
Anda takut ditipu dalam memilih servis katering? Di sini kami sediakan cara mudah pilih katering majlis kahwin untuk elak senang ditipu
Memilih servis katering adalah perkara asas yang perlu pengantin tahu selain daripada barang hantaran dan persiapan untuk majlis perkahwinan nanti. Selalunya pemilihan servis katering ini dilakukan oleh kedua ibu bapa pengantin kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam perkara ini. Berikut disertakan cara memilih servis katering dan bagaimana untuk elak daripada ditipu.
- Quotation
Quotation ialah perkara yang paling penting sebelum berurus niaga lebih terperinci. Dapatkan quotation yang lengkap mengenai servis katering yang ditawarkan termasuk jenis makanan, harga makanan dan peralatan yang digunakan.
- Pilih Katering yang Menawarkan Tawaran Menarik
Selain daripada harga, pilih katering yang menawarkan tawaran lebih menarik seperti jumlah makanan untuk berapa orang dan jenis makanan yang ingin disediakan. Elak katering yang menyediakan makanan kurang daripada jumlah tetamu yang dijemput.
- Food testing
Pastikan anda mencuba makanan yang dipilih dan membuat pilihan tepat. Jangan nanti pada hari perkahwinan, jenis makanan yang anda pilih tidak sama seperti yang terdapat di dalam gambar. Rasanya apatah lagi jika anda tidak merasa makanan tersebut sewaktu berurusan dengan pihak katerer.
Face-to-Face
Pergi berjumpa sendiri pihak katerer yang anda telah pilih. Jangan wakilkan sesiapa sama ada kawan, sepupu, saudara mara atau sesiapa sahaja untuk berjumpa dengan pihak katerer. Ini untuk dielak daripada ditipu.
- Research
Buat sedikit research tenting syarikat katering yang ada di Malaysia. Cuba bandingkan harga antara servis katering setiap daripada katering yang ada. Pilih mengikut kemampuan anda dan jangan memilih mengikut hawa nafsu.
- Cara Bayaran
Elakkan daripada ditipu mengenai cara bayaran dan caj tambahan yang dikenakan. Dapatkan maklumat mengenai cara bayaran dan caj lengkap katering yang anda pilih. Lebih elok tidak memberi atau membayar kesemua jumlah bayaran dahulu. Bayar secara ansuran atau separuh bayaran sebelum majlis dan separuh bayaran lagi selesaikan selepas majlis.
- Tema Majlis
Ini ialah perkara yang selalu dipandang enteng oleh sebilangan pengantin. Pilih katering yang bersesuaian dengan tema majlis perkahwinan anda. Jika tema majlis perkahwinan anda bertemakan Arabian, pilihlah makanan yang ada unsur makanan Arab. Ini sedikit sebanyak memberi tetamu pengalaman berlainan di majlis perkahwinan yang mengujakan.
Walaubagaimanapun, dalam memilih servis katering pastikan anda memilih katerer yang betul-betul anda percayai. Ini semua berkaitan dengan soal jumlah duit yang akan dilaburkan untuk majlis perkahwinan anda. Seeloknya berbincanglah dengan pasangan anda dan kedua-dua ibua bapa anda. Pastikan anda tidak ditipu.
Kredit: Ikahwin
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ingat Suami! Kalau Nak Elak Bergaduh Dengan Pasangan Pastikan Isteri Cukup Tidur

Semua orang sedar bahawa mempunyai jumlah tidur yang secukupnya amat penting untuk kesihatan dan kesegaran tubuh badan. Jika seseorang kurang tidur pasti tubuh dan jiwanya akan mudah terganggu.
Menurut kajian yang dilakukan di University of Pittsburgh, kebanyakan pasangan akan sering bertengkar jika isteri mereka tidak memperoleh tidur yang secukupnya. Perkara ini berlaku kerana tidur boleh mempengaruhi keupayaan kita untuk mengawal diri. Apabila seseorang tidur, keupayaan mengawal diri akan ditetapkan semula dan memberikan kita fikiran yang lebih jelas dalam menangani tekanan yang berpanjangan. Sekiranya kita memperoleh tidur yang tidak cukup, lebih sukar untuk kita menyelesaikan permasalah yang berbangkit dalam rumah tangga.
Malah penyelidik juga menemui bahawa suami isteri yang tidur pada masa yang berlainan dilaporkan mempunyai kepuasan dalam hubungan yang lebih sedikit berbanding dengan pasangan yang tidur pada waktu yang sama. Mereka mempunyai lebih banyak konflik, kurang menghabiskan masa dalam aktiviti bersama-sama dan kurang melakukan hubungan intim berbanding pasangan suami isteri yang mempunyai jadual tidur yang sama dan teratur.
Oleh itu nasihat pakar agar setiap pasangan mendapatkan jadual tidur yang berkesan. Misalnya, jika suami mempunyai jadual tidur ‘si burung hantu’ manakala isteri pula dengan tabiat bangun di awal pagi, pasangan ini boleh mencapai persepakatan hanya dengan menghormati jadual tidur pasangan masing-masing. Asalkan tabiat tidur tersebut tidak mendatangkan apa-apa masalah.
Bukan itu sahaja, kecukupan pola tidur juga memberi pengaruh dalam kebahagiaan setiap pasangan. Ini dibuktikan dalam kajian dari Florida State University yang dilakukan ke atas 68 pasangan yang baharu berkahwin. Kajian ini mendapati suami isteri yang cukup tidur akan lebih bahagia dan mempunyai kepuasan yang lebih tinggi dalam hubungan terutamanya pada keesokan harinya.
Kajian ini meminta setiap pasangan merekodkan pola tidur mereka dalam seminggu, aspek dalam hubungan dan menjawab beberapa soalan berkenaan kepuasan mereka dalam hubungan secara keseluruhan. Data yang direkodkan menunjukkan bahawa pasangan yang tidur secukupnya memiliki kepuasan hubungan yang lebih tinggi berbanding pasangan yang kurang tidur.
Secara keseluruhannya, satu pertiga individu dewasa yang berkahwin melaporkan bahawa masalah tidur membebankan hubungan mereka. Namun, tidur terbukti lebih bermakna pada seorang suami, di mana mereka kebiasaannya kurang terjejas oleh pengalaman buruk apabila suami dapat tidur lebih lama.
“Kami dapati masalah tidur isteri mempengaruhi dirinya sendiri dan pasangan pada hari berikutnya. Isteri yang mengambil masa lebih lama untuk terlelap pada malam hari menyatakan mereka mengalami kurangnya kualiti dalam rumah tangga keesokan harinya,” kata Wendy M. Troxel, PhD, seorang psikolog di University of Pittsburgh.
Ada juga pasangan yang berharap agar mereka boleh tidur tanpa pasangan masing-masing ataupun tidur di bilik yang berlainan supaya mereka akan memperoleh tidur yang lebih berkualiti dan seterusnya mengelakkan perselisihan faham dalam rumah tangga.
Menurut The Wall Street Journal pula, suami isteri yang tidur bersama didapati lebih mudah cenderung untuk berehat daripada mereka yang tidur bersendirian. Pasangan ini cenderung mempunyai rutin bangun daripada tidur yang lebih stabil, menjadikan mereka lebih produktif dan mengurangkan masalah insomnia atau gangguan tidur yang lain.
Kajian The Rested Relationship: Sleep Benefits in Marital Evaluations yang diterbitkan dalam Journal of Family Psychology juga mendapati perkara yang sama di mana tabiat tidur mempengaruhi cara bagaimana pasangan mengendalikan beban dan tekanan di dalam sesebuah rumah tangga.
“Kesedaran penemuan kami adalah penting. Memang, kita tahu semua orang memerlukan tidur. Tidak kira tahap di mana pasangan berada dalam hubungan mereka atau apa jua konteks budaya di mana mereka amalkan, setiap pasangan boleh terjejas sekiranya tidak mendapat tidur yang secukupnya,” ujar pelajar siswazah FSU, Heather Maranges.
Oleh itu cuba rancang dan luangkan masa untuk anda dan pasangan menghabiskan masa bersama di tempat tidur. Sentuhan fizikal walaupun tanpa hubungan intim, merangsang hormon oxytocin di mana ia dapat mengurangkan stres dan mengeratkan lagi ikatan. Berusahalah untuk ke kamar tidur bersama-sama, walaupun sesibuk mana pun anda dan pasangan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
10 Perkara Anda Perlu Lakukan Kalau Nak Rumah Tangga Bahagia

Asam garam rumah tangga, semua orang pernah melakukan silap. Namun, apa yang jadi persoalannya adakah anda selesaikannya atau anda biarkan sahaja? Memperbaiki kesilapan adalah perkara penting dalam kunci rumah tangga bahagia.
Namun begitu, anda harus beriltizam supaya tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali supaya kehidupan perkahwinan anda adalah dalam fasa yang cukup menggembirakan hingga ke hujung nyawa. Di sini kami akan kongsikan antara kunci kebahagiaan rumah tangga.
1. Jangan cuba tukar sikap pasangan

Kunci rumah tangga bahagia yang pertama adalah tidak cuba tukar sikap pasangan anda. Inilah masalah perkahwinan yang sering membelenggu apabila anda cuba tentukan apa yang boleh dan apa yang tak boleh dilakukan pasangan. Sebagai suami isteri, anda perlu saling menerima antara satu sama lain dan sedia terima kelemahan dan kelebihan pasangan itu.
2. Tidak berubah sebab orang lain
Kunci rumah tangga bahagia yang lain adalah jadi diri sendiri. Pendek kata, tak berpura-pura di hadapan pasangan. Namun begitu, jangan tertekan jika tak dapat penuhi apa yang pasangan inginkan. Tapi anda boleh cuba menjadi yang terbaik buat dirinya.
3. Buang perkataan ‘bercerai’

Ini juga sering terjadi pada pasangan yang masih ‘mentah’ dalam rumah tangga. Bila bergaduh sikit mula minta cerai. Sedangkan ada banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk atasi masalah ini, bukan dengan perceraian saja. Sebab itu kedua-dua pasangan kena saling memaafkan dan tidak teruskan pertengkaran supaya tak jadi lebih rumit.
4. Berkomunikasi antara satu sama lain

Komunikasi adalah sangat penting dalam rumah tangga. Jangan disebabkan nak ‘menang’ hingga anda merendahkan martabatkan suami. Cuba bertolak ansur dan jadi pasangan yang terbaik kerana dengan berkomunikasi secara berhemah dapat selamatkan perkahwinan anda.
5. Cuba bertenang
:max_bytes(150000):strip_icc()/171625950-56a5feaf5f9b58b7d0df63ab.jpg)
Bila bergaduh, jangan menggunakan perkataan yang tidak sopan dan senonoh. Sebaiknya bercakap secara lembut untuk menyelesaikan masalah.
6. Ucap maaf jika buat silap

Semua orang melakukan kesilapan, jadi jika anda ada melakukan silap yang telah menguris hatinya. Ucaplah perkataan ‘maaf’. Tidak susah pun hanya perlu memberitahu sahaja.
7. Beri ruang antara satu sama lain

Semua orang perlukan ruang untuk diri sendiri, termasuklah pasangan yang sudah berkahwin. Ada kalanya anda memerlukan waktu dan masa anda sendiri untuk menenangkan fikiran dan sebagainya.
8. Beri kepercayaan terhadap pasangan
![]()
Kpercayaan merupakan kunci utama untuk rumah tangga bahagia. Oleh itu, jangan menuduh tanpa usul bukti. Sebaiknya tanya terlebih dahulu.
9. Elakkan membebel pada pasangan

Sudah menjadi kebiasaan seorang isteri akan kuat membebel lebih daripada suami. Sebab itu, suami jangan terkejut jika semasa bercinta, isteri kelihatan lembut dan bersopan santun saja. Tapi lepas berkahwin, bagaikan mulut murai ada saja yang tak kena di matanya. Namun begitu, isteri cuba kurangkan sikap membebel itu kerana suami anda kurang gemarkannya.
10. Jangan lupa hubungan intim

Biasanya bila sudah ada anak, ada ketikanya pasangan suami isteri sedikit mengelak untuk melakukan hubungan intim dan rasa tidak perlu melakukannya. Sedangkan hubungan kelamin itu dapat mengeratan ikatan kasih sayang antara kedua-duanya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di Jemput Ke Majlis Perkahwinan Tapi Tidak Hadir? Apa Hukumnya?

Dengan teknologi yang ada pada masa kini semuanya boleh dilihat hanya pada hujung jari sahaja. Termasuklah jemputan perkahwinan. Kalau dulu kita perlu pos kan kad ke rumah satu-satu namun kini ramai orang yang mengambil langkah mudah iaitu dengan menjemput hanya melalui Facebook atau sosial media lain sahaja.
Ya, sememangnya cara sebegini amat mudah, malah kita dapat melihat siapa lagi yang akan menghadiri majlis tersebut. Tetapi, apa hukumnya sekiranya kita dijemput tetapi tidak menghadirinya? Jom baca lebih lanjut.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t S.S Mufti, saya dijemput untuk hadir ke kenduri perkahwinan melalui Facebook, tetapi saya tidak menghadirinya. Apakah hukumnya ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Mukadimah
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.
Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan
Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya. Kami ringkaskan seperti berikut:
Pertama: Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan
Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:
- Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
- Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut.
Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya. Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.
Berkaitan dengan isu menghadiri majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran, kami telah menjawabnya secara panjang lebar di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224 : Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2HMzU1i
- Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ
Maksudnya: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.
Riwayat Ibn Majah (1913)
- Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:
وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ
Maksudnya: Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).
Riwayat Muslim (2162)
Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.
Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).
Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320).
Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
- Kesesakan lalu lintas, hujan lebat, jalan lecah, dan seumpamanya.
Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).
Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
- Kenduri perkahwinan tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
- Kesibukan orang-orang yang dijemput seperti tokoh-tokoh politik, agama, dan juga pemimpin masyarakat.
- Banyaknya jemputan kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570).
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
Riwayat Muslim (1432)
Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah S.W.T, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Kedua: Hukum Hadir Jemputan Majlis Selain Perkahwinan Adalah Mustahab
Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya adalahmustahab (iaitu sunat).
Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab’’.
Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570).
Hukum Menjemput Hadir Ke Majlis Perkahwinan Melalui Facebook Event
Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.
Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).
Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.
Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

