Sah sahaja bergelar suami isteri maka bermulalah kehidupan baharu dalam rumah tangga. Sebagai pengantin baharu, anda seharusnya bijak menguruskan kewangan agar kehidupan yang bakal anda berdua lalui nanti menjadi lebih lancar.
Bagi yang baharu berkahwin, jadikan panduan bijak menguruskan kewangan sebagaimana yang dikongsikan oleh Amir Syahir ini. Nasihat beliau, bersederhanalah dalam setiap perbelanjaan dan lebih baik menyimpan duit untuk perbelanjaan yang lebih penting. Semoga panduan ini akan memberi manfaat buat semua pengantin baharu ataupun yang bakal bergelar raja sehari.
****************************
Musim perayaan dan cuti sekolah ni ramai yang menamatkan zaman bujang. Untuk yang baru berkahwin, tahniah aku ucapkan. Alhamdulillah korang dah masuk alam baru.
Yang pasti, alam rumah tangga ni tak boleh buat main-main dah. Tambah lagi bab kewangan. Salah urus, memang haru biru jadinya. Silap haribulan, boleh jadi gaduh kerana tak cukup duit. Jangan kumpul duit untuk buat belanja kahwin je. Kena fikir juga perbelanjaan selepas kahwin. Jangan masa kahwin makan sedap-sedap, kek lima tingkat dah sebulan kahwin asyik makan megi je.
Berikut ada 7 panduan buat pasangan muda yang baru berkahwin:
Ads
1. Beli Rumah Yang Kecil Dahulu
Beli rumah yang selari dengan perkembangan keluarga kau terlebih dahulu. Biar kecil asalkan ada tempat untuk keluarga kau berteduh daripada kau duk menyewa sampai ke tua. Tak payah nak ikut orang. Orang beli rumah banglo, kau pun nak ikut juga. Padahal kau tak tahu berapa gaji dia sebulan. Kalau isteri bekerja. Gaji isteri guna untuk beli rumah untuk pelaburan. Sekurang-kurangnya kau sekeluarga ada aset untuk masa hadapan.
2. Beli Kereta Yang Kecil Dahulu
Belilah kereta yang rendah harganya. Keluarga kau masih kecil, elok beli kereta kecil dulu. Myvi, Viva atau Saga misalnya. Asalkan sampai ke destinasi yang dituju dan selesa untuk isteri dan keluarga kau. Beli kereta yang sesuai dengan pendapatan kau. Tak payah nak lawan dengan kawan-kawan yang lain. Kebiasaannya kau akan beli lebih daripada dua kereta dalam hidup kau. Kereta pertama kereta terpakai pun okay. Kereta terpakai bukan dosa.
3. Belanja Mengikut Kemampuan Kewangan
Belanja ikut ekonomi kewangan sendiri. Bila kau tengok jiran kau beli kereta baru, kau rasa nak tukar kereta baru. Bila kau tengok kawan Fesbuk kau pergi travel oversea, kau menggelupur nak pergi sama. Jangan nak berlagak kaya. Seeloknya kau tangguh dulu kehendak dan utamakan keperluan. Kalau kau orang ada-ada takpe la. Ikut kau la nak buat apa pun.
Ads
4. Elakkan Pembiayaan Peribadi Dan Hutang Yang Tidak Perlu
Kalau boleh jangan buat pembiayaan peribadi. Kadar keuntungan bank tinggi. Melainkan hutang yang mampu mengembangkan lagi nilai bersih aliran tunai keluarga kau. Jangan berhutang semata-mata nak beli perabot dan perkakas elektrik. Duduk bersila bukan dosa. Makan bersila pun berselera juga bila masakan isteri kau padu. Tidur atas tilam lipat sedap saja bila berdua.
5. Simpanan Untuk Masa Hadapan
Simpanan setiap bulan yang minima mengikut kemampuan kewangan secara konsisten. Bina tabung untuk masa depan, contohnya tabung pendidikan anak-anak menggunakan tools ASB Financing ataupun Tabung Haji. Tabung untuk kecemasan jangan lupa. Peruntukan juga untuk perlindungan takaful untuk kau sekeluarga. Kau tidak tahu bila kau akan ditimpa muhibah. Simpanan untuk membina aset, simpanan untuk jangka masa sederhana dan panjang. Buat tabung berwarna hijau dan oren untuk memupuk sikap suka menabung.
Ads
6. Buat Bajet Kewangan Keluarga
Cuba buat bajet kewangan setiap bulan. Baru kau tahu ke mana aliran wang kau pergi. Bajet kewangan penting untuk kau mengatur kewangan keluarga kau. Senaraikan barang nak beli, semasa mahu ke pasar raya. Jadi kau tidak akan beli benda yang tidak sepatutnya.
7. Jangan Ada Banyak Kad Kredit
Kad kredit tak payah ada sampai tiga empat. Kalau suami dah ada kad kredit, isteri tak perlulah ada kad kredit lagi. Bukankah sweet kad kredit isteri guna pastu isteri tolong bayarkan? Eh. Cukuplah satu untuk sekeluarga. Kalau kau bayar separuh je tiap bulan, baik tak payah guna kad kredit.
Bila baru kahwin, bersederhanalah dalam setiap perbelanjaan. Lebih baik simpan duit untuk perbelanjaan yang lebih penting. Jangan ikut hati sangat semasa berbelanja