Berita

Hana Malasan Kini Tunangan Sean Gelael, Majlis Pertunangan Sarat Momen Menyentuh Hati

Share

Pelakon dan model Indonesia, Hana Malasan kini rasmi bergelar tunangan kepada pelumba kereta terkenal, Sean Gelael. Pasangan ini mengadakan majlis pertunangan pada 15 Ogos 2026 di NuArt Sculpture Park, Bandung, Jawa Barat.

Berlangsung dalam suasana mesra , majlis tersebut dihadiri ahli keluarga serta sahabat terdekat. Lokasi yang dikelilingi kehijauan dan karya seni menjadikan hari bahagia mereka kelihatan romantik, eksklusif serta cukup dekat di hati.

Menerusi perkongsian di Instagram, Hana menyifatkan majlis pertunangan itu sebagai sebuah pagi yang indah kerana dapat diraikan bersama insan-insan tersayang.

“Gelombang kecil cinta kami. Sebuah pagi yang indah, dikelilingi keluarga dan insan-insan yang kami sayangi. Bismillah,” tulis Hana.

Pada hari istimewa itu, Hana tampil anggun mengenakan kebaya panjang berwarna merah hati rekaan Studio BOH. Busana berkenaan dihiasi perincian manik, labuci dan sulaman keemasan sebelum dipadankan dengan kain batik, sekali gus menyerlahkan gaya tradisional yang elegan.

Sean pula kelihatan segak mengenakan beskap moden rona senada rekaan Didiet Maulana bersama kain batik berwarna coklat keemasan. Pemilihan busana dan warna yang sepadan membuatkan pasangan ini kelihatan begitu serasi.

Antara detik paling menyentuh hati adalah apabila Hana menyediakan sebuah kerusi bersama foto arwah ibunya. Walaupun tidak lagi berada di sisi, foto tersebut seolah-olah menjadi lambang bahawa insan tersayang itu tetap hadir dan menjadi sebahagian daripada hari bahagianya.

Sean sebelum ini dilaporkan telah melamar Hana ketika mereka bercuti di Nihi Sumba, Nusa Tenggara Timur pada Oktober 2025. Majlis di Bandung pula menjadi acara pertunangan rasmi yang menghimpunkan kedua-dua keluarga sebelum pasangan tersebut melangkah menuju alam perkahwinan.

Selepas kira-kira dua tahun menjalinkan hubungan, pertunangan ini menjadi bukti kesungguhan Hana dan Sean untuk membina masa depan bersama. Semoga segala urusan dan persiapan mereka menuju hari pernikahan dipermudahkan.

Published by
Fiezreen