Kejutan menghadapi budaya hidup keluarga mertua sering berlaku kepada pasangan yang baru berkahwin, sehingga kadang-kadang jika tidak ditangani dengan baik, boleh menyebabkan krisis dalam rumah tangga.
Perbezaan ini memerlukan penyesuaian kerana walaupun berbeza status tanggungjawab menghormati dan melayan ibu bapa mertua dan keluarganya adalah sama seperti kita menghormati dan melayan ibu bapa kandung dan kaum kerabat sendiri.
Hubungan dan komunikasi dengan keluarga mertua perlu dikendalikan secara hormat dan hikmah malah bersama ipar duai juga perlu dipelihara kerana perkahwinan bukan sahaja membina hubungan suami isteri, ia juga menghubungkan tali silaturrahim dan persaudaraan antara dua buah keluarga yang sebelum ini mungkin belum pernah mengenali antara satu sama lain.
Panduan mengelakkan masalah hubungan dan komunikasi:
1. Bersifat terbuka dan bersangka baik kepada keluarga mertua walaupun mempunyai pendapat yang berlainan. Pasangan kita mungkin boleh menjadi perantara untuk menyatukan dua pendapat yang berbeza. Elakkan buruk sangka bagi mengelakkan pertengkaran yang boleh menjejaskan lagi hubungan anda dengan keluarga mertua.
2. Menunjukkan kegembiraan apabila mereka berkunjung ke rumah anda melalui huluran salam, layanan mesra dan menyediakan hidangan yang enak mengikut kemampuan.
Ads
3. Apabila keluarga mertua membuat aktiviti atau program maka anda sebagai menantu perlulah memberi kerjasama dan komitmen dalam aktiviti atau program yang dirancang, jika tidak dapat menghadirkan diri berilah alasan secara baik agar tidak menyinggung perasaan pihak mertua.
4. Jika anda mempunyai masalah dalam rumah tangga, mereka juga boleh menjadi tempat untuk anda meminta nasihat dan bimbingan. Jangan sesekali abaikan mereka dalam membuat sesuatu keputusan.
Ads
Kredit: Made By Lat
5. Sentiasa ingat bahawa pengorbanan kita memendam rasa akibat rasa kurang senang atau tidak puas hati terhadap keluarga mertua atau ipar duai mungkin terlalu kecil jika dibandingkan dengan doa dan restu mereka untuk kesejahteraan hidup kita sepanjang hayat. Mereka juga sama seperti ibu bapa kandung kita mendoakan yang terbaik dan tidak ada ibu bapa yang sanggup mendoakan sesuatu yang buruk terjadi pada anak menantu mereka.
6. Tidak mencampuri urusan keluarga mertua terutama dalam soal pengurusan harta atau kewangan melainkan diminta pandangan atau nasihat. Jangan cuba berlagak pandai dalam menguruskan hal-hal keluarga mertua jika pandangan anda tidak diperlukan. Anda bukan akan menyelesaikan masalah tetapi akan lebih menambahkan masalah. Lebih berhati-hati bila bercakap jika melibatkan sesuatu yang sensitif tentang keluarga mertua anda.
7. Memberi respon positif terhadap sebarang kenyataan dan tidak menggunakan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka. Jangan sesekali gunakan bahasa yang kasar yang boleh menampakkan sikap kurang ajar anda.
8. Berbuat baik dengan kawan-kawan dan adik beradik pasangan merupakan salah satu cara suami atau isteri menzahirkan rasa kasih sayang kepada pasangan. Hormatilah juga saudara mara yang lain seperti mana anda menghormati suami anda.
Tonton juga video di bawah:
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ovarian Cysts adalah nama yang diberikan kepada cyst atau kantung yang berisi lendir atau air yang berada di dalam kilang telur ovari. Lendir atau cecair ini boleh jadi seperti air, pekat likat dan ada di antaranya yang mengandungi tisu-tisu seperti rambut dan gigi.
Ovarian Cyst sering berlaku di kalangan wanita muda. Malah ramai wanita yang tidak menyedari mereka mengalaminya kerana ia jarang memberikan simptom-simptom tertentu. Ia hanya akan disedari apabila seseorang wanita itu membuat imbasan imej atau ultrabunyi ketika menghadapi isu kesuburan.
Cyst sebenarnya berkait rapat dengan proses reproduksi wanita. Ovarian Cyst yang normal adalah cyst yang mengandungi telur dan apabila ia matang, ia akan pecah untuk melepaskan telur bagi proses persenyawaan. Cyst jenis ini dinamakan sebagai Follicular Cyst. Kadang-kadang, cyst lain juga boleh tumbuh di dalam ovari dan cyst inilah yang selalu memberi masalah kerana jika ia tidak pecah, saiznya akan bertambah besar serta membahayakan.
Ovarian Cysts sebenarnya agak kerap terjadi. Ramai wanita mungkin sekurang-kurangnya akan mendapat satu cyst sepanjang hidup mereka.
Cyst ada pelbagai jenis. Kebanyakannya tidak menjadi penyebab dan tidak memberi kesan kepada keupayaan untuk seseorang wanita itu hamil. Kebanyakan cyst tidak mengganggu proses ovulasi atau persenyawaan. Namun jika anda mengalami Endometriosis atau Polycystic Ovaries (PCOS), ia mungkin berkait rapat dengan masalah kesuburan.
RAWATAN
Tidak semua cyst memerlukan pembedahan. Hasil pemeriksaan doktor serta analisa akan diambil kira. Berikut adalah perkara yang perlu dipertimbangkan tahap cyst.
Biopsi : Sedikit cebisan tisu diambil untuk mengenal pasti bahawa ia barah atau sebaliknya.
Membuang cysttersebut setelah dikenal pasti oleh doktor melalui analisa dengan menggunakan kaedah sistektomi (cystectomy) iaitu tidak menjejaskan kesuburan pesakit.
Pembuangan ovari jika analisa yang diperoleh disahkan sebagai barah.
FIBROID
Fibroid merupakan ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser) yang terdapat dalam uterus atau rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga 40-an. Kajian menunjukkan bahawa fibroid berlaku disebabkan oleh hormon estrogen yang berlebihan. Fibroid juga mungkin disebabkan oleh kombinasi faktor genetik, hormon dan persekitaran.
Golongan wanita yang berisiko lebih tinggi untuk mendapat fibroid ialah:
Darah tinggi.
Fibroid dalam sejarah keluarga. Jika ibu dan adik-beradik anda mempunyai fibroid, anda mungkin berisiko untuk mendapat fibroid.
Haid pada usia awal.
Pengambilan diet dengan daging merah yang tinggi dan kurang sayur-sayuran serta buah-buahan.
Fibroid boleh menyebabkan masalah kesuburan di kalangan wanita dengan cara:
Mengubah bentuk pangkal rahim menyebabkan sperma sukar untuk melepasinya.
Mengubah bentuk rahim sehingga mengakibatkan gangguan dalam pergerakan sperma ataupun embrio
Menyebabkan saluran peranakan tersumbat.
Mengubah bentuk lapisan dinding rahim dan mengurangkan aliran darah melaluinya sehingga menyebabkan masalah semasa penempelan embrio.
Mengakibatkan kontraksi otot rahim yang abnormal menyebabkan kesan tidak baik kepada pergerakan sperma, fungsi tiub Falopio serta penempelan embrio yang terhasil.
Kajian menunjukkan fibroid perlu dibuang jika:
Intramural Fibroid: Bersaiz 5sm dan ke atas atau saiz rahim lebih besar dari 12 minggu kehamilan terutamanya jika fibroid menyebabkan pengherotan rongga atau kaviti rahim.
Submucosal Fibroid: Boleh mengganggu proses penempelan dan meninggikan risiko untuk keguguran jika hamil. Kebanyakan Submucosal Fibroid boleh dibuang dengan pembedahan melalui histeroskopi.
Oleh itu, amat penting membuat pemeriksaan jika anda mempunyai simptom mengenai fisiologi yang berlaku seperti di atas.
Kredit: Hospital Metro IVF
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak berusia lima tahun Nooredayu Binti M.Selim pemilik Dayu Designs seringkali membantu ibunya memetik daun-daun inai daripada pokok inai yang ditanamnya. Sering melihat ibu mengisar daun-daun inai tersebut bersama sedikit air kopi, gambir dan nasi sejuk untuk dijadikan pes bagi rawatan rambutan dan mewarnakan uban. Bermula dari situ pendedahan tentang inai sebati dalam dirinya.
“Saya dan kakak akan menghabiskan masa bersama untuk memakai lebihan pes inai tersebut di hujung jari jemari dan juga membuat corak berbentuk bulat pada kedua telapak tangan. Mula melukis corak inai sejak berada di zaman kampus sekitar tahun 1999 menggunakan kon dulhan yang dibeli di kedai India secara suka-suka pada sahabat handai serta sanak saudara. Ketika itu saya menuntut di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam di dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik,” ujarnya.
Rentetan situasi kon inai yang dijual secara komersial ketika itu mendatangkan masalah untuk saya menghasilkan karya yang kemas dan halus, bermulalah ideanya untuk menginovasikan peralatan lukisan inai daripada jenis yang kon kepada menggunakan botol plastik yang mudah dipicit dengan mata besi yang pelbagai saiz.
“Saya amat terbuka untuk berkongsi resepi bancuhan inai ini kerana saya mahu menggalakkan orang ramai untuk cuba membancuhnya sendiri agar bancuhan yang dihasilkan adalah segar, asli dan selamat. Resipinya ringkas dan bahan-bahan alami yang digunakan adalah mudah diperoleh iaitu hanya menggunakan serbuk daun inai (‘Body Art Quality’) yang mana serbuknya sehalus bedak talkum dan telah disaring antara tiga hingga lima kali, gula tebu, minyak pati (‘Essential Oil’) dan Air Mawar atau Jus Lemon,” kongsinya.
Segalanya menjadi lebih serius pada tahun 2004 bila mana sewaktu itu dia melihat kebanyakan jurugambar-jurugambar perkahwinan di Malaysia mempromosikan hasil karya mereka menerusi platform online iaitu Fotopages.Com. Dia turut berkongsi koleksi gambar-gambar seni lukisan inai yang dihasilkannya. Maklumbalas positif diterimanya yang menyokong hasil karya seni lukisan inainya dan yang paling menyeronokkan apabila saya mula menerima tempahan daripada bakal-bakal pengantin dan juga badan-badan korporat serta individu-individu yang ingin menganjurkan majlis keraian seperti Hari Keluarga, Majlis Sambutan Hari Jadi, Majlis Pelancaran Produk, Majlis Cukur Jambul, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya, Majlis Resepsi, Majlis Pertunangan, ‘Bachelorette Part’ or ‘Hens Night’ iaitu Parti yang dianjurkan oleh rakan-rakan perempuan untuk bakal pengantin sebelum Majlis Pernikahan.
Keistimewaan inai yang dihasilkan
Lukisan inai bunga ros yang eksklusif seakan-akan hidup merupakan corak signature dan menjadi pilihan yang paling popular apabila pelanggan membuat tempahan. Rekaan inai yang dihasilkan menggunakan inai asli, mampu mengindahkan tangan atau kaki wanita dan bertahan lima hingga 10 hari bergantung pada aktiviti si pemakai. Di samping itu, ia mempunyai kesan terapeutik dan khasiat penyembuhan serta dijadikan terapi diri dan juga minda.
“Saya menggunakan pes inai asli yang dibancuh sendiri untuk memastikan kualitinya terjamin, kekal segar, asli, selamat, diyakini dan bebas daripada bahan-bahan pengawet, tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang serta bebas pewarna tiruan,” jelasnya.
Campuran minyak pati (essential oil) yang terdapat di dalam pes inai asli yang dibancuh boleh membawa si pemakai hanyut ke dalam dunia khayalan seolah-olah berada di Ladang bunga sekitar Cameron Highland. Apatah lagi bila bancuhan inai ini dipakai oleh bakal pengantin dua hari sebelum majlis mampu memberi ketenangan, menghilangkan debaran, melenyapkan darah gemuruh serta mengurangkan tekanan dalam membuat persediaan untuk mengharungi gerbang perkahwinan yang bakal ditempuhi.
Terdapat enam jenis servis seni lukisan inai yang ditawarkan iaitu lukisan inai asli, lukisan inai jagua, lukisan inai putih, corak inai neon (glow in the dark), corak inai glitter dan sticker inai. Servis seni lukisan inai ini tidak terhad untuk dekorasi tubuh sahaja malah boleh dilukis inai pada busana, tudung, kasut atau beg hantaran mengikut citarasa pelanggan yang ingin tampil kelainan dan eksklusif.
“Seni ukiran kayu yang dapat dilihat pada bahagian-bahagian rumah, perabot, hiasan rumah, mimbar dan rehal serta corak batik pada fabrik turut memberi inspirasi kepada saya. Unsur flora merupakan motif corak inai yang sangat penting dalam seni lukisan inai yang dihasilkan. Biasanya tumbuhan yang menjalar dijadikan motif sampingan kerana sulur pautnya yang lembut dan menjalar mudah diubah suai bentuk mengikut cita rasa untuk dipadankan pada pelanggan. Saya juga suka membeli bahan bacaan yang dipenuhi dengan visual untuk dijadikan rujukan. Saya akan lakar dan olah kembali visual yang dilihat untuk dijadikan motif corak inai.
Kebiasaannya, pelanggan akan berbincang terlebih dahulu dengan saya untuk corak yang mereka ingini. Saya akan memberikan konsultasi berdasarkan kesesuaian majlis dan mengikut bentuk tangan mereka atau kawasan anggota tubuh yang ingin diinaikan. Kebebasan berkarya yang diberikan oleh pelanggan menjadi dorongan dan motivasi untuk saya hasilkan dengan penuh minat dan kasih sayang, melukis terus dari hati rekaan inai yang menarik,” ceritanya.
Cabaran
Sekitar tahun 2008, kecoh isu pemakaian inai (henna) bercorak dikaitkan dengan pemakaian tatu (syimaah) dan menyebabkan ramai keliru dan timbul keraguan. Persoalannya adakah ia dibenarkan dalam syarak? Jika dibenarkan apakah syaratnya? Bolehkan memakai inai bercorak? Terdapat juga beberapa pengantin yang terpaksa membatalkan tempahan mereka berikutan isu tersebut.
