Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kehidupan aku selepas kejadian tragis yang menimpa beberapa bulan lalu amatlah perit dan menyakitkan. Kehilangan bakal isteri dan juga sahabat karib aku sendiri selepas kejadian yang membuatkan aku kemurungan dan malu itu berlaku begitu pantas sehinggakan aku sendiri tidak mampu berkata-kata pada awalnya.
Manakan tidak, saat persiapan perkahwinan sudah dilakukan, tempahan pelamin dan andaman sudah dibayar deposit, kad kahwin telah diagihkan, akhirnya semua yang telah dirancang untuk hari bahagia aku musnah begitu sahaja. Pokok tidak akan bergoyang jika tiada angin. Semua yang terjadi pastinya bersebab dan semua yang berlaku sudah pun tertulis. Kekesalan aku tiada ertinya lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Orang yang aku sayang kini bukan milik aku lagi.
Bermula Sebuah Pertemuan
Lima tahun lepas merupakan tahun yang amat bermakna bagi aku. Kemasukan aku sebagai pelajar sarjana muda di sebuah universiti swasta tempatan amatlah berharga. Ia ibarat satu langkah pertama untuk aku meneruskan legasi keluarga membawa nama baik dalam dunia pendidikan.
Pertama kali menjejaki ke institut pengajian tinggi, muncul perasaan gementar. Dalam pada masa yang sama, aku berbangga dengan pencapaian aku yang membolehkan aku menjejakkan kaki ke salah satu kolej berprestij. Sedang aku berjalan menikmati hari pertama pendaftaran, tiba-tiba nama aku disapa dari belakang.
Tersentak aku dibuatnya apabila seorang gadis menepuk bahu aku. Aku terpinga, mana tidaknya, gadis yang menyapa aku itu kenalan lama aku, Diana semasa di sekolah rendah. Pada mulanya, aku hampir tidak mengenalinya kerana zaman sekolah rendah sudah lama berlalu. Itulah pertemuan pertama kali kami setelah sekian lama.
Bermula saat itu, perkenalan kami semakin rapat apatah lagi kami satu kursus. Disebabkan itu kami sering menghabiskan masa bersama sehinggakan hubungan sahabat bertukar menjadi hubungan cinta. Keakraban hubungan kami umpama sebuah novel cinta. Hampir semua rakan sekelas malah senior juga mengetahui hubungan kami ini.
Langit Tidak Selalunya Cerah
Saat hubungan kami berada di kemuncak, tiba-tiba hubungan kami retak gara-gara orang ketiga. Aku sendiri tidak tahu mengapa Diana lakukan aku sebegitu. Lebih memeranjatkan, lelaki yang berjaya menakluki hati Diana ialah Zaki, rakan baik yang juga rakan sebilik aku dari semester pertama dan sudah aku anggap seperti saudara kandung.
Aku berjumpa Diana dan Zaki bagi menyelesaikan segala-galanya dan akhirnya akur apabila Diana tekad memilih Zaki. Selepas pertemuan itu, aku jarang berhubung dengan mereka berdua. Aku menganggap tiada jodoh dan nekad untuk melupakan Diana walaupun perit untuk ditelan. Lagipun aku ada tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang harus aku teruskan.
Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya menghabiskan pengajian selama tiga tahun, begitu juga dengan Diana dan Zaki. Mereka masih serius dalam hubungan mereka. Ketika konvokesyen, Diana sempat menjemput aku ke majlis pertunangannya dengan Zaki. Aku tumpang gembira atas kebahagiaan yang mereka kecapi.
Iman Senipis Kulit Bawang
Hampir dua tahun meninggalkan alam universiti, aku masih sukar untuk melupakan Diana. Masa berlalu dan aku sudah pun bekerja di sebuah syarikat media. Suatu malam, selesai menyiapkan tugasan aku singgah di restoran berdekatan untuk makan malam. Sedang menunggu makanan tiba, aku ternampak Diana di restoran yang sama. Ternyata Diana cukup berbeza sekarang. Dia semakin cantik dan anggun.
Pelbagai hal dibincangkan, hinggalah Diana menceritakan yang dia dan Zaki akan berkahwin setahun lagi. Entah kenapa, aku rasa cemburu dan iri hati apabila Diana menceritakan hubungan mereka sepanjang tempoh pertunangan. Walaupun pahit mendengarnya, aku masih mengukir senyuman untuk Diana.
Pertemuan kami tadi membuatkan aku gila bayang sehingga tercetus idea untuk aku cuba memutuskan pertunangan mereka. Lantas aku menghantar pesanan ringkas kepada rakan sekerjaku, Rafiq. Kebetulan Rafiq mengenali seorang tok dukun. Dalam minggu yang sama, aku dan Rafiq bertemu tok dukun itu, malah semua barang yang diminta juga telah aku turutkan.
Ketika pemujaan aku perhatikan gerak-geri tok dukun itu. Sedang khusyuk memerhati, tok dukun menyapa aku dan mengatakan semuanya telah selesai. Sebelum beredar, tok dukun memberikan aku minyak pengasih untuk aku mencalitkan pada wanita yang aku inginkan. Pesan tok dukun, aku harus berani mengambil risiko dengan apa yang aku bakal lakukan ini. Semuanya kerana cinta aku terhadap Diana hinggakan aku tidak dapat melawan nafsu syaitan.
Bahagia Dalam Kepura-puraan
Satu petang aku menghubungi Diana untuk mengajaknya makan malam. Diana bersetuju malah Zaki juga tidak cemburu apatah lagi kami rakan satu universiti. Sebelum Diana tiba, aku telah bersiap sedia dengan minyak yang telah diberikan oleh tok dukun. Aku sengaja membawa novel kegemaran Diana agar aku mudah mencalit minyak itu di tangannya nanti.
Saat Diana ingin mengambil novel, aku terus mencalit minyak itu di tangannya. Lega apabila semuanya selesai tanpa Diana menyedarinya. Janji aku dapat menambat semula hati Diana. Selepas seminggu, tiba-tiba Diana menghantar pesanan ringkas. Katanya dia sangat rindukan aku dan mahu berjumpa dengan aku. Ibarat mati hidup semula, begitulah perasaan aku apabila Diana meluahkan isi hatinya. Nampaknya minyak itu sudah memberikan kesan.
Sejak itu, kami menjalinkan hubungan cinta semula sehinggakan Diana berkeras mahu memutuskan pertunangannya dengan Zaki dan ingin menikahi aku. Apabila pertunangan Diana dan Zaki putus, hati aku semakin bahagia kerana hasrat aku untuk memiliki Diana tercapai akhirnya walaupun dengan cara ‘jahat’.
Sepandai-pandai Tupai Melompat
Tibalah masa yang ditunggu-tunggu untuk persiapan majlis bahagia aku dan Diana. Segalanya hampir sempurna seperti yang aku harapkan. Semakin dekat dengan hari bahagia kami, Diana semakin berubah. Dia menjadi semakin agresif, pemarah dan selalu meracau. Aku sering melihat Zaki melawat Diana ketika Diana sakit. Aku mulai bimbang jika rahsia aku terbongkar dan akan diketahui kelak. Malah aku juga risau dengan kesihatan Diana.
Satu petang sebaik pulang dari pejabat, aku dikejutkan dengan kehadiran keluarga Diana ke rumah keluarga aku. Ternyata semua orang sedang menunggu kepulangan aku ketika itu. Wajah semua orang nampak tegang, manakala mak aku pula menangis. Begitu tajam pandangan ayah Diana ke arah aku. Semuanya menuding jari ke arah aku, malah ada ahli keluarganya yang hampir menumbuk muka aku.
Nampaknya kejahatan aku sudah terbongkar. Rupa-rupanya, Diana dan keluarganya pergi berubat dan bertemu dengan ustaz untuk mengubati Diana selama ini. Dari situlah mereka mengetahui yang Diana terkena buatan orang kerana ketika perubatan dilakukan, nama aku yang disebut Diana.
Malah menurut keluarga Diana, mereka juga terkejut apabila Diana ingin memutuskan pertunangannya dahulu dengan Zaki tanpa alasan yang kukuh. Dan paling tidak masuk akal, selepas memutuskan pertunangan itu Diana seperti tidak sabar-sabar untuk menikahi aku. Seperti ada yang tidak kena namun keluarga Diana menganggap semua itu jodoh. Sungguh mereka tidak menyangka perubahan diri Diana terhadap aku disebabkan oleh ilmu hitam dan minyak pengasih.
Kesan daripada tragedi itu membuatkan seluruh keluarga Diana membenci aku. Pertunangan aku juga putus di tengah jalan. Keluarga aku sendiri masih tidak percaya dengan apa yang telah aku lakukan. Kata mereka, aku sanggup bertuankan syaitan dan nafsu. Aku cuba untuk memohon maaf namun aku tahu permohonan maaf aku itu masih tidak akan memulihkan keadaan.
Aku sangat menyesal dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya aku bertaubat dan rasa sangat berdosa. Benarlah kata orang, cinta dan jodoh tidak boleh dipaksa-paksa. Cinta memerlukan keikhlasan daripada dua hati untuk saling menyayangi dan melengkapi. Biarkan cinta itu sendiri yang membawa kita ke jalan yang benar dan lurus, bukan atas dasar hawa nafsu semata-mata. Cinta ikhlas kerana Allah akan menguatkan lagi cinta kita sesama insan. Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosaku.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI