Majlis pernikahan merupakan detik paling bermakna dalam hidup terutamanya bagi kaum wanita. Tentunya detik ini akan menjadi momen paling manis yang akan diabadikan sebagai kenangan buat selamanya. Busana yang disarungkan perlu sesuai dengan acara kerana akan menjadi tumpuan si dia dan tetamu yang hadir.

Selain itu, perincian pada busana juga perlu dititikberatkan agar penampilan anda tidak terlalu sarat. Perincian yang sesuai dan sempurna akan memberikan keserian yang tiada tara buat anda.

Jom kami kongsikan tip memilih perincian yang tepat buat baju nikah anda!

1. BUSANA

Perincian pada busana perlu tampak ringkas dan tidak keterlaluan. Sebaiknya, fokus pada satu sudut sahaja seperti di kawasan dada, pinggang, leher atau di pergelangan tangan. Gunakan perincian yang senada dengan rona busana agar ia tampak lebih eksklusif dan elegan. Potongan yang paling ideal buat acara pernikahan ialah kurung moden, empire line dan sheath.

2. TUDUNG

Pemilihan tudung amat penting bagi memastikan anda tampak seimbang. Anda dinasihatkan untuk memilih tudung yang polos tanpa sebarang perincian. Ini akan memberikan kesan lebih segar dan bersahaja buat penampilan anda. Sekiranya anda mahu memilih tudung yang mempunyai perincian, pastikan perincian tersebut ringkas dan minimalis. Fabrik terbaik untuk dipakai buat majlis nikah ialah sifon dan dull satin.

3. LAYAH

Penggunaan layah dapat menunjang penampilan yang lebih menyerlah. Pemilihan layah perlu dititikberatkan dari segi jenis fabrik dan juga perincian. Sekiranya busana anda sudah mempunyai perincian yang agak berat, pemilihan layah dengan perincian ringkas adalah pilihan yang tepat. Anda juga boleh menyamakan penggunakan perincian pada busana dan layah agar ia tampak lebih harmoni dan eksklusif.

4. GAYA RAMBUT

Bagi mereka yang ingin mendandan rambut bagi acara pernihakan, anda digalakkan untuk membuat gaya rambut yang ringkas. Gaya rambut yang sesuai ialah gaya rambut lepas dengan kemasan sedikit curl. Selain itu, gaya Low Bun juga cukup sesuai bagi memberi kesan lebih ayu dan romantis. Jangan sesekali mewarnai rambut anda dengan rona aneh seperti hijau, ash gray, ungu dan lain-lain lagi. Biarkan warna rambut asli anda agar ia terlihat lebih asli dan semulajadi.

5. AKSESORI

Untuk kesan terbaik, anda dinasihatkan untuk memakai aksesori yang terlalu sarat. Sekiranyaa anda sudah memakai layah, penggunaan tiara mahupun pelekap kepala tidak digalakkan. Pemilihan subang juga biarlah bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar. Manakala rantai pula, anda dinasihatkan supaya tidak memakainya.

Jangan Lupa Komen: