Soalan

Saya ingin tahu, wujudkah dalil atau nas yang menyatakan seorang syarifah memang tidak boleh berkahwin dengan bukan syed?

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Asas Perkahwinan

Bolehkah ‘Syarifah’ Berkahwin Dengan Bukan ‘Syed’?

Perkahwinan merupakan perkara yang sangat dituntut dalam agama Islam. Ikatan pernikahan yang sah dianggap sebagai salah satu wasilah menjaga maqasid agama; hifz nasb dan hifz nasl. Nabi SAW menyeru kepada umat Islam untuk melangsungkan perkahwinan bagi sesiapa yang berkemampuan. Nabi SAW bersabda melalui hadis yang diriwayatkan Abdullah Ibn Masʿud RA,

مَن استطاع منكم الباءةَ فلْيتزوَّجْ فإنَّه أغضُّ للبصرِ وأحصَنُ للفَرْجِ ومَن لم يستطِعْ منكم الباءةَ فلْيصُمْ فإنَّه له وجاءٌ.

Maksudnya: Wahai para pemuda! Barang siapa daripada kalian yang berkemampuan, hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya pernikahan membantu untuk menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu perisai bagi dirinya.

Riwayat Abu Daud (2046)

Berbalik kepada persoalan di atas, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan diperhalusi, antaranya:

Pertama: Siapakah golongan ‘syed’ dan ‘syarifah’?

Gelaran ‘syed’ dan ‘syarifah’ diberikan kepada mereka yang berketurunan Nabi Muhammad SAW atau disebut sebagai Ahlul Bait. Definisi Ahlul Bait menurut pandangan Ahli Sunnah merangkumi isteri-isteri Rasulullah, anak menantunya, serta kaum kerabatnya daripada keturunan Bani Hashim dan Bani Muttalib. Barang siapa yang mempunyai bukti bahawa susur galur keturunannya sampai kepada Rasulullah SAW melalui jalur-jalur di atas, maka mereka berhak dianggap sebagai ahlul bait walaupun nama mereka tidak mempunyai gelaran ‘syed’ mahupun ‘syarifah’. Boleh rujuk artikel kami AL-KAFI #1613: SIAPAKAH GOLONGAN AHLUL BAIT MENURUT AHLI SUNNAH WAL JAMAAH?

Kedua: Perbahasan ulama’ berkaitan perkahwinan syarifah dengan selain syed.

Umumnya, suatu perkahwinan akan dianggap sah jika kesemua pihak yang terlibat menepati rukun dan syarat sahnya. Rukun perkahwinan yang lima iaitu suami, isteri, saksi, wali dan akad. Manakala berkaitan syarat asas bagi pemilihan pasangan lelaki, Syariah menetapkan mestilah beragama islam dan bukan dalam kalangan mahram.

(Lihat: Fiqh al-Manhaji, 4/60)

Namun, melihat kepada realiti masyarakat arab ketika dahulu yang melihat ‘sama taraf’ dalam perkahwinan merupakan salah satu elemen penting bagi melindungi aib keluarga, ulama Syariah meletakkan satu kriteria lain iaitu sekufu (al-Kafaah).

Abu Bakar al-Dimyathi Rhm. (wafat 1310H) daripada kalangan ulama’ kontemporari mazhab Syafie menyebut bahawa al-Kafaah atau al-Kufu’ menurut Syarak ialah sesuatu ketetapan yang mana jika tidak dipenuhi akan menyebabkan keaiban kepada keluarga. Garis panduan yang diletakkan bagi mengelakkan keluarga diaibkan adalah memastikan kedua-dua bakal pengantin lelaki dan perempuan sekufu dalam segenap aspek melainkan aspek kecacatan.

(Lihat: I’anah al-Thalibin, 3/377)

Bertitik tolak daripada objektif ‘sekufu’ yang ingin dicapai, ulama berbeza pandangan menjadikan ‘sekufu’ sebagai syarat perkahwinan kepada dua pandangan:

1) Sekufu bukan sebahagian daripada syarat pernikahan. Pernikahan tetap sah walaupun tidak sama taraf. Pandangan ini menjadi pegangan mazhab Maliki.

(Lihat: al-Mudauwanah, 2/107)

2) Jumhur ulama pula menyebut sekufu sebahagian daripada syarat pernikahan hanya mereka berbeza sama ada tergolong di bawah kategori syarat sah ataupun syarat lazim. Perbezaannya;

a- Syarat sah jika tidak dipenuhi maka tidak sah suatu perkahwinan sejak dari awal akad. Pandangan ini dipegang oleh mazhab Hanafi melalui riwayat Hasan dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

IKLAN

(Lihat: al-Bahru al-Raiq, 3/117)

b- Syarat lazim pula merupakan syarat yang perlu dipenuhi bagi meneruskan sesebuah perkahwinan sedia ada kerana jika wali atau pengantin perempuan tidak merasakan ‘sekufu’ dengan suaminya, maka wali mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan tersebut. Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama.

(Lihat: Atsna al-Mathalib, 3/139)

Seterusnya, berdasarkan soalan di atas, kami akan memfokuskan perbahasan sekufu dari sudut keturunan atau disebut sebagai al-kafāah al-nasabiyyah.

Jumhur ulama menganggap ‘keturunan’ merupakan salah satu aspek penting dalam menentukan status setaraf antara kedua-dua bakal pengantin melainkan mazhab Hanafi yang meletakkan sekufu hanya dari sudut agama dan terpelihara daripada kecacatan fizikal dan mental sahaja.

(Lihat: al-Syarḥ al-Kabir, 2/249)

Hujah yang Menyokong

Dalil Jumhur bersumberkan hadis nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan ʿAbdullah Ibn ʿUmar RA,

قُريشٌ بعضُهم أكْفاءٌ لبعضٍ بطنٌ ببطنٍ والعربُ بعضُهم أكْفاءٌ لبعضٍ قبيلةٌ بقبيلَةٍ والموالي بعضُهمْ أكْفاءٌ لبعضٍ رَجلٌ برجُلٍ

Maksudnya: Kaum Quraisy sekufu antara satu sama lain. Manakala kaum arab tidak kira dari mana kabilah sekalipun adalah sekufu antara satu sama lain. Begitu juga sesama hamba, mereka sekufu antara satu sama lain.

Nashbu al-Rayah (3/197)

Selain itu, Imam al-Ramli (wafat 1004H) dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj (6/257) memberi komentar bahawa kaum Arab sangat berbangga dengan keturunan mereka sehingga sesiapa yang ibu bapanya bukan daripada keturunan arab atau hanya salah satu sahaja yang berbangsa arab, maka mereka dianggap tidak sekufu dengan mereka yang berketurunan tulen daripada arab.

Keistimewaan dan ketinggian martabat kaum Quraisy seperti dinukilkan dalam kitab di atas bersandarkan sebuah hadis lain yang diriwayatkan Watsilah Ibn al-Asqa’ RA bahawa dia mendengar baginda SAW bersabda,

إنَّ اللهَ اصطفى كِنانةَ مِن ولَدِ إسماعيلَ واصطفى قُريشًا مِن كِنانةَ واصطفى بني هاشمٍ مِن قُريشٍ واصطفاني مِن بني هاشمٍ

IKLAN

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memilih dan memuliakan Kinanah (kabilah arab yang diketuai oleh Kinanah Ibn Khuzaimah) melebihi anak-anak Nabi Ismail AS (kabilah-kabilah arab yang lain). Dan Allah memuliakan kaum Quraisy melebihi Kinanah. Seterusnya, memuliakan Bani Hashim melebihi kaum Quraisy dan akhirnya Allah memilih dan memuliakan diriku (Nabi Muhammad SAW) berbanding Bani Hashim.

Riwayat Muslim (2276)

Syeikh Ba’alawi (wafat 1320H) membahagikan sekufu dalam aspek keturunan kepada empat darjat secara turutan menaik; Kaum arab, kaum Quraisy, Bani Hashim dan Bani Muttalib, dan darjat tertinggi merupakan anak-anak keturunan Fatimah RA melalui Hasan dan Husain R.anhuma. Tiada sesiapa yang menyamai darjat Fatimah RA dan keturunannya melihat kepada keistimewaan kedudukan mereka yang bersambung nasab secara terus kepada Rasulullah SAW.

(Lihat: Bughyah al-Mustarsyidin, m/s 259)

Dalil-dalil di atas menjadi sandaran jumhur fuqaha’ menunjukkan kesamarataan keturunan menjadi perkara penting yang mesti ditekankan sebelum memilih pasangan.

Bahkan sebahagian ulama dalam mazhab Syafie khususnya dalam kalangan ulama ‘Alawiyyin melarang secara mutlak perkahwinan di antara syarifah dengan selainnya sehingga pelakunya dianggap melakukan maksiat. Hanya dibenarkan dalam keadaan darurat semata-mata seperti menghalang daripada terjatuh ke kancah zina dan mafsadah-mafsadah lain.

(Lihat: al-Ijabah al-Ghaliah, m/s 111-112)

Hujah yang menolak

Perkara ini ditentang oleh ulama yang lain melihat kepada beberapa sudut:

Pertamanya, dalil yang digunakan jumhur fuqaha kebanyakannya status dhaif (lemah) bahkan sampai ke tahap palsu. Contohnya, hadis Abdullah Ibn Umar RA di atas dihukum ulama hadis seperti Abu Hatim Rhm. sebagai palsu yang tiada asalnya. Ibn Abdul Barr Rhm. juga menyebut hadis tersebut munkar dan palsu.