Situasi menjadi semakin reda, tempahan kembali dibuat dan pelanggan mulai jelas bilamana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalahdibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.
Pautan Rujukan: !! ⚠➳ http://piswi.islam.gov.my/index.php/himpunan-fatwa/30-himpunan-fatwa/sosial/27-hukum-pemakaian-inai-bercorak-mengikut-syarak
Ujar wanita ini untuk pakar dalam pemakaian henna pupuklah semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam diri dan tingkatkan kemahiran melalui seminar, kursus, pembacaan dan sebagainya. Melaburlah untuk peralatan melukis inai dan produk yang terbaik untuk hasil rekaan inai yang menarik serta peruntukkan masa sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk membuat latihan melukis inai atau lakaran.
Jangan lupa saksikan keistimewaan inai yang dilukis Dayu Designs dalam video ini.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak semua pasangan yang berkahwin dapat tinggal sebumbung kerana ada yang tinggal berjauhan atas komitmen kerja atau belajar. Walaupun ramai yang kata perkahwinan jarak jauh sukar, tapi ia bukan alasan untuk anda berdua kekal romantis dan bahagia.
Paling penting kedua-duanya perlulah saling menghargai perasaan dan mempercayai antara satu sama lain. Baru anda berdua akan merasai kenikmatan berumah tangga.
Jika anda tergolong dalam pasangan yang terpaksa berpisah dengan insan tersayang, ayuh terapkan dalam diri enam petua ini agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan romantis seperti pasangan lain.
1. Tetapkan matlamat dalam hubungan
Sebelum anda dan pasangan tinggal berjauhan, menentukan dahulu arah hubungan, sebab-sebab kenapa tinggal berjauhan dan bilakah tarikh untuk anda berdua akan tinggal bersama. Ia penting agar anda dan pasangan ada matlamat untuk berusaha tinggal bersama seperti pasangan yang lain.
2. Perlu ekstra percaya terhadap pasangan
Hubungan dalam rumah tangga menuntut kita untuk saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan saat berjauhan kepercayaan akan teruji. Oleh itu belajarlah untuk meningkatkan kepercayaan dalam diri masing-masing. Singkirkan segala perasaan curiga terhadap pasangan kerana sikap tersebut jika dibiarkan boleh menjadi duri selain membuatkan anda memikirkan perkara yang buruk.
3. Sentiasalah berkomunikasi
Walaupun anda berdua terpisah disebabkan oleh komitmen kerja atau pelajaran, jangan sesekali mengabaikan komunikasi. Sentiasalah berhubung antara satu sama lain. Ceritakan kepada pasangan tentang aktiviti harian, masalah yang dihadapi ataupun luahkan rasa rindu anda kepadanya. Apatah lagi zaman yang serba moden ini lebih memudahkan kerana terdapat banyak cara untuk seseorang itu berhubung dengan orang tersayang.
4. Ambil masa untuk mengunjungi pasangan
Jika pasangan masih dalam negara, latihlah diri anda dan pasangan untuk saling mengunjungi antara satu sama lain. Buatlah giliran agar anda berdua boleh berjumpa, mungkin seminggu sekali atau dua minggu sekali. Dengan cara ini hubungan romantis dan bahagia anda berdua bertambah semarak dan tidak akan pudar. Saat bertemu itu lakukan aktiviti bersama sepuas-puasnya seperti menonton wayang, masak makanan kegemaran suami dan sebagainya. Dengan cara ini akan membuatkan hubungan anda dan pasangan bertambah bahagia.
5. Kirim hadiah kejutan
Apabila tiba tarikh-tarikh penting seperti tarikh lahir pasangan, tarikh mula bertemu, ulang tahun dan sebagainya, hantarkan hadiah untuknya. Jangan disebabkan anda berdua tinggal berjauhan, anda mengabaikan tarikh-tarikh penting ini. Sebenarnya kejutan sebegini boleh membuatkan pasangan rasa dihargai dan teruja apatah lagi menerima kiriman istimewa daripada insan tersayang. Cara ini akan menghangatkan lagi kasih sayang anda.
6. Hantarkan mesej romantis
Tentu pasangan rasa teruja apabila menerima pesanan cinta daripada anda. Anda boleh menghantar pesanan ringkas dengan mesej cinta atau kata-kata romantis di telefon bimbitnya. Kata-kata ini akan membuatkan pasangan terbuai dengan cinta anda, lantas timbul rasa tidak sabar untuk bertemu dengan anda nanti.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelakon dan juara Dewi Remaja 2023, Nurel Baharin, 24, membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila selamat bergelar isteri kepada pilihan hati, Esmeer Mansor, dalam...