Bila dapat tahu pasangan anda berlaku curang, cuba cara ini.

Bersemuka dengan pasangan bukan bermakna kita menyerang pasangan.

Menyerang lebih kepada serangan peribadi yang menyakitkan seperti tuduhan, kritikan, hentaman serta penderaan mental, emosi mahupun fizikal.

Sebaliknya konsep bersemuka dengan pasangan adalah persetujuan untuk mendapatkan penjelasan terhadap sesuatu isu.

Beberapa perkara yang mungkin berlaku sekiranya isteri yang dicurangi berkonfrontasi dengan suami yang curang.

Antara respons atau maklum balas daripada pasangan boleh datang dalam pelbagai bentuk iaitu:

Penerangan
Pengakuan
Penafian
Pembelaan diri


Tidak dinafikan semua perasaan akan mula bercampur-baur bila mengesyaki pasangan berlaku curang di belakang.

Perlu atau tidak berdepan dengan pasangan bagi merungkai segala persoalan yang bermain di fikiran adalah terpulang kepada anda.

Dinasihatkan agar anda menilai beberapa perkara di bawah ini sebelum melakukannya:

1. Buat Persediaan Yang Sewajarnya
Pilih masa dan tempat yang sesuai dan jauh dari gangguan.

Pastikan anda betul-betul tenang dan bersedia untuk berdepan dengan pasangan.

Elakkan confront disaat anda sedang marah kerana keberkesanan perbincangan bergantung pada apa yang anda fikirkan dan bagaimana anda melaluinya.

Maklumkan pada pasangan apa tujuan dan harapan anda dari perbincangan tersebut.

2. Elakkan Perkara Ini
Elakkan confront melalui telefon mahupun mesej.

Maklumkan pada pasangan apa yang anda telah tahu, dengar dan nampak tentang kecurangannya.

Mohon penjelasan sebaiknya jika terdapat percanggahan maklumat yang ditemui.

IKLAN

Luahkan perasaan anda yang terasa dikhianati, sedih, kecewa, takut, terhina andai tiada ketelusan dan kejujuran dalam kata-kata pasangan anda.

Elakkan memerangkap pasangan anda dengan penipuan hanya untuk mendapatkan kebenaran seperti mengada-mengadakan cerita atau bahan bukti yang tidak wujud kerana ia boleh mengeruhkan keadaan.

Bijaklah dalam menanyakan soalan.

Saya dengar awak kerap keluar berdua dengan staf awak, boleh jelaskan pada saya?

adalah lebih baik daripda terus menyerang dengan soalan seperti:

Awak curang dengan saya ke? Siapa dia orang tu?

Perlukah kita bersemuka dengan orang yang cuba merosakkan rumah tangga kita?

Lazimnya, kemarahan yang datang tatkala mengetahui pasangan ada hubungan sulit membuatkan anda terasa benar ingin bersemuka atau menyerang orang ketiga tersebut dan memberitahu pasangannya (jika orang ketiga itu sudah berkahwin) tentang kecurangan yang berlaku.

Mungkin ia boleh memberi kepuasan — tetapi cuma seketika.

Anda tidak dapat apa-apa dengan cara ini melainkan hanya lebih terluka dan sakit hati.

IKLAN

Bagi sesetengah individu yang dicurangi apa yang dilakukan itu adalah sebagai dendam.

Bagi yang lain pula, mereka percaya apabila keluarga, suami atau isteri orang ketiga itu tahu, maka akan tamatlah skandalnya.

Apa yang diharap daripada tindakannya itu adalah orang ketiga akan merasakan derita seperti yang dirasainya.

Mungkin betul dia akan terasa sakit malah orang di sekelilingnya, anak-anak dan ahli keluarga turut terasa sakitnya.

Biarpun begitu, kesakitan anda tidak akan terhenti di situ malah masalah tidak akan selesai jika dimaklumkan pada pasangan orang ketiga itu.

Oleh itu, jika anda bercadang untuk memberitahu pada pasangan orang ketiga itu, fikirlah berkali-kali.

Ramai wanita atau isteri yang dicurangi menyesal setelah bertindak memaklumkan kecurangan yang berlaku pada pasangan orang ketiga.

Ini kerana mereka akan dimarahi oleh suami yang sedang angau bercinta.

Malah lebih sakit apabila suami menyebelahi dan membela kekasih gelapnya dari isteri sendiri.

IKLAN

Ini adalah pahit untuk ditelan. Rasa lebih sakit dikhianati.

Andai masih berhajat dan berhasrat ingin menemuinya atau bercakap dengannya sama ada melalui telefon atau whatsapp, dua persoalan yang harus kita timbulkan:

  • Apa niat dan tujuan untuk berjumpa?
  • Bagaimana keadaan emosi diri sebelum, semasa dan selepas bersemuka?

Buatlah senarai semak baik dan buruk bagi memperjelaskan kesan setiap tindakan yang ingin dilaksanakan.

Andai kedua-dua jawapannya adalah negatif, maka elakkan dari meneruskan rancangan tersebut.

Namun jika sebaliknya, maka berundinglah secara bijaksana dan penuh terhormat.

Walaupun niat anda baik untuk mempertahankan rumahtangga tetapi jika tidak kena dengan caranya seumpanya menyerang, bergaduh, maki hamun dan sebagainya, maka natijah akan lari dari landasan sebenar.

Ingatlah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.

Bila niat dan cara baik pendekatannya, natijahnya akan turut baik.

Berikan tumpuan dan fokus pada apa yang penting sekarang.

Satu percubaan yang dilihat dapat membantu ialah dengan duduk dan bercakap dengan pasangan anda yang curang dalam keadaan tenang.

Ini akan membuatkan pasangan anda rasa selamat untuk menjawab.

Anda perlu tahu niatnya terhadap hubungan itu.

Orang ketiga tidak mempunyai jawapan kepada soalan ini.

Hanya dengan bercakap dengan pasangan anda akan tahu erti hubungan itu padanya dan bagaimana anda boleh membina semula kehidupan.