
Bila kita sayang dekat seseorang, kita kena terima dia seadanya. Segala kekurangan dia akan menjadi kelebihan di mata kita. Terima dia dengan masa silam dia, kesilapan dia, keinginan dia, cita-cita dia, dan suka duka dia.
Kita pasti akan sama-sama cuba memenuhi kehendak memasing tanpa rasa ego, tanpa rasa sangsi. Yang penting, kita kena ikhlas untuk dua jiwa menjadi satu dan saling mempercayai.
Untuk menstabilkan perkahwinan mesti dipertimbangkan dengan teliti, tetapi tidak terlalu lama anda berfikir. Dia yang masih menunggu awak bukannya berkahwin dengan orang lain yang lebih arif.
Wanita akan serius jika anda menunjukkan kesungguhan
Wanita mungkin selalu sabar menunggu. Dia boleh memberi anda ruang untuk menguatkan bersabar menunggu anda, tetapi tidak jika seseorang itu seperti tidak serius dalam sesuatu perhubungan itu kerana mungkin mereka tidak mahu membuang masa.
Jangan biarkan tergantung lama
Jika benar anda sayangkan seseorang, mulakan langkah anda. Bawa hubungan anda ini ke fasa seterusnya. Jangan biarkan hubungan ini tergantung lama tanpa arah tuju. Sekiranya anda yakin dia bagus. Bincanglah dengannya tentang masa depan anda berdua.
Mohon restu kedua ibu bapa
Perkara ini sangat perlu dalam sesuatu hubungan kerana hubungan anda tidak berkat tanpa restu ibu bapa anda. Sudah pasti mereka mahu yang terbaik untuk anda. Doa mereka amat berkat untuk perkahwinan anda. Oleh itu, anda juga boleh meminta pendapat mereka.
Isteri Tidur Bukan Sebab Malas, Tapi Dia Penat. Suami Kena Faham Ni

Akhir-akhir ini sering kedengaran ustaz-ustaz popular yang mengatakan bahawa isteri tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab di rumah melainkan bersolek dan mengandungkan anak, tugas kerja rumah ditanggung oleh suami dan bukan isteri, alasannya tiada dalil yang menyatakan bahawa isteri bertanggungjawab untuk membuat kerja-kerja rumah.
Tiadanya dalil (nas) secara spesifik atas sesuatu perkara tidak bermakna sesuatu perkara itu boleh ditolak, kerana para ulama’ juga menggunakan dalil akal, uruf, selain daripada nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidaklah munasabah, bertentangan dengan common sense, isteri duduk diam tanpa apa-apa kerja di rumah sedang suami bertungkus lumus mencari nafkah di luar dan bila balik pula suami juga perlu menyiapkan makanan, menyuci pakaian, jika tidak mampu maka suami perlu menyediakan khadam bagi isterinya.
Pandangan ini adalah pandangan yang ekstrim, melampau, kerana terlalu literal dan tidak menggunakan akal fikiran dalam memahami ajaran Islam. Uruf juga menuntut agar isteri melakukan kerja-kerja rumah sebagai usaha meringankan beban suami di luar, jika isteri tidak melaksanakan tanggungjawabnya maka ia akan menggundang kemarahan suami, dan mentaati suami adalah suatu kewajipan dalam Islam.
Sememangnya Rasulullah saw membasuh pakaiannya sendiri, menguli roti yang dimakannya, tetapi itu adalah untuk meringankan beban isterinya, dan kemuliaan peribadinya yang tidak suka menyusahkan orang lain. Ia tidak sama sekali bermakna isteri tidak memiliki apa-apa tugas di rumah.
Mengapa tidak diambil kisah Siti Fatimah puteri Rasulullah yang mengadu sakit-sakit badan kerana banyak kerja rumah yang dilakukannya seraya meminta kepada Rasulullah agar diberikan seorang khadam, namun jawapan Rasulullah malah menyuruh Fatimah ra agar bersabar dan membanyakkan berzikir agar semua kepenatan itu diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.
Sememangnya pandangan bahawa isteri tidak bertanggungjawab terhadap kerja-kerja di rumah akan diminati oleh ramai orang, khususnya apabila terdapat sebahagian kaum wanita yang diperhambakan di rumah oleh sebahagian suami, namun kedua-dua pandangan sama ada yang memperhambakan mahupun yang mentuankan isteri adalah pandangan yang ekstrim, kerana kedua-duanya akan menyebabkan ketidakharmonian dan keruntuhan institusi keluarga.
Keharmonian institusi keluarga bergantung kepada keadilan, di mana setiap individu mengetahui dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Perlu adanya kesalingan, jika suami bekerja di luar maka isteri bekerja di rumah, jika dua-dua di luar maka perlu ada mekanisme agar kerja di rumah diringankan.
Islam adalah agama yang adil, ia tidak mendiskriminasikan dan menzalimi mana-mana pihak, tetapi meletakkan setiap orang di tempatnya masing-masing demi kebaikan bersama.
Ustaz Dr Khalif Muammar
Kredit foto utama: Sweetpictures KL
Bila Dalam Kesusahan, Berilah Duit Kepada Kedua Ibu Bapa, Minta Mereka Doakan Kita

Bila dah bekerja dan berumah tangga, jangan lah sesekali lupa nak bagi mak ayah duit. Tak banyak, sikit pun syukur.
Kalau boleh, jangan risau pasal tak cukup dan mulakan niat untuk keberkatan hidup. Nanti percayalah Allah akan bagi kebahagiaan itu dengan perasaan yang tenang dan kita akan merasa cukup.
Nak lebih dekat, jemput berlapang dada bila membaca perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini. Mudah-mudahan segala urusan hidup kita dipermudahkan dan lebih bahagia.
Nikmat Bila Bagi Mak Ayah Duit
Ada seseorang pesan pada saya, waktu kita paling susah itulah kita kena bagi mak ayah duit dan minta doa mereka.
Ada suatu masa, macam-macam dugaan datang… kereta rosak, anak tak sihat, motor eksiden. Balik kampung minta doa mak ayah dan tetap bagi mak ayah duit walaupun dalam poket memang tinggal duit yang itu.
Alhamdulillah, kesannya walau banyak ujian datang, hati tenang dan yakin insyaAllah pasti ada jalan. Taklah rasa serabut seperti sebelum itu.
Pada mak ayah itu ada keajaiban doa, doa yang makbul. Jangan segan minta doa mak.
Mak kita boleh jadi biasa-biasa pada pandangan duniawi ni, tapi padanya ada nikmat tak ternilai, itulah dia kemustajaban doa ibu.
Ada ramai je anak-anak yang dari bujang sampai ke beranak pinak, dari study makan biasiswa sampai kerja makan gaji, buat biz online.. tapi cuma sekadar bangga sales berapi.. hakikatnya tak pernah sekali hulur mak ayah duit walau RM10. Tapi menariknya.. hidup mereka terus juga berjaya.
Jawapannya mudah saja.
Kasih mak ayah ni ikhlas.. mereka tak pernah berkira.. mereka makan sedap sikit mereka teringatkan anak, ‘apalah yang anak aku makan..’ mereka beli kain batik, telekung, baju, mereka ingat untuk belikan anak-anak.
Tapi anak-anak kebanyakannya sekalipun tak pernah ingat ibu bapa. Makan sedap-sedap, jalan-jalan makan angin, dapat bonus.. untuk diri sendiri saja.
Tak perlu pandang orang lain. Tak perlu condemn kakak, abang, adik kenapa tak bagi mak duit bulan-bulan, balik sekali sekala tak pernah topup barang dapur, tak tolong mak buat kerja rumah, buat mak macam orang gaji, tak bawa mak jalan.
Tak perlu cari salah orang. Sebab dosa pahala kita tidak dinilai dengan perbuatan orang lain.
Fokus diri sendiri.
Tanya pada diri sendiri..
Apa je yang kita dah buat untuk mak ayah..?
Muhasabah saya yang menulis.
Moga syurga tertinggi buat ibuku yang dikasihi.
EX Datang Balik, Antara Punca Ramai Tak Jadi Kahwin

Gagal berkahwin atau pelamin anganku musnah adalah sesuatu yang amat ditakuti oleh sesiapa sahaja. Sebagai insan biasa, perasaan bimbang itu wajar. Jadi sebab itulah, tidak ada salahnya jika anda mengetahui beberapa perkara yang mungkin akan membuatkan anda teragak-agak untuk mendirikan rumahtangga.
Dengan mengetahuinya, sekurang-kurang anda boleh menghindari dan berjaga-jaga agar perkara-perkara tersebut tidak menimpa anda bersama pasangan anda nanti.
1. Cinta Lalu Kembali Bersemi
Salah satu penyebab pelamin anganku musnah adalah apabila bekas kekasih datang kembali untuk memperbaiki perhubungan. Ramai yang mengalami masalah ini ketika sudah mendapat pengganti yang baru, tetiba sahaja bekas kekasih lama kembali menghubungi.Jangan cepat melatah, kerana ini adalah ujian ataupun dugaan untuk hubungan anda yang baru. Jika pasangan baru anda jauh lebih baik, usahlah tergoda dengan kenangan masa lalu bersama bekas kekasih yang telah meninggalkan anda.
2. Hubungan Tidak Direstui Keluarga
Setiap ibubapa sentiasa mengharapkan anaknya mendapat calon isteri/suami yang terbaik. Oleh sebab itulah mereka telah menetapkan ciri-ciri dan kriteria tertentu untuk calon menantunya. Apabila kekasih andanya tidak memenuhi ciri-ciri atau kriteria seperti yang mereka harapkan, mereka kemudiannya tidak merestui serta menghalang perhubungan tersebut.
3. Kedudukan Kewangan Belum Stabil
Penyebab lain yang menyebabkan sepasang kekasih tidak jadi berkahwin adalah kerana calon lelaki tidak stabil atau belum mempunyai pekerjaan tetap. Mendirikan rumahtangga bukan hanya bersandarkan cinta semata-mata, baik sebelum mahupun setelah berkahwin, semuanya perlukan duit!
Apabila pihak wanita tidak boleh bersabar menunggu pihak lelaki stabil daripada segi kedudukan kewangan, sudah pasti pelamin anganku musnah!
4. Pecah Tembelang!
Sebahagian orang menghalalkan segala cara supaya boleh berkahwin dengan orang yang sesuai dengan impian hidupnya. Dengan yakin tanpa rasa bersalah, bahkan berani untuk merahsiakan perkara-perkara penting yang dia takutkan akan membuatkan pasangan tidak mahu mengahwininya.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, sejauhmanapun seseorang itu cuba menyembunyikan sesuatu, cepat atau lambat segala penipuan tersebut akan terungkap jua. Apabila penipuan atau kebohongan itu terungkap sebelum berkahwin, boleh jadi pasangan dan keluarganya sangat kecewa dan tidak boleh memaafkan. Malahan tanpa ragu akan membatalkan niat untuk berkahwin.
5. Belum Yakin Untuk Menjadi Suami/Isteri
Ada di antara pasangan yang sedang mabuk dilanda asmara, tanpa berfikir panjang mereka akan terburu-buru untuk segera mendirikan rumahtangga. Namun, apabila mereka merenung kembali dan menyedari bahawa nanti mereka akan memiliki kehidupan yang berbeza daripada masa bujang dan masih rasa belum puas.
Mereka kemudiannya rasa belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami/isteri dan masih lagi mahu menikmati keseronokan masa bujang.
6. Visi Dan Misi Tidak Sama
Memahami dan mengenali pasangan itu secara menyeluruh memerlukan waktu yang cukup panjang ataupun lama. Adakalanya hubungan yang baru berlangsung beberapa minggu membuatkan seseorang itu berfikir untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius.
Tetapi, setelah mengetahui sesuatu yang ada pada diri calon suami/isteri, barulah anda sedar bahawa anda dan pasangan memiliki visi dan misi yang tidak sama. Akhirnya niat untuk mendirikan rumahtangga terpaksa dibatalkan!
7. Salah Satu Pihak Dijodohkan
Selain kembalinya bekas kekasih, pelamin anganku musnah juga boleh gagal apabila si dia dijodohkan oleh keluarga. Orang tuanya tetap berkeras dengan calon pilihannya dan pasangan anda tidak mampu untuk menolak keinginan ibubapanya kerana tidak mahu dianggap sebagai anak derhaka. Ataupun, mungkin anda yang berada di tempat tersebut.
Kesimpulan
Selain disebabkan oleh takdir, namun jodoh juga perlu anda usahakan. Salah satunya adalah dengan menghindari pelbagai perkara yang boleh membuat pelamin anganku musnah. Anda perlu berlapang dada, fikiran, rendah hati dan bermusyawarah bagi mencari jalan terbaik agar sebuah perkahwinan yang penuh berkat menjadi milik anda dan pasangan.