Suami kena terima saya seadanya. Mungkin itu yang anda rasakan pabila sudah bertahun-tahun hidup bersama, tidur sekatil dan sesekali berkongsi satu bantal berdua. Nah, biarpun sudah beranak-pinak dan usia pun kian meningkat, pastikan sang suami tetap bangga memiliki anda di sisinya. Membongkar 21 petua cantik agar cinta cik abang terus mekar berkembang! Pemulaan, Tempuhi hari baru dengan amalan bangun tidur ini. Tarik nafas dalam dan lakukan sedikit regangan untuk melancarkan darah. Kemudian minum segelas air, berselawat dan raupkan wajah untuk awet muda.
1. Bagi wanita berkerjaya atau surirumah yang sibuk, dapatkan potongan rambut pendek yang comel mengikut bentuk wajah anda. Ia lebih ringkas, mudah diurus dan membuatkan penampilan kelihatan lebih muda.
2. Ramai suami yang menyukai bau rambut isteri yang bersih selepas dicuci. Jadi pastikan anda bersyampu dan memakai perapi rambut setiap petang. Rutin ini juga memudahkan rambut didandan pada keesokan hari.
3. Kulit yang mulus tidak akan menjelma sekelip mata. Amalkan rutin mengusap krim malam yang baik sebelum tidur agar wajah kembali segar bermaya, sebaik anda terjaga dari lena.
4. Samada bertudung atau tidak, sembunyikan uban dari pandangan suami anda! Litupi uban dengan inai atau pewarna rambut rona gelap. Lakukan highlight jika berani, suami anda pasti teruja.
5. Rona kulit yang tidak sekata, kusam atau berbelak-belak boleh disembunyikan dengan aplikasi BB Cream. Ia bertindak sebagai bedak asas, pelembap, pencerah dan pelindung SPF yang lengkap untuk kegunaan harian.
6. Punya date membeli-belah dengan yang tersayang? Usah biarkan wajah polos tanpa solekan. Ingat lima asas solekan ringkas – berbedak, maskara, eyeliner, blusher dan lip gloss!
7. Tip agar pembayang mata bertahan lama, oleskan warna pilihan dengan putik kapas lembap berbanding berus aplikator yang disediakan. Putik kapas lembap juga baik untuk merapikan warna yang comot.
Ads
8. Semburkan mist selepas bersolek untuk membuatnya tahan berjam-jam. Amalan ini sesuai jika anda pulang dijemput suami atau berjanji makan malam dengannya selepas waktu pejabat.
9. Titiskan pelembap mata pada siang hari untuk mengembalikan kilauan, menyegar dan menghilangkan kepenatan. Lebih-lebih lagi jika memakai kanta lekap atau berkaca mata, tidaklah nanti mata asyik terkebil-kebil sahaja.
10. Bulu mata yang lentik terlihat lebih galak dan memukau. Jika bulu mata anda pendek dan tidak menarik, amalkan pemakaian alat pelentik bulu mata untuk mencipta kesan dramatik. Nah, bukankah cinta itu datang dari mata?
11. Oleskan jeli petroleum pada kening dan bulu mata sebelum tidur. Ia membantu agar ia tumbuh lebih lebat, kemas dan berkilat.
Ads
12. Mata yang sembab atau dilingkari bebayang hitam pasti tidak menarik. Lindungi masalah ini dengan gel mata yang disimpan dalam peti sejuk. Sensasi dingin akan merawat keletihan mata dengan berkesan.
13. Selain itu, gunakan timun atau uncang teh dingin untuk memulihkan lingkaran gelap. Untuk menghapuskan kantung mata, uruti daerah luar dan sekeliling mata dengan krim pelembap sambil merangsang lymphatic drainage.
14. Bayangkan bibir yang lembut mengucup kulitnya… Atasi masalah bibir kering dengan eksfoliasi setiap hari. Hanya gosok lembut dengan berus gigi dan sapukan Vaseline. Kemudian sapukan balm bibir dengan SPF 30.
15. Eksfoliasi bahagian wajah, leher dan tengkuk anda untuk menyisihkan kulit mati setiap dua minggu sekali. Bahagian-bahagian ini perlu diberi perhatian rapi kerana ia menjadi pusat perhatian suami.
Ads
16. Pupuk masker setiap minggu untuk membantu menyerlahkan wajah yang bebas cela. Namun elakkan masker ini dipakai semasa tidur, bimbang suami terkejut pula nanti!
17. Ketika bermanja dengan suami, pastikan seluruh kulit tubuh anda lembut dan licin, termasuklah tapak kaki. Amalkan sapuan losen dan sesekali lakukan rawatan spa pedicure untuk merawati tumit merekah.
18. Berurut sangat baik untuk merehatkan badan, selain membantu melancarkan darah, menyahtoksin dan membentuk badan yang pejal. Lebih intim jika anda menempah couple treatment di spa untuk urutan bersama suami.
19. Kenakan losen pelembap sebelum tidur. Tumpukan pada bahagian-bahagian kering seperti siku dan lutut. Aroma losen yang lembut juga boleh memberikan efek sensual ketika berbaring dengan suami.
20. Atasi masalah bau nafas tidak menyenangkan dengan berkumur-kumur menggunakan mouthwash khas untuk masalah ini. Lebih-lebih lagi ketika bangun dari tidur, sebaiknya gosoklah gigi terlebih dahulu sebelum mengejutkan suami.
21. Cuba belek album perkahwinan anda, lalu bandingkan perbezaan dulu dan sekarang. Apakah anda kini lebih gemuk dan tidak terurus? Kembalikan wanita jelita di dalam gambar-gambar itu. Anda masih belum terlewat untuk berdiet dan menjaga pemakanan. Mungkin tidak sekurus dulu tetapi sekurang-kurangnya berat badan terjaga.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
PMS (premenstrual syndrome – senggugut) merupakan himpunan simptom. Lebih dari 200 simptom berbeza telah dikenal pasti, tetapi tiga simptom paling menonjol adalah mudah terganggu (irritability), ketegangan, dan dysphoria (murung). Simptom sebenar dan tahapnya berbeza antara seseorang wanita dengan wanita yang lain.
Kebanyakan wanita dengan sindrom prehaid mengalami hanya sedikit dari masaalah tersebut. Simptom berikut juga boleh disandarkan kepada PMS seperti Perut kembung, Kejang perut, Payu dara bengkak atau sensitif, ketegangan atau bimbang (anxiety), Masalah tidur (insomnia), sakit sendi atau otot, pening kepala, Lesu, Jerawat dan perasaan tidak menentu (Mood swings).
9 Petua Merawat Senggugut
SAMSUNG DIGITAL CAMERA
1. Ambil sembilan biji pinang tua, dibakar tanpa minyak hingga menjadi arang, dan kemudian ditumbuk hingga halus. Campurkan serbuk pinag bakar itu dengan secawan air suam dan minum selama sembilan hari berturut-turut dari hari pertama datang haid.
2. Ambil segenggam halia, tumbuk hingga lumat dan masukkan ke dalam segelas air suam. Apabila halia mendap minum air tadi didahulukan dengan selawat.
3. Minum air rebusan rumput jarum emas atau rumput rempah padang atau rumput cengkih padang semasa kedatangan haid atau sebelumnya.
4. Campurkan serbuk halia atau halia yang ditumbuk lumat dengan serbuk lada hitam . Kuantiti sama banyak antara kedua-dua bahan. Isikan dalam kapsul kosong. Makan 2 biji selepas makan tengahari dan malam 2 minggu atau seminggu sebelum haid.
5. Semasa sakit ketika haid, minumlah air teh pahit tanpa gula.
6. Mandi air panas. Ini akan membantu anda merehatkan otot-otot perut anda dan yang lebih penting, menenangkan fikiran anda. Untuk usaha tambahan, membawa lilin aromaterapi dan minyak wangi mandi sebagai penyegar udara.
7. Campurkan sedikit air limau nipis bersama air kunyit yang telah ditumbuk. Jadikan ia sebanyak segelas penuh. Amalkan meminumnya setiap malam tiga hari sebelum datang haid.
8. Buah petola yang biasa ditanam di kampung-kampung dikhabarkan juga baik untuk mengurangkan kesakitan sengugut. Ia dapat diamalkan dengan mudah sekali kerana kita cuma perlu memakan sebarang masakan yang berasaskan petola tersebut. Amalkan memakan petola seminggu sebelum kedatangan haid.
9. Bagi wanita yang sering mengalami senggugut, boleh amalkan petua ini. Rebus air asam jawa bersama gula merah sehingga mendidih. Apabila air telah suam, minum air tersebut. Jika diamalkan selalu, insyaAllah senggugut akan hilang.
Semoga dengan perkongsian 9 petua merawat senggugut di atas dapat memberikan kita alternatif bagi merawat penyakit senggugut yang sering menyerang wanita sebulan sekali.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
PEMAJU TAK BAIKI KEROSAKAN RUMAH ANDA DENGAN BAIK? INI PUNCANYA DAN SOLUSI TERHADAP MASALAH TERSEBUT.
Penat menunggu rumah baru siap, sekali hampa dengan struktur yang dibuat secara sambil lewa. Anda sebagai pemilik mempunyai hak untuk menuntut apa yang sepatutnya menjadi hak anda. Ikuti perkongsian Salkukhairi Abd Sukor merupakan Peguam Hartanah Rakyat, berkongsi tindakan yang wajar anda ambil apabila terjadi masalah sedemikian.
1. Saya sering menerima rungutan daripada pembeli-pembeli rumah baru yang pemaju gagal baiki kerosakan rumah mereka sebagaimana yang dikehendaki. Ada yang mendakwa pemaju macam buat acuh tak acuh dengan aduan kerosakan yang mereka buat, lambat baiki kerosakan yang diadukan, baiki sikit kemudian rosak balik dan banyak lagi lah ketidak puasan hati yang diluahkan oleh mereka kepada saya.
2. Saya agak hairan juga kenapa boleh jadi begitu. Sebab berdasarkan pengalaman saya setakat ini menguruskan aduan-aduan tuntutan kerosakan rumah client saya yang dalam tempoh liabiliti kecacatan dengan pemaju, bolehlah dikatakan, kesemua pemaju telah membaiki kerosakan yang di adukan dengan baik sekali. Dan Alhamdulillah semua klient berpuas hati.
3. Dan setakat kes yang saya kendalikan, tiada lagi aduan yang dibuat berakhir dengan tindakan pemfailan tuntutan di Tribunal Pembeli Rumah atau pemfailan tuntutan sivil di mahkamah. Jadi, dapat menjimatkan kos guaman. Saya optimis, tiada sebab mengapa pemaju sengaja tidak mahu membaiki kerosakan tersebut. Kerana ianya akan memberi kesan terhadap reputasi dan bisnes pemaju itu sendiri. Melainkan memang anda beli rumah dengan pemaju kaki scammer. Itu memang silap anda lah sebab tak siasat betul-betul latar belakang pemaju sebelum beli rumah yang dibina oleh mereka.
4. Lagipun, segala kos pembaikan telah diambil kira dalam harga rumah yang dijual. Bahkan pemaju sendiri akan memotong wang pertaruhan yang dipegang daripada kontraktor yang dilantik jika terdapat kerosakan yang gagal dibaiki oleh kontraktor tersebut. Bagi saya, kalau pemaju tak baiki tu, mesti ada sebab-sebab lain yang menjadikannya begitu.
5. Maka, setelah saya selidiki, rupa-rupanya antara sebab kenapa kerosakan tersebut tidak dibaiki oleh pemaju sebenarnya banyak disumbangkan oleh kesilapan pembeli sendiri dalam membuat tuntutan atau aduan kerosakan.
6. Di antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh pembeli adalah aduan kerosakan yang dibuat tidak jelas dan mengelirukan serta tidak mengikut prosedur aduan yang sebenar.
7. Saya dapati kebanyakan pembeli hanya menggunakan borang aduan kerosakan yang diberikan oleh pemaju semata-mata untuk mengemukakan aduan kerosakan. Disebabkan ruangan yang disediakan dalam borang tersebut terhad, jadi kebanyakan pembeli terpaksa menulis setiap aduan kerosakan tersebut secara ringkas dan cincai sahaja. Ada yang saya dapati tulisan mereka macam cakar ayam sahaja. Dan disebabkan itulah, terdapat kekeliruan kepada kontraktor atau team teknikal pemaju untuk membaiki kerosakan tersebut.
8. Biasalah, team teknikal pemaju juga manusia biasa. Jika urusan mereka dipermudahkan, mereka pun akan rasa bersemangat untuk buat kerja dengan baik. Tetapi kalau aduan tak jelas atau main cincai sahaja, macam mana mereka nak baiki kerosakan tersebut dengan baik. Mereka mungkin faham lain, sedangkan aduan yang dibuat oleh pembeli adalah sebaliknya.
9. Jadi solusinya, gunakan format aduan kerosakan sendiri. Tak perlu pakai borang aduan yang disediakan oleh pemaju tersebut. Senaraikan satu persatu kerosakan yang ingin diadukan mengikut setiap bahagian rumah tersebut. Jangan campur adukkannya sekali.
10. Misalnya, kerosakan di bahagian porch, senaraikan dalam 1 atau 2 muka surat, kemudian disusuli dengan bahagian ruang tamu yang mana setiap kerosakan tersebut disenaraikan dalam 1 atau 2 muka surat yang lain. Begitulah seterusnya. Lebih baik lagi kalau anda boleh ambil gambar setiap kerosakan yang diadukan tersebut untuk memudahkan rujukan kontraktor atau team teknikal pemaju. Lampirkan setiap gambar tersebut dalam senarai aduan kerosakan yang dibuat.
11. Dan satu lagi, tidak semestinaya anda kena serahkan aduan kerosakan tersebut kepada pemaju pada hari yang sama anda terima kunci / terima serahan milikan kosong rumah tersebut daripada pemaju. Ingat! Anda ada masa 24 bulan untuk membuat aduan kerosakan kepada pemaju. Jadi tidak perlu tergesa-gesa. Ambil masa untuk check setiap kerosakan pada rumah tersebut secara terperinci. Bila dah siap barulah anda hantar aduan kerosakan tersebut sekali gus kepada pemaju. Elakkan daripada anda hantar aduan secara beransur-ansur atau sedikit-sedikit, melainkan kerosakan tersebut berlaku selepas beberapa lama daripada tarikh serahan milikan kosong dibuat. Ini bertujuan untuk memudahkan team teknikal pemaju untuk melakukan kerja-kerja pembaikan kerosakan pada rumah anda tersebut sekaligus.
12. Satu perkara yang anda perlu faham juga adalah, aduan kerosakan ini perlu dihantar secara bertulis menggunkan surat rasmi (cover letter) nama anda atau peguam anda (jika menggunakan khidmat peguam). Kalau boleh biarlah bertaip. Dan ianya perlu dihantar secara pos berdaftar atau serahan tangan sahaja kepada pemaju. Jangan gunakan email atau whatsapp untuk hantar aduan kerosakan kepada pemaju. Cara tersebut tidak betul mengikut peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli dan Akta Pemajuan Perumahan. Jadi jika pemaju tidak baiki kerosakan tersebut, janganlah salahkan mereka sebab anda sendiri pun hantar aduan kerosakan macam tak serius sahaja melalui email atau whatsapp.
13. Dan sekiranya anda tidak yakin macam mana untuk membuat dan menghantar tuntutan kerosakan yang betul terhadap pemaju, anda boleh sahaja dapatkan bantuan atau khidmat daripada pakar seperti peguam hartanah yang berpengalaman dan sebagainya. Insya Allah mereka boleh membantu anda.
Sila LIKE, SHARE dan KOMEN yang murni-murni sahaja. Moga ramai dapat manfaat daripadanya, Insya Allah
Terima kasih
SALKUKHAIR ABD SUKOR
Peguam Hartanah Rakyat
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam proses menguruskan berat badan, tiada jalan singkat untuk menjadi kurus seperti yang diimpikan. Anda perlu melalui beberapa fasa untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Buat yang sedang menjalani diet boleh mencuba diet dengan pisang.
The Morning Banana Diet atau dikenal juga dengan nama Asa-Banana Diet ialah jenis diet yang mengutamakan pengambilan pisang pada waktu pagi sebagai aturan utamanya. Banana diet atau diet pisang dicetuskan oleh sepasang suami isteri yang berasal dari Jepun iaitu Sumiko Watanabe, seorang ahli farmasi dan ahli dalam bidang perubatan untuk pencegahan penyakit. Suaminya, Hitoshi Watanabe, mempelajari ilmu perubatan dan kaunseling tradisional Cina.
Sejarah Diet Pisang
Diet ini bermula ketika pasangan Sumiko dan Hitoshi hendak berkahwin. Hitoshi mengalami kenaikan berat badan dan ingin menurunkan berat badannya sebelum berkahwin. Setelah mencuba beberapa aktiviti kecergasan dan diet, Hitoshi akhirnya berhasil menurunkan berat badannya dari 80kg menjadi 72kg, tetapi beratnya tidak boleh turun lebih jauh lagi dari angka 72kg. Sumiko kemudian menyarankan diet pisang dan diet ini berhasil membuat Hitoshi mencapai berat badan yang diinginkan. Hitoshi lalu menyebarkan diet ini kepada komuniti di internet dan diet pisang kemudian banyak diperbincangkan.
Aturan buat diet pisang
1. Makan pisang yang belum diolah untuk sarapan
Dalam diet ini, pisang akan menjadi makanan pertama yang anda ambil setelah bangun tidur. Pisang yang dimaksudkan ialah buah pisang, bukan yang sudah diolah menjadi makanan lain seperti pisang goreng atau kek pisang. Anda boleh mengambil lebih daripada satu buah sesuai dengan keinginan anda. Jika anda tidak suka pisang, anda boleh ambil buah lain tetapi hanya ambil satu jenis buah saja, misalnya menggantikan satu buah pisang dengan satu buah epal. Setelah itu tunggu 15-30 minit baharu anda boleh makan makanan lain.
2. Minum air putih
Anda disarankan untuk minum air putih ketika makan pisang di waktu sarapan. Jangan minum air sejuk, lebih baik jika anda minum air putih. Anda juga boleh minum teh untuk memanaskan badan. Jika ingin minum minuman lain, tunggulah 15-30 minit setelah sarapan pisang anda selesai. Diet ini tidak mengharuskan anda minum air putih hingga dua liter sehari kerana keperluan setiap orang berbeza-beza bergantung keadaan individu dan keadaan persekitaran seperti cuaca dan kadar kelembapan.
3. Anda boleh makan apa pun ketika makan tengah hari dan makan malam
Makanan yang disyorkan ialah makanan Jepun terutama nasi dengan beberapa lauk. Untuk makan malam, anda perlu makan sebelum jam 8 malam kerana jika anda makan terlalu dekat dengan waktu tidur, tubuh anda masih perlu bekerja untuk mencernakan makanan ketika anda tidur. Perkara ini akan menyebabkan anda rasa tidak segar dan keletihan (fatigue) ketika bangun esok hari, kerana waktu tidur anda tidak digunakan semaksimum mungkin untuk merehatkan organ-organ tubuh. Tubuh yang letih tidak akan boleh bekerja dengan maksimum, malah mendorong pada kenaikan berat badan. Selain itu, anda juga disarankan untuk memerhatikan isyarat yang diberikan oleh tubuh iaitu bila anda benar-benar rasa lapar dan bila anda sebenarnya sudah kenyang.
4. Makan pemanis mulut
Anda dibolehkan makan pemanis mulut, tetapi anda hanya boleh mengambil satu jenis pemanis mulut saja ketika makan tengah hari dan makan malam. Pemanis mulut boleh terdiri daripada coklat, kek dan makanan manis yang lain. Hindari pemanis mulut yang daripada bahan asas susu seperti aiskrim. Setelah itu, anda tidak disarankan untuk mengambil pemanis mulut lagi. Pemanis mulut setelah makan malam juga tidak digalakkan.
5. Tidur secukupnya dan hindari bangun tidur dengan jam yang ditetapkan waktu
Akan lebih mudah bagi anda untuk mengawal berat badan jika tubuh anda sihat dan tidak letih. Tidur sebelum tengah malam dan bangun tidur tanpa dibangunkan oleh jam adalah kunci tubuh anda dapat bekerja dengan normal tanpa adanya sumber stres tambahan. Bangun tidur menggunakan jam akan membuat otak anda berada di bawah tekanan atau stres sehingga membuatkan sistem pencernaan anda tidak berjalan lancar.
6. Silalah bersenam tetapi jangan terpaksa
Anda disarankan untuk bersenam, tapi pilihlah jenis senaman yang santai mketika melakukannya. Jika fikiran untuk perlu bersenam membuatkan anda stres, maka anda tidak perlu ‘benar-benar’ bersenam. Memilih aktiviti fizikal yang tidak membuatkan anda kehabisan nafas dan kelihatan seperti bukan jenis senaman yang membakar kalori boleh anda jadikan alternatif aktiviti fizikal. Misalnya dengan berjalan kaki santai atau hanya mengayun-ayunkan tangan.
Bagaimana kesan diet pisang terhadap kesihatan?
Makan buah di pagi hari baik bagi kesihatan. Buah mudah dicerna sehingga tidak memberatkan kerja pencernaan di pagi hari. Tidur sebelum tengah malam dan tidak makan selepas jam 8 malam juga dapat membantu menurunkan berat badan. Menurut kajian, orang yang memiliki waktu tidur 7-9 jam sehari cenderung memiliki berat badan yang normal. Anda juga akan cenderung makan berlebih atau makan makanan tidak sihat jika sedang dalam keadaan letih.
Saranan diet pisang untuk berhenti makan ketika anda sudah 80% kenyang juga dapat membantu anda mengawal jumlah kalori yang masuk. Membatasi pengambil pemanis mulut dan produk susu serta olahannya boleh mengurangkan pengambilan kalori terutama lemak dan gula sehingga dapat mencegah kenaikan berat badan yang diakibatkan oleh kelebihan kalori.
Diet pisang juga sangat menekankan pentingnya menjaga kesihatan tubuh dan menghindari stres baik fizikal mahupun emosional. Ini dapat membantu tubuh anda untuk berfungsi secara maksimum sehingga tubuh menjadi normal, termasuk sistem pencernaan.
Penurunan berat badan daripada diet pisang mungkin terjadi kerana anda akan cenderung makan lebih sedikit. Hanya makan buah untuk sarapan serta mengurangkan pemanis mulut dapat mendorong dalam penurunan berat badan. Diet ini tidak memaksa anda melakukan perubahan besar seperti menggantikan sebahagian makanan anda dengan sayur-sayuran atau mengharuskan anda bersenam beberapa jam dalam sehari. Pendekatannya lebih ke arah gaya hidup, maka penurunan berat badan yang terjadi juga cenderung lama dan mungkin tidak secara mendadak. Tetapi penurunan berat badan yang terjadi dapat bertahan dalam waktu lama kerana gaya hidup andalah yang sebenarnya diubah dalam diet ini.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!