Cinta itu buta. Akibatnya, anda buta mata, jiwa serta hati sehinggakan sukar celik akan mainan emosi yang tiada berkesudahan daripada si dia. Akibatnya, anda rebah hanya kerana terlampau mempercayainya. Pahitnya bercinta, bukan?
Siapa yang sanggup dipermainkan? Apabila seluruh jiwa sudah diberi, pastinya anda ingin dikasihi dan dicintai sehingga helaan nafas terhenti. Di atas jinjang pelamin, cinta termeterai. Namun, kini anda berbahagi kerana sudah seakan nyata permainan yang semakin jelas menghampiri.
APAKAH TANDA-TANDANYA?
1-OBSESI URUSAN SEKSUAL
Bahaya jika pasangan anda mempunyai niat seperti ini. Melayari alam perkahwinan hanya kerana nafsu semata, di mana fokusnya hanya pada hubungan seksual serta meratah tubuh badan anda, dan bukan kerana cinta mahupun perasaan kasih sayang?
Anda akan dapat lihat nyatanya apabila kemahuannya itu melampau dan rakus sehingga tidak tertunaikan. Dirinya bisa kecundang lalu tidak mengendahkan anda lagi. Ini tandanya anda dimanfaatkan olehnya hanya kerana nafsu dan ego.
2-WANG SEMATA
Ads
Oh alangkah malang jika memiliki pasangan yang hanya inginkan kesenangan dalam bentuk material tanpa perlu berusaha. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, mata hati mudah dikuasai oleh wang ringgit. Tanda disedari, harta anda dikikis sedikit demi sedikit.
Kebiasaannya, pelbagai alasan dan ragam dicipta malah diselang-selikan dengan mimik wajah yang bisa mencairkan. Maka, jika begini tidak mustahil anda akan merana di penghujungnya dan seterusnya ditinggalkan apabila tiada apa lagi untuk anda.
3-ENGGAN BERI KOMITMEN
Sangat penting bagi setiap pasangan untuk menjalin ikatan rasmi dan menjanjikan sikap tanggungjawab serta tidak takut akan komitmen ke akhirnya. Namun, jika pasangan anda masih teragak-agak dan seterusnya seakan tidak ambil peduli akan kewajiban ini, mungkin dia tidak layak untuk anda. Sama ada lelaki mahupun perempuan, soal komitmen tidak boleh diambil ringan malah ia turut melibatkan kelangsungan rumah tangga agar terus tegak berdiri.
Ads
4-SENTIASA ‘SIBUK’
Sebagai pasangan suami isteri dalam melayari bahtera perkahwinan, menghabiskan waktu berdua merupakan satu kemestian dalam mengeratkan jalinan. Kesibukan bukanlah satu alasan untuk anda tidak bersama.
Namun, jika lama kelamaan anda perasan yang dirinya kian mementingkan hal duniawi sehingga mengendahkan emosi serta perasaan anda, maka anda perlulah membuat sesuatu bagi menyelamatkan rumah tangga yang terbina itu.
5- SEBAGAI ‘MEDIATOR’
Ads
Daya tarikan antara anda dan rakan tertentu juga boleh dijadikan musibah dalam satu-satu perhubungan dan secara tidak langsung menjadikan anda mediator atau alat untuk mendekati rakan-rakan anda.
Kebiasaannya, si dia akan bertanya tentang rakan anda, meminta nombor untuk dihubungi dan lain-lain. Oleh itu, penting untuk anda mengamati gerak geri pasangan bagi mengelakkan isu ini daripada meruntuhkan perkahwinan. Secara tidak langsung memberi kesan pada persahabatan bersama teman tersebut.
TIP HADAPI MOMEN GENTIR
– Keraguan itu boleh menyelamatkan, namun jangan terlampau syak wasangka pada sesuatu yang belum diketahui pucuk pangkalnya. Gunakan akal dan jangan terlalu mengikut emosi. Berhadapanlah dengan pasangan anda dengan cara yang matang namun tegas.
– Amalkan untuk sentiasa berhubungan dengan ahli keluarga bagi mendapatkan pandangan mahupun nasihat. Tetapi ingat, jangan sampai membuka pekung di dada.
– Privasi itu hak mutlak setiap daripada kita walau berpasangan. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk sentiasa berjaga sambil memantau gerak geri pasangan anda. Namun ingat jangan terlebih dan melanggar batas.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila belum dikurniakan anak, perasaan sensitifnya dengan pertanyaan orang sekeliling tuhan saja yang tahu. Sebab yang bertanya itu takkan pernah tahu bagaimana susah payahnya kita berusaha nak dapatkan cahaya mata.
Jangan patah semangat, jangan rasa Allah tak sayang, sebabnya ujian zuriat ini memang hebat sekali. Malah menurut Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, 43 nabi Zakaria dahulu pun pernah diuji ketiadaan anak.
“Isterinya mandul dan dia juga sudah tua, maka dia berdoa pada Allah agar dikurniakan cahaya mata.”
Ia juga ujian kesabaran. Tapi suami isteri kena juga berusaha. Yang usaha-usaha sebelum ini contoh bertemu doktor untuk konsultasi dan sebagainya boleh diteruskan. Tip yang Ustaz Hanafiah kongsikan ini adalah petua. Petua ini perlu diamalkan suami isteri, bersama-sama konsisten selama masih dalam usaha, masa yang ustaz tetapkan setahun.
Beliau juga pernah kongsikan petua yang sama sebelum ini di televisyen. Dan Alhamdulillah ramai yang menghubunginya memberi maklumbalas positif. Akui beliau ulama di Yaman berusia 52 tahun, dan pasangannya disahkan mandul. Dan akhirnya setelah bermacam usaha dilakukan, beliau dan isteri mencuba petua dan diamalkan. “Dengan izin Allah dapat anak.”
.
Petua Dapat Zuriat Daripada Ustaz Hanafiah
Hari Pertama
1 kilo kurma yang liat dan kering (elak yang lembik sebab takkan jadi)
1 liter susu kambing (ambil yang fresh baru afdhal)
Caranya
Suami ambil 1 genggam dari 1 kilo kurma tadi.
Isteri pun ambil 1 genggam dari 1 kilo kurma tadi.
Buangkan biji, masukkan kurma-kurma tadi dalam blender.
Tuangkan 1 liter air susu kambing. Kisar.
Isteri minum separuh, suami minum separuh.
Habiskan dalam masa 1 hari
Hari Kedua Dan hari-hari Seterusnya
.
Pasangan Suami dan isteri makan 7 biji kurma yang kering dan liat (jangan yang lembik) setiap pagi. Selepas ambil kurma minum 1 gelas susu kambing setiap pagi. Kurma boleh dimakan sekali gus atau berselang asalkan dihabiskan untuk 1 hari.
Setiap Kali Cuba Petua, Amalkan Bersama
Surah Maryam ayat 1 hingga 12
“Mandul itu bukan tanda kita tak boleh dapat anak,” sambungnya. Kadangkala sesetengah wanita rahimnya diganggu oleh bangsa jin. Manakala kepantangan makhluk bernama jin ini adalah susu kambing.
InsyaAllah… berdoalah pada Allah semoga pasangan yang mengamalkan petua untuk dapatkan zuriat ini diberikan rezeki anak.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri. Itulah ungkapan yang sering didengari dalam menggambarkan pahit manis sesebuah perhubungan. Menjadi perkara biasa apabila pasangan bercanggah pendapat dan berselisihan faham.
Kadangkala sikap pasangan yang panas baran membuatkan masalah tersebut menjadi besar dan mengambil masa untuk diselesaikan. Hinggakan perkara remeh juga menjadi sulit akibat sikap pasangan yang terlalu panas baran.
Pastinya anda berasa rimas dan meyampah bukan? Sebelum hubungan anda menjadi lebih panas dan sukar dibendung, jom kita lihat 6 tip menangani sikap panas baran pasangan.
1. LEBIH BERSABAR
Berhubungan dengan seseorang yang mempunyai masalah kawalan emosi memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Cuba sedaya mampu untuk bertindak sebaliknya kerana jika anda turut bersikap negatif sepertinya, hubungan kalian tidak akan kemana.
Jadi tenang dan tidak melatah tidak bermakna memberi peluang kepala dipijak, tetapi ia memberi contoh yang baik kepada pasangan. Mungkin dia akan rasa malu dengan perbuatannya walhal anda tetap tenang di sisinya.
2. BERI MASA
Kebiasaannya, orang yang cepat marah mudah untuk kembali normal dalam masa yang singkat. Apabila mereka mula menunjukkan rasa tidak puas hati tentang sesuatu perkara yang dibincangkan, berhenti daripada membicarakan perihal itu dan biar dia melayan amarahnya tanpa anda bersuara.
Ya, mungkin dia akan menghempas pintu keluar bilik kerana tidak tahan dengan perasaannya yang membuak-buak itu, tetapi dia pasti akan kembali ke dalam bilik dengan senyuman manja serta kata maaf kerana terkasar bahasa. Apa yang pasti, biar dia buang segala amarah yang ada. Masa akan menyembuhkan dan mengurangkan rasa itu.
3. JANGAN TERLALU MENGIKUT
Tidak semua yang dia lakukan adalah betul. Jika amarahnya itu sampai ke tahap mengugut, mencederakan anda serta merosakkan harta benda, ia tidak harus berterusan begitu. Mereka perlu belajar untuk mengawal perbuatan serta kata-kata yang menyinggung perasaan. Kesabaran anda juga ada hadnya. Biar mereka tahu yang anda juga ada perasaan.
4. ELAK TERLIBAT DALAM PERTENGKARAN
Selalunya, mereka yang mempunyai sifat baran ini mampu untuk menukar perkara kecil menjadi isu besar. Secara perlahan-lahan, dia juga akan membawa anda terlibat sama dalam permasalahan yang diciptanya sendiri. Sebagai contoh, dia menerima panggilan telefon daripada majikannya yang menyuruh dia membentangkan kertas kerja pada saat akhir, sepanjang hari dia akan diselubungi dengan rasa marah dan tidak selesa dek tidak puas hati dengan majikannya.
Ini menyebabkan dia menyalahkan anda pula akibat kesusahan yang dihadapinya itu. Ingatkan dia bahawa anda sentiasa berada di sisi dia untuk memahami situasi itu, selain meminta dia tidak menyalahkan anda yang jelas tiada kena mengena dalam perihal itu. Sebaik sahaja anda menyuarakan pendapat anda ini, jangan sesekali membalas apa juga yang dia cakapkan. Dia sendiri akan rasa bersalah dan mula menyedari apa yang betul.
5. SOKONGAN LUAR
Kadangkala, sifat mudah marah ini perlu dirawat menggunakan khidmat pakar. Ketahuilah bahawa sikap mudah marah boleh menyebabkan perkara yang lebih teruk berlaku seperti kurang waras dan tekanan jiwa. Biar mereka sedar yang anda ingin mereka mengubah sifat buruk anda ini untuk masa depan yang lebih baik.
6. RESPONS YANG TIDAK DIALUKAN
Hanya kerana kedai bakeri kegemarannya kehabisan stok kek yang diingininya, dia marah-marah serta mengamuk tidak tentu hala. Jika anda cuba untuk memberi penjelasan mengapa hal itu berlaku, anda hanya mengundang parah dan meningkatkan lagi amarahnya. Jangan cuba untuk menenangkan kerana itu membuatkan dia rasa lebih tercabar. Dia menganggap pendapat dia sahaja yang betul, walaupun jelas segala maklumat yang anda sampaikan adalah mengikut logik.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Trend kahwin masa kini sudah berbeza berbanding masa dahulu. Dahulu jika bakal pengantin ingin mendapatkan servis perkahwinan, mereka akan datang ke butik untuk berbincang. Namun dengan dunia yang serba canggih ini, serba-serbi menjadi lebih mudah. Ini termasuklah dalam hal memilih perancang perkahwinan yang kebelakangan ini hebat melakukan promosi di pelbagai media sosial.
Kewujudan media sosial diakui sangat membantu bakal pengantin yang sibuk dalam memilih perancang perkahwinan. Cukup dengan melihat posting yang pernah diselenggaranya menarik dan menepati selera, bakal pengantin boleh terus menghubungi terus perancang perkahwinan baik melalui Direct Massage ataupun nombor yang tertera pada keterangan kolum Bio.
Buat bakal pengantin berikut dikongsikan 10 tip mudah oleh Perancang Perkahwinan Mahligai Creative , Farah Razali & Ashraf Mansor. Semoga majlis kahwin anda menjadi hari terpenting dalam hidup.
Sebelum berjumpa dengan perancang perkahwinan, keluarga ke dua belah pihak sebaiknya sudah menetapkan tarikh untuk majlis nikah dan sanding kedua belah pihak. Ini bagi memudahkan perancang perkahwinan menetapkan kerja dengan sempurna.
2. Lokasi majlis
Selain itu bakal pengantin perlu menetapkan di manakan lokasi majlis iaitu bernikah dan sanding itu mahu diadakan. Adakah di rumah , dewan dan sebagainya. Ia penting untuk perancang perkahwinan membuat persiapan sewajarnya.
3. Waktu majlis
Tetapkan juga waktu majlis sama ada siang atau malam
4. Kos
Bakal pengantin pastinya mempunyai peruntukan tertentu untuk majlis kahwin. Berbincanglah dengan baik kos yang mampu disediakan oleh bakal pengantin supaya majlis yang bakal diadakan berlangsung dengan sempurna
5. Tema atau konsep majlis
Tentukan juga konsep majlis dari segi dekorasi pelamin , baju dan sebagainya. Barulah perancang perkahwinan dapat mengilhamkan sebagaimana yang bakal pengantin inginkan. Mungkin juga juga kombinasi dari idea anda anda perancang perkahwinan dapat merealisasikan sesuatu yang unik untuk majlis bahagia anda.
6. Jumlah tetamu
Ini sangat penting agar tidak ada yang kurang atau lebih contohnya makanan makanan yang disediakan dan sebagainya.
7. Pengalaman rakan
Sebelum pilih perancang perkahwinan, dapatkan cadangan atau pengalaman rakan-rakan atau saudara mara yang anda sudah saksikan sendiri hasil kreativitinya.
8. Ikut kemampuan
Survey dulu perancang perkahwinan yang berbaloi dan mengikut kemampuan anda, bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri.
9. Berjumpa dan berbincang
Berkomunikasi dahulu dengan perancang perkahwinan untuk memastikan anda mempunyai ‘chemistry’ bersama untuk menjayakan majlis anda.
10. Ikut citarasa
Pilih perancang perkahwinan yang boleh mengikut citarasa anda dan kukuh di dalam industri perkahwinan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!