
Jangan risau mendapatkan yang tidak baik hanya kerana kisah lalu kita yang kurang enak untuk difikirkan kembali. Allah itu Maha adil yang akan memberikan yang terbaik untuk setiap hambanya setelah kita berusaha berubah ke jalan kebaikan. Percayalah, insan yang baik akan berjodoh dengan yang baik, meski dahulu sama-sama pernah dalam keadaan tidak baik. Kerana jika sama-sama berhijrah, maka Allah akan memperbaiki kehidupan kalian menjadi lebih baik.
.
Jangan Terlalu Memusingkan Perihal Jodoh, Jika Kamu Telah Berusaha Baik Maka Allah Akan Memberimu yang Baik Juga
Kita janganlah asyik terlalu memikirkan perihal jodoh, pasrahkan saja kepada Allah tentang hari esokmu, dan tentang harapanmu tentang jodoh, jika kamu telah berusaha sebaiknya maka Allah akan memberimu yang baik juga.
Allah Telah Berjanji Bahawa yang Baik Pasti Akan Allah Peruntukkan Kepada yang Baik
Lalu apakah hal itu pasti? ketika kita memperbaiki maka Allah akan benar-benar menyiapkan yang baik pula untuk kita? Iya,itu janji Allah adalah sesuatu yang pasti, Allah telah berjanji bahawa yang baik pasti akan Allah peruntukkan kepada yang baik pula, maka benar-benar fokuslah kamu memperbaiki dirimu.
.
Kuncinya Jangan Lelah Memperbaiki Diri, Buat Dirimu Menjadi Berkualiti dan Pantas, Agar yang Datang Juga yang Demikian
Kuncinya adalah jangan lelah memperbaiki dirimu, jadikanlah dirimu berkualiti dan pantas, agar yang datang kepadamu nanti juga orang yang demikian. Bergegaslah ubah setiap hal buruk yang senantiasa kamu lakoni menjadi hal baik, kerana Allah akan merubah hidupmu jika memang kamu ada upaya untuk merubah hidup.
Ketika Kamu Serius Memperbaiki Diri, Maka Disitulah Nanti KamuAllah Siapkan Jodoh Terbaik
Intinya ketika kamu memang sudah serius memperbaiki dirimu, maka disitulah nanti kamu akan Allah persiapkan jodoh terbaik untuk mengimbangimu menuju masa depan yang lebih baik dan bermakna.
.
Kamu Tidak Akan Pernah Kecewa Dengan Janji Allah, Maka Pastikan Kamu Selalu Sungguh-sungguh Memperbaiki Dirimu
Ingatlah dengan baik, kamu tidak akan pernah kecewa menanti janji Allah, yang penting kamu berusaha semaksimal mungkin untuk menjadi lebih, maka pasti kamu akan mendapatkan yang baik. Lantas pastikan saja kamu selalu sungguh-sungguh memperbaiki dirimu, pastikan kamu selalu semangat mempelajari ilmu agar dirimu menjadi insan baik yang sudah benar-benar pantas bersanding dengan jodoh yang baik pula
Bila Sudah Berkahwin, Ibu Bapa Jangan Sampai Terbiar

Antara dilema dihadapi golongan isteri apabila ada suami menggunakan kuasa mutlak sebagai ketua keluarga dalam hal kebajikan dan penjagaan ibu bapa mereka.
Sebahagian suami menggunakan hukum dan prinsip Islam tetapi dengan tafsiran sendiri yang tidak bertepatan nilai agama, sekali gus berlawanan dengan ajaran syarak.
Ada yang beranggapan ibu bapa isteri tidak lagi menjadi keutamaan dalam apa juga keadaan, sebaliknya golongan isteri disuruh taat kepada setiap arahan termasuk derhaka terhadap orang tua mereka sendiri.
Pakar motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria, berkata hukum menjaga ibu bapa terutama yang uzur terletak bukan sahaja di bahu anak lelaki, bahkan anak perempuan.
“Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali.

“Setiap anak wajib berbuat baik bukan sahaja terhadap ibu kandung, bahkan mentua, ibu angkat, ibu tiri mahupun sekadar ibu susuan,” katanya.
Menurut Noor Laila, tidak ada sesiapa yang terlepas sekalipun wanita itu sudah berkahwin.
“Bukan anak lelaki sahaja perlu dipertanggungjawabkan menjaga ibu bapa yang sakit. Malah kerana tanggapan ‘wajib’ itu, tugasan berkenaan diserahkan pula kepada menantu perempuan untuk menjaganya yang sama sekali tidak benar,” katanya.
Suami tak boleh halang
Beliau berkata, seandainya ibu bapa kandung isteri uzur atau terlantar sakit dan isteri ingin menjaganya, suami tidak boleh menghalang sebaliknya perlu membantu dalam menyediakan keperluan serta kebajikan mentua.
“Apabila perempuan berkahwin, memang isteri dan segala dibawa adalah di bawah tanggungjawab suami termasuk nafkah ibu bapa isteri sekiranya mereka dalam kalangan orang miskin atau memerlukan bantuan perubatan.
“Nafkah itu perlu ditanggung menantu lelaki mengikut kemampuannya,” katanya.
Justeru katanya, ia menunjukkan keadilan Islam termasuk kepada ibu bapa yang tidak mempunyai anak lelaki.
“Bayangkan sekiranya anak lelaki sahaja dituntut menjaga ibu bapa, mungkin ramai dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin mengabaikan orang tua mereka.
Beliau menambah, di sinilah ditunjukkan pembelaan Allah SWT terhadap ibu bapa yang tidak berbelah bahagi dan saksama kerana ia tidak mengira sama ada kewajipan menjaga ibu bapa kandung atau mentua.
Katanya, suami yang menghalang isteri menjaga ibu bapanya apatah lagi dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, ia bermakna golongan itu memerintahkan pasangannya berbuat maksiat.
“Maksud berbuat maksiat di sini adalah perbuatan suami memutuskan hubungan ibu bapa dan anak yang hukumnya jelas haram.
“Malah suami itu sendiri sudah pun berbuat maksiat kerana tidak berbuat baik kepada kedua-dua mentuanya,” katanya.

Dosa besar derhaka terhadap kedua orang tua
Ini turut ditekankan Rasulullah SAW yang menjelaskan antara salah satu dosa besar, selain mensyirikkan Allah SWT adalah bagi orang derhaka terhadap kedua orang tua.
Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kalian mahu aku beritahu mengenai dosa besar?” Sahabat kemudian menjawab: “Kami mahu, wahai Rasulullah SAW.” Rasulullah berkata: “Menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua.” (HR Bukhari dan Muslim)
Begitu juga dalam situasi suami ingin menjaga ibu bapanya yang sakit, jatuh hukum haram kepada isteri yang tidak membenarkannya.
Bagaimanapun, keadaan berbeza bagi menantu perempuan yang tidak diwajibkan menjaga ibu bapa suami yang sedang sakit.
“Tanggungjawab menjaga ibu bapa suami yang sakit terletak sepenuhnya kepada tangan suami tetapi boleh berbincang dengan isteri atau jika mampu sediakan pembantu rumah bagi meringankan tugasan isteri.
“Mengikut hukum, isteri wajib diberikan upah jika suami ingin pasangan menjaga ibu bapanya yang uzur,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak sesekali bertindak melabelkan menantu perempuan yang menolak menjaga mentua sebagai kejam atau tidak berhati perut kerana ia hukum asas dalam agama.
Noor Laila berkata, amat pelik bagi sikap sesetengah pasangan suami atau isteri yang sengaja tidak mahu menjaga ibu bapa masing-masing.
“Hierarki membezakan ibu bapa kandung dan mentua sebenarnya tanpa berasaskan dalil sahih daripada al-Quran dan hadis, sekali gus mendorong kita berpecah-belah, bertelagah, terlalu berkira serta saling cemburu dan meragut sifat kasih-sayang mukmin sebenar,” katanya.
Beliau berkata, apabila diuji menjaga ibu bapa sakit, apa lebih penting adalah melakukan persiapan mental dan emosi dengan rapi.
Ibu bapa yang tinggal bersama perlu diutamakan keselesaan mereka dengan menyediakan keperluan sepatutnya termasuk tempat tidur kondusif dan aktiviti harian yang diisi dengan perkara bermanfaat.
Perbuatan mencela, menghamburkan kata kesat atau memperlekehkan ibu bapa atau mentua perlu dielakkan dengan sentiasa mengingati azab Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang derhaka.
Lamar Wanita Secara Terbuka Di Depan Khalayak Ramai, Jangan Abai Soal Hukum

Melamar secara terangan tidak dianjurkan dalam Islam demi untuk menjaga air muka lelaki jika lamaran mereka ditolak. Melamar wanita secara terbuka di depan khalayak ramai juga lebih berkait dengan adat dan budaya masyarakat setempat.
Sebaiknya jauhi perbuatan ini kerana ia bukan satu budaya Islami, bahkan bukan juga budaya masyarakat Melayu. Ia juga bukanlah suatu perkara yang terpuji kerana Islam sangat mengangkat tinggi penjagaan kepada maruah individu.
Lamaran melalui wali adalah perkara yang diajar oleh Islam serta masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Ini bagi menjaga maruah kedua-dua individu serta memberi ruang masa yang cukup kepada wanita tersebut untuk mempertimbangkan pinangan tersebut.

Hal ini kerana, kita tidak boleh mengetahui keadaan emosi dan minda wanita tersebut pada waktu berkenaan. Kita seolah-olah meletakkan keputusan besar dalam hidup seseorang hanya pada waktu yang singkat. Sedangkan, dalam Islam, setiap individu miliki hak untuk membuat keputusan secara peribadi.
Khitbah: menzahirkan keinginan untuk mengahwini seseorang wanita yang tertentu, dan wanita tersebut menyampaikan hasrat tersebut kepada walinya. Pemberitahuan ini sama ada disampaikan secara terus daripada lelaki tersebut atau melalui perantaraan keluarganya. Apabila lamaran ini dipersetujui oleh wanita atau keluarganya, maka telah sempurnalah lamaran antara kedua-dua pihak. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 9, ms 3)
Khitbah (lamaran) adalah langkah terawal untuk menuju ke perkahwinan yang sah. Apabila seorang lelaki sudah bersedia untuk memilih seorang wanita menjadi isterinya yang sah, dia pun menyatakan hasratnya kepada wanita tersebut, disusuli dengan pemberitahuan kepada keluarga. Apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan lamaran tersebut, termeterailah satu perjanjian antara kedua-dua pihak ini. Lamaran dan pinangan boleh dilakukan secara terus daripada lelaki tersebut atau keluarganya.
Lamaran atau pinangan boleh berlaku dalam dua bentuk; zahir atau kiasan. Terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira sebelum melamar atau meminang seorang wanita.
Mengenal pasti sama ada wanita tersebut telah dinikahi atau dalam tempoh iddah talak raj’ie.
Mereka adalah wanita yang haram untuk dipinang oleh lelaki lain sama ada dilafazkan secara zahir mahu pun secara kiasan. Bagi wanita yang telah dinikahi, pengharaman adalah jelas.
Manakala, bagi wanita yang diceraikan oleh suaminya dengan talak raj’ie, pengharaman adalah berdasarkan ayat al-Quran:
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا
“Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.” Surah al-Baqarah (228)

Pengharaman meminang wanita di dalam iddah bagi talak raj’ie adalah kerana wanita ini merupakan seorang isteri atau berada di kedudukan isteri bagi suami yang menceraikannya selagi mana dia masih dalam tempoh iddah. (Rujuk al-Iqna’, 2/414)
Namun, bagi wanita yang berada di dalam tempoh iddah talak bain, mereka adalah wanita yang haram untuk dipinang secara zahir selama mana wanita ini berada di dalam tempoh iddah.
Namun, pinangan secara kiasan adalah dibenarkan berdasarkan ayat al-Quran:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ ۚ
Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Surah al-Baqarah (235)
Tidak meminang di atas pinangan orang lain berdasarkan hadis:
لاَ يَخْطُبُ أَحَدُكُمْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ
“Jangan sekali-kali salah seorang daripada kamu meminang atas pinangan saudaramu yang lain.” Muwatta’ Imam Malik (1094)
Pengharaman tersebut hanya pada situasi yang memiliki empat ciri-ciri iaitu dia mengetahui pinangan lelaki lain, dia mengetahui jawapan terhadap pinangan tersebut, telah jelas penerimaan wanita tersebut kepada pinangan itu dan pinangan pertama adalah pinangan yang dibenarkan di sisi syarak. Jika tidak, dia tidak termasuk di dalam pengharaman ini. (Rujuk I’anah al-Talibin, 3/268, al-Fiqh al-Manhaji, 2/46)
Setelah seseorang lelaki memastikan status wanita yang ingin dinikahi, kemudian baru lah dia menyuarakan hasratnya terhadap wanita itu jika wanita tersebut tidak termasuk dalam kalangan wanita yang haram untuk dilamar. Kita dapat lihat bahawa syarak hanya menyatakan larangan jelas pada hal yang demikian.
Namun, melamar wanita secara terbuka di depan khalayak ramai berkait dengan budaya Barat yang tidak diiktiraf dalam Islam.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka” Riwayat Abi Daud.
Penyerupaan dalam hal ini adalah tidak diiktiraf kerana Islam sangat mengangkat tinggi penjagaan kepada maruah individu. Sebaliknya, perbuatan sebegini mendedahkan maruah individu daripada tercalar.

Lamaran atau pinangan di khalayak ramai secara terbuka akan memberi tekanan kepada kedua-dua pihak; lelaki dan perempuan dalam menerima dan memberi jawapan dalam kadar segera. Sedangkan, dalam Islam, kedua-dua pihak diberi pilihan untuk bersetuju atau tidak untuk mengahwini satu sama lain. Wanita juga diberi hak memilih pasangan.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ امْرَأَةً، مِنْ وَلَدِ جَعْفَرٍ تَخَوَّفَتْ أَنْ يُزَوِّجَهَا وَلِيُّهَا وَهْىَ كَارِهَةٌ فَأَرْسَلَتْ إِلَى شَيْخَيْنِ مِنَ الأَنْصَارِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَمُجَمِّعٍ ابْنَىْ جَارِيَةَ قَالاَ فَلاَ تَخْشَيْنَ، فَإِنَّ خَنْسَاءَ بِنْتَ خِذَامٍ أَنْكَحَهَا أَبُوهَا وَهْىَ كَارِهَةٌ، فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ذَلِكَ
“Seorang wanita berketurunan Ja’far merasa takut sekiranya walinya ingin menikahkannya di luar kemahuannya. Jadi, dia mengutus utusan kepada dua orang lelaki Ansar; Abdul Rahman dan Mujammi’, dua orang anak Jariyah dan mereka merasa kedua-duanya mengatakan kepadanya, “Janganlah engkau merasa takut. Sesungguhnya Khansa’ binti Khidzam telah dinikahkan oleh bapanya di luar kemahuannya, lalu Baginda Nabi SAW membatalkan perkahwinan tersebut.” Riwayat al-Bukhari (6969)
Perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan dan penjagaan kepada maruah dapat dipertahankan dengan melakukan peminangan atau lamaran melalui wali. Islam mengajar seorang lelaki untuk meminang atau melamar melalui wali kerana ia adalah lebih beradab, menjaga maruah kedua-dua individu dan menjaga hak-hak wanita bermula sebelum perkahwinan berlangsung lagi.
Melamar wanita secara terbuka di depan khalayak ramai adalah lebih berkait dengan adat dan budaya masyarakat setempat. Lamaran melalui wali adalah perkara yang diajar oleh Islam serta masyarakat Melayu Muslim di Malaysia.
Ini bagi menjaga maruah kedua-dua individu serta memberi ruang masa yang cukup kepada wanita tersebut untuk mempertimbangkan pinangan tersebut. Hal ini kerana, kita tidak boleh mengetahui keadaan emosi dan minda wanita tersebut pada waktu berkenaan.
Kita seolah-olah meletakkan keputusan besar dalam hidup seseorang hanya pada waktu yang singkat. Sedangkan, dalam Islam, setiap individu miliki hak untuk membuat keputusan secara peribadi.
Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Kredit foto top image: Pexels
Petanda Doa Istikharah Dimakbulkan

Apabila mencari petunjuk Allah, sebagai manusia kita akan lakukan sebanyak mana amalan agar petunjuk yang dicari itu ditemui. Solat istikharah misalnya adalah solat sunat yang seringkali diamalkan apabila kita mempunyai dua pilihan. Dan tentunya apabila hendak mendirikan rumahtangga, bakal pengantin mengerjakan solat istikharah.
Dikongsikan di laman Instagram Ustaz Azhar Idrus, inilah persoalan mengenai solat istikharah yang anda perlu tahu.
*****************************************************************
PERKARA YANG HARUS SAHAJA DILAKUKAN ISTIKHARAH
Telah diriwayatkan daripada Jabir r.a. berkata :
كان النبي صلى الله عليه وسلم يعلمنا الاستخارة في الأمور كلها كالسورة من القرآن
Artinya : “Adalah Nabi saw mengajar akan kami akan istikharah pada sekelian perkara seperti mengajar akan surah daripada Al-Quran.” (Hadith riwayat Bukhari)
Bermula hukum mengerjakan solat istikharah itu adalah sunat bukannya wajib.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :
والاستخارة سنة بالإجماع
Artinya : “Dan solat istikharah itu sunat ia dengan ijmak.”
Dan perkara yang boleh dilakukan istikharah itu hanyalah perkara yang harus sahaja dan tidaklah dibuat istikharah untuk melakukan perkara yang sunat atau yang wajib atau yang makruh atau yang haram.
Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar :
قال ابن أبي جمرة : هو عام أريد به الخصوص , فإن الواجب والمستحب لا يستخار في فعلها والحرام والمكروه لا يستخار في تركها , فانحصر الأمر في المباح وفي المستحب إذا تعارض منه أمران أيهما يبدأ به ويقتصر عليه
Artinya : “Telah berkata Ibnu Abi Jamrah hadith Jabir itu umum dan dikehendaki dengannya akan khusus. Maka sungguhnya yang wajib dan yang sunat itu tidak ada istikharah pada mengerjakannya dan yang haram dan yang makruh itu tidak ada istikharah pada meninggalkannya. Maka tersimpanlah pada pekerjaan pada yang harus jua dan juga pada yang sunat apabila berlawanan daripadanya dua pekerjaan mana satu yang dimulakan dengannya dan diringkaskan atasnya.” (Kitab Fathul Baari)
PETANDA SELEPAS ISTIKHARAH
Selepas melakukan istikharah jika segala usaha kepada melakukan perkara yang dimaksud itu menjadi mudah misalnya maka yang eloknya dia meneruskan perkara tersebut dan jika segala usaha menjadi semakin sukar maka yang eloknya dia membatalkan usaha tersebut.
Tidak disyaratkan dia mesti melihat alamat datang di dalam mimpi dan tidak juga disyaratkan mengikut ke arah mana hatinya cenderung selepas melakukan istikharah.
Berkata Imam Nawawi :
ولا يشترط لترجيح أحد الأمرين أن يرى المستخير رؤيا منامية باتفاق الفقهاء , لكنهم اختلفوا , فمنهم من يقول أنه لا بد من يرى أنه لا بد من اتباع ما ينشرح له صدره , واستدلوا لذلك بما روى ابن السني : يا أنس إذا هممت بأمر فاستخر ربك فيه سبع مرات , ثم انظر إلى الذي سبق إلى قلبك فإن الخير فيه
Artinya : “Dan tiadalah disyaratkan bagi menguatkan salah satu dari dua pekerjaan itu bahawa dia melihat didalam mimpinya akan apa yang dia istikharahkan itu dengan sepakat fuqahak akan tetapi mereka berselisih yang setengah dari mereka itu berkata tidak dapat tidak daripada mengikut ia akan apa yang lapang oleh perasaannya bagi pekerjaan tersebut dan berdalil mereka itu dengan hadith Ibnu Sunni sabada Nabi saw : Wahai Anas apabila kamu mencitakan suatu pekerjaan maka istikharahlah akan Tuhanmu tujuh kali kemudian lihatlah kepada yang mendahului akan hatimu maka kebaikkan itu ada padanya.” (Kitab Al-Azkaar)
Dan jika apa yang dicenderungkan oleh hati itu bersalahan dengan apa yang dinasihatkan oleh perkataan orang-orang yang baik maka dahulukan perkataan orang-orang yang baik.
Berkata Syeikh Ibnu Hajar :
عند التعارض ( بين الاستخارة وأقوال الصالحين ) تقدم أي أقوال الصالحين
Artinya : “Ketika berlawanan antara istikharah dan perkataan-perkataan para solihin nescaya didahulukan perkataan-perkataan para solihin.” (Kitab Al-Futuhat Ar-Rabbaniyyah)
Dan adalah makruh hukumnya orang yang mengerjakan istikharah terburu-buru hendak mendapat keputusannya kerana ia adalah sifat yang dicela.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyyah :
قال الحنفية، والمالكية، والشافعية: ينبغي أن يكرر المستخير الاستخارة بالصلاة والدعاء سبع مرات
ويؤخذ من أقوال الفقهاء أن تكرار الاستخارة يكون عند عدم ظهور شيء للمستخير
Artinya : “Dan telah berkata ulamak mazhab Hanafi dan Maliki dan Syafie yang eloknya bahawa dia mengulangi istikharah dengan mengerjakan solat dan berdoa sebanyak tujuh kali.
Dan diambil faham dari perkataan-perkataan fuqahak bahawa mengulangi istikharah itu ialah ketika tiada nyata suatu bagi yang melakukan istikharah itu”
Ada pun jika sudah nyata apa yang hendak dikerjakannya maka tiadalah diulang akan istikharah.
KESIMPULAN :
Solat istikharah hukumnya adalah sunat dengan ijmak ulamak dan bukannya wajib.
Tujuan istikharah ialah untuk meminta kepada Allah pilihan yang mana lebih baik antara dua pekerjaan yang akan dia lakukan.
Istikharah hanya dilakukan untuk memilih pekerjaan yang harus sahaja seperti misalnya seorang hendak membeli tanah dan dia mempunyai dua lokasi pilihan lalu dikerjakan istikharah untuk memilih tanah dilokasi manakah yang lebih baik untuk dia beli atau dia hendak memilih antara membeli satu tanah atau tidak membelinya.
Tidak bolih istikharah untuk melakukan perkara yang wajib seperti memilih antara hendak bayar zakat atau tidak.
Tidak bolih istikharah untuk melakukan perkara yang haram seperti memilih antara mencuri atau menipu atau memilih antara minum arak atau berjudi atau memlihi antara pergi masjli ilmu atau karaoke.
Begitu juga tidak ada istikharah bagi perkara yang makruh dan yang sunat kerana yang makruh itu memang disuruh tinggal manakala yang sunat itu memang disuruh buat.
Ada pun jika dia hendak melakukan salah satu dari dua perkara yang sunat misalnya samada hendak pergi umrah atau menyertai korban maka harus dia istikharah.
Tidak benar perkataan orang yang mengatakan selepas solat istikharah akan datang dalam mimpinya memberitahunya samada teruskan pekerjaanya atau tidak.
Setelah melakukan istikharah misalnya seorang yang hendak membuka satu perniagaan yang halal dan dia tidak tahu mana yang lebih baik antara meneruskan niatnya itu atau membatalkannya lalu sekelian perkara dan usaha kepada membuka perniagaan itu menjadi semakin mudah adalah elok dia teruskan niatnya itu dan jika sebaliknya adalah elok dia tidak meneruskan naitnya itu akan tetapi jika dia meneruskan juga niatnya membuka perniagaan tersebut maka hukumnya tidaklah dilarang atau diharamkan.
Dan tidak disunatkan istikharah untuk melakukan perkara yang remeh seperti hendak beli nasi lemak atau nasi minyak atau hendak tidur jam sebelas atau jam dua belas.
Sunat mengulangi istikharah sekiranya belum jelas baginya apa yang hendak dia kerjakan.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus