ini memilih untuk mengadakan majlis secara outdoor. Menambahkan sentuhan peribadi pada hari bahagia mereka, Jacob dan Veronica turut menulis sendiri ikrar perkahwinan masing masing dan hanya mendengarnya buat pertama kali ketika berdiri bersama di hadapan altar.

Antara yang paling mencuri perhatian tentunya penampilan mempelai wanita.

Veronica yang merupakan seorang pereka dalaman tampil mempesona dalam gaun pengantin rekaan rumah fesyen Galia Lahav. Persalinan utama menampilkan potongan strapless

dengan struktur corset serta perincian lace yang menyerlahkan gaya romantis dan feminin.

Untuk majlis resepsi pula, Veronica membuat pertukaran busana dengan memilih sebuah lagi rekaan Galia Lahav, kali ini berupa gaun lace berlengan panjang. Jacob pula tampil segak dan klasik dalam tuxedo hitam daripada Suitsupply, sebelum menukar penampilan kepada jaket sut putih ketika resepsi.

 

Menariknya, pasangan ini memang mahukan sebuah perkahwinan yang tidak terasa seperti acara formal semata mata. Sambutan bermula dengan welcome dinner berkonsepkan pizza di ruang terbuka sebelum diteruskan dengan upacara perkahwinan, resepsi dan diakhiri dengan farewell brunch serta acara santai di kolam renang.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan pemuzik secara langsung, ahli silap mata, pelukis yang menghasilkan karya secara live

serta pertunjukan bunga api. Beberapa rakan Jacob daripada keluarga Spider-Man turut hadir termasuk Tom Holland, Zendaya, Remy Hii, Zach Barack dan Tony Revolori.

Jacob dan Veronica mula berkenalan menerusi rakan bersama pada Oktober 2023 sebelum mengumumkan pertunangan mereka pada Mac 2025. Kini, pasangan ini membuka lembaran baharu sebagai suami isteri dengan sebuah perkahwinan yang cukup menggambarkan pilihan mereka, intim, elegan dan dikelilingi insan yang paling dekat di hati.

 

Published by
Fiezreen