Bila menyebut soal kurus setiap orang punyai keinginan untuk mempunyai berat badan yang ideal. Jika punyai keinginan tanpa motivasi diri yang tinggi , hasrat yang dingini tidak kesampaian. Bagi Nor Afifah Habib Mohamed atau lebih mesra dengan panggilan Fifi menceritakan kisah penurunan berat badan adalah datang dari motivasi diri serta dorongan yang berterusan dari pasangan cintanya. Cinta mengubah dirinya untuk mendapatkan bentuk badan yang diingini sebelum majlis perkahwinan berlangsung.
Proses kurus bermula
Berat badan naik tanpa sedar kerana tabiat diri yang suka makan dalam kuantiti yang banyak. Akui Fifi nasi menjadi sahabat utama setiap kali rasa lapar datang tanpa mengira siang atau malam. Rasa risau memang ada, namun lapar mengatasi segalanya dan ia sukar dikawal.
Setahun selepas mengenali teman lelaki berat naik dari 95kg ke 110kg. Teman lelaki tidak pernah menegur kerana katanya comel. Untuk menyedapkan hati sendiri setiap hari diri mula berazam untuk kurus. Tapi tidak tahu cara yang betul. Pelbagai cara telah dicuba seperti bersenam tetapi tabiat pemakanan masih lagi sukar dikawal. Pernah mencuba produk kurus tapi masih tidak berkesan. “Saya bertanya kepada teman lelaki bagaimana dia dapat mengatasi masalah kegemukannya dulu dari 80kg ke 60kg. Dia menasihati supaya mengawal nafsu makan. Saya memintanya menegur sepanjang proses kurus yang dilakukan walaupun kadang kala tegurannya mengguris perasaan. Saya cuba untuk tidak cepat melatah dan merajuk.
Dia menasihati saya untuk mengambil makanan bersaiz genggaman tangan dibahagi kepada tiga bahagian. Makan setiap tiga atau empat jam. Tiga bahagian itu ialah nasi sedikit,ikan goreng dan sayur. Lauk boleh ditukar tapi kekalkan kuantiti. Jadi di sini saya mengamalkan makan dalam kuantiti yang konsisten tetapi secara kerap. Perut tidak dibiarkan lapar dan kunyah makanan dengan betul. Jangan minum ketika makan untuk elakkan perut jadi buncit. Saya amalkan minum dulu sebelum makan.
Milo panas tanpa gula dan susu menjadi minuman di kala perut lapar pada waktu tengah malam. Pengambilan susu panas juga diamalkan di antara waktu makan supaya perut tidak memberontak lapar. Tetapi minum susu dalam kuantiti sedikit. Kegemaran saya minum susu serbuk dutchlady honey kerana sedap dibancuh tanpa gula,” jelas Fifi.
Motivasi diri
Mengakui dirinya tidak mengamalkan diet yang ekstrem seperti menahan lapar atau memilih makanan yang tidak sedap dan bukan kehendak diri kerana takut tidak mampu meneruskan segala usaha malah menjadi separuh jalan sahaja. Bak kata pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’.
“Bagi saya biarlah mengambil masa yang panjang selama lima atau 10 tahun sekali pun asalkan ada hasilnya. Motivasi yang paling bermakna bagi saya apabila teman lelaki tidak pernah malu dengan saiz saya malah pernah mengajak untuk berkahwin di awal perkenalan. Tetapi saya meminta tempoh lima hingga enam tahun untuk mengurangkan berat badan dan belajar untuk mengendali kesihatan diri. Lima tahun tempoh yang saya janjikan itu mesti ditunaikan. Saya yakin boleh buat yang terbaik. Saya mesti kelihatan paling cantik. Saya bayangkan diri jika seberat 60 kg. Saya mesti belajar kekal menjaga diri untuk selama-lamanya.
Teman lelaki amat penyabar, dia menunggu dan Alhamdulillah semuanya menjadi kenyataan dan saya menunaikan janji saya untuk menikah dengannya. Sebenarnya sasaran pada mula berat yang sederhana sahaja iaitu 75kg. Takut tidak mampu. Namun setelah berjaya melepasi berat itu saya cuba konsisten tabiat pemakanan dan tanpa disangka berjaya turun hingga 61 kg. Saya ingin cuba turunkan berat hingga 57 kg. Kesabaran dia banyak mengajar saya menjadi lebih matang. Jadi saya hadiahkan penampilan baru saya untuk suami tercinta di alam rumah tangga yang baru kami bina,” akuinya.
Regim pemakanan dan senaman
Dalam proses menguruskan badan , Fifi mengamalkan makan dalam kuantiti yang sedikit namun kerap iaitu setiap tiga hingga empat jam. Selain itu banyak minum susu dan makan buah mangga untuk penghadaman. Untuk kecergasan diri Fifi lakukan berjalan secara laju di atas treadmill di rumah.
Buat anda yang mahu kurus , nasihat Fifi agar bersabar, jangan cepat merajuk dan hiraukan ejekan orang sekeliling . Tetapkan target dan kerap berdoa kepada Allah S.W.T semoga makbulkan impian untuk kurus.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI