
Majlis bakal berlangsung tidak lama lagi namun masih tercari-cari apa warna tema yang tengah ‘in’ dan menarik serta sempurna bagi majlis kahwin. Rajin-rajinlah menyemak pinterest dan melihat idea perkahwinan sama ada dalam dan luar negara. Suai padan warna tersebut boleh jadikan inspirasi buat anda. Jangan tersalah pilih tema warna ya. Berikut tip yang boleh bakal pengantin gunakan sebagai rujukan.
Warna Baju Pengantin
Bagi yang memilih warna kegemaran sebagai warna tema, pastikan warna kegemaran anda itu sesuai dengan kulit anda dan pasangan. Jika anda berkulit cerah, pastikan anda tidak mengenakan pakaian yang berwarna terlalu terang bagi mengelakkan anda tenggelam.
Untuk anda badan agak berisi , warna juga memainkan peranan penting agar tidak kelihatan sarat semasa anda menggayakan pakaian pengantin. Pilih baju gelap agar anda kelihatan lebih kurus dan lebih selesa. Anda juga boleh meminta tukang jahit baju pengantin anda menghiasi baju dengan manik beserta lace di bahagian-bahagian yang berisi agar tidak nampak sarat.

Pelamin
Pemilihan warna pada pelamin juga adalah penting untuk anda kelihatan menonjol di atas pelamin. Elakkan warna yang sama dengan baju pengantin anda. Ianya akan membuatkan anda dan pasangan tenggelam. Untuk lebih selamat, pilih warna putih atau warna-warna lembut untuk pelamin anda. Pemilihan bunga juga perlulah matching dengan warna pelamin agar gambar yang diambil oleh jurukamera kelihatan cantik dan sempurna.
Baju pengapit
Seperti kebiasaan trend masa kini, pengapit juga menjadi salah satu kepentingan bagi sesetengah pengantin. Tema baju untuk pengapit juga perlu dititikberatkan bagi menampakkan keindahan dalam fotografi. Pilih warna baju yang lembut dan tidak kontra untuk pengapit agar anda kelihatan menonjol.

Baju Keluarga
Sama seperti pemilihan baju pengapit , baju untuk keluarga anda mahupun keluarga pasangan juga haruslah warna baju yang lembut dan tidak kontra. Jika anda memilih warna yang terang untuk baju pengantin, pilih warna yang lembut untuk baju keluarga dan pengapit anda.
Best Friend Isteri Adalah SUAMI. Jadilah ‘SAHABAT’ Paling Setia

Sebaik sahaja lafaz akad, seorang wanita sah menjadi isteri. Dunianya hanyalah pada suami dan anak-anak. Saat itu, bukan dia meminta untuk memisahkan diri dari mana-mana persahabatan namun dia perlu menjalankan kewajipan sebagai isteri.
Maka suami, hargailah. Saat dia meninggalkan sahabatnya, dia mengharapkan anda menjadi temannya yang paling setia. Yang boleh mendengar keluahan hatinya, yang boleh memberi pendapat tentang fesyen yang disarungkan, yang boleh menjadi tempat untuk bergurau senda.
Malahan, di dalam sebuah hadis
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُول اللَّه صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ : أَكْمَل الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهمْ خُلُقًا، وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ
Maksudnya: Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang mukmin yang paling baik akhlaknya dan sebaik-sebaik kamu adalah orang yang paling baik kepada isterinya” (Hadis Riwayat. At-Tirmidzi, 3/466; Ahmad, 2/250 dan Ibnu Hibban, 9/483. Hadis dinyatakan sahih oleh Imam at-Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Syaikh al-Albani.)
Apa adab yang perlu suami tunjukkan pada isteri?
- Lemah lembut
Wanita adalah kaum yang penuh dengan kelembutan. Bagaimana dia melayan orang, begitu juga dia mahu suami melayaninya dengan penuh kelembutan termasuklah tutur kata. Ia melembutkan jiwa dan menenangkan hati yang hiba.
2. Berkomunikasi dengan baik
Jagalah tutur kata agar hubungan rumahtangga terpelihara.
3. Tunjuk rasa cinta dan kasih sayang
Siapa yang akan halang untuk seorang suami menunjukkan rasa sayangnya pada isteri? Terdapat banyak cara yang boleh suami zahirkan rasa sayang sebagai contoh Nabi Muhammad SAW pernah bermain lumba lari dengan isterinya Aisyah RA.
4. Usah persoalkan kesalahan pasangan
Semakin kita mencari kelemahan pasangan, semakin kita mendekati pergaduhan dan perselisihan faham. Ada ego suami yang perlu direndahkan saat ini. Ingatlah, apa yang anda lakukan demi kebaikan, pastinya akan dibalas dengan lebih banyak kebaikan lain.
5. Lakukan aktiviti bersama
Ambillah masa yang banyak bersama isteri. Bawalah dia keluar berjalan atau temanilah dia membeli-belah. Sesuatu perkara yang sering dilakukan dengan kawan-kawan seronok juga dilakukan bersama suami.
Jadi, anda pilih untuk menjadi best friend isteri atau membiarkan mereka bersama-sama temannya tanpa anda di sisi. Cuba hargai saat bersama isteri supaya kehidupan dalam perkahwinan lebih bererti.
Kredit foto: Sweetpictures KL
Selamat Menjadi Ayah, Ini 5 Amalan Yang Perlu Dan Tidak Perlu Untuk Raikan Orang Baru

Ibu bapa manalah yang tidak gembira apabila anak mereka dilahirkan. Kelahiran anak yang diamanahkan oleh Allah SWT itu merupakan simbol kasih sayang antara pasangan dan tanda kegembiraan hidup berkeluarga.
Namun, di sebalik kegembiraan dan kebahagian, ada pula tanggungjawab baru yang perlu dipikul oleh kedua-dua ibu dan bapa. Ada yang sudah berpengalaman menyambut kedatangan insan baru, tapi masih ramai sebenarnya yang keliru dengan amalan yang sering dibuat oleh masyarakat Melayu.
Yang mana satu sunnah, yang mana satu adat dan yang mana satu khurafat? Kami kongsikan 5 amalan yang biasa dibuat dalam masyarakat Melayu selepas bayi dilahirkan:
1 Menanam uri
Menurut Mufti Faraz Adam Al-Mahmudi, tubuh badan manusia ini bukanlah hak milik kita. Ia hanyalah pinjaman Allah SWT sementara kita berada di atas muka bumi. Sebagaimana jenazah seorang Muslim perlu ditanam, begitu jugalah uri dan tali pusat seorang bayi yang baru dilahirkan.
Cara menanam uri pula mudah sahaja. Dr. Danial menjelaskan uri hanya perlu dicuci bersih menggunakan air sahaja sebelum dibungkus ketat menggunakan plastik dan ditanam.
Ramai orang Melayu yang terikut-ikut amalan seperti menggunakan kunyit, limau nipis, asam keping dan sebagainya ketika membasuh uri. Ada yang lebih mengarut dengan meletakkan paku dan kain putih/hitam untuk menghalau jin.
Malah, lebih menyedihkan apabila ada ibu bapa yang percaya bahawa menanam uri bersama pen, kalkulator, laptop dan kamus boleh membuatkan anak tersebut membesar menjadi orang yang bijak pandai.
2 Membelah mulut
Masih wujud golongan Melayu yang percaya membelah mulut perlu dibuat menggunakan cincin emas yang direndam dalam air zamzam, potongan asam keping dan sebagainya. Sebenarnya upacara “belah mulut” ini adalah adat yang berasal dari kaum Hindu agar mendatangkan kepetahan, kebijaksanaan dan kebaikan kepada bayi.
Dalam Islam, sunnah Rasulullah hanyalah dengan mentahnikkan bayi tersebut dengan buah kurma. Jika tiada tamar (kurma biasa/kering), bolehlah menggunakan rutab (kurma yang masak ranum/basah).
Ada ulama yang berpendapat jika ketiadaan kurma, anda boleh bertahnik menggunakan manisan lain seperti madu. Namun, kami pernah kupaskan isu ini di mana kajian mendapati madu sebenarnya tidak boleh diberikan kepada bayi dibawah umur 12 bulan.
Bukanlah kami katakan jatuh hukum haram memberi madu, tapi jika ia boleh mendatangkan mudarat, sebaik-baiknya elakkanlah. Lagipun, kita nak buat perkara sunnah kan? Sunnah Rasulullah hanya guna buah kurma. Zaman sekarang ini rasanya tak sukar pun nak mencari buah kurma sehingga perlu diganti dengan madu atau manisan lain. Ada saja buah kurma dijual sepanjang tahun.
Menurut Ustaz Khalid Basalamah, cara bertahnik juga amat mudah. Ia boleh dilakukan oleh bapa bayi sendiri atau mana-mana orang yang soleh. Kunyah sedikit sahaja isi kurma sehingga hancur sebelum diambil secalit pada hujung jari untuk dilalukan ke lelangit mulut bayi tersebut.
Pastikan orang yang mentahnik itu membersihkan tangan, menggosok gigi dan berkumur terlebih dahulu sebelum mula ya.
3 Mencukur jambul
Dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz menyatakan amalan mencukur jambul (bahagian depan rambut sahaja) dan menggunakan kelapa semasa upacara tersebut berlangsung adalah amalan bidaah dan khurafat kerana meniru ritual agama Hindu.
Menurutnya lagi, Islam menggalakkan rambut bayi dicukur sehingga botak untuk menyingkirkan segala kekotoran yang melekat di kepala bayi semasa dalam kandungan dan agar rambut baru dapat tumbuh dengan lebih sihat.
Rambut yang telah dicukur itu kemudian disedekahkan kepada fakir miskin dengan cara menimbang dan menyamakan berat rambut dengan nilai perak atau emas.
Sebagai contoh, berat rambut adalah 1 gram manakala nilai emas (1 gram) pada hari tersebut adalah RM180. Jadi, wang RM180 itu perlu dijadikan sedekah kepada fakir miskin.
Ustaz Azhar Idrus pula berkata mengadakan majlis cukur jambul sekadar ‘cukup syarat’ tidak menjadi satu kesalahan. Namun, ibu bapa perlu memastikan rambut bayi masih dicukur botak setelah majlis selesai. Selain itu, sunnah mencukur rambut ini terpakai untuk kedua-dua jantina bayi iaitu lelaki dan perempuan dan paling afdal dibuat pada hari ke-7 selepas kelahiran.
4 Berendoi
Ibadah aqiqah disunatkan kepada setiap bayi yang baru dilahirkan. Sunnah Rasulullah menyatakan ia paling elok dibuat semasa hari ke-7 kelahiran bayi. Namun hukumnya sunat muakkad selagi anak itu masih belum baligh dan harus apabila anak sudah baligh.
Daripada Samurah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.” (Riwayat Abu Daud : 1522)
Tertib sunat yang terbaik adalah menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan 1 ekor kambing bagi anak perempuan. Walaupun begitu, Mufti WP menyatakan ia memadai sekiranya dapat menyembelih 1 ekor kambing sahaja bagi anak lelaki.
Daging kambing yang disembelih bolehlah dimasak sebagai jamuan atau diagih-agihkan.
Walau bagaimanapun, kecenderungan masyarakat zaman kini dalam mengadakan majlis akikah berserta adat berendoi secara besar-besaran bagaikan kenduri kahwin mempunyai pandangan yang berbeza-beza.
Menurut Ustaz Rohidzir Rais, adat berendoi menggunakan buaian yang dihias cantik sambil didendangkan marhaban dan berzanji merupakan adat Melayu yang sudah lama dipraktikkan. Amalan ini tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam. Walaupun ia bukan berasal daripada Rasulullah SAW, ia dibolehkan selagi tidak berlebih-lebihan. Namun, lebih afdal sekiranya ia digantikan dengan amalan lain seperti bacaan Al-Quran atau berzikir untuk mengelakkan khilaf.
Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz pula menegaskan bahawa majlis keraian itu sekiranya diadakan secara besar-besaran, niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk dan mempamerkan unsur kemewahan. Niat seseorang haruslah benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Dikhuatiri kalau tersilap langkah, boleh bertukar menjadi riak. Daripada elok-elok mengejar pahala sunat, tiba-tiba mendapat dosa pula.
5 Menjauhi “gangguan”
Ramai ibu bapa yang amat takut dengan syaitan dan jin yang boleh mengganggu anak kecil. Ada yang terlalu taksub sehingga percaya dengan tangkal atau azimat seperti meletakkan paku, gunting dan sebagainya di bawah bantal bayi atau meletakkan buku surah Yaasin berhampiran dengan bayi dengan niat memberi perlindungan daripada gangguan.
Malah, lebih menyedihkan apabila segelintir masyarakat masih lagi mempercayai amalan khurafat seperti memakaikan benang hitam/kuning yang telah dibacakan ayat jampi untuk menghalau jin.
Jumhur ulama mengatakan haram mempercayai atau menggunakan tangkal dan azimat. Umat Islam ditegah melakukannya kerana dikhuatiri boleh jatuh syirik.
Menurut Ustaz Azhar Idrus, sememangnya wujud Ummu Sibyaan iaitu iblis yang suka mengganggu anak kecil. Tetapi kaedah yang terbaik untuk mengelakkan gangguan iblis ini adalah dengan menutup semua pintu dan tingkap ketika hampir waktu Maghrib.
Sekiranya anak menangis tidak henti-henti kerana dipercayai terkena gangguan syaitan, anda bolehlah bacakan ayat Kursi dan tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Naas), ditiup pada kepala bayi sambil berkata “Wahai Ummu Sibyaan, keluar dan jangan ganggu anak aku.” Kemudian, biarkan anak tidur dalam keadaan meniarap.
Kami berharap agar artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa yang baru menimang cahaya mata.
Perlu diingatkan, kebanyakan amalan semasa menyambut kelahiran bayi adalah sunat dilakukan. Tidak wajib bagi ibu bapa untuk membuat akikah, bertahnik dan mencukur rambut. Janganlah kita terlalu sibuk mengejar perkara yang sunat sehingga berlaku pembaziran. Malah, lebih teruk lagi sehingga tidak sedar yang kita sebenarnya telah melakukan perkara khurafat dan bidaah.
Pelukan Suami Isteri Memiliki Bahasa Komunikasi Yang Ternyata Cukup Luar Biasa

Pelukan ternyata memiliki khasiat yang luar biasa dalam hubungan perkahwinan. Tidak hanya akan ada cinta yang tumbuh lebih kuat, anda juga akan semakin kuat dan lebih bersemangat apabila berpelukan dengan pasangan yang dicintai. Suami isteri diibaratkan sebagai pakaian yang saling melengkapi, saling menutupi dan saling memerlukan.
Pelukan suami isteri memiliki bahasa komunikasi yang ternyata cukup luar biasa. Ada berpendapat, satu pelukan dapat membantu komunikasi non-verbal untuk menggambarkan rasa sayang, terharu, terima kasih, kekesalan dan kemarahan. Malah dengan satu pelukan sehari juga boleh ‘memanaskan’ kasih sayang dan cinta suami isteri.
Jika ingin menunjukkan bahawa suami peduli, maka peluklah isteri kerana ada ketikanya isteri lebih merasa bimbang akan suaminya. Sentuhan yang penuh dengan kasih sayang dan kehangatan akan meningkatkan lagi ghairah dan emosi positif pada pasangan. Cara suami memberikan sentuhan membuatkan isteri merasai makna yang tersendiri dalam setiap sentuhan suami. Bagi suami yang sedang membaca artikel ini, anda disarankan untuk memeluk isteri sekurang-kurangnya satu kali sehari.
Di sini ada lima keadaan yang dikatakan sesuai untuk suami memeluk isteri agar isteri rasa dirinya lebih dihargai.
1. Sebelum ke tempat kerja
Setiap hari sebelum suami melangkah ke tempat kerja, peluklah isteri erat-erat selama 10 saat. Lagi lama, lagi baik! Khabarnya, ia boleh memanjangkan usia. Tapi jangan lama sangat, takut tak jadi pergi kerja pula. Isteri yang tinggal di rumah akan rasa lebih dihargai apabila suami memeluknya.
2. Ketika menonton televisyen
Tidak perlu rasa malu sekiranya pelukan boleh membarakan kasih sayang suami isteri. Dalam kelekaaan menonton televisyen, lebih mesra jika suami datang dan mendakap isteri. Kebetulan pula menonton cerita romantik bersama, pastinya pelukan itu akan menjadi lebih mesra. Sebaliknya jika cerita seram yang ditonton, pastinya pelukan itu akan menenangkan ketakutan isteri.
3. Ketika isteri sibuk di dapur
Ketika isteri sedang leka memasak atau membasuh pinggan mangkuk, rangkullah pinggang isteri dari belakang dan peluklah dirinya dengan mesra. Isteri akan rasa bahagia, malah kepenatannya menguruskan rumah tangga tidak akan terasa apabila suami memeluknya. Elemen kejutan seperti ini akan membuatkan isteri rasa dihargai, malah ia sememangnya diinginkan oleh isteri. Biarpun suami tidak membantu isteri memasak, sentuhan mesra seperti ini sudah cukup membahagiakan.
4. Ketika tidur
Tidur di atas lengan suami ternyata satu nikmat yang paling indah bagi seorang isteri. Tidur berpelukan dapat meredakan stres kerja, menurunkan tekanan dan meningkatkan memori. Perkara positif seperti ini hanya berlaku jika anda memeluk pasangan yang disayangi. Pasangan suami isteri yang sering berpelukan ketika tidur akan membuat mereka lebih awet muda. Hal ini terjadi kerana pasangan rasa bahagia dan saling mencintai sehingga hormon oksitosin (hormon bahagia) terlepas bebas dalam tubuh masing-masing.
5. Ketika isteri sedang merajuk
Cara yang terbaik untuk memujuk isteri yang sedang merajuk adalah dengan memeluk isteri. Hati yang panas terus jadi luluh apabila suami memeluknya erat. Orang perempuan ini bukanlah nakkan duit atau harta benda. Kalau isteri merajuk, kata-kata mesra dan pelukan manja pun boleh memujuk hati yang panas.
Tidak sukar menawan hati wanita, hanya dengan pelukan yang berbaur kasih sayang ia mampu mencairkan hati wanita.