Kata orang, penghujung asmaradana ialah perkahwinan, menerusi lafaz keramat “Aku terima nikahnya…”. Cinta sakan lagi syahdu macam Shah Rukh Khan dan Kajol dalam filem Kuch Kuch Hota Haipun tidak akan sempurna jika tidak disudahkan dengan persandingan.
Buatlah apa sahaja untuk membuktikan cinta; berkejaran atau guling-guling dalam taman, menyanyi sambil tukar dua tiga persalinan, terjun dalam sungai sambil menjerit “nahi, nahi, nahi!”, dan lain-lain adegan… Semuanya tidak akan bererti jika tidak disudahkan di jinjang pelamin.
Pendek kata, kemuncak cinta ialah pelamin. Itulah hakikatnya. Tetapi seyogia juga diingatkan, bukan semua cinta berakhir di atas pelamin. Banyak juga cinta tidak kesampaian. Contoh paling mudah ialah cinta monyet. Jarang cinta jenis ini berakhir di atas persandingan.
Bercakap melalui pengalaman
Bercakap berdasarkan pengalaman, saya pernah melalui saat-saat indah – dan amat syahdu – menjadi ‘monyet’. Ketika itu zaman sekolah menengah dan filem Hindustan menjadi kegilaan orang kampung. Paling nostalgik ialah Sangam danJunglee.
Kami sama-sama di tingkatan lima, cuma berlainan kelas. Saya darjah D, orang panggil kelas paling koman. ‘Monyet’ saya kelas A, kelompok orang pandai. Terbukti cinta tidak mengenal kelas dan tidak mengenal rupa. Dia paling cantik di sekolah, wajah licin bagaikan pauh dilayang. Saya pula penuh jerawat batu.
Kelebihan saya hanya satu – pandai berbahas. Selalu menjadi wakil sekolah. Sekali peristiwa dia mengikut rombongan sekolah, mengiringi team saya di sekolah lain. Dia duduk di barisan hadapan, betul-betul menghadap saya. Tajuk debat Mana Lebih Baik, Pertanian atau Perindustrian.
Ketika berhujah, mata saya tidak lepas-lepas merenung wajahnya. Beberapa kali mata kami bertentangan dan dada saya berdebar kencang. Team saya kalah dalam pertandingan debat itu. Tetapi, saya memenangi hatinya. Dalam bas, selepas kekalahan itu saya memberanikan diri duduk di sebelahnya. Dan, cinta pun bermula!
Memanglah kami tidak berlari-lari mengejar kereta api, sebab tempat saya tidak ada kereta api. Tidak juga berguling-guling di atas daun getah kering, sambil menjerit “mohabat, mohabat!”. Tidak ada jip, juga tidak ada Inspektor Sahab, macam dalam kebanyakan filem Hindustan.
Ads
Demi cinta, sanggup ku harungi lautan api
Tetapi setiap malam, tidur saya sering bermimpikan wajahnya. Mimpi pun warna-warni. Waktu itu saya hafal dua tiga lagu Hindustan. Saya berazam lepas SPM, suruh emak masuk meminang wajah pauh dilayang itu. Demi cinta, sanggup ku harungi lautan api walaupun dengan kapal kertas. Sikit punya madah, fuhhh.
Di sekolah, kami sama-sama ke perpustakaan, ambil buku duduk semeja. Tetapi tidak membaca buku, sebab asyik merenung sesama sendiri. Dalam senyap, perasaan membara. Kami sama-sama ke kantin, makan nasi lemak, malah pernah sekali minum sirap berkongsi gelas dan straw. Memang Hindustan!
Semua orang termasuk guru besar tahu Laila Majnun sedang asyik maksyuk di sekolah. Malah, guru disiplin yang terkenal garang itu pernah memanggil kami masuk ke biliknya, menasihatkan kami supaya jangan terlalu asyik bercinta, takut nanti kecundang dalam SPM. Ada aku kisah! Kami telah berjanji sehidup semati. Sanggup tidur berbantal lengan, bertilamkan rumput, berselimutkan embun. Bagi saya, cinta ini mendorong untuk belajar lebih kuat. Kami sering bertukar nota, berbincang tentang soalan ramalan. Dan, setiap kali habis perbincangan pasti kata I love you... Fulamak!
Terbukti tidak sampai ke mana
Tetapi, nama pun cinta monyet. Terbukti tidak sampai ke mana. Selepas SPM, dia disambar oleh ‘monyet’ lain. Tidak lama kemudian bertunang dan kahwin dengan ‘monyet’ yang ada motosikal Vespa. Saya membawa sekeping hati yang lara ke Kuala Lumpur, dan kemudiannya bertemu dengan banyak lagi ‘monyet’…
Jika cinta monyet anda tidak sampai ke jinjang pelamin, janganlah bersedih. Tidak perlu hantuk-hantuk kepala ke batang pisang sambil menjerit “Kenapa kau mungkiri cinta kita!” Percayalah, kelawar dan kala jengking pun tidak akan simpati. Sebenarnya ada ramai lagi ‘monyet’ di luar sana yang gagal memeterai cinta di atas pelamin. Ada sekian banyak lagi cinta yang tidak sampai ke pelamin, malah dalam keadaan yang lebih pilu daripada cinta monyet. Bayangkan setelah bercinta sejak universiti, sama-sama kumpul duit setelah bekerja, tiba-tiba tidak dapat kahwin, sebab si Laila meninggal dunia akibat demam denggi.
Ads
Selalu juga kita dengar – mungkin mengalami sendiri – perihal cinta kalah Romeo dan Juliet, tetapi terpaksa diputuskan secara mendadak sebab orang tua tidak merestui. Maka dermaga pun menjadi saksi bisu, seperti yang diluahkan dalam lagu oleh Saleem. Pernah juga kita baca kisah duka, pelamin telah siap, penanggah telah didirikan, lembu dan kerbau telah disembelih untuk dikorbankan, tetamu telah diundang dan sanak-saudara telah berkumpul, tetapi akhirnya pelamin tidak sempat digunakan kerana pengantin terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Ada juga alkisah cinta telah diluahkan dengan madah dan pujian yang keterlaluan. Engkaulah intan, engkaulah payung. Dikaulah permata hati, bulan, bintang, awan. Adindalah mangga harumanis, adindalah durian Musang King…
Tetapi yang dipuja siang malam itu akhirnya tidak boleh diajak naik pelamin, gara-gara si Majnun gagal mendapat keizinan berpoligami daripada isteri pertama. Maka, intan, payung, bulan, bintang hatta Musang King, tidak bererti apa-apa lagi.
Hatta, belum lama dulu kita mendengar kisah cinta paling klasik tetapi tidak juga berakhir di pelamin, sebaliknya terhenti setakat di ruang akad nikah. Sepasang kekasih – Roslan dan Halimah – memadu cinta sejak tahun akhir di universiti. Sama-sama lulus cemerlang, sama-sama mendapat jawatan baik.
Tetapi sesuatu yang tidak diduga terbongkar ketika pasangan tersebut hendak diijabkabulkan. Setelah dokumen diri diteliti pecahlah rahsia selama ini, rupanya kedua bakal mempelai itu sama jantina. Kekasih yang selama ini dikenali sebagai Halimah, rupa-rupanya Halim bin Sifulan. Mana mungkin bin boleh berkahwin dengan bin! Bin mesti nikah dan bersanding dengan binti.
Ads
Amaran kepada pasangan yang sedang bercinta
Amaran kepada pasangan yang sedang bercinta; Pastikan anda melihat sendiri kad pengenalan pasangan untuk mengesahkan jantina. Pastikan Laila anda betul-betul ‘Ramlah’, bukan ‘Ramli’. ‘Jamaliah’, bukan ‘Jamal’. Pastikan dia binti, bukan bin.
Pendek kata, betapa hebat pun kisah cinta dan asmaradana yang dilalui, jalan untuk ke jinjang pelamin sentiasa berliku dan penuh dengan duri. Ada sahaja halangan dan cabaran untuk betul-betul bersanding di atas pelamin.
Oleh sebab itu bersyukurlah bagi pasangan yang akhirnya dapat disatukan dengan ijab kabul dan disandingkan di pelamin. Kalau yang disandingkan itu ialah pasangan ketika cinta monyet dahulu, itu lebih bagus. Memang ada, tetapi sepatah kata P. Ramlee ‘kadang-kadang…’
Mempelai yang telah sah bersanding di atas pelamin itu pun, masih ada ujian. Sekali peristiwa, majlis salam restu dan merenjis menjadi kelam-kabut apabila pelamin yang indah dan dihiasi dengan bunga telur pengantin, tiba-tiba senget dan rebah. Maka telur pengantin pun bergolek di lantai.
Apa pun ini bukan salah pengantin, tetapi salah tukang buat pelamin. Amaran; tukang buat pelamin jangan hanya mengukur saiz pelamin, tetapi pastikan juga tukang buat pelamin mendapat ukuran sebenar saiz dan berat tubuh pengantin.
Akhir kalam, bagi yang selamat dan sempurna naik pelamin, saya ucapkan tahniah dan Selamat Pengantin Baharu.
Oleh : Dato’ Jalil Ali
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Indahnya jika mampu mengamalkanya. Ini adalah Fadhilat yang kita semua perlu kejarkan.
Fadhilat Ayat 128 – 129 Surah At-Taubah
Masyallah saya tidak tahu. Betul-betul saya tidak tahu. Umur saya telah hampir separuh abad namun baru sekarang baru saya tahu tentang kelebihan ayat-ayat 128-129 di dalam Surah At-Taubah.
Inilah rezeki yang Allah SWT beri kepada saya di saat-saat saya sunyi sendiri menghadapi kesukaran dan pancaroba hidup ini. Inilah buktiNya Dia masih bersama saya kerana di masa begini tiba-tiba saya terjumpa dan terbaca dengan tidak sengaja tentang kelebihannya.
Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi maklumat ini dengan seberapa ramai yang boleh.
Dikatakan bahawa barangsiapa yang membaca ayat ini sebanyak 7 kali setiap kali selesai solat fardhu, dengan izin Allah
– jika dia seorang yang lemah, maka akan menjadi kuat.
– jika dia seorang yang hina, maka akan menjadi seorang yang mulia.
– jika dia seorang yang kalah, maka akan segera mendapatkan pertolongan.
– jika dia seorang yang berkesempitan, maka akan mendapat kelapangan.
– jika dia seorang yang berhutang, maka akan segera dapat membayar.
– jika dia seorang yang berada dalam kesusahan, maka akan hilang kesusahannya.
– jika dia seorang yang sulit dalam penghidupan, maka akan segera mendapat kelapangan kehidupan.
Untuk dipermudahkan hafazan:
Ayat 128
“Laqad jaakum rasoolun min anfusikum AAazeezun AAalayhi ma AAanittum hareesun AAlaykum bilmu’ mi neena raoofu raheem”
Ayat 129
“Fa-in tawallaw faqul hasbiya Allahu la ilaha illa huw AAalayhi tawakkaltu wahuwa rabbu alAAarshi alAAzeem”
Maksud ayat 128
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w.), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.
Bahasa Inggeris
Surely, a Messenger has come unto you from among yourselves; grievous to him is that you should fall into trouble; he is ardently desirous of your welfare; and to the believers he is compassionate, merciful.
Maksud ayat 129
Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (Wahai Muhammad): “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai ‘Arasy yang besar.
Sumber : http://www.islamituindah.com.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila seseorang lelaki serius dalam hubungan percintaan, mereka akan menunjukkan beberapa tanda yang mereka benar-benar jatuh hati terhadap pasangan. Lelaki agak sukar untuk ditafsir perasaannya kerana mereka bukan seorang yang suka meluahkan.
Namun, dalam entri kali ini, kami akan kongsikan 14 tanda lelaki cukup serius dalam percintaan. Jom kita lihat!
1. Apabila timbul orang ketiga, dia akan hilang akal dan sanggup berbuat apa saja untuk merebut kembali kekasihnya.
2. Si dia sanggup menitiskan air mata demi kekasihnya. Bukan semua lelaki anggup menitiskan air mata hanya untuk seorang perempuan. Tidakkah anda terharu melihat seorang lelaki yang sanggup menitiskan air mata demi anda. Itu membuktikan cintanya begitu kuat buatmu.
3. Si dia akan sentiasa menghantar SMS. Walaupun tidak dibalas. Ini tanda si dia sentiasa memikirkan anda.
4. Jangan anda anggap teman lelakimu seorang yang kuat membebel sekiranya setiap masa dia cuba memberi anda nasihat. Ingat, nasihat bermaksud mengingati.
5. Sentiasa menghiburkan hati anda dikala gundah. Sentiasa bersungguh melakukan sesuatu untuk anda.
6. Lucu tapi hakikatnya begitulah apabila teman lelakimu berperangai tidak ubah seperti anak-anak kecil semata-mata untuk mendapat perhatian daripadamu. Si dia mahu bermanja dan inginkan kekasih hatinya melayannya lebih daripada orang lain yang pernah anda sayang. Kalau dia merajuk hati, sesekali cubalah untuk memujuknya.
Kredit: Karma X Production
7. Sekiranya teman lelakimu sentiasa bertanyakan soalan yang sama, “You masih sayang I?”, jangan anggap itu satu persoalan yang membosankan. Itu tandanya si dia tidak mahu kasih sayang anda kepadanya menjadi luntur. Sebab itu, kalimah tersebut sering diulang-ulang agar anda tahu betapa si dia sentiasa mahu anda ingat diri anda sudah dimiliki olehnya.
8. Dia mudah merasa cemburu dan sensitif apabila kekasihnya tidak menumpukan sepenuh perhatian kepadanya.
9. Tidak suka anda memakai seksi kerana tidak suka anda diperhatikan lelaki lain walaupun berlengan pendek.
10. Kecantikan anda diketepikan. Keikhlasan anda diutamakan.
11. Dia tidak suka ada lelaki lain mendekati kekasihnya.
12. Dia tidak suka anda keluar malam, tanda ingin menjaga pandangan orang terhadap anda.
13. Dia tidak akan berlaku curang kepada kekasihnya namun jikalau dia dia berbuat demikian itu bererti hatinya belum 100 peratus mencintai kekasihnya.
14. Dia berusaha mengongkong kebebasan kekasihnya kerana perasaan cemburunya yang meluap-luap.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Tipulah kalau cakap tidak mahu bernikah sedangkan ianya sudah menjadi fitrah setiap manusia mahu mendirikan rumah tangga bersama pasangannya. Aku juga mempunyai keinginan sebegitu cuma jauh di lubuk hati aku masih gusar untuk bergelar seorang suami. Sesungguhnya tanggungjawab aku akan jauh lebih besar sejurus aku menukar status kepada seorang suami kelak. Aku turut mendalami tentang ilmu-ilmu perkahwinan kerana usiaku juga sudah hampir mencecah lewat 30-an. Malah aku juga telah membuatkan orang tuaku turut bimbang tentang masa depanku. Namun sejauh mana aku dapat mengenal pasti tahap persediaanku untuk bernikah?”
Sudahkah anda bersedia untuk bernikah? Kalau diri anda masih lagi dibayangi dengan ketakutan selepas berkahwin, ternyata anda masih belum benar-benar bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
1. Bersedia dengan komitmen
Pada saat ini anda sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai komitmen yang lebih besar berbanding kehidupan sebelum berkahwin. Sesungguhnya sebelum anda bersedia untuk menerima komitmen yang akan datang, anda memerlukan waktu lagi untuk memantapkan hati anda. Bersikap jujur pada diri sendiri, jangan disebabkan terikut-ikut dengan orang lain membuatkan anda tidak jujur pada diri sendiri.
Sebagai contoh, disebabkan anda mahu mengikut jejak kawan-kawan yang sudah bernikah, tanpa berfikir akan komitmen anda terus mengatakan ‘ya’ untuk bernikah. Sedangkan anda sendiri belum bersedia menghadapi komitmen pada masa akan datang. Namun sekiranya anda benar-benar sudah bersedia, itu tandanya anda sudah siap sedia untuk melangkah ke arah sebuah perkahwinan yang pasti mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih berat.
Komitmen yang dimaksudkan berbeza bagi seorang muslim yang bergelar suami mahupun isteri. Masing-masing mempunyai komitmen tersendiri termasuk dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan juga seorang suami, seorang ibu dan bapa dan juga sebagai seorang anak terhadap orang tuanya.
2. Berani menghadapi perubahan
Setiap orang menyedari akan setiap perubahan yang akan berlaku selepas berkahwin. Banyak perkara yang akan berubah dalam hidup kita dari aspek kehidupan, ekonomi dan juga dari segi tanggungjawab. Dalam persediaan untuk bernikah, setiap muslim haruslah benar-benar bersedia untuk menerima dan menjalani semua perubahan yang berlaku.
Sekiranya anda masih takut untuk berubah, anda masih memerlukan waktu untuk mempersiapkan mental dalam menjalani kehidupan yang baru selepas memasuki alam perkahwinan.
Salah satu contoh yang boleh dilihat; ada sesetengah lelaki lifestyle mereka sebelum berkahwin ialah sering meluangkan masa bersama rakan-rakannya sehingga lewat malam. Namun aktiviti itu harus dikurangkan sejurus mereka bergelar seorang suami lebih-lebih lagi apabila mereka bergelar seorang ayah kelak.
Contoh lain pula, kalau dahulu sebelum bergelar seorang suami, bajet makan untuk sebulan cuma RM500. Namun selepas berkahwin, semakin bertambahlah bajet makan kerana sudah termasuk dengan bajet si isteri. Itu pula adalah salah satu tanggungjawab sebagai seorang suami atau ketua keluarga.
Contoh perubahan pada si perempuan pula adalah; kalau dahulu jarang masak, asyik makan kat luar sahaja. Namun selepas mereka menjadi seorang isteri, sudah menjadi tanggungjawab mereka memasak untuk suaminya. Mereka haruslah memastikan makan, minum dan pakai suami sentiasa terjaga.
3. Sudah yakin dapat menjadi yang terbaik
Kekurangan pada setiap individu adalah kurang keyakinan terhadap diri sendiri. Kadang-kadang kita berasa seperti tidak mampu menjadi yang terbaik untuk orang yang kita cintai. Malah, ada yang dijadikan alasan untuk melewatkan perkahwinan meskipun dari aspek lain kita sudah bersedia.
Padahal secara fitrahnya, setiap orang mempunyai keburukan dan kebaikan masing-masing. Apa yang harus dilakukan adalah dengan menjadi diri sendiri iaitu dengan melakukan semua perkara dengan sebaik mungkin berdasarkan keupayaan sendiri.
Sekiranya pasangan anda benar-benar mencintai diri anda, mereka akan sanggup menerima baik buruk pasangannya. Yakinlah pada diri sendiri supaya dapat menjadi yang terbaik buat pasangan anda dan ikhlas menerima baik buruk pasangan anda itu.
Sebagai contoh, meskipun menyedari akan kekurangan pada diri anda mungkin dari segi ekonomi, ikhtiarlah dalam memperbaiki kekurangan itu ke arah kebaikan. Cuba untuk meyakinkan diri dan dapat menjadi yang terbaik dari pandangan mata pasangan anda.
Kalau lelaki, sebelum mendirikan rumah tangga mereka hanya mempunyai pendapatan yang biasa-biasa sahaja. Namun setelah berkahwin masih banyak perbelanjaan yang harus difikirkan. Oleh itu, mereka seharusnya berusaha ke arah yang lebih baik.
4. Bersedia menghadapi konflik
Seperti perumpamaan melayu “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Perumpamaan ini membawa maksud pertengkaran antara suami dan isteri memang tidak dapat dielakkan. Tanyalah mana-mana pasangan termasuklah pasangan bahagia sekalipun, mereka pasti pernah melaluinya.
Mana tidaknya, soal perbezaan pendapat dan juga kesalahan berkomunikasi juga mampu mendatangkan konflik antara suami dan isteri. Kalau anda masih takut untuk berdepan dengan konflik yang bakal terjadi, anda masih belum benar-benar memiliki kekuatan dalam menangani konflik sebegini.
Contoh jelas yang dapat dilihat, sepanjang tempoh perkenalan dengan si dia anda masih belum mengetahui perangai sebenar pasangan anda. Selepas anda mendirikan rumah tangga, anda akan mengenal pasti perbezaan yang ada pada dirinya berbanding sebelum berkahwin.
Apakah tindakan wajar yang harus dilakukan? Mengakhirinya dengan perceraian? Tidak. Bukan itu penyelesaiannya. Cuba cari titik-titik keserasian dan belajar untuk mengenali pasangan anda yang sebenar. Tukar paradigma tentang rumah tangga dan taat kepada Allah SWT. Kesetiaan dan bertolak ansur adalah sangat penting dalam kehidupan rumah tangga. Insha-Allah, rumah tangga akan bahagia dunia dan akhirat.
Kesimpulan
Sekiranya anda sudah mempunyai perkara-perkara seperti di atas ini, ternyata anda sudah benar-benar bersedia untuk bernikah. Apa tunggu lagi?
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!