Lalui Cinta Jarak Jauh, Hanna Aqeela Kini Sah Bergelar isteri

Share

Raut wajah penuh kegembiraan dan kesyukuran jelas terpancar di wajah pelakon Hanna Aqeela tatkala sah bergelar isteri kepada kekasih hatinya, seorang akauntan, Muhammad Farid Sakri bertempat di Putra Glass Hall Shah Alam, Selangor pada 13 Mei lalu.



Hanna, 32, berkata, selepas menjalani hubungan jarak jauh bersama kekasihnya selama tiga tahun, mereka akhirnya disatukan dalam ikatan perkahwinan dua minggu lalu.


Menurut Hanna lagi, mereka telah berkenalan sejak lapan tahun yang lalu dan melalui episod percintaan secara jarak jauh akibat pandemik dan Muhammad Farid bertugas di Labuan, Sabah.


“Alhamdulillah…Kami sebenarnya sudah bercinta hampir lapan tahun dan berdepan dengan LDR selama tiga tahun akibat pandemik. Akhirnya kami disatukan dalam satu ikatan perkahwinan. Suami saya bekerja di Labuan, jadi kami buat masa ini terpaksa berjauhan seketika. Sekiranya dipermudahkan nanti, Insya-Allah, suami saya akan berpindah ke Kuala Lumpur.

Bersaksikan 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga dan sahabat terdekat, pasangan ini selamat dinikahkan pada 13 Mei lalu diikuti majlis resepsi pada keesokan harinya. Hanna tampak anggun dan manis mengenakan sepasang baju kurung moden rekaan Amaze dan didandan rapi oleh makeupbynurulmf.

Manakala dekorasi Putra Glass Hall Shah Alam pula mendapat sentuhan Melur Putih yang sememangnya terkenal dengan sentuhan dekorasi nan eksklusif dan elegan. Tema ‘Garden Wedding’ menjadi pilihan kedua mempelai memandangkan Hanna mengimpikan majlis perkahwinan tersebut untuk hari bahagianya.


“Saya sudah lama mengidamkan untuk berkahwin dengan tema ‘ala ala garden’ tetapi memandangkan cuaca di Malaysia ini tidak menentu, jadi saya membawa ‘outdoor’ itu ke ‘indoor’.

“Syukur semuanya berjalan dengan lancar dan segalanya berjalan mengikut perancangan,” kata Hanna.


Sekadar info, walaupun mempunyai rupa paras yang cantik dan lemah lembut, Hanna sebenarnya seorang wanita yang lasak dan mencintai aktiviti luar antaranya bermain futsal dan hiking. Malah Hanna atau nama sebenarnya Hanna Aqeela Mohd Rosni mempunyai pasukan bola sepak sendiri dan turut menyertai beberapa pertandingan.

Malah antara wishlist pelakon berusia 32 tahun ini ialah mendaki Gunung Kinabalu sebelum bergelar isteri dan hajatnya tercapai apabila dia dapat menjejakkan kaki ke Gunung Kinabalu sebelum menjadi isteri Muhammad Farid!

IKLAN