
Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo kini sah bergelar suami kepada model Georgina Rodríguez selepas pasangan itu melangsungkan perkahwinan secara sivil pada 11 Ogos 2026 di Cascais, Portugal.
Menurut kenyataan media yang dipetik PEOPLE, majlis tersebut berlangsung secara tertutup dan intimate dengan kehadiran lima anak mereka. Ronaldo turut berkongsi foto tangan mereka yang mengenakan cincin perkahwinan menerusi Instagram dengan kapsyen ringkas, “C❤️G”.
Perkahwinan tersebut berlangsung tepat setahun selepas Georgina mengumumkan pertunangan mereka pada 11 Ogos 2025. Ketika itu, Georgina berkongsi foto tangannya di atas tangan Ronaldo sambil memperlihatkan cincin berlian berbentuk oval yang diterimanya.
Cristiano Ronaldo, 41, dan Georgina, 32, telah bersama sejak 2017. Mereka mempunyai lima orang anak dalam keluarga, iaitu Cristiano Jr., pasangan kembar Eva Maria dan Mateo, Alana serta Bella. Cristiano Jr. dilahirkan daripada hubungan Ronaldo sebelum bersama Georgina.
Pasangan ini pertama kali bertemu ketika Georgina bekerja sebagai sales assistant di sebuah butik Gucci pada 2016. Pada Januari tahun sama, mereka membuat penampilan red carpet bersama di Best FIFA Football Awards di Zurich sebelum Ronaldo berkongsi foto mereka di Instagram pada Mei 2017.
Dalam siri realiti Netflix I Am Georgina pada 2022, Ronaldo turut bercerita mengenai peringkat awal hubungan mereka. Menurutnya, dia pada mulanya tidak menyangka hubungan tersebut akan menjadi begitu serius sebelum akhirnya menyedari Georgina merupakan wanita yang mahu dikongsinya kehidupan bersama.
Selepas mengumumkan pertunangan pada Ogos 2025, Ronaldo dan Georgina kini secara rasmi bergelar suami isteri selepas hampir sedekad bersama.