(Lihat: Bulugh al-Maram, 297)

Keduanya, walaupun sebahagian dalilnya sahih namun penghujahan tidak menepati konteks hadis tersebut bahkan bercanggah dengan nas-nas lain khususnya amalan Nabi Muhammad SAW. Perkara ini jelas terbukti apabila Nabi mengahwinkan sahabat dan kaum kerabat Baginda tanpa mengambil kira darjat dan keturunan.

Antaranya, nabi mengahwinkan Zainab Binti Jahsy R.anha (sepupu) daripada kerabat Bani Asad (kabilah Quraisy) dengan hambanya, Zaid Bin Harithah RA.

(Lihat: al-Ishabah Ibn hajar, 8/153)

IKLAN

Selain itu, nabi memberi arahan kepada Fatimah Binti Qais R.anha daripada Bani Fihri (Kabilah Quraisy) agar mengahwini Usamah Bin Zaid RA (hamba Rasulullah SAW)

Riwayat Muslim (1480)

Begitu juga Rasulullah sendiri mengahwinkan Uthman RA dengan dua anak perempuannya, Ruqayyah dan Umi Kalthum R.anhuma sedangkan Uthman RA datang daripada kabilah Bani Umawi yang mana kedudukan keturunannya lebih rendah daripada keturunan anak-anak perempuan Nabi Muhammad SAW yang lahir dari leluhur Bani Hasyim.

(Lihat: al-Ishabah, 4/377)

Tarjih

Berdasarkan huraian dan keterangan di atas, kami berpandangan bahawa pandangan yang tidak mensyaratkan sekufu dalam aspek keturunan lebih tepat bersandarkan dalil-dalil umum daripada al-quran dan pengamalan Nabi SAW sendiri yang menunjukkan bahawa tidaklah seseorang itu lebih mulia daripada yang lain melainkan tingkatan takwa.

al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fathul Bari (9/133) sendiri memberi komentar bahawa hadis-hadis yang mensyaratkan sekufu dalam aspek keturunan kesemuanya tidak sahih.

Namun begitu, melihat kepada isu ini dengan lebih menyeluruh, adalah suatu yang difahami bahawa aspek keturunan kadangkala perlu diberi perhatian bagi mengekalkan kestabilan rumah tangga selain daripada menjamin kegembiraan kehidupan suami isteri seharian di samping mengelakkan pandangan serong masyarakat terutamanya saudara-mara terhadap kedua mempelai dan keluarganya dek perkahwinan yang tidak sama taraf kedudukan dan kemuliaan susur galur keturunan.

Walau bagaimanapun, faktor ini hanya boleh dijadikan sebagai faktor pelengkap sahaja, bukanlah syarat sah sesebuah perkahwinan apatah lagi jika pengantin perempuan dan walinya sendiri sudah redha dengan kehadiran bakal pengantin yang bukan berketurunan ‘syed’.

Nasihat dan syor

Syariah memberikan beberapa panduan berkaitan kriteria pemilihan pasangan yang sewajarnya diikuti bagi menjadikan suatu perkahwinan berada dalam kedudukan yang terbaik. Antara hadis yang menjadi rujukan utama sepertimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA,

تُنْكَحُ المَرْأَةُ لأرْبَعٍ: لِمالِها ولِحَسَبِها وجَمالِها ولِدِينِها، فاظْفَرْ بذاتِ الدِّينِ، تَرِبَتْ يَداكَ

Maksudnya: Wanita dinikahi kerana empat perkara; harta, kemuliaan keturunan, kecantikan dan agama. Namun begitu, carilah yang baik akhlaknya nescaya kau akan beruntung.

Riwayat al-Bukhari (5090)

Hadis lain yang lebih spesifik menyifatkan bahawa kriteria utama bagi pemilihan pasangan untuk anak perempuan kita ialah agama dan akhlak yang baik. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya: Apabila datang kepada kamu (golongan wali) mereka yang kamu redha akan akhlak dan agamanya maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang besar.

Riwayat Ibn Majah (1967)

Hadis-hadis di atas menerangkan bahawa sebenar-benar kayu ukur kejayaan sesebuah rumah tangga adalah memilih pasangan yang mempunyai akhlak dan budi pekerti yang mulia kerana perkara tersebut menjadi tunjang utama keharmonian rumah tangga. Akhlak yang baik memberi jaminan kebahagiaan rumah tangga berbanding kecantikan, kekayaan mahupun keturunan.

Wallahua’lam.

Kredit sumber : Muftiwp.gov.my

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI