
“Pilih salah satu…abang atau ibu bapa awk…”
Kenapa perlu bagi pilihan sebegini pada isteri?
Kalau dia pilih ibu bapa dia, kita nak kata dia isteri yg derhaka? Kalau dia pilih kita, ibubapa dia akan anggap dia anak yg derhaka…?

Best ke dpt title “derhaka”?
Tak kisah la anak derhaka ke, isteri derhaka ke…tetap derhaka…kita yg jadi suami ni, tak dapat title tu? Kita tak menderhaka kepada sesiapa?
Suami derhaka mgkin jarang kita dengar sebab derhaka si suami bukanlah pd isteri, tapi pada Allah…suami yg menzalimi isteri dgn perbuatannya, suami yg tak menunaikan hak2 isteri, suami yg tak bertolak ansur kpd isteri, suami yg tak bertanggungjawab, suami yg tak menjalankan tugas sebagai menantu, suami yg pukul isteri dan sebagainya ni, dia menderhaka kepada Allah…

Sebab isteri itu amanah dari Allah…utk dia jaga…utk dia pelihara…utk dia berasa tenang dan gembira…
Derhaka kpd manusia, apa manusia bleh buat? Tapi kalau derhaka kpd Allah, apa yg Allah boleh buat? Hidup tak tenang, rezeki sempit, selalu sakit, asyik serba tak kena ja urusan harian…ada saja perkara2 yg terjadi kpd kita…
Semua tu bertujuan utk apa?
Utk mengingatkan kita…utk menyedarkan kita…Allah tegur kita dgn cara menguji kita…selagi kita tak sedar akan salah kita, selagi kita xkembali ke pangkal jalan dan selagi kita tak memperbetulkan dan memperbaiki diri kita, selagi itulah kita akan diuji…
Jadi suami ni, tak perlu smpai tahap pentingkan diri sendiri, nak hak2 suami tu dipenuhi isteri, nak dilayan seperti maharaja, nak isteri tunduk sujud kat kita…nope, tak perlu smpai tahap mcm tu…

Jadi suami, perlu jadi manusia jugak…kena ada sifat tolak ansur, budi bicara, faham memahami, saling melengkapi…perlu guna logik akal, perlu waras, perlu bijak dan perlu pkir tentang perasaan org lain sebelum bercakap dan membuat sesuatu keputusan…
Kalau selalu rasa diri tu btol je, selalu pakai agama utk nk menundukkan isteri, then tanya diri sendiri, agama larang ke seorang anak berbuat baik kpd org tuanya walaupun dia bergelar isteri? Then agama suruh kita yg jadi menantu ni anggap mertua tu sebagai ibubapa sendiri…
Nak ke tinggal “ibubapa sendiri” xde org jaga, hidup sorang2, sakit demam diorang tanggung sendiri?
SUMBER : Firdaus Shakirin
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Koleksi Doa-Doa Yang Boleh Diamalkan Selepas Solat Fardhu

Dari segi bahasa, doa berasal dari kata “da’a” artinya memanggil.
Jika menurut istilah syarak, doa bermaksud perbuatan memohon sesuatu yang bermanfaat dan mencegah daripada sesuatu yang memudaratkan.
Dari segi bahasa, doa berasal dari kata “da’a” artinya memanggil.
Jika menurut istilah syarak, doa bermaksud perbuatan memohon sesuatu yang bermanfaat dan mencegah daripada sesuatu yang memudaratkan.
Menariknya, perkataan ‘doa’ juga disebut dalam Al- Qur’an di beberapa tempat, seperti yang dijelaskan dalam laman web pendidikan ini.
Antaranya dengan membawa makna seperti berikut:
1. Perkataan atau Keluhan (Surah Al Anbiya: 15)
![]()
Maka demikianlah seterusnya jeritan dan keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka hancur lebur dan sunyi-sepi.
2. Panggilan atau seruan (Surah Ar-Rum: 52)

(Maka janganlah engkau berdukacita – wahai Muhammad – terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan keingkarannya).
3. Meminta pertolongan (Surah Al-Baqarah: 23)

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
KENAPA PERLU BERDOA?
Walaupun tujuan utama berdoa adalah mendekatkan diri kepada Allah, memang tidak dinafikan, manfaat doa begitu besar dalam kehidupan manusia.
Dengan doa, pelbagai jenis emosi dapat dikendalikan. Dengan doa, ada harapan yang terbentang. Doa juga menjadi penyejuk pada saat menghadapi musibah. Dengan doa, kita punya keazaman untuk memperbaiki diri.
Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi”.
(Hadis Riwayat Hakim)
Dari Hadis di atas, ternyata doa adalah salah satu keistimewaan seorang Muslim yang Allah anugerahkan.
Perbuatan berdoa bukan sahaja memberi kekuatan, tetapi juga harapan dan tempat mencurahkan segala isi hati kepada Tuhan Yang Maha Mendengar dalam setiap keadaan. Seseungguhnya doa juga adalah tempat kembalinya manusia setelah seharian melakukan usaha (ikhtiar).
DOA SELEPAS SOLAT FARDHU BESERTA MAKSUDNYA
Selain doa dalam bahasa Arab, kita juga boleh berdoa sekadarnya dalam bahasa Melayu.
Di sini kami kumpulkan ayat-ayat doa selepas solat yang boleh dijadikan amalan beserta maksudnya.
Semoga ia lebih difahami, mudah diingati, dan dapat dihayati sepenuhnya.

Kredit gambar : Twitter @Shashaabbas
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Harga Kursus Kahwin Mengikut Negeri

Kursus perkahwinan merupakan satu kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Negeri kepada pasangan-pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga. Selain dari Jabatan Agama Negeri, ada juga syarikat-syarikat swasta yang bertauliah menganjurkan kursus ini.
Kursus perkahwinan ini adalah wajib kepada mereka yang belum pernah berkahwin. Ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang alam perkahwinan yang bakal mereka tempuhi nanti. Kursus ini juga bertujuan untuk mengurangkan masalah-masalah yang sering berlaku dalam rumahtangga.
Kenapa Kita Diwajibkan Mengambil Kursus Kahwin
Dalam kursus ini, mereka akan didedahkan tentang apakah tanggungjawab mereka masing-masing sebagai suami atau isteri, proses pendaftaran perkahwinan, cara pengurusan rumahtangga, cara menghadapi masalah dalam rumahtangga, kisah-kisah benar berkaitan alam perkahwinan untuk dijadikan tauladan dan bermacam-macam lagi pengetahuan yang penting berkaitan dengan alam perkahwinan.
Kursus perkahwinan ini amat penting sebagai persediaan kepada setiap pasangan. Islam mewajibkan kita untuk menuntut ilmu. Oleh kerana itu kursus perkahwinan ini amat penting dalam Islam.
Perkahwinan itu bukanlah suatu perkara mudah akan tetapi ianya adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang baru yang penuh dengan tanggungjawab.
Kursus perkahwinan ini boleh dihadiri pada bila-bila masa sebelum berkahwin mengikut kelapangan waktu dan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh tempat kursus yang dipilih. Kursus ini boleh dihadiri bersama pasangan ataupun secara individu. Bagi menyertai kursus ini, setiap individu perlu mengisi borang pendaftaran secara atas talian ataupun secara langsung mengikut negeri masing-masing.
Kursus ini selalunya diadakan selama dua hari berturut-turut tanpa bermalam sama ada pada hari-hari biasa ataupun pada hujung minggu. Bermula pada waktu pagi dan berakhir pada sebelah petang.Manakala pada hari kedua hanya separuh hari. Setelah selesai, setiap peserta akan diberikan sijil menandakan mereka telah menyertai kursus tersebut. Sijil inilah yang akan digunakan untuk memohon surat kebenaran berkahwin nanti.
Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai ataupun kehilangan sijil, mereka tidak akan dibenarkan berkahwin dan dikehendaki untuk memohon semula sijil berkenaan. Sijil kursus ini tiada tarikh luput. Ianya sah digunakan untuk seumur hidup. Bagi mereka yang mempunyai sijil pengajian Islam seperti Sijil Menengah Ugama (SMU) atau mana-mana sijil pengajian agama yang diiktiraf, mereka boleh memohon untuk pengecualian dari menghadiri kursus perkahwinan.
Jabatan Agama di setiap negeri ada menganjurkan kursus ini. Oleh kerana itu, seseorang itu boleh menghadirinya di mana-mana tempat yang mereka mahu mengikut kemudahan masing-masing.
| Negeri | Kursus Kahwin (RM) | Link Jabatan Agama Islam |
| 1. Kuala Lumpur | RM120 | jawi.gov.my |
| 2. Selangor | RM80 | ncr.jais.gov.my |
| 3. Johor | RM120 | jainj.johor.gov.my |
| 4. Melaka | RM80 | jaim.gov.my |
| 5. Negeri Sembilan | RM100 | jheains.ns.gov.my |
| 6. Pulau Pinang | RM80 | jaipp.penang.gov.my |
| 7. Kedah | RM80 | jaik.gov.my |
| 8. Perlis | RM80 | perlis.gov.my |
| 9. Terengganu | RM50 | terengganu.gov.my |
| 10. Pahang | RM80 | jaip.pahang.gov.my |
| 11. Kelantan | RM70 | jaheaik.gov.my |
| 12. Sabah | RM100 | jheains.sabah.gov.my |
| 13. Sarawak | RM100 | jais.sarawak.gov.my |
| 14. Labuan | RM100 | jawi.gov.my |
| 15. Perak | RM80 | jaipk.perak.gov.my |
| 16. Putrajaya | RM80 | jawi.gov.my |
Yuran kursus perkahwinan yang dikenakan adalah berbeza mengikut Jabatan Agama Negeri masing-masing. Yuran yang dikenakan adalah merangkumi:
Makan dan minum
Buku gerbang perkahwinan
Fail dan alat tulis
Sijil
Tenaga pengajar
Silibus/Modul Kursus Pra Perkahwinan
Bagi setiap kursus perkahwinan yang dianjurkan, penggunaan tujuh Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam adalah wajib. Modul tersebut ialah:
Akidah dan Ibadah
Akhlak dan hubungan dalam keluarga.
Pengurusan kesihatan keluarga.
Perkahwinan dan prosedur perkahwinan.
Pengurusan tekanan dan konflik.
Komunikasi antara suami isteri dan pengurusan kewangan dan masa
Perkhidmatan runding cara dan pembubaran perkahwinan.
Setiap modul ini akan dibahagikan kepada beberapa sesi dan setiap sesi mestilah dihadiri oleh setiap peserta. Jika peserta ada tertinggal mana-mana modul yang ditetapkan, mereka hendaklah mengulangi modul itu semula sebelum mereka layak untuk diberikan sijil perkahwinan.
Peraturan Kursus Kahwin
Kursus perkahwinan mempunyai peraturan-peraturannya yang tersendiri dan para peserta mestilah mematuhinya untuk memastikan mereka layak untuk mendapat sijil perkahwinan. Berikut merupakan peraturan-peraturannya:
Mengisi borang pendaftaran dan membawa salinan kad pengenalan.
Menandatangani kehadiran bagi setiap sesi.
Wajib mengikuti semua sesi selama dua hari dan mematuhi jadual waktu yang ditetapkan.
Berpakaian formal. Setiap negeri mempunyai tatacara ataupun peraturan berpakaian yang ditetapkan.
Peserta lelaki yang berambut panjang hendaklah diikat dengan kemas atau mereka tidak akan dibenarkan menghadiri kursus.
Dilarang merokok sepanjang kursus berlangsung.
Peserta dilarang melakukan perkara sumbang seperti berpasang-pasangan.
Dilarang membawa makanan ataupun membuang sampah merata-rata.
Jika peserta mempunyai sebarang masalah sepanjang kursus, mereka hendaklah melaporkannya kepada pihak urusetia.
Tidak dibenarkan menimbulkan sebarang gangguan seperti bunyi deringan telefon, menjawab telefon dan sebagainya.
Tempat duduk bagi peserta lelaki dan perempuan adalah berasingan sama ada kedudukan kiri dan kanan ataupun depan dan belakang.
Sebelum memulakan kursus, penganjur akan memberikan taklimat terlebih dahulu berkenaan dengan peraturan kursus, peraturan peserta, jadual kursus, sijil dan kemudahan yang disediakan seperti dewan kuliah, kerusi, meja, tempat solat, tempat makan dan pelbagai lagi kemudahan lain untuk kegunaan para peserta.
Etika Pakaian
Contoh peraturan berpakaian untuk menghadiri kursus perkahwinan di Kuala Lumpur bagi peserta lelaki adalah berbaju kemeja dan berseluar slack Sekiranya mereka ingin memakai t-shirt, t-shirt tersebut mestilah berkolar. Peserta lelaki dilarang sama sekali memakai gelang, subang, rantai dan topi. Ada juga negeri yang mewajibkan pemakaian songkok dan dilarang sama sekali memakai selipar.
Bagi peserta perempuan pula, pakaian yang sesuai adalah berbaju kurung ataupun berjubah. Sekiranya mereka ingin memakai seluar, baju yang dipakai mestilah labuh. Mereka dilarang sama sekali memakai pakaian berlengan pendek, nipis, ketat, berseluar jeans dan berkain belah.
Sebelum memilih mana-mana kursus perkahwinan yang ingin dihadiri, bakal pengantin hendaklah menyelidiki dahulu tentang latar belakang dan keberkesanan sesebuah pusat kursus. Hal ini bagi memastikan mereka dapat menghadiri tempat kursus perkahwinan yang bertauliah dan daripada saluran yang betul.
Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan maklumat dengan bertanya kepada rakan-rakan yang pernah menghadirinya agar mereka dapat menghadiri kursus perkahwinan yang lengkap dan diiktiraf. Sebagai pengetahuan, terdapat dua jenis penganjuran kursus kahwin. Pertama adalah kursus perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama negeri itu sendiri seperti di Kelantan dan Terengganu.
Kedua adalah yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat yang dilantik oleh Jabatan Agama negeri. Anjuran daripada syarikat-syarikat ini adalah untuk membantu Jabatan Agama negeri seperti di Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Namun syarikat-syarikat ini mestilah mendapatkan permit ataupun kelulusan daripada pihak Jabatan Agama terlebih dahulu mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Permit ini mestilah diperbaharui dari tahun ke tahun mengikut prestasi masing-masing setelah pemantauan dibuat oleh Jabatan Agama. Penganjuran kursus tanpa permit adalah salah. Di Kuala Lumpur terdapat sekitar 30 syarikat yang menganjurkan kursus ini.
Sekiranya anda mempunyai sebaran keraguan sama ada syarikat yang menganjurkan kursus ini sah ataupun tidak, anda boleh mendapatkan maklumat dengan menghubungi Jabatan Agama Negeri bahagian perkahwinan.
Peserta juga hendaklah menyimpan segala dokumen seperti resit pembayaran yuran, maklumat ataupun nombor hotline penganjur. Sekiranya mereka tidak mengambil berat tentang perkara ini, masalah akan timbul sekiranya sijil kursus hilang ataupun rosak.
Bagi yang menghadiri kursus anjuran Jabatan Agama Negeri, mereka boleh menghubungi Jabatan Agama Negeri untuk mendapatkan sijil kursus yang baru. Maklumat lengkap seperti nombor kad pengenalan, tarikh dan lokasi di mana mereka menghadiri kursus hendaklah diberikan.
Manakala bagi mereka yang menyertai kursus anjuran syarikat-syarikat ataupun anjuran kolej, universiti, persatuan atau pertubuhan, mereka hendaklah menghubungi penganjur masing-masing untuk mendapatkan surat pengesahan kehadiran kursus. Setelah itu, barulah mereka boleh mendapatkan sijil kahwin yang baru di Jabatan Agama Negeri.
Kesimpulannya, kursus perkahwinan ini adalah sangat penting kepada mereka-mereka yang bakal mendirikan rumahtangga. Oleh kerana itu ianya diwajibkan kepada mereka yang belum berkahwin. Dengan menghadiri kursus ini, kita akan mendapat banyak pengetahuan tentang alam perkahwinan untuk kita gunakan sebagai rujukan menghadapi alam rumahtangga.
Perkahwinan ini bukanlah tentang cinta semata-mata dan bukannya untuk kepuasan semata-mata. Akan tetapi ianya adalah tentang perjanjian antara dua insan untuk hidup bersama, perkongsian dua buah keluarga dan tentang penerimaan antara kedua-dua belah pihak.
Justeru itu, restu kedua ibu bapa amatlah penting bagi setiap pasangan yang ingin berkahwin kerana restu mereka akan mempengaruhi perjalanan sesebuah perkahwinan yang bakal dibina. Jangan takut untuk berkahwin walaupun kita belum mempunyai kehidupan yang stabil kerana Allah telah menyatakan bahawa perkahwinan ini merupakan pembuka kepada pintu rezeki.
Allah akan memberikan rezeki kepada kita dengan caranya yang tersendiri. Yang penting, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengubah hidup kita dan yakin dengan Allah kerana DIA merupakan sebaik-baik perancang.
Kepada mereka-mereka yang bakal berkahwin, semoga segala urusan yang dilakukan akan dipermudahkan oleh Allah dan semoga perkahwinan yang bakal dibina akan mendapat keredhaan Allah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cinta Bukan Lesen Buang Ibu Bapa

Percaya atau tidak, sebenarnya kes meninggalkan ibu bapa dalam erti kata membiarkan mereka hidup sendiri telah banyak berlaku termasuk yang meninggalkan ibu bapa di rumah orang tua atau yang membiarkan ibu bapa bersendirian di kampung.
Tidak menziarahi dan tidak menjenguk ibu bapa, sekadar hanya mengirimkan wang, malah berapa ramai pula yang tidak mengirimkan wang dan hilang tanpa khabar berita.
Ketaatan seorang anak perempuan bertukar takhta daripada ibu bapa kepada suaminya selepas si anak berkahwin namun bukan sampai membuang atau menyisihkan ibu bapa. Ketaatan kepada suami biarlah bertempat dan berbatas. Menyisihkan atau membuang ibu bapa tidak termasuk di dalam ketaatan yang perlu dan wajar diikuti.
Sebagai anak lelaki pula, takhta ketaatan anda tidak pernah berubah. Malah, jika anda beristerikan wanita yang tidak membenarkan anda berlaku baik kepada ibu bapa, harus bagi anda untuk menceraikan isteri tersebut. Ingat! Cintakan isteri jangan sampai anda menjadi lelaki dayus!
Kes buang ibu bapa sebelum berkahwin juga tidak kurang banyaknya. Ada banyak kes anak gadis lari dari rumah kerana mengikut kekasih. Anak gadis ini kembali semula ke pangkuan ibu bapa kerana hidup terseksa malah juga ada kes, memerlukan bantuan pihak tertentu untuk mengembalikan mereka ke pangkuan ibu bapa.
Ada yang tidak lari tetapi menentang ayah sendiri di Mahkamah Syariah kerana si ayah tidak mengizinkannya berkahwin dengan jejaka pilihan hati.
Peruntukan undang-undang membenarkan seorang anak gadis memohon pada Mahkamah Syariah agar si ayah yang enggan mewalikan atau mengizinkan perkahwinannya, tanpa alasan yang munasabah menurut syarak, supaya bersetuju dan mewalikan perkahwinannya.
Peruntukan juga jelas, jika si ayah tetap enggan bersetuju, maka Mahkamah Syariah boleh membenarkan si anak berkahwin menggunakan wali hakim. Peruntukan ada dan diakui demi kebaikan individu namun daripada segi moral, apakah menyaman ayah sendiri di mahkamah atas nama cinta kepada seorang lelaki, sesuatu yang wajar?
Ada kes melibatkan alasan keengganan si ayah bukan sesuatu yang wajar dan munasabah menurut syarak.
Harus diingat! Syarak menegaskan, setiap anak wajib taat dan hormat kepada ibu bapa. Ya! Ketaatan kepada ibu bapa juga terbatas kepada perkara yang tidak menyalahi syarak. Enggan menerima lelaki pilihan anda bukanlah perkara yang melanggar syarak biarpun alasan keengganan tersebut tidak munasabah menurut syarak.
Melawan ayah sendiri di mahkamah bererti anda tidak menghormati ayah anda sendiri. Anda telah melukakan hatinya. Anda sanggup mengetepikan cinta sejati ibu bapa yang menjaga, mendidik dan menyayangi anda sejak anda kecil semata-mata kerana cinta seorang lelaki yang hadir ketika anda telah berusia belasan ataupun puluhan tahun? Sungguh anda zalim!
Bukan saja zalim kepada ibu bapa tetapi anda zalim kepada diri sendiri. Percayalah! Biar sedalam mana cinta si dia kepada anda, biar berjuta kali ucapan cinta dilafazkan, biar beribu kali pelukan dan belaian diberi, cinta seorang lelaki atau perempuan tidak akan sama dengan cinta dan kasih sayang ibu dan ayah. Bukan mendoakan tetapi terlalu banyak kes serupa.
Natijahnya hanya satu, anda yang bertindak membuang ibu bapa atau melawan ibu bapa kerana cinta si dia, tidak akan hidup bahagia dan jika berkahwin, perkahwinan anda akan dibubarkan juga akhirnya, andai masih tiada restu ibu bapa.
Ingatlah! Restu Allah hanya ada jika kita punya restu daripada ibu bapa.
Oleh: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

