Fesyen

Fasha Sandha Tampil Menawan Dalam Persalinan Serba Putih, Gaya ‘Rabiyatul’ Inspirasi Buat Majlis Nikah

Share

PELAKON popular Fasha Sandha sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil cukup anggun dalam persalinan serba putih ketika berkongsi foto sekitar penggambaran drama Doa Yang Terlindung musim kedua.

Menerusi penampilan tersebut, Fasha yang memegang watak Rabiyatul dilihat menggayakan busana yang cukup manis dan sopan, sekali gus sesuai dijadikan inspirasi buat bakal ratu sehari yang sedang mencari idea untuk majlis nikah.

Busana berkonsepkan kurung moden itu tampil cukup kemas dan elegan. Dipadankan bersama tudung yang digayakan labuh ke hadapan serta layah lembut, keseluruhan penampilan itu menyerlahkan sisi feminin dan tenang.

Lebih menarik, gaya berkenaan turut dilengkapkan dengan tiara kecil yang menambahkan sentuhan klasik serta romantik. Persalinan indah itu merupakan hasil idea jenama Eyka Couture.

Bukan itu sahaja, penampilan Fasha turut diserikan dengan aksesori bunga emas yang dijadikan sebagai pengganti bunga segar untuk bunga tangan. Pemilihan aksesori tersebut memberi kelainan, selain tampak mewah dan cukup istimewa untuk dijadikan inspirasi kepada bakal pengantin yang mahukan sentuhan unik pada hari bahagia mereka.

Dari sudut solekan pula, wajah Fasha tampak segar dan lembut menerusi sentuhan Nadia Nordin. Solekan yang cukup manis itu melengkapkan keseluruhan gaya, sekali gus menjadikan penampilannya kelihatan sopan, menawan dan tidak keterlaluan.

Tidak hairanlah jika gaya ‘Rabiyatul’ ini boleh dijadikan rujukan buat bakal pengantin yang mengimpikan penampilan serba putih dengan elemen sederhana, namun tetap mempesona.

Selain Fasha Sandha, drama Doa Yang Terlindung musim kedua yang bakal disiarkan di TV3 itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Sharifah Rose, Firdaus Karim, Nafiz Muaz, Cristina Suzanne dan Syed Irfan.

Published by
Reporter Pesona Pengantin