Cuba analisis kembali hubungan anda dengan pasangan. Lihat sama ada perkara ini berkait dengan kehidupan anda hari ini. Jika ada, mungkin inilah waktu tepat untuk anda berdua bermuhasabah diri dan mengimbau kembali saat manis dulu. Adakah anda berkahwin untuk melihat kasih-sayang dan kepercayaan yang dibina punah begitu saja?
Tidak sefahaman dalam banyak perkara
Sebagai contoh, isteri sukar menerima pandangan suami. Suami pula enggan menurut cadangan isteri. Kedua-duanya hilang sefahaman walaupun untuk membuat keputusan demi kebaikan bersama.
Ketahui bahawa sifat suka membantah atau menyanggah pandangan yang diberi boleh menyebabkan pasangannya berkecil hati. Akhirnya, hubungan anda dan pasangan menjadi renggang dan sukar diselamatkan.
Tidak berlaku jujur
Jujur itu wajib ada dalam membentuk keluarga harmoni. Namun, ramai suami atau isteri gagal mempertahankan kejujuran mereka, bahkan sering bercakap bohong kepada pasangan.
Setiap pasangan mendambakan kejujuran dalam perhubungan mereka. Ini kerana sukar untuk mengawal pergerakan suami atau isteri ketika mereka keluar bekerja atau bersama rakan.
Apa yang berlaku sepanjang tempoh di luar, lazimnya bukan dalam pengetahuan pasangan masing-masing. Jadi, di sinilah perlunya sikap jujur pada setiap pasangan supaya hilang rasa
curiga yang boleh merenggangkan hubungan.
Suka mencari kesalahan pasangan
Perkara kecil diperbesarkan. Lebih menjengkelkan apabila kesilapan sendiri tidak disedari, tetapi salah pasangan yang diperbesar-besarkan. Ketepikan sikap buruk sebegini. Perbuatan mencari salah ini boleh menjadi racun kepada hubungan. Apabila anda kerap menuding jari kepada kesilapan atau kelemahan pasangan, si dia mungkin akan terus menjauh.
Suami atau isteri juga akan rasa dirinya tidak lagi dipercayai dan sukar untuk mereka berkongsi perasaan mahupun masalah kerana bimbang akan terus disalah erti oleh pasangan.
Hilang perhatian
Terlalu sedikit masa diluangkan bersama pasangan yang mungkin disebabkan kesibukan kerja. Jika dibiarkan berlarutan, sudah pasti akan menyebabkan hubungan semakin renggang. Dalam mencipta hubungan serasi, bahagia dan tenang, komunikasi perlu menjadi keutamaan. Jangan gadaikan hubungan dan kasih-sayang hanya kerana alasan tidak cukup masa. Setiap individu di atas muka bumi ini mempunyai kitaran masa sama, iaitu 24 jam sehari bukan?
Tidak pandai menghargai
Ucapkan terima kasih, beri pelukan, ciuman atau pujian dan tatap mata pasangan setiap kali menerima kebaikan. Hal ini bukanlah susah untuk dilakukan. Namun, disebabkan ramai di antara pasangan suami dan isteri menganggapnya sebagai perkara remeh, jadi ia sering diabaikan.
Akibatnya timbul perasaan terkilan dan tanda tanya pada pasangan berbuat baik. Adakah usahanya tidak lagi dihargai? Atau mungkin pasangan tidak nampak? Lama-kelamaan, tidak mustahil hubungan boleh menjadi renggang.
Menyakiti pasangan
Dalam kebanyakan kes, kita selalu dengar perkara ini dilakukan suami terhadap isteri. Namun, ramai juga isteri yang menyakiti suami. Sebenarnya, menyakiti pasangan tidak terhad kepada perbuatan secara fizikal terhadap tubuh badan, tetapi turut berkait dengan penderaan mental atau perasaan.
Apabila seseorang kerap menyakiti pasangannya sama ada secara langsung atau tidak langsung, pihak yang menjadi mangsa akan mula menjauhkan diri dan mengelak daripada bertemu mahupun bertegur sapa.
Mengabaikan tanggungjawab
Melaksanakan tanggungjawab sepatutnya dilakukan tanpa paksaan. Sebaik anda melangkah ke alam perkahwinan, masing-masing seharusnya tahu peranan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Sama ada suami atau isteri, mereka tidak boleh mengharapkan pasangan saja tanpa mengambil peduli bahagian yang perlu dipenuhi. Ambillah peranan dan laksanakan kewajipan serta tanggungjawab yang diamanahkan.
Jika perkara ini dibiarkan berat sebelah dan pasangan culas masih tidak berubah walaupun kerap ditegur, keadaan ini boleh menimbulkan rasa bosan. Rebutlah peluang selagi ada. Jangan tunggu pasangan berpaling mengikut haluan masing-masing.
Ketagih media sosial
Ini antara masalah baru dalam institusi keluarga hari ini. Ia muncul tanpa sebarang isyarat dan berkembang drastik dalam masyarakat. Berdasarkan realiti yang kerap berlaku, masalah ini juga dikenal pasti sebagai antara penyebab utama pasangan alpa terhadap tanggungjawab masing-masing. Mereka jadi kemaruk sehingga terlupa untuk melayan keperluan dan emosi pasangan, sekali gus menyebabkan hubungan mudah renggang.
Mengutamakan hobi atau kawan melebihi pasangan
Masa terluang selepas sibuk bekerja sepatutnya digunakan untuk berbual dan mengambil berat urusan pasangan masing-masing. Namun bagi sesetengah individu, mereka cenderung menggunakan masa berkenaan secara berlebihan untuk hobi atau melepak bersama kawan-kawan. Keadaan ini boleh menyebabkan pasangan merasa diri mereka terabai dan tidak dipedulikan. Lebih teruk, mereka mungkin berdepan masalah kemurungan dan lebih suka menyendiri.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI