Tidak tergambar perasaan gembira di hati kedua mempelai sebaik sahaja mengikat sebuah ikatan yang kukuh dalam sebuah majlis persandingan yang diraikan oleh sanak saudara dan teman-teman. Inilah momen yang paling bermakna buat Zaki Maghfur dan Anastassia Irina Muhd Din Fikri sebaik disatukan pada majlis akad nikah yang berlangsung di Grand Ballroom, Menara Felda, Platinum Park.
Lima tahun usia perkenalan cukup mematangkan keduanya untuk membuat satu keputusan yang pasti iaitu melayari kehidupan bersama sebagai sepasang suami isteri. Ketika ditanya bagaimana momen lamaran yang dibuat oleh Zaki, ini jawapan Tasha.
“Zaki ajak berkelah di Kepong Metropolitan Park untuk melihat matahari terbit. Saya pun setuju. Dia memang berusaha untuk membuatkan saya gembira bila kami di sana. Akhirnya, dia keluarkan kotak dalam bentuk rumah (hadiah saya pada dia bila kami mula berkenalan), tetapi dia catkan warna putih dan menukarnya kepada kotak cincin. Saya tak boleh berhenti tersenyum dan gembira sehingga menangis pada ketika itu,” cerita Tasha tentang momen yang sungguh menyentuh hatinya itu.
Tasha akui memang sukar untuk dia membuat pilihan tetapi dia dapat merasakan adanya kejujuran dan keikhlasan Zaki terhadapnya. Zaki selalu menjadi dirinya sendiri dan itu yang membuatkan Tasha tertarik kepadanya. Zaki juga melihat, kekuatan diri yang ada pada Tasha membuatkan dirinya ingin lebih rapat dengan wanita yang telah mencuri hatinya.
MAJLIS PERNIKAHAN
Sebuah majlis yang sukses semestinya memerlukan perancangan yang rapi dan sempurna, begitu juga buat Tasha dan keluarga. “Kami tiada majlis pertunangan. Terus bercadang untuk berkahwin sahaja. Oleh itu di hari yang sama diadakan juga majlis akad nikah pada sebelah siang dan malamnya ialah majlis resepsi.
“Bagi acara siang, saya mendapat inspirasi warna dari Pinterest. Saya memilih warna yang sesuai bagi saya lantas terjumpa warna ivory bersama kombinasi emerald green yang saya rasanya sesuai. Bagi intergalactic untuk acara malam, saya memilihnya kerana mahukan sesuatu yang menunjukkan personaliti kami berdua. Perancang perkahwinan saya merupakan ibu saudara saya sendiri iaitu Puan Selina. Semua yang dianjurkan merupakan hasil gabungan idea bersama ahli-ahli keluarga saya,” jelas Tasha lagi.
Memilih tarikh akad nikah pada 21 Oktober 2017, pasangan ini disatukan di Grand Ballroom, Menara Felda, Platinum Park bersaksikan keluarga, saudara mara dan sahabat terdekat. Dengan dua kali lafaz, Tasha sah menjadi suri buat Zaki. Bagi melengkapi majlis, pihak lelaki membawa tiga dulang hantaran termasuk mas kahwin dan dibalas oleh pihak perempuan sebanyak lima dulang.
“Sebenarnya pemilihan tarikh nikah atau tarikh resepsi tiada yang istimewa. Kami hanya fikir yang sesuai dan dipersetujui oleh kedua-dua keluarga,” ceritanya. Pasangan ini Dengan memilih rona Ivory untuk majlis akad nikah mereka manakala emerald green sempurna buat ahli keluarga. Simon Seow ialah orang yang bertanggungjawab mereka busana saya. Saya dan ahli keluarga sudah selesa dengan sentuhannya, malah dia tahu akan cita rasa saya. Sentuhan magisnya membuatkan saya kelihatan seperti puteri pada hari bermakna itu. Tidak lengkap diri saya tanpa dirias dan didandan oleh jurusolek pilihan peribadi iaitu Rachel. Dia juga tahu cita rasa saya dan bijak membuat saya kelihatan ayu tetapi tidak terlalu over,” akui Tasha.
Dulang hantaran berhias indah untuk pihak lelaki dan perempuan disediakan oleh Amir Ramli Exclusive kerana sentuhannya sungguh memukau, unik dan classy. “Antara hantaran yang dirasakan istimewa ialah tie pin vintage astronaut yang dikirim dari Amerika Syarikat. Ia merupakan in-joke kami berdua,” jelas Tasha.
TEMA INTERGALACTIC
Selesai acara nikah, pada sebelah malamnya pula berlangsung majlis resepsi buat kedua-dua pengantin di lokasi yang sama sebagaimana majlis nikah. Namun dekorasi berbeza bertemakan Intergalactic. “Saya memilih tema ini kerana mahu sesuatu yang menunjukkan personaliti kami berdua yang sebenarnya suka benda yang geeky,” cerita Tasha.
Sebagaimana pelamin untuk majlis nikah, untuk dekorasi pelamin majlis resepsi juga diinspirasikan oleh Peterana Chenta. “Effect glittering dipersembahkan pada latar belakang pelamin bagi melengkapi konsep Intergalactic. Rona krim menjadi pilihan memandangkan baju pengantin yang dikenakan berwarna midnight blue. Jadi akan lebih menyerlah dengan rona tersebut sekali gus menampilkan sentuhan romantik di situ,” jelas Haizi dari Peterana Chenta.
Sekali lagi Tasha mengenakan busana dari Simon Seow manakala solekan dan dandanan dari Rachel. Melengkapi sang puteri, bunga tangan gubahan Shajaratul Design menyerlahkan lagi keanggunannya. Tentunya buat pasangan Tasha dan Zaki mengharapkan perjalanan hidup yang dilalui bersama akan berjalan lancar dan meninggalkan memori indah.
Mengakhiri bualan ketika ditanya, di manakah lokasi percutian bulan madu dan mengapa destinasi tersebut menjadi pilihan mereka berdua. Keduanya memilih Jepun kerana mereka sangat tertarik dengan budaya Jepun terutamanya filem-filem Ghibli.
FOTO : HAFIZUDIN HAMDAN PHOTOGRAPHY
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI