
Dalam perhubungan kadang kala kita tidak menyedari bahawa ada perkara yang dilakukan menimbulkan rasa tidak senang di hati pasangan. Ketahuilah bahawa perkara yang remeh boleh menjadi punca kurangnya kasih sayang dalam suatu perhubungan. Cinta yang kurang bersinar mungkin menyebabkan perpisahan. Walaubagaimana pun semua orang mahupun anda mempunyai kekurangan tertentu. Atasinya segera.
Kurang keyakinan diri
Sifat rendah diri atau tidak yakin dengan setiap keputusan, mungkin akan menyebabkan pasangan memandang rendah kebolehan anda. Jika dibiarkan, lambat laun pasangan mungkin menafikan hak anda dalam membuat keputusan. Untuk mengelakkan cinta yang dibina menjadi kusam, anda perlu bangkit mencari kekuatan diri. Setidaknya dalam 10 keputusan, empat darinya anda yang memberi kata putus.
Kaki Gajet
Anda sentiasa dengan telefon pintar atau gajet-gajet terkini sehinggakan anda kurang berkomunikasi dengan pasangan. Apabila pasangan memanggil, anda hanya mengangkat kening tanda menyahut tetapi mata masih lagi berada di skrin telefon. Erm, ini tidak bagus sebenarnya. Buangkan sikap sebegini kerana gajet termasuk antara faktor utama punca penceraian atau perpisahan. Bagi kaki gajet, sedar tau tidak anda sebenarnya kurang berkomunikasi dengan pasangan. Sekaligus mewujudkan jurang yang akhirnya berakhir dengan perpisahan.
Suka Hati Menetapkan Tarikh Dating
Peringatan untuk pasangan bercinta, anda tidak boleh sesuka hati menetapkan tarikh untuk berjanji temu. Harus ada persetujuan antara dua pihak. Takut dikhuatir nanti bakal membuatkan pasangan rasa tidak cocok dengan cara kehidupan kamu dan akhirnya mengurangkan rasa cinta yang sedang mekar.
Nafas berbau
Jika selekeh tidak mengapa lagi tetapi jika mulut sentiasa berbau, anda harus lakukan sesuatu untuk mengelakkan orang di sekeliling terutamanya pasangan. Setiap hari kita akan mengalami masalah mulut disebabkan makanan tetapi tidak berpanjangan. Mulut yang berbau akan menyebabkan masalah berkomunikasi. Jika dibiarkan pasangan mungkin cuba untuk mengelak dari bercakap panjang dengan anda.
Gemar Bercakap Mengenai Pasangan
Sedar atau tidak sedar, anda sebenarnya sedang bercakap mengenai hal pasangan sendiri kepada orang lain. Apabila perkara ini sampai kepada si dia, mungkin membuatkan dia berasa malu dan tidak selesa. Contohnya, anda memuji bahawa pasangan anda seorang yang pembersih ketika berada di rumah dan perkara ini sampai kepengetahuan dia dari mulut sahabat anda sendiri. Walaupun perkara itu satu pujian tetapi mungkin terdapat rasa tidak selesa di hatinya apabila anda menghebahkan perkara yang tidak perlu terutamanya perangai sebenar di rumah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Di Jemput Ke Majlis Perkahwinan Tapi Tidak Hadir? Apa Hukumnya?

Dengan teknologi yang ada pada masa kini semuanya boleh dilihat hanya pada hujung jari sahaja. Termasuklah jemputan perkahwinan. Kalau dulu kita perlu pos kan kad ke rumah satu-satu namun kini ramai orang yang mengambil langkah mudah iaitu dengan menjemput hanya melalui Facebook atau sosial media lain sahaja.
Ya, sememangnya cara sebegini amat mudah, malah kita dapat melihat siapa lagi yang akan menghadiri majlis tersebut. Tetapi, apa hukumnya sekiranya kita dijemput tetapi tidak menghadirinya? Jom baca lebih lanjut.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t S.S Mufti, saya dijemput untuk hadir ke kenduri perkahwinan melalui Facebook, tetapi saya tidak menghadirinya. Apakah hukumnya ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Mukadimah
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.
Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan
Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya. Kami ringkaskan seperti berikut:
Pertama: Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan
Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:
- Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
- Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut.
Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya. Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.
Berkaitan dengan isu menghadiri majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran, kami telah menjawabnya secara panjang lebar di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224 : Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2HMzU1i
- Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ
Maksudnya: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.
Riwayat Ibn Majah (1913)
- Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:
وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ
Maksudnya: Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).
Riwayat Muslim (2162)
Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.
Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).
Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320).
Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
- Kesesakan lalu lintas, hujan lebat, jalan lecah, dan seumpamanya.
Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).
Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
- Kenduri perkahwinan tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
- Kesibukan orang-orang yang dijemput seperti tokoh-tokoh politik, agama, dan juga pemimpin masyarakat.
- Banyaknya jemputan kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570).
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
Riwayat Muslim (1432)
Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah S.W.T, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Kedua: Hukum Hadir Jemputan Majlis Selain Perkahwinan Adalah Mustahab
Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya adalahmustahab (iaitu sunat).
Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab’’.
Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570).
Hukum Menjemput Hadir Ke Majlis Perkahwinan Melalui Facebook Event
Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.
Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).
Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.
Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dalam Adik-Beradik, Anak Sulunglah Yang Paling Banyak Berkorban Untuk Keluarga

Anak sulung adalah anak yang paling disayangi pada awalnya. Ada yang direzekikan awal, ada yang direzekikan setelah bertahun. Jadi, kecintaan pada anak pertama itu melebihi. Namun, kasih terbahagi bila dapat adik. Berkurang lagi bila bertambah bilangan adik-beradik.
Semakin hujung anak itu, makin disayangi. Boleh dikatakan, yang bongsu lebih dimanjakan. Walaupun ibu bapa sentiasa cuba berlaku adil, ramai yang mengaku bagaimana mereka akan berubah daripada seorang ibu atau bapa yang ‘garang’ kepada seorang yang lebih ‘lembut’.

Perubahan ini biasanya berlaku apabila apabila usia kita semakin bertambah. Sebab itulah kadangkala ada pengorbanan anak sulung yang kita terlepas pandang.
1. Ibu bapa akan lebih garang dengan anak sulung
Kebiasaannya ibu bapa akan menjadi lebih garang kepada anak sulung kerana mahu mereka tunjukkan contoh yang baik kepada adik-adiknya. Sebab itulah kita banyak menetapkan peraturan dan bertegas dengannya.
2. Anak sulung selalu jadi ‘bahan eksperimen’
Pada masa ibu bapa masih belum mahir mengendalikan anak-anak, maka banyaklah kesilapan yang dilakukan apabila pertama kali mencuba. Dari sudut pemilihan makanan, pakaian, taska, dan barang mainan. Kita selalunya akan ambil masa yang paling lama untuk pilih yang terbaik. Namun disebabkan kurang pengalaman, tentulah ada sesetengahnya yang tidak menjadi dan tidak sesuai dengan minat atau kemahuan mereka.
3. Anak sulung perlu menjadi contoh
Ramai anak sulung mula berasa tertekan apabila mereka mula persekolahan. Mana tidaknya, mereka rasa ‘perlu’ menjadi contoh yang baik buat adik-adik. Maka, ramailah antara mereka yang membesar menjadi seorang yang sempurna. Mereka mempunyai kecenderungan untuk berbuat apa yang orang dewasa buat, bukannya kanak-kanak.
4. Anak sulung selalu mengalah untuk adik
Setelah lahirnya anak kedua atau ketiga, ada anak pertama yang sering berkecil hati dan cemburu. Sekarang, mereka terpaksa berkongsi kasih sayang ibu bapa dan tidak lagi mendapat perhatian 100% seperti dulu. Mereka diajar untuk menyayangi dan mengasihani adik walaupun pada hakikatnya kadangkala emosi mereka masih belum bersedia.
5. Anak sulung selalu banyak dipersalahkan
Anak sulung akan selalu dipersalahkan kerana mereka perlu dipertanggungjawabkan untuk menjaga adik-adik. Namun, tahukah anda bahawa tanggungjawab ini bukanlah satu keistimewaan malah ianya adalah tanggungjawab yang berat. Sebaliknya, mereka boleh dipersalahkan dan dihukum apabila tidak dapat menjalankan tanggungjawab mengikut kehendak ibu bapa.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami, Jangan Impikan Isteri Sempurna Jaga Badan Dan Uruskan Hal Rumah Tangga!

Isi Kandungan
ToggleKena ingatkan banyak kali, jangan impikan isteri sempurna dalam perkahwinan. Berharap isteri cantik setiap hari, teratur kemas segala benda, dan semua terhidang tepat pada waktunya. Ini kena betulkan.
