Perkahwinan merupakan proses pembelajaran yang harus ditempuhi oleh setiap pasangan agar anda berdua ‘lulus’ pada pelbagai ujian yang mendatang. Jika tidak dibekalkan dengan ilmu dan kesabaran yang kuat, maka pincanglah sebuah perkahwinan.

Suami isteri harus sedar bahawa perkahwinan bukanlah medan permainan yang jika anda tidak suka atau tidak sesuai, anda dengan mudah boleh ‘lari’ daripada permainan tersebut.

Buat pasangan yang berhasrat untuk berkahwin di usia muda, hadamkan enam pelajaran penting tentang dunia perkahwinan ini agar anda berdua mampu menempuh segala rintangan dengan yakin dan cekal.

IKLAN

1. Bukan Perasaan Cinta Semata-Mata
Jangan salah ertikan perasaan cinta yang terjalin antara anda dan pasangan . Biarpun anda berdua saling mencintai, malah tidak meragui perasaan tersebut ini bukan bermakna anda harus sesegera mungkin untuk berkahwin. Memang! Usia muda bukanlah penghalang bagi seseorang untuk berkahwin. Namun yang paling penting dan perlu anda ketahui ialah cinta bukanlah alasan wajib untuk anda memutuskan segera berkahwin. Sebaiknya buatlah persediaan sewajarnya agar keputusan yang dibuat itu tepat.

2. Tanggungjawab Yang Dipikul Semakin Bertambah
Jika anda bercadang nak berkahwin di usia muda ini, ini bermakna anda telah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang berganda. Anda tidak lagi bertanggungjawab atas diri anda sendiri, melainkan anda harus memikul tanggungjawab pada pasangan, rumah tangga, bakal anak-anak, keluarga mentua, perkahwinan dan sebagainya. Namun sekiranya anda masih belum siap, jangan berani nak cuba-cuba untuk melangkah ke alam perkahwinan hanya berlandaskan perasaan cinta semata-mata.

IKLAN

3. Kebebasan Anda Makin Terbatas
Sudah pasti setelah berkahwin kebebasan yang anda nikmati semasa anda bujang sudah lagi tidak sama, malah agak terbatas. Ini kerana apabila anda sudah mendirikan rumah tangga, kebebasan anda sedikit tersekat memandangkan anda sudah mempunyai tanggungjawab kepada pasangan. Bahkan sebagai isteri, segala tindakan anda yang memberi kebaikan haruslah mendapat keizinan suami terlebih dahulu.

4. Mempengaruhi Karier & Pelajaran Anda
Setiap orang yang berkahwin pastinya mempunyai target yang ingin dicapai. Jika anda masih bergelar pelajar, pastikan anda fikir semasak-masaknya adakah keputusan anda ini tepat. Paling penting dapatkan restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak sebelum memutuskan untuk berkahwin di usia muda. Bukan apa, bimbang selepas berkahwin anda sukar untuk membahagikan masa apatah anda masih bergelar pelajar. Bukan itu sahaja, jika ketika bujang anda gemar bersantai di hujung minggu, namun selepas berkahwin anda harus mengubah cara hidup anda kerana anda kini mempunyai pasangan yang memerlukan perhatian anda.

IKLAN

5. Bersedia Untuk ‘Dilepaskan’ Daripada Tanggungjawab Ibu bapa
Jika anda sudah yakin yang anda boleh dilepaskan atau jauh daripada perhatian ibu bapa, sahlah anda sudah bersedia untuk berkahwin dalam usia muda. Selepas berkahwin, anda tidak boleh lagi nak berkepit di bawah ketiak orang tua kerana anda kini harus memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri kepada pasangan.

6. Pola Kehidupan Peribadi Berubah 
Kehidupan ketika bujang dan selepas berkahwin tentuya berbeza. Selepas berkahwin anda tidak boleh lagi membuat keputusan seorang sendiri kerana anda kini harus melibatkan pasangan dalam setiap perkara. Perkahwinan memerlukan anda berdua untuk berkongsi dalam semua hal.