D.I.Y Hantaran Tunang Yang Super Jimat! Cantik Dan Simple

Share

Tarikh untuk majlis pertunangan tinggal beberapa hari sahaja lagi. Namun hantaran masih belum digubah.

Usah panik! Tarik nafas dalam-dalam. Sebenarnya hanya dengan sedikit bahan-bahan ringkas serta kreativiti, anda mampu menghasilkan hantaran dengan hasil air tangan sendiri.

Tidak perlu menggunakan bunga segar. Olahan bunga artifisial mampu mencipta gaya hiasan yang tersendiri.  Yang penting anda bukan sahaja dapat menghasilkan hantaran yang cantik tetapi juga ‘super jimat.’

Bagi mereka yang ingin membuat sendiri hantaran boleh cuba idea ringkas seperti di bawah.

BAHAN-BAHAN:

  • Tin bekas makanan
  • Plastik pembalut
  • Dawai
  • Bunga artifisial
  • Gunting
  • Lidi
  • Reben
  • Pita Pelekat
  • 4 Span (balut sekelilingnya dengan pita pelekat)
  • Tali Jut

Langkah Demi Langkah:

  1. Ikat dua tin dengan tali Jut dengan kemas. Pastikan ikatan ketat bagi memastikan kedudukan tin tidak berganjak.

2. Letakkan tin di atas pelapik dulang kaca. Susun span di empat penjuru hantaran dan ikat dengan kemas menggunakan dawai.

3. Kemaskan kedudukan span dengan lidi buluh. Ia bagi mengelakkan span bergerak-gerak.

4. Cucuk bunga di atas span dengan kemas. Mulakan dengan bunga rona krim.

5. Seterusnya susun bunga dengan rona terang berselang dengan bunga rona krim tadi. Letakkan di atas dulang hantaran. Nah! hasilnya menjentik pandangan meskipun ringkas.

Selamat mencuba!

 

IKLAN