Nak tahu lebih jelas situasi seorang wanita bergelar isteri, jemput baca perkogsian Puan Farhanah Ibrahim ini. Pasti anda lebih memahami tentang sebuah perkahwinan.
Jangan Impikan Isteri Sempurna
Ya, masa awal nikah, rumah sentiasa kemas, bilik tidur wangi, cadar katil simetri, bantal pun susun selari, bantal peluk betul-betul centre kat tengah katil.
Tak ada satu sampah pun atas lantai. Pintu almari tertutup rapi. Langsir dihias seimbang kanan dan kiri. Tingkap licin tak ada sebutir kotoran. Bawah bantal tersedia daun pandan. Fuh, harumnya bau wangi-wangian!
Isteri pun mekap comel-comel, tangan kaki berinai. Buku lali ada gelang loceng bunyi ting ting ting. Pakai pula baju seksi. Rambut letak bunga-bungaan. Perfume sampai 15 jenis. Mata kening terkebil-kebil nak goda suami. Excitedlah toklaki. Nak keluar gi mengail pun tak jadi.
Bila Sudah Bertahun Kahwin, Ini Jadinya
Tetapi bila sudah 6 tahun nikah, semua dah berubah. Hilang sudah kecantikan si isteri.
Dah tak wangi, jarang pakai baju seksi. Atas kepala dah tak ada bunga-bungaan menghiasi. Rumah pun dah start bersepah.
Bawah bantal dah takda daun pandan, yang ada taik kucing (gurau). Ustaz kata, sebab tulah suami malas nak balik rumah. Sebab isteri dah tak pandai jaga suami. Pergi main badminton, pergi mengail, pergi main dam 3-4jam layan kawan-kawan lelaki lagi seronok.
Cuba kalau isteri buat macam malam pertama. Comel, seksi, wangi, pastu menari pulak. Fuh, kompom suami tak gi keluar dah. Melekat saja di rumah.
Semua Harap Isteri Buat
Bukanlah niat nak membela wanita. Cuma takut ramai lelaki salah faham, terutama yang belum nikah. Risau para lelaki semua masuk ke gerbang perkahwinan hanya harapkan kepuasan nafsu semata. Saya juga risau lelaki-lelaki berkahwin dengan mindset:
“Balik keja isteri kena tunggu depan pintu, siapkan air teh panas untuk aku.”
“Isteri kena layan nafsu aku setiap hari.”
“Senanglah lepas kawin nanti, dah tak payah susah-susah basuh baju, sidai kain, lipat baju. Uniform kerja pun ada orang gosokkan setiap malam, bolehlah bangun lewat sikit.”
“Untunglah lepas kawin nanti, hari-hari ada isteri masakkan. Bangun pagi pun breakfast dah tersedia, tak adalah kena makan mamak dah pepagi.”
“Bestnya lepas kawin, ada orang kemaskan rumah, lepas makan pun takyah basuh pinggan dah, isteri buat semua.”
Seolah-olah pernikahan itu satu #KESENANGAN untuk lelaki tapi #KESUSAHAN untuk wanita.
KEUNTUNGAN untuk lelaki tapi BEBANAN untuk wanita.
Sedangkan si isteri kat rumah hari-hari macam medan perang. Dari celik mata sampai pejam mata semua benda dia urus seorang.
Kahwin Seminggu Tak Sama Kahwin Bertahun
Mungkin situasi lepas 6 tahun kawin dah tak sama macam 6 hari pertama lepas kawin. Lepas 6 tahun kawin, anak dah berderet ustaz, 4 orang rapat-rapat, selang 1-2 tahun sorang. Berdua-duaan dengan suami TAK SAMA DAN TAK AKAN SAMA dengan hidup dengan anak-anak kecik yang perlu diuruskan.
Anak yang 5 tahun & 3 tahun biasanya juara berkreativiti (baca: sepahkan rumah). Jadi selalunya baru kemas rumah tak sampai 5 minit dah sepah semula, itu biasa. Baru habis mengemop dah ada yang terbabas kencing atas lantai, itu biasa.
Anak yang 2 tahun dan 2 bulan pula masih menyusu badan. Mungkin kain baju yang berbasuh tak sempat nak sidai, yang dah kering belum sempat nak lipat. Sebab selang 1-2 jam, si kecil 2 orang tu nak menyusu tandem kanan dan kiri.
Mungkin juga dapur tak sebersih dulu, lantai tak sekilat dulu. Yelah, baru nak kemas, empat-empat anak meraung berebut perhatian si ummi.
Baru nak sinsing lengan basuh pinggan, yang sulung terkencing pulak dalam seluar, yang kedua terberak, yang ketiga main kasar dengan adik, yang baby dah menangis sebab sakit.
Sungguh tak sama, dah nikah 6 tahun dengan baru nikah 6 hari. Mandi pun kadang ala kadar, apatah lagi nak berseksi-seksi berwangi-wangi. Badan pun cuma mampu pakai “perfume” natural bau susu masam setiap hari.
Anak bangun menyusu gilir-gilir sepanjang malam, kadang terlalu exhausted sampai tak terlayan kehendak suami.
Merancang Keluarga Pun Kelaut
Nak ambil perancang, suami pula tak bagi. Kata cik abang, dapat baby tu kan rezeki. Lebih sadis kalau ditambah dengan BABY TUA yang bernama suami, tapi tak pandai urus diri sendiri, dan tak pula ringan tulang bantu isteri.
Suami hanya tahu bila balik kerja, rumah kena tiptop. Makanan terhidang atas meja. Anak-anak bersih dan wangi. Kain baju dah siap basuh dan berlipat rapi. Baju untuk esok dah siap gosok hari ini. Nak tolong basuh pinggan? Hello, tu tugas isteri.
Nak sidai kain kat luar? Eh, kang jiran kata aku kena queen control nanti. Nak basuh berak anak? Sori aku geli. Nak vacuum dan mop rumah? Jatuhlah maruahku sebagai suami.
Nak lipat kain? Uii dayuslah aku macam ni. Jika begini, janganlah harapkan layanan 5 star dari isteri.
Kalau suami langsung tak bother nak bantu uruskan anak & rumahtangga sekali. Isteri itu pun manusia biasa. Bukan robot, bukan malaikat. Dia punya perasaan. Dia juga keletihan.
Sedangkan Nabi pun uruskan dirinya sendiri, jahit baju sendiri, repair kasutnya sendiri, ringan tulang bantu isteri, angkatkan air dan perahkan sendiri susu kambing untuk santapan keluarganya.
Nabi sangat berlembut terhadap isteri, jaga hati isteri, tak pernah tinggi suara apatah lagi maki hamun isteri.
Dengan akhlak suami yang begitu mulia persis sang Nabi, selayaknyalah Nabi sebut, “Jika dibolehkan manusia sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami.”‘
Suami sebegini memang layak dapat penghormatan dari isteri, bukan saja sebab suami tu bagi nafkah kat isteri, bukan saja sebab kedudukan (dan tanggungjawab) suami lebih tinggi, tapi juga sebab suami tu sendiri sangat muliakan isteri.
Tapi sayang, hadith ini selalu disalahguna nak agungkan kedudukan lelaki sampai boleh buat isteri macam #hamba, kerah isteri macam #bibik sampai takda sikit pun tenaga yang tersisa.
Ramai sangat isteri yang berkorban sampai TERKORBAN.
Terkorban kesihatan fizikal.
Terkorban kewarasan mental sampai depresi.
Terkorban kecantikan dan pengurusan diri.
Terkorban ketenangan emosi.
Terkorban amal ibadah fardhu.
Hanya nak ajak sama-sama bermuhasabah. Bahawa perkahwinan memang SUSAH DAN BERAT bagi seorang isteri, TAPI JAUH LEBIH BERAT bagi seorang lelaki bergelar suami. Suatu TANGGUNGJAWAB BESAR yang menambah beban buat suami, bukan tempat membuang beban ke bahu isteri.
Hebatnya Isteri!
Bukan berniat nak lebihkan wanita berbanding lelaki. Hanya reflection terutama untuk diri sendiri. Ramai suami-suami hebat yang tak kekok buat kerja rumah, tak kisah tukar lampin anak, ringan tulang lipat kain kemas rumah, walau di celah-celah kesibukan mencari nafkah, walau saban malam sibuk dengan urusan dakwah tarbiyah. Anda semua suami mithali, moga Allah berkati hidup tuan-tuan.
Dan tabik spring juga untuk isteri yang banyak handle urusan anak-anak dan rumah sendiri, tanpa rehat, tanpa cuti.
Tetapi jangan lupa tentang kesihatan fizikal dan mental, berhenti bila penat dan buat setakat mana tubuh badan mampu.
Owh ya, jangan lupa berterima kasih buat encik suami yang mengemudi keluarga penuh santun.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI