Tiada rumah tangga yang bebas daripada ujian. Namun setiap ujian pasti ada jalan penyelesaiannya. Rumah tangga bahagia adalah yang mampu menghadapi ujian bersama-sama tetapi masih berpegang teguh pada syariat-Nya.Kita perlu belajar bahawa ujian dalam rumah tangga akan datang dari segala arah, bersedialah menghadapinya.
Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie, Puan SUZANA GHAZALI berkongsi fasa ujian yang dihadapi di dalam rumah tangga.
Lumrah hidup berumahtangga menghadapi ujian dan dugaan. Beberapa fasa perkahwinan yang perlu diketahui bagi memberi persediaan kepada pengantin.
Sememangnya hidup ini akan sentiasa diuji dan diduga. Tak kira sama ada hidup bersendiri ataupun hidup berumah tangga. Hidup berumahtangga ujiannya lebih mencabar kerana kita perlu memikirkan orang lain berbanding jika kita hidup bersendirian. Orang lain yang asalnya adalah terlalu asing tetapi telah kita terima menjadi sebahagian daripada hidup kita. Orang lain yang asalnya langsung tidak kita kenali tetapi kita sayang dan cinta dengan sepenuh hati.
Ads
Namun, walau cinta menggunung tetapi percayalah, kita takkan mungkin akan mengenali pasangan kita sepenuhnya. Kita takkan mungkin akan memahami dan mengerti pendirian dan kehendak pasangan kita seratus peratus. Jangan fikir, andai kita telah bercinta 10 tahun bererti kita telah cukup mengenali pasangan kita.
Lantaran itu, para psikologi menetapkan bahawa lima tahun pertama sesebuah perkahwinan adalah tempoh untuk saling cuba menyelami hati dan budi masing-masing. Masa inilah kita akan tahu segala baik buruk pasangan kita. Ingat, kita adalah insan yang serba kekurangan dan kekurangan kita boleh disempurnakan oleh pasangan kita. Begitu juga, kekurangan pasangan kita hendaklah kita yang menyempurnakannya barulah rumahtangga akan bahagia.
Tahun keenam dan tahun-tahun yang seterusnya juga perlu diharungi bersama kerana ujian dan dugaan masih ada. Inilah hakikat hidup berumahtangga sebenarnya. Hidup yang dipenuhi ujian dan rintangan tetapi perlu ditempuhi dan diharungi bersama, bukan sendirian.
Ads
Saya akui, ada tikanya saya mencadangkan pengunduran tetapi hanya kepada wanita yang bersendirian mengharungi ranjau dan onak duri perkahwinan. Apa guna punya suami hanya pada nama sedangkan segalanya diuruskan sendiri seperti tidak bersuami. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun. Saya pernah mendengar kata-kata seorang lelaki , tak apalah isteri berkorban lebih untuk suami sebabnya isteri menyayangi suami. Kerana sayang, isteri perlu bersabar dan cuba mengubah suami.
Pelik…! Memang pelik! Siapa yang dijadikan daripada siapa sebenarnya? Bukankah kaum wanita yang dijadikan daripada tulang rusuk lelaki? Islam telah tetapkan tugas kaum lelaki untuk membetulkan kaum wanita dengan penuh hikmah kerana jika tersalah, tulang akan patah dan jika dibiarkan pun, tulang akan terus bengkok. Lantas, sejak bila tanggungjawab membetulkan dan mengubah ini berpindah kepada isteri?
Ads
Saya tau, ada antara wanita yang berjaya mengubah pendirian dan sikap suami. Suami boleh dibentuk oleh isteri sekiranya suami sedar akan kelemahan diri dan bersedia menerima tunjuk ajar dan bimbingan…bersedia untuk berubah malah menunjukkan tanda-tanda awal inginkan perubahan.
Bagaimana jika memiliki suami jenis bodoh sombong…sukar menerima pendapat apatah lagi diperbetulkan…apakah isteri perlu berkorban hingga jiwa terkorban?
Jangan silap memahami fakta…memang benar ujian dan dugaan adalah rempah ratus rumahtangga tetapi segala ujian dan dugaan perlu diharungi dan ditempuhi bersama. Jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk mengatasinya, jangankan lima tahun, lima puluh tahun pun, belum tentu rumahtangga akan bahagia. Pilihan di tangan anda!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pasangan pengantin terutamanya wanita lebih memberi perhatian kepada baju pengantin yang bakal disarungkan di majlis kahwin. Ini perlu dalam memastikan baju kahwin impian anda dapat direalisasikan untuk anda tampil lebih anggun di majlis kahwin. Dalam memastikan baju kahwin yang diimpikan menjadi realiti, beberapa perkara harus diberi perhatian.
Jom tengok panduan berguna ini yang boleh pengantin praktikkan!
Pastikan bajet bersesuaian dengan kemampuan anda. Elakkan daripada memilih baju yang terlalu mahal kerana ia akan membebankan anda untuk persiapan perkahwinan anda yang lain. Oleh itu, pilihlah baju yang berpatutan dan berkualiti.
2. MENJADI DIRI SENDIRI
Pilih baju yang sesuai dengan keperibadian anda, namun pilihan yang dibuat perlulah relevan dan praktikal untuk disarungkan di majlis persandingan nanti. Jangan terlalu mengikut pendapat rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain kerana yang bakal berkahwin adalah diri anda.
Cubalah terlebih dahulu baju pengantin tersebut supaya anda dapat merasa sendiri keadaan baju tersebut. Anda juga digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan pendapat perunding fesyen terlebih dahulu sebelum memilih baju pengantin yang bakal digayakan.
4. PILIH GAUN YANG SESUAI DENGAN BENTUK TUBUH
Sekiranya bentuk tubuh anda berbentuk buah pear, sebaiknya anda memilih gaun berpotongan A-line atau ball gown yang mampu memberi kesan yang lebih seimbang. Anda juga dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat perunding fesyen.
5. GUNA FABRIK YANG TEPAT
Elakkan daripada memilih fabrik yang terlalu berkilat dan jarang kerana anda bakal tampil seperti badut di hari perkahwinan. Pilihlah fabrik yang berkualiti dan mampu memberi keselesaan untuk diri anda.
Sebelum anda menentukan rona gaun perkahwinan, sebaiknya anda menetapkan tema bagi majlis perkahwinan anda. Ini penting kerana tema perkahwinan memainkan peranan yang penting bagi keseluruhan majlis.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ikuti perkongsian Farid Rashidi di Facebook mengenai permasalahan ramai wanita yang semakin berlumba-lumba menunjukkan kecantikan di social media.
Sejak dua menjak ini, selalu sangat melintas lalu di laman FB secara live mempertontonkan tutorial solekan wajah. Ya, beberapa orang wanita menunjukkan cara-cara bersolek di khalayak lalu diminta pula orang ramai yang menonton supaya share ke seluruh pelusuk group FB.
Ada juga disiarkan langsung di Instagram, Twitter, Youtube dan sebagainya.
Maka berpusu-pusulah orang share video live tersebut. Bahkan dijanjikan pula dengan hadiah menarik. Nak bagi hadiah, tak ada masalah. Bagilah. Saya pun mahu. ?
Tapi yang menjadi masalah di sini ialah menyiarkan wajah wanita disolek secara langsung itu.
Apa jua alasan, samaada mahu menjual produk, beriklan, mengajar tutorial dengan mempertontonkan wajah wanita disolek itu adalah ditegah di dalam Islam. Ingat ya, matlamat sesekali tidak menghalalkan cara.
Eh, itukan salah satu marketing berniaga?
Iya, tahu marketing berniaga. Tapi bukankah ramai sifu mengajarkan bahawa marketing itu ada beratus-ratus cara? Kenapa hendak digunakan juga cara yang menyebabkan kita terpalit dosa? Allahu Rabbi.
Saudari-saudari seIslamku, jangan begitu. Mahu buat tutorial, silakan. Tapi cukuplah sesama wanita di tempat terlindung dari mata nakal lelaki. Kenapa disiarkan secara umum begitu. Bukankah laman sosial ini di akses oleh jutaan manusia setiap detik?
Ada anak kecil, ada golongan lelaki bukan mahram, non-muslim, ada lelaki baik, lelaki jahat buaya darat, lelaki tua miang keladi aiskrim yam yam… semua jenis lelaki ada.
Sudah tentu mereka akan menontonnya walaupun terkadang tak sengaja pun nak klik.
Kenapa ditegah?
Sebab ada dalil menyebutkan tentang keharaman wanita berhias atau bersolek berlebih-lebihan ketika di khalayak.
“Hendaklah kalian (para wanita) tetap di rumah kalian dan janganlah kalian bertabarruj dan seperti tabarruj orang-orang Jahiliyah yang dahulu…”
[Surah al-Ahzab: 33]
Ibnul Jauzi di dalam tafsirnya menyebutkan dua penerangan ulama’ tentang makna tabarruj:
Pertamanya Abu ubaidah mengatakan:
التبرُّج: أن يُبْرِزن محاسنهن
“Tabarruj: Wanita menampakkan kecantikkannya (di depan lelaki yang bukan mahram).”
Keduanya, az-Zajjaj mengatakan:
التبرُّج: إِظهار الزِّينة وما يُستدعى به شهوةُ الرجل
“Tabarruj: Menampakkan bahagian yang indah (aurat) dan segala yang mengundang syahwat lelaki (bukan mahram).”
[Zadul Masir fi Ilmi at-Tafsir, 3/461].
Justeru, mempertontonkan video tutorial solekan di khalayak itu ditegah dan diharamkan. Wanita bersolek untuk tontonan khalayak pun sudah haram, inikan pula mengajak orang turut melakukan hal yang sama.
Aduhai, berdouble triple dosa. Dosa-dosa lain pun sudah sarat menggunung tinggi, inikan pula mahu ditambah lagi dosa begitu.
Sesungguhnya, tiada guna bisnes juta-juta di mata manusia tetapi miskin maruah, sirna rasa malu dan tak takut dosa. Sia-sia. Hilang keberkatan hidup nanti.
Hawa (Tak kiralah yang berniqab atau tidak), kalaulah hilang rasa malu dalam dirimu. Apalagi yang tinggal? Janganlah biarkan dirimu dieksploitasi oleh anak didik Dajjal yang berleluasa.
Menjaga pemakanan sangat penting untuk satu organ kita yang sangat penting iaitu otak. Mengapa menjaga pemakanan itu penting di dalam Islam? Di sini saya melihat pada konteks yang diajarkan Allah swt di dalam al Qur’an seperti firmannya:
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah: 172)
Ya, makanlah dari rezeki yang baik-baik sebagai tanda syukur pada nikmat dari Allah swt. Menjaga pemakanan bermakna kita juga menjaga tubuh fizikal yang dikurniakan Allah swt. Ini juga menjadi sebahagian ibadah sebagai hamba Allah, salah satu cara hidup dalam Islam. Rezeki yang baik-baik pula semestinya halal kerana setiap yang haram dan dilarang oleh Allah swt dan RasulNya adalah memudaratkan manusia.
Dari al Quran telah diberi panduan bagaimana mencari yang terbaik bagi diri kita. Rasulullah saw juga amat tegas tentang soal menjaga kesihatan dan keberadaan tubuh badan seperti sabda Baginda:
“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”Hadis Riwayat Bukhari
Menunaikan hak terhadap tubuh badan adalah menjaganya dengan baik serta selamat dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani bagi memastikan tubuh badan kita dapat berfungsi secara optimum dan berupaya mencapai potensi dan matlamat hidup berpandukan agama. Menjadi Mukmin yang kuat juga adalah lebih dituntut berbanding dengan mukmin yang lemah seperti sabda Baginda saw lagi:
“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.”Hadis Riwayat Muslim
Oleh itu, kali ini saya ingin berkongsi sunnah Rasulullah s.a.w sebgai panduan dalam pemlihan makanan yang diambil yang mana secara tidak langsung dapat membantu agar tubuh badan kita menjadi lebih sihat.
Dengan izin Allah swt juga, makanan-makanan ini bukan sahaja membantu mencerdaskan otak malah memberi kesihatan tubuh, melambatkan, mencegah serta membantu kesembuhan pada penyakit-penyakit yang melibatkan struktur dan fungsi otak seperti Dementia, Schizophrenia, Alzheimer, Parkinson, Strok dan lain-lain penyakit lagi.
Makanan Sunnah #1 – Madu
Madu merupakan satu-satunya makanan dihasilkan oleh lebah yang memiliki kesemua komponen keperluan hidup manusia termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu satu antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak. Bahan antioksida diperlukan bagi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel.
Menjaga keberadaan sel adalah sangat penting kerana ada berbilion sel yang menjadi komponen utama otak. Otak memerlukan sel-sel dan saraf yang sentiasa berhubung bagi melakukan penyampaian matlumat agar mudah dan cepat diproses dan disimpan di dalam memori.
Terdapat banyak lagi kelebihan pada madu yang menjadi penawar pada pelbagai penyakit dan ini selari dengan janji dalam firman Allah swt:
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Al-Nahl: 69)
Makanan Sunnah #2 – Kismis
Buah anggur segar mengandungi kandungan vitamin C dan flavonoid yang tinggi. Vitamin C banyak membantu menjaga kesihatan badan manakala flavonoid adalah antioksida yang membantu melawan radikal bebas. Anggur kering iaitu kismis pula kaya dengan pelbagai vitamin, riboflavin dan folat. Selain itu, mineral surih bernama boron membantu meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori.
Kismis juga merupakan salah satu makanan yang boleh mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, merawat anemia, menguatkan jantung dan menerangkan hati selain dari terkenal dengan kelebihannya kepada otak. Sabda Rasulullah saw tentang kismis adalah:
“Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih.”
Manakala ramai ulama’ yang menggalakkan pelajar mereka memakan kismis untuk menambah daya ingatan otak seperti Ibni Qayyim sebagai berkata:
“Sesiapa yang ingin menghafal hadis hendaklah sering memakan kismis.”Petikan kitab Tibb an-Nawawi
Kismis sebagai makanan otak telah lama dibuktikan dalam amalan pemakanan para ulama’ Islam yang rata-rata berjaya meraih taraf ilmuwan di usia muda dan dalam pelbagai bidang. Pencapaian luar biasa para ulama’ terdahulu membuktikan tahap luar biasa kapasiti otak yang mereka bentuk sejak kecil lagi.
Makanan Sunnah #3 – Kurma
Buah yang manis ini adalah suatu keajaiban untuk manusia. Memiliki mineral, vitamin, serat dan antioksida yang lengkap untuk kesihatan keseluruhan badan telah menjadikan buah kurma diiktiraf sebagai pengganti diet yang paling baik di dunia terutamanya ketika proses penyembuhan penyakit.
Antaranya kurma dapat membantu pesakit anemia, menguatkan tulang, meningkatkan tenaga batin, mengawal berat badan, mencegah kanser dan mengelak serangan angin ahmar. Potassium di dalam kurma pula menjadi agen utama dalam menjaga kesihatan sistem saraf. Ini telah meningkatkan kepantasan dan ketajaman aktiviti otak.
Amalan memakan kurma bukan sahaja boleh dilakukan oleh individu malah digalakkan kepada wanita mengandung untuk memakannya bagi membentuk otak yang sihat buat bayi di dalam kandungan. Buah kurma juga telah diiktiraf oleh Rasulullah saw sebagai makanan yang baik untuk otak seperti sabda Baginda:
“Berilah makan kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”
Ini dikuatkan lagi dengan kisah Maryam di dalam Quran di mana Allah swt telah menjadikan kurma sebagai santapan Maryam setelah kelahiran Nabi Isa as. Ini membuktikan keajaiban kurma sebagai penyembuh dan zat lengkap bagi manusia.
Makanan Sunnah #4 – Buah Tin
Demi buah Tiin dan Zaitun, Dan Gunung Tursina, Serta negeri (Makkah) yang aman ini, – Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin: 1-4)
Betapa hebatnya buah tin sehingga salah satu surah di dalam Qur’an dinamakan dengannya. Apa yang menyebabkan buah ini mendapat kedudukan yang istimewa di dalam Islam? Seperti kurma, kualiti buah tin bertambah seiring dengan kadar pengeringan buahnya. Buah kecil ini ternyata memiliki kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksida yang tinggi.
Secara saintifiknya apabila komponen dan keperluan badan adalah lengkap, maka badan akan berada dalam keadaan kesihatan yang optimum kerana mampu berfungsi dengan baik. Istilah ‘you are what you eat‘ juga ada benarnya. Buah tin banyak membantu menyihatkan sistem pencernaan. Apabila sistem penghadaman sihat maka segala nutrisi dan khasiat makanan dapat diserap dengan sepenuhnya oleh darah.
Aktiviti penyingkiran toksin dan sisa buangan juga dapat dilakukan dengan lebih efisien. Darah yang terhasil adalah lebih berkualiti dan darah ini akan mudah diangkut ke seluruh badan termasuk otak. Bukan sahaja otak mendapat segala kebaikan malah antioksida, vitamin dan mineral dari buah ini juga dapat mengelak keradangan otak dan meningkatkan fungsi otak. Buah tin yang juga dapat mengawal tekanan darah mampu membantu dalam menangani tekanan dan mengelak serangan strok.
Keistimewaan demi keistimewaan yang banyak dari buah kecil ini tidaklah mustahil apabila buah ini diangkat sebagai buah dari syurga seperti sabda Baginda saw:
“Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata, ‘inilah buahnya (tin)’, sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya.”Hadis Riwayat Abu Darda; Suyuti
Makanan Sunnah #5 – Minyak Zaitun
Saya cukup terpikat dengan pujian Allah swt kepada minyak zaitun yang bercahaya dan menjadi sumber cahaya di dalam surah an-Nur ayat 35 seperti berikut:
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nuur: 35)
Ayat ini bukan sahaja memberi gambaran betapa indahnya cahaya itu malah menjadikan saya berfikir apakah yang menjadikan minyak zaitun bukan sahaja bercahaya seperti di dalam ayat di atas malah para ulama’ mengatakan bahawa minyak zaitun boleh menerangi hati seorang penuntut ilmu menjadikan hafalannya mudah dan hidayah Allah swt sentiasa menaunginya.
Suatu ilmu akan mudah difahami dan dihafal dengan keupayaan otak yang cemerlang. Di dalam Islam, ilmu juga diumpamakan sebagai cahaya. Bagai ada suatu hubungan antara sifat ilmu dan minyak zaitun serta hubung kait dengan otak. Apakah rahsianya?
Minyak zaitun kaya dengan polyphenols- antioksida semulajadi, lemak sihat, sumber bagi Omega 3 dan Omega 6 yang juga terdapat di dalam ikan, avokado dan kekacangan. Antara khasiatnya adalah menurunkan paras kolestrol, mengelakkan masalah jantung, mengawal tekanan darah, mengurangkan tanda-tanda penuaan, menguatkan sistem imunisasi, melindungi dari kesan radikal bebas dan mengelak keradangan.
Para saintis juga telah menemui bukti bahawa minyak zaitun memberi kesan yang baik terhadap tulang dan kesihatan penghadaman serta agen anti-kanser. Tubuh badan yang sihat membantu otak menjadi cerdas secara tidak langsung. Secara khusus kepada otak pula, minyak zaitun membantu meningkatkan keupayaan kognitif dan juga memori. Mungkin kunci utamanya adalah lemak berguna di dalam minyak zaitun yang penting bagi pemantapan kondisi otak kerana 60% komponen otak adalah lemak.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!