Pernah dengar cinta tiga segi? Cinta orang ketiga? Istilah ini sama sahaja.
Siapa yang pernah melaluinya sudah tentu dapat merasakan betapa sakitnya jiwa bila cinta ‘dibahagi’ tiga tanpa disedari.
Hati kadang-kadang terlalu naif pada godaan bernama cinta. Tanpa boleh dicegah, tahu-tahu sahaja kita mungkin sudah terjebak dalam hubungan segi tiga. Ya, cinta segi memang sungguh menyakitkan!
Jatuh cinta bukanlah satu agenda yang boleh dirancang. Ia datang secara semula jadi dalam diri seseorang individu. Berbicara soal hati, cinta mungkin tidak boleh dilahirkan secara luahan manik-manik kata, tetapi ia boleh terpancar melalui pandangan mata dan perbuatan.
Tidak ada orang yang mahu memegang watak sebagai orang ketiga mahupun menjadi mangsa dalam drama tiga penjuru ini. Namun, jika terjadi juga, mungkin terselit hikmah yang tersembunyi.
Izzati, seorang gadis berusia 25 tahun, terpanggil untuk berkongsi kisahnya. Bukan kerana ingin membuka aib sendiri tetapi sekadar untuk berkongsi rasa. Mungkin pengalaman cinta yang dilalui oleh Izzati boleh dijadikan panduan terutama buat mereka yang sedang bercinta. Moga paparan dan perkongsian ini menjadi panduan dan teladan.
Andai kita tidak berjodoh,
Itu petanda yang kita tidak serasi,
Andai kasih kandas di tengah jalan,
Itu petanda ada kasih yang lebih baik buat kita berdua.
Usahlah kita menyalahkan takdir
Usahlah kita berduka lara
Kerna..semuanya telah tertulis yang kita bukan ditakdirkan bersama.
Aku telah ditunangkan dengan Azmi atas pilihan keluarga. Sungguh pun kami diperkenalkan oleh keluarga masing-masing, namun jujur aku akui yang aku sudah mula jatuh hati dengan Azmi sejak pertama kali kami bertentang mata. Begitu juga dengan Azmi. Dia seorang lelaki yang baik. Aku senang bersamanya kerana dia sentiasa menghormati aku sebagai seorang wanita yang belum menjadi haknya.
Kami jarang berjumpa kerana Azmi sibuk dengan kerjaya sebagai seorang jurutera manakala aku pula ketika itu baru sahaja menamatkan pengajian ijazah pertamaku. Dalam masa yang sama juga aku sedang berkira-kira untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Ya! Memang itulah hajatku kerana aku mahu menjadi seorang pensyarah.
Syukur… permohonanku untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana telah diterima. Aku berasa sangat gembira. Ku kongsikan bersama kejayaanku ini bersama tunangku Azmi kerana dia juga sudah menjadi sebahagian daripada hidupku. Walaupun terpancar tanda bangga pada diri Azmi kerana tunangannya berjaya merealisasikan impian untuk berjaya dalam pelajaran, namun terselit rasa sedih kerana terpaksa berpisah jauh denganku.
Aku memahami gejolak yang melanda jiwa Azmi, tetapi aku perlu meneruskan cita-citaku. Demi cita-citaku untuk menjadi seorang pensyarah, aku perlu kuat menepis apa-apa jua ‘anasir’ yang boleh mematahkan semangatku untuk berjuang. Pada keluarga, ku beritahu yang aku hanya akan menamatkan zaman daraku apabila aku telah berjaya menggenggam ijazah sarjanaku.
Ads
Cinta Tak Kenal Siapa
Hidup berjauhan membuatkan aku semakin tabah melalui cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar. Hari-hariku dilalui dengan penuh kesibukan menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan tesis. Terkadang rasa lelah jua dengan kesibukan yang terpaksa ku depani tetapi demi mengejar cita-citaku yang satu, semua ‘penyakit-penyakit’ itu ku lontar jauh-jauh.
Dalam kesibukan melalui kehidupan sebagai seorang pelajar, rupa-rupanya aku diintai oleh seorang jejaka tampan. Walau pun kami tidak sekelas, namun aku mula perasan yang si dia selalu mengambil peluang mencuri-curi pandang.
Suatu hari, hendak dijadikan cerita, aku telah diragut ketika ingin melintas jalan untuk menaiki teksi. Ketika itu aku keluar sendirian. Mujur si dia ada sewaktu insiden itu berlaku jika tidak, apalah nasibku agaknya.
Dialah yang membantu aku membuat laporan polis selain menemankan aku pulang ke asramaku. Dokumen-dokumen penting semuanya hilang dan dia jugalah yang banyak membantu aku menyelesaikan segala urusan-urusan memperbaharui dokumen-dokumen penting itu. Bermula dari situ, hubunganku dengan si jejaka bernama Farid semakin rapat.
Ads
Aku sendiri tidak pasti mengapa aku rasa sungguh bahagia apabila bersama Farid berbanding tunangku sendiri. Timbul juga rasa bersalah dalam diriku tatkala aku keluar bersama dengan Farid, tetapi aku tidak berjaya menepis rasa cintaku pada Farid yang mula berputik tanpa sedar. Berkali-kali juga untuk aku menolak rasa cinta pada Farid, tetapi aku tewas.
Maafkan Kekhilafanku
Setelah Farid menyuarakan isi hatinya padaku, aku jadi serba-salah. Aku tahu, aku berdosa kerana menduakan tunanganku, tetapi aku tidak berdaya. Aku terpaksa berterus-terang dengan Farid yang aku sebenarnya telah bertunang. Memang Farid agak terkejut dengan pengakuanku pada awalnya tetapi dia juga sepertiku, tidak mampu untuk menidakkan rasa cinta yang hadir dalam diri masing-masing.
Sejak itu, hubunganku dengan Azmi semakin dingin. Segala panggilan telefon dan Whatsapp yang dihantarnya langsung tidak ku balas. Aku terpaksa kejam pada dirinya kerana tidak mahu dia terus mengharap cintaku. Aku berhak untuk memilih jalan hidupku. Mungkin juga kerana perkenalan singkat antara aku dan Azmi dan kemudiannya kami hidup berjauhan membuatkan kasih kami semakin layu.
Walau pun kedua-dua keluarga agak terkejut dengan permintaanku untuk memutuskan pertunangan kami, namun akhirnya mereka akur. Mereka sedar yang soal perasaan tidak boleh dipaksa-paksa. Bagi diri Azmi pula, dia tenang menerima pengakuan jujur dariku walau pun aku tahu dia benar-benar terluka.
Jika kau terbaca coretan ini Azmi, inginku memohon maaf sekali lagi kerana terpaksa menguburkan cinta kita. Tidak terdetik di hatiku untuk mempermainkan perasaanmu. Redalah dengan apa yang terjadi. Sesungguhnya aku bukan untukmu dan kamu bukan untukku. Telah tersurat di halaman takdir yang kita tidak akan hidup bersama.
Aku bukanlah mahu menyokong kisah cinta orang ketiga tetapi bagi diriku, semua yang terjadi dengan izin dan kehendak-NYA. Usahlah meratapi kasih yang tidak kesampaian. Belajarlah untuk menerima kenyataan kerana Allah telah mengatur segalanya untuk kita. Ada orang lain yang lebih baik untuk kita. Maka, redalah dengan ketentuan daripada-NYA.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hubungan Fazura dengan suaminya, Fattah Amin tidak dilanda badai tetapi pelakon popular Nur Fazura Sharifuddin ini memilih untuk hidup privasi.
Sebenarnya spekulasi ini mula tular beberapa bulan lalu, mencetuskan pelbagai reaksi dari peminat.
Fazura & Fattah Elakkan Tayang Mesra
Dalam satu kenyataan, Fazura, 40, mengakui terkejut dengan cerita yang tersebar itu dan menjelaskan bahawa hubungannya dengan Fattah berada dalam keadaan baik.
“Sebenarnya saya tak tahu hujung pangkal daripada mana cerita ini bermula. Kawan-kawan mesej saya tanya hubungan dengan Fattah okay ke tak. Saya faham peminat nak ambil berat sebab sudah lama tak nampak kami bersama,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa hubungan mereka bermasalah kerana sudah lama tidak kelihatan bersama dalam media sosial, Fazura menjelaskan bahawa dia dan Fattah telah sepakat untuk tidak lagi mempamerkan kemesraan di media sosial sebagai tanda hormat terhadap isu Palestin.
“Saya faham peminat ambil berat sebab sudah lama tak nampak kami bersama. Jujurnya, saya memang hadkan ‘posting’ mempamerkan kemesraan dalam media sosial. Saya sangat terkesan melihat penderitaan rakyat Palestin. Jadi, saya rasa tak perlulah tunjuk kebahagiaan bersama keluarga dalam media sosial,” katanya.
Hadkan Perkongsian Anak
Fazura juga menjelaskan bahawa dia turut menghadkan perkongsian gambar anak mereka, Nur Fatima Aisya, kerana perasaan yang sama. Bagaimanapun, aktres tersebut mempunyai satu akaun media sosial khas dan ‘private’ untuk berkongsi kehidupan peribadinya.
“Saya ada satu lagi akaun lain dan di situ sesiapa yang mengikutinya boleh lihat foto kami bersama. Boleh juga nampak perkembangan kami,” tambahnya.
Sebelum ini, tanpa sebarang angin atau ribut, media sosial heboh dengan dakwaan bahawa hubungan Fazura dan Fattah kini sedang dilanda badai. Spekulasi tersebut timbul apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi saling meninggalkan komen atau tanda suka di media sosial.
Kisah rumah tangga mereka juga menjadi perbincangan di sebuah laman sembang, di mana pandangan tersendiri mengenai keadaan rumah tangga pasangan itu dikongsikan.
Ada juga yang mempertahankan pasangan selebriti tersebut dengan mengatakan bahawa mereka tidak perlu mempamerkan kebahagiaan di media sosial.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.
Tiada yang lebih menggembirakan bagi pasangan suami isteri saat dikurniakan zuriat dalam hidup mereka. Saat yang dinanti-nanti dalam setiap kehidupan berumahtangga. Begitulah juga yang dirasai oleh pasangan selebriti terkenal Neelofa dan suaminya, Haris atau PU Riz yang baru sahaja menimang cahaya mata sulung pada 29 Januari 2022.
Pasangan bahagia, Haris dan Neelofa.
Pasangan ini memilih nama Muhammad Bilal Muhammad Haris buat putera sulung mereka. Khabar gembira itu telah dikongsi oleh Haris atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Ismail dalam satu kenyataan. Haris menzahirkan kesyukuran kerana urusan kelahiran zuriat mereka itu dipermudahkan.
“Assalamualaikum wbt. Alhamdulillahirabbil’alamin. Puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya, isteri saya, Noor Neelofa Mohd Noor telah selamat melahirkan Putera sulung kami pada 29 Januari 2022 jam 3.44 petang.
Syukur Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan, kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga.
Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh anda semua. Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumahtangga sehinggalah kami menimang cahaya mata.
Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu, mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara. Terima kasih”
Haris atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Ismail turut terkenal dengan gelaran PU Riz.
Manakala posting ringkas di Instastory Neelofa “Assalamualaikum Muhammad Bilal bin Muhammad Haris” jelas menggambarkan kegembiraannya yang baru bergelar seorang ibu.
Selain mendoakan kesejahteraan ibu dan bayi, warganet turut memuji nama yang diberikan kepada bayi sulung pasangan ini sebagai sangat indah dan membawa maksud yang baik.
“Nama yang cukup ringkas dan bermakna, nama Rasulullah dan nama Bilal bin Rabah..Allahu sgt cantik nama yang diberi”
“Terbaik ..salah satu nama yang ada disyurga.. bilal bin rabbah”
“Alhamdulillah bertambah umat Muhammad SAW..tahniah Neelofa dan Pu Harris semoga kelak Muhammad Bilal jadi anak soleh,pandai azan sehebat Bilal bin Rabbah”
Selamat menempuh rutin baru buat Neelofa dan Haris, semoga dipermudahkan juga urusan berpantang buat Mommy Lofa! Semua dah tak sabar nak tatap wajah comel Muhammad Bilal. Mesti tampan persis bapanya, kan. Semoga Muhammad Bilal menjadi anak yang soleh, penyejuk jiwa buat ibu ayah.
Biarpun berita kehamilan Neelofa hangat diperkatakan sejak Julai 2021, namun bekas pengacara MeleTOP ini memilih untuk tidak berkongsi secara terbuka mengenai status kandungannya.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris bernikah pada 27 Mac 2021 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Kredit Foto: Instagram Neelofa
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ingat lagi tak ‘to-do list’ yang banyak dikongsikan bakal pengantin untuk memudahkan mereka membuat checklist? Bukan main panjang berjela sampai rasa tak cukup nak buat satu per satu. Tapi bakal pengantin sekarang ni tak perlu dah senarai panjang tu. Maklumlah, pengantin PKP. Serba ringkas dan memorable!
‘To-do list’ Dulu-dulu
Nah! Inilah senarai yang panjang tu. Setahun awal dah bersedia dengan senarai apa perlu dilakukan. Memang betul, sebelum ini nak sewa lokasi perkahwinan punyalah susah. Memang perlu tempah setahun lagi awal. Selepas memilih tarikh sesuai, terus tempah dewan. Sikit demi sikit bajet untuk perbelanjaan perlu disediakan.
6-12 bulan sebelum hari
Tetapkan hari dan tarikh perkahwinan anda.
Pastikan tarikh yang di pilih tidak bercanggah dengan mana-mana agenda keluarga lain.
Tentukan bajet serta anggaran kos perbelanjaan perkahwinan.
Kongsi simpanan untuk mempercepatkan serta menggandakan simpanan.
Sediakan ‘checklist’ perkahwinan anda supaya perancangan berjalan dengan lancar.
Lantik seseorang yang anda percayai untuk bersama-sama dalam proses perancangan majlis anda.
Tetapkan tema perkahwinan yang diinginkan mengikut minat dan kesesuaian.
Tentukan jumlah tetamu yang akan diundang.
Tempah segera tempat untuk mengadakan resepsi perkahwinan.
Buat pemilihan catering dan menu untuk hari langsung.
Sediakan daftar tamu untuk menganggarkan bilangan tempahan kad.
Pilihlah pengapit wanita dan lelaki yang bertanggungjawab sebagai PA anda di hari langsung.
Temui dan kunjungi pereka pakaian pengantin, tentukan serta pilih busana pengantin.
Jangan lupa menjaga adab dan pantang-larang sebelum hari penting anda. Semuanya ada hikmah dan kebaikan yang tersembunyi di sebaliknya.
Mula menjaga pemakanan untuk menjamin tubuh yang sihat di waktu persandingan.
Kurangkan aktiviti social.
Mula mengurangkan belanja seharian, usah boros dan mula menabung.
Rancang percutian bulan madu anda, lakukan tempahan tempat, tiket serta kenderaan.
Setelah perancangan untuk enam bulan pertama selesai. Kita ke senarai lima bulan sebelum tarikh pernikahan pula.
4-5 bulan sebelum haribahagia
Tempah waktu dan tempat pernikahanan beserta dengan juru nikah.
Persiapan awal membolehkan anda membuat tinjauan akan harga dan reka bentuk kad yang diinginkan.
Bertindak lebih awal, anda boleh mendapatkan khidmat mak andam kegemaran.
Membuat pilihan tema warna busana pengantin yang akan dikenakan serta bunga tangan mengikut kesesuaian.
Menempah busana pengantin lelaki sepadan dengan pengantin wanita.
Beli atau sewa busana untuk pengapit pengantin wanita dan lelaki.
Mula tetapkan dekorasi ruang majlis/pelamin mengikut tema warna yang di tetapkan.
Mula tetapkan dekorasi pelamin mengikut kesesuaian tema serta pakaian.
Memberitahu seluruh ahli keluarga akan tema pakaian di majlis resepsi anda nanti.
Tempah dan hubungi jurufoto serta juruvideo sebelum majlis mahupun selepas majlis.
Membuat tempahan awal kenderaan pengantin dan pengiring pengantin
Tempah dan buat pemilihan kek pengantin mengikut tema majlis.
Tetapkan pengerusi majlis yang bisa menghangatkan majlis persandingan anda.
Tempah PA Sistem/ Sistem Bunyi bagi memainkan lagu-lagu pilihan anda.
Lantik DJ yang bisa memainkan lagu selari dengan kehendak pengantin.
Tempah kumpulan pemain Kompang untuk upacara lintas masuk ke dewan/khemah berlangsungnya majlis.
Jika berkemampuan, anda digalakkan menjemput kumpulan pemain Gamelan atau Caklempong untuk memeriahkan majlis anda.
Mungkin juga menarik jika menjemput Penari Kebudayaan atau Penyanyi jemputan begi menyerikan lagi majlis gemilang anda.
Menempah cincin kahwin untuk majlis nikah.
Mula membeli barang hantaran satu persatu.
Lakukan diet atau senaman untuk tampil sihat dan segak pada hari bersejarah.
Semak destinasi bulan madu pilihan.
Pastikan tempahan sudah di tetapkan.
Ada lagi… Senarai ini belum habis selagi tak sampai tarikh sepatutnya…
2-3 bulan sebelum hari
Daftar kursus kahwin bersama pasangan dan hadiri bersama-sama pasangan anda agar segala maklumat dan ilmu dapat dimengerti bersama.
Mendaftar di pejabat kadi.
Isi borang permohonan serta sediakan segala dokumen berkahwin yang boleh didapati dari pejabat Jabatan Agama daerah anda mengikut kad pengenalan.
Sertakan bersama surat akuan bujang yang dimateri dengan cap syarikat tempat anda bekerja.
Kemudian dapatkan tandatangan jurunikah atau wakil jurunikah atau ketua kariah tempat anda.
Bawa bersama dua orang saksi semasa anda mendapatkan tandatangannya.
Lakukan medical check up seperti HIV test dan lain-lain.
Mohon cuti sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal.
Maklumkan tentang perancangan perkahwinan itu kepada ketua anda.
Siapkan semua kerja di pejabat yang telah dimulakan. Agar tiada pihak yang rasa terbeban sementelah anda bergembira membuat persiapan.
Pastikan segala urusan di tempat berbulan madu sudah selesai. (buat pasport jika perlu)
Hubungi pereka pakaian pengantin anda untuk fitting.
Persiapkan segala barang hantaran untuk dihiasi di atas dulang hantaran, lantik seseorang untuk persiapkan dulang hantaran.
6-8 minggu sebelum hari
Semak semula senarai tetamu.
Tulis dan atur pengiriman kad undangan kahwin.
Semak urusan dengan jabatan agama, jurunikah, saksi dan pihak yang terbabit dengan majlis akad nikah.
Atur serta menetapkan menu makanan dengan pihak catering perkahwinan anda.
Adakan sesi percubaan makanan bersama-sama caterer anda.
Mula menyiapkan cenderahati bingkisan buat tetamu yang hadir.
Lakukan make-up trial dan dandanan rambut bersama mak andam pilihan anda.
Mula membeli kasut dan acessories tambahan.
Susun dan garap muzik pilihan yang bakal didendangkan semasa majlis berlangsung.
Buat satu temu janji bersama Pengacara Majlis untuk membuncangkan perjalanan majlis itu nanti.
Diskusi juga harus di adakan bersama DJ serta pihak pengurus PA Sistem, agar perjalanan majlis selari dengan permintaan pengantin.
Buat persiapan terakhir untuk semua kelengkapan.
Sediakan jadual perjalanan majlis badi memudahkan orang yang terlibat.
Membuat jadual penerimaan beserta checklist bagi memudahkan proses penghantaran daripada segala tempahan: kek, khemah, bunga-bungaan, cenderahati, hantaran, hiasan pelamin dan lain-lain.
4-5 minggu sebelum hari
Kad jemputan perkahwinan mula di edarkan kepada tetamu serta VIP.
Ambil pesanan cincin kahwin.
Mula memesan traveller cheque/mata wang asing untuk berbulan madu.
Orang-orang yang bertanggungjawab untuk melancarkan perjalanan majlis mula agresif dalam proses terakhir.
Membuat semakan checklist untuk memastikan segala perkara berkaitan sudah ditempah dan dilakukan.
Bertemu dan berbincang bersama jurufoto majlis anda tentang konsep serta gambaran majlis yang anda mahukan di dalam gambar kenangan anda nanti!
Tidak ketinggalan, pastikan juruvideo juga tahu akan perjalanan majlis serta tetamu mana yang anda mahukan berada di dalam rakaman videao itu nanti.
Pastikan dulang hantaran telah siap mengikut warna tema yang telah ditetapkan.
2-3 minggu sebelum hari
Jadual acara telah ditetapkan, buat salinan dan edarkan kepada orang-orang penting majlis: keluarga pengantin, para pengiring, jurufoto dan juruvideo.
Kemaskini jumlah tetamu yang diundang dan hal-hal lain yang diinginkan kepada pihak hotel atau catering.
Tetapkan semua pesanan dan detail untuk bunga, sewa kenderaan, jurufoto, dekorasi, kek, band music dan lainnya.
Sediakan susun letak pelamin, kerusi meja, kanopi atau dewan serta lain-lain supaya kelihatan tersusun.
Mencuba busana pengantin lengkap dengan aksesorinya. Periksa ukuran, keselesaan dan sebagainya, bila ada yang harus disempurnakan.
Pastikan juga pakaian tema untuk pengapit pengantin lelaki dan wanita agar selari dengan konsep persandingan anda nanti.
Biasakan menggunakan kasut yang akan digunakan di hari pernikahan agar terasa lebih selesa.
Siapkan barang-barang yang akan dibawa ke rumah mertua.
Lakukan urutan badan serta spa untuk menaikkan seri pengantin.
Tidak ketinggalan, lakukan rawatan rambut agar kelihatan kemas, menarik serta mudah di uruskan di hari persandingan anda.
Rawatan muka juga perlu agar muka tidak kelihatan lesu di hari langsung.
Jangan lupa juga, jalani rawatan manicure dan pedicure.
1 minggu sebelum hari
Berehat dan yakinkan diri dan pasangan anda semuanya akan beres.
Pastikan semua perkara berjalan dengan lancar.
Lantik seorang ahli keluarga terdekat untuk meneliti kelancaran acara.
Kumpulkan segala hantaran.
Mula berkemas untuk berbulan madu, lengkapi dan beli keperluan yang penting.
Pastikan sekali lagi semua pesanan yang telah dilakukan, sekadar untuk mengingatkan.
Bila tiba sehari sebelum hari langsung, lantik seorang pengukir inai untuk melukis inai di jari jemari bakal kedua mempelai.
Hari Berlangsungnya Perkahwinan
Kosongkan fikiran serta nikmati masa untuk bersendiri untuk menenangkan hati dan fikiran sebelum upacara akad diadakan.
Bagi yang beragama Islam, eloklah sekiranya majlis Khatam Al-Quran diadakan di waktu pagi sebelum upacara pernikahan berlangsung.
Jangan terlalu memikirkan tentang perjalanan majlis kerana ada orang yang bertanggungjawab telah mengambil alih tugas tersebut.
Bertenang dan ukir senyuman manis di waktu pernikahan.
Semasa acara resepsi luangkan sedikit masa untuk bertegur sapa serta mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir.
Pastikan senyuman sentiasa terukir di wajah kerana lensa kamera sentiasa fokus kepada kedua mempelai.
‘To-do list’ Nikah PKP
Akhirnya selesai! Ok sekarang kita tengok pula ‘to-do list’ pengantin yang bernikah sewaktu PKP.
Membuat ujian HIV
Menyediakan segala dokumen penting untuk akad nikah (borang semua perlu disediakan lebih awal)
Sediakan duit hantaran atau mas kahwin
Jika ada barang hantaran yang ingin diberi, boleh terus beli secara online
Membuat tempahan makanan untuk ahli keluarga di rumah. Memandangkan tetamu lain tidak dibenarkan berkumpul, jadi bolehlah tempah makanan yang sedap dan mewah untuk ahli keluarga
Personalised door gift untuk tetamu yang ada (rasanya keluarga sahaja yang boleh ada bersama)
Semua senarai di atas hanya boleh dilakukan sekiranya ANDA SUDAH MENDAPAT KEBENARAN BERNIKAH. Jadi, dapatkan kebenaran dahulu ok!
Ok siap! Nampak tak betapa ringkasnya pengantin yang berkahwin sewaktu PKP. Ada juga yang berkahwin hanya dengan jubah yang sedia ada (Baca kisah pengantin ini) membuat solekan sendiri dan hantaran pun DIY. Jimat dan tak perlu pening kepala.
Kredit foto: Twitter @amrhoth
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!