Jika suami isteri tidak lagi merasai kemesraan selepas beberapa tahun berkahwin, ada beberapa panduan menarik yang mungkin boleh membantu mengeratkan lagi hubungan anda bersama pasangan.
1. Luangkan masa bersantai atau bercuti bersama pasangan
Bercuti berdua-duaan untuk beberapa hari dapat membuatkan pasangan suami isteri merasa lebih dekat. Pada masa sama, ia juga dapat memberi peluang untuk pasangan berinteraksi tanpa gangguan dan kekecohan telatah anak-anak.
Ini juga salah satu cara istimewa untuk menyatakan kepada pasangan bahawa kehadirannya sangat penting dalam kehidupan kita.
Malah ketika inilah anda boleh mencipta kenangan baru yang manis dan akan diingat sepanjang hayat.
2. Imbas kembali kemesraan hari pertama berkahwin atau menjadi kekasih
Cuba mengingati indahnya perasaan ketika bergelar pasangan kekasih dan sebab anda jatuh cinta dengan pasangan. Usahakan untuk melakukan perkara sama bersama pasangan seperti berpegangan tangan, bergurau dan pergi berjalan berdua-duaan seperti ketika bercinta dulu.
3. Berikan perhatian terhadap satu sama lain
Tanyakan perjalanan hari pasangan anda dan dapatkan pendapatnya biarpun ia hanya membabitkan rutin harian. Tunjukkan kepada pasangan bahawa anda masih ambil kisah dan khuatir mengenai kesihatan, keperluan dan kebahagiaannya.
Ekspresi wajah sederhana atau pertanyaan seperti ‘bagaimana keadaanmu?’ dapat membuka pintu percakapan dan meningkatkan komunikasi antara suami isteri.
4. Luangkan 22 minit setiap hari untuk berkomunikasi dengan pasangan
Sedarkah anda bahawa 22 minit adalah tempoh waktu menonton rancangan sitkom kegemaran anda di televisyen? Tentunya, di dalam rumah tangga, setiap pasangan layak mendapat waktu selama 22 minit setiap hari bersama suami atau isteri.
Gantikan acara menonton televisyen yang tidak penting dengan duduk berbual bersama pasangan. Jangan biarkan anak, gajet atau perkara lain mengganggu waktu anda bersama dengan pasangan.
Jika tidak dapat meluangkan waktu dengan pasangan selama 22 minit, cuba dengan tempoh 14 minit dulu. Lakukan rutin ini setiap hari dan pasti anda akan menjadi biasa dengan perkara berkenaan.
5. Berbincanglah dengan pasangan mengenai pelbagai perkara dan bukan sekadar mengeluh
Jika pasangan anda berasa sukar untuk bersama atau berbincang disebabkan suami atau isteri yang gemar mengeluh atas pelbagai perkara, pasti ia agak sukar.
Jauhkan perbincangan yang boleh menimbulkan masalah. Berbicaralah mengenai matlamat dalam kehidupan yang ingin dicapai atau mengenai hobi baru yang boleh menarik perhatian anda dan pasangan.
Rancang untuk pergi bersama pasangan supaya dia boleh melihat sendiri aktiviti anda di luar rumah. Jika kita jadikan pasangan seperti teman, pasti hubungan dibina akan menjadi lebih erat.
6. Bersiap sedia untuk menerima
Jika kita masih belum biasa berkongsi perasaan atau cerita dengan pasangan, mungkin akan berasa sedikit canggung pada awalnya.
Namun, jangan bimbang kerana jika kita latih diri untuk melakukannya setiap hari pasti akan memberikan lebih keselesaan ketika berbicara bersama pasangan dalam pelbagai topik.
Ingatlah bahawa pasangan juga menginginkan hubungan pernikahan yang intim seperti yang kita mahukan. Jujurlah dengan perasaan dan kemungkinan besar pasangan kita akan melakukan hal yang sama.
7. Dapatkan khidmat kaunselor perkahwinan
Jika tidak dapat mencari jalan yang sesuai, mintalah nasihat daripada individu yang pakar di dalam hubungan rumah tangga. Jangan biarkan hubungan dingin dan renggang dibiarkan terlalu lama tanpa ada usaha memperbaikinya.
Pastinya, kaunselor dapat mencadangkan beberapa kaedah menarik untuk dilakukan bersama pasangan. Hubungan sesama manusia ini memang ada kalanya agak rumit dan membingungkan.
Pengetahuan dan latihan sangat diperlukan dalam mengeratkan hubungan antara suami dan isteri bagi mengemudi bahtera rumah tangga dengan berjaya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI