Kebanyakan pasangan mungkin mengalami kerunsingan untuk mengira bajet bagi mengadakan majlis perkahwinan. Bagi anda yang ingin mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana, kami kongsikan tip jom jimat kahwin yang mungkin bermanfaat.
1. Kenalpasti Kemampuan
Sebelum membuat sesuatu majlis, kaji dahulu kemampuan anda samada mampu untuk membuat majlis secara besar-besaran atau sederhana. Elakkan dari membuat pinjaman bank semata-mata untuk mengadakan majlis perkahwinan yang grand.
2. Kenalpasti Majlis Perkahwinan Idaman
Bincang bersama pasangan serta keluarga tentang majlis perkahwinan idaman anda. Harus ingat supaya tidaklah terlalu membazir dalam membuat sesuatu majlis dan nyatakan juga berapa bajet anda untuk majlis perkahwinan itu supaya tidak terjadinya salah faham antara kedua belah pihak.
3. Sediakan Senarai Dan Kos Perbelanjaan
Ads
Sebelum mengadakan sesuatu majlis perkahwinan, senaraikan barang keperluan majlis perkahwinan anda serta kaji kos perbelanjaan setiap barangan yang diperlukan supaya jumlah kos yang dikira tidak tersasar jauh dari bajet yang telah anda tetapkan.
4. Tentukan Siapa Yang Bayar
Toleransi antara pasangan yang bakal berkahwin amat penting. Sebaiknya anda dan pasangan berbincang terlebih dahulu perihal siapa yang akan membayar kos pelamin, jurufoto, busana dan sebagainya supaya bukan hanya diletakkan segala beban pada satu pihak sahaja.
5. Pengurusan Kewangan
Ads
Perlu bijak menguruskan pendapatan dari segi perbelanjaan harian dan hutang. Anda perlulah mempunyai bajet bulanan dan cuba berbelanja tidak melebihi bajet yang ditetapkan. Selain itu, sebahagian dari gaji anda juga haruslah disimpan bukan sahaja untuk majlis persediaan perkahwinan malahan untuk masa depan kelak.
6. Kaji Dan Bandingkan Harga
Membuat kajian dan bandingkan harga setiap servis yang disediakan juga penting bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Ini penting supaya anda dapat mencari servis yang terbaik dengan harga yang berpatutan.
Ads
7. Kejar Jualan Murah
Boleh dikatakan setiap kali musim perayaan akan diadakan jualan murah dan membuatkan kita menjadi rambang mata untuk memilihnya. Jadi, bagi anda dan pasangan yang ingin berkahwin, perlulah mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan barangan persiapan majlis perkahwinan anda.
8. Rekod Perbelanjaan
Pentingnya untuk merekod setiap perbelanjaan yang digunakan supaya ia dapat membantu untuk mengawal setiap perbelanjaan yang dikeluarkan agar ianya tidak melebihi bajet anda. Oleh itu anda bolehlah melakukan penjimatan lebih awal jika terdapat perbelanjaan yang melebihi bajet.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sesetengah orang tidak kira lelaki ataupun perempuan, mereka terlalu mencari calon yang sempurna untuk dijadikan suami atau isteri. Namun, semuanya telah ditentukan oleh Allah.
Kita hanya merancang sahaja, tidak semestinya apa yang kita mahukan itu kita akan dapat. Jadi, kita perlu lebih berusaha dan sentiasa mendekatkan diri dengannya.
Tetapi, siapa sahaja yang ingin meneruskan kehidupan berseorangan tanpa sebuah keluarga? Meskipun sudah berusia namun masih belum berjumpa jodoh. Mungkin ini sebab anda masih tidak bertemu jodoh.
1. Terlalu memilih
Bila dah berkenalan dengan seseorang ada sahaja yang tidak kena dengannya. Dari segi penampilan, peribadi, dan sebagainya. Ada pula yang meletakkan pelbagai syarat menyebabkan hubungan tersebut tidak diteruskan.
2. Banyak komitmen
Setiap individu mempunyai berlainan komitmennya. Ada yang masih terikat dengan keluarga, pelajaran, pekerjaan dan diri sendiri. Komitmen juga boleh menyebabkan impian seseorang itu terhalang lebih-lebih lagi untuk menuju ke arah sebuah perkahwinan.
3. Sudah selesa hidup bersendirian / berdikari
Kebanyakkan mereka yang masih belum berumah tangga ini disebabkan mereka sudah biasa bersendirian. Malah, mereka sudah memiliki segala yang diidamkan. Ini menyebabkan mereka tiada inisiatif untuk mencari pasangan hidup.
4. Tidak didesak oleh ibu bapa
Sehingga sekarang masih ada yang tidak mendapat desakan dari kedua ibu bapa mereka untuk berkahwin. Mereka akan merasa senang kerana tiada siapa bertanyakan hal perkahwinan kepada mereka.
5. Masih mengejar kerjaya
Kerjaya yang diingini adalah salah satu impian dalam matlamat hidup. Mereka sudah meletakkan syarat kepada diri mereka untuk mengejar kerjaya yang mereka inginkan dahulu sebelum fikir soal jodoh.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mengapa situasi pertengkaran dikatakan perlakuan yang merapatkan hubungan hidup pasangan? Selidiki tahap hubungan anda. Bila kali terakhir anda bergaduh atau berselisih pendapat? Tidak pernah? Erm…ada sesuatu yang pelik terjadi di sini. Jika anda tidak pernah bergaduh atau bertengkar selepas berkahwin bertahun lamanya, ini bermakna hubungan itu ada yang tidak kena.
Mengapa terjadi?
Ia adalah luahan hati anda atau pasangan mengenai pendapat, keinginan dan pencarian kata putus dalam sesuatu perkara.
Perkahwinan adalah sesuatu perjalanan dan ia tidak mudah. Setiap hari adalah perkara baru, maka persefahaman perlu sentiasa dicari.
Pertengkaran Positif
Pertengkaran/perselisihan pendapat yang tidak melibatkan pergaduhan luar biasa seperti terjerit-jerit terhadap pasangan, baling barang atau melakukan kekasaran fizikal.
Perselisihan yang tidak melihatkan siapa menang dan siapa perlu patuh. Sebaliknya pergaduhan ini terjadi secara spontan dan akhirnya keputusan yang terbaik berjaya dicapai.
Pergaduhan yang tidak berlanjutan lebih 10 minit.
Adakah anda pernah mengingati semula detik pertengkaran antara anda dan pasangan? Bukankah ia mampu membuatkan anda tersenyum sendiri apabila terkenang saat itu? Lucu bukan, bergaduh dan bermasam muka hanya kerana memilih warna terbaik untuk kereta baru.
Komunikasi dua hala
‘ Yahya sudah berkahwin selama lima tahun. Sudah mempunyai seorang anak dan perkahwinannya dirasakan bahagia dan berjalan baik bersama Farhana kerana mereka tidak pernah bertengkar.
Entah mengapa suatu hari, Farhana memfailkan penceraian. Yahya tersentak seakan tidak percaya dengan tindakan isterinya. Disangka Farhana bahagia hidup bersamanya kerana Farhana tidak pernah bersungut dan menerima segala percaturan yang dilakukannya dalam rumah tangga mereka.
Setelah disiasat, Farhana menjelaskan dia tidak tahan dengan kehidupan tersebut. Malah Farhana rasa terkongkong dan perasaannya bagaikan tidak pernah dipedulikan. Yahya tidak pernah bertanya tentang apa kemahuannya walhal Yahya sedar bahawa Farhana ‘berat mulut’.
Daripada kes benar ini, dapat disimpulkan bahawa hidup berpasangan memerlukan komunikasi. Secara terus yakni baik atau secara pertengkaran kecil. Ini kerana ia medium untuk melontarkan pendapat dan hak masing-masing.
Semakin anda bertengkar maka semakin dalam anda mengenali pasangan. Anda tidak boleh hanya memikirkan apa anda rasa dan mahu, sebaliknya fikir juga perasaan dan kemahuan pasangan anda.
Tipu, jika hidup berpasangan tidak pernah bergaduh. Anda selidik apa yang tidak kena jika anda tidak pernah bergaduh dengan pasangan. Si dia mungkin telah memendam perasaan dan akan meledak bila-bila masa sahaja.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apakah hukumnya jika seseorang ibu itu menyusukan anak sehingga terlepas waktu solat, dan pada ketika itu ibu tersebut hanya berseorangan dengan anaknya dan anak tersebut tidak mahu melepaskan susu ibunya.
Jawapan:
Para ulama meletakkan 6 jenis keadaan seseorang itu tidak berdosa melewatkan solat melepasi waktunya:
Tidur, jika tidur sebelum waktu solat.
Lupa
Jamak solat.
Paksaan
Takut terlepas waktu wuquf di Arafah.
Menyelamatkan perkara yang dimuliakan syarak daripada rosak dan binasa.
Rujuk Taqrirat al-Sadidah (hlm. 190-191)
Pengecualian ini diambil kefahaman daripada hadis Nabi SAW:
Maksudnya: “Tiga golongan orang yang tidak akan dicatat (yakni terbebas dari beban kewajiban): orang tidur sehingga ia bangun, anak kecil sampai ia dewasa, dan orang gila sampai ia waras.”
Riwayat al-Tirmizi (1423)
Seterusnya, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah memaafkan untukku daripada umatku akan perkara yang dilakukan dengan tersilap, perkara yang dilakukan dengan terlupa dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya.”
Riwayat Ibn Majah (2043)
Kami memahami dilema yang berlaku kepada ibu tersebut. Kebiasaannya, bayi akan meronta-ronta dan menangis apabila dilepaskan daripada susu ibunya tanpa kemahuannya. Dalam keadaan tertentu, anak itu mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya apabila bergerak seperti jatuh katil dan sebagainya apabila ingin mencari ibunya.
Menjawab soalan di atas, kami jawab dengan dua situasi.
Sekiranya anak itu jika dibiarkan, hanya menangis sahaja tanpa dikhuatiri akan mendedahkan dirinya kepada bahaya, maka wajib bagi ibu tersebut untuk solat fardu pada waktunya. Harus bagi ibu itu untuk meringkaskan solat dengan meraikan rukun yang wajib sahaja jika ditakuti berpanjangan solatnya akan menyebabkan mudarat bagi anaknya. Kami nasihat ibu itu perlu kreatif untuk meletakkan anaknya di tempat yang selamat semasa dia menunaikan solat fardu seperti di dalam katil bayi yang berpagar dan di dalam bilik yang selamat. Sekiranya anak itu diletakkan di sebelahnya, ketika solat anak itu menghampiri:
Jika anak itu tidak diyakini menanggung najis, seperti tidak zahir najis atau bau, harus mendokong anak itu atau menanggungnya.
Jika anak itu diyakini menanggung najis, maka tidak batal hanya kerana bersentuhan dengan anak itu. Adapun jika mendokong, mengangkat atau menggenggam tangannya, maka itu dianggap menanggung najis dan membatalkan solat.
Sekiranya anak itu jika dibiarkan akan mengakibatkan kebinasaan yang spontan, seperti ketika berada di tebing bukit yang tinggi atau di atas sampan, maka harus bagi ibu tersebut melewatkan solatnya walaupun habis waktu. Ini kerana hal ini dianggap darurat.
Kami menasihatkan agar para ibu tidak mencuaikan tanggungjawab mereka untuk menunaikan solat sekalipun kasihan melihat anak yang menangis. InsyaAllah Allah SWT akan bantu kita apabila kita bersungguh menunaikan perintah-Nya. Begitu juga para suami wajiblah membantu isteri untuk memenuhi tanggungjawab dirnya kepada Pencipta-Nya dengan memberi pendidikan agama yang sempurna dengan penyampaian yang tepat, berhikmah dan bersabar. Jangan menyindir-nyindir kejahilan isteri kerana itu hanya membawa kepada fitnah yang lebih besar pada agamanya. Hendaklah pasangan suami isteri itu saling menolong agar impian Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) itu dapat direalisasi dalam keredhaan Allah Azza wa Jalla.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!