Walaupun pemberian hantaran hanyalah adat semata-mata, ia sudah dilihat seperti satu kemestian yang harus ada sebagai tanda pemberian di kedua-dua belah pihak. Tidak kiralah berapa jumlah yang dibalas mahupun jenis barangan yang diberi, ia terpulang kepada pasangan dan ahli keluarga dalam menentukannya.
Kali ini, Pesona Pengantin aturkan tip untuk tidak membazir pada hantaran yang dikirim agar pasangan mempelai dapat mengurangkan belanja perkahwinan.
Jangan Mengikut Trend
Trend kini lebih melihat gajet berteknologi untuk dijadikan barang hantaran buat pasangan mempelai. Benar! Ia dilihat sebagai mengikut arus teknologi dan pastinya bingkisan yang diberi kelihatan lebih mahal dari biasa seperti telefon pintar, kamera serta komputer riba. Namun, jika ia bukanlah satu keperluan dan sekadar untuk dilihat gah, ia merupakan satu pembaziran yang tidak harus dilakukan terutamanya buat pasangan yang bukan daripada golongan berkemampuan. Jangan disebabkan trend, anda sanggup mengikat perut sendiri.
Jualan Akhir Tahun
Kebiasaannya, jualan akhir tahun menawarkan barangan berjenama dengan harga yang lebih murah. Barangan dalam bentuk set seperti barangan kecantikan, wangian serta aksesori sememangnya disyorkan kerana potongan daripada setiap barangan adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan pembelian secara satu.
Sekadar Memenuhi Adat
Ketahuilah bahawa memberi hantaran merupakan adat semata-mata. Jadi, ia bukanlah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan dalam sesebuah perkahwinan. Oleh itu, sediakan hantaran secara sederhana dan mengikut kemampuan anda. Jumlah dan barangan yang menjadi hantaran harus difikirkan mengikut keperluan agar barangan itu dapat digunakan semula untuk masa akan datang. Paling penting ialah ikatan yang sah, bukannya bilangan hantaran yang hanya sekadar memenuhi adat sahaja.
Barangan Berjenama
Buat sesetengah pasangan mempelai, hantaran yang dihias indah haruslah diisi dengan barangan yang mewah dan berjenama. Tiada salah untuk anda yang benar-benar mampu untuk memilikinya, namun buat yang tidak berkemampuan tapi masih menginginkannya, itu akan mendatangkan masalah. Ingatlah bahawa kehidupan selepas perkahwinan adalah lebih penting daripada barangan hantaran berjenama yang boleh mendatangkan beban dan pembaziran.
Gubah Sendiri
Melakukan gubahan pada hantaran digalakkan di samping dapat menjimatkan belanja upah. Selain kos yang kurang, idea untuk menghiasinya dapat memenuhi kehendak anda sendiri. Buat rujukan menerusi majalah-majalah perkahwinan mahupun laman sesawang yang boleh memberi idea serta tutorial agar gubahan yang dihasilkan tampak lebih menarik. Gunakan barangan sendiri jika perlu. Siapa sangka, mungkin anda dapat menghasilkan magis pada ciptaan anda nanti!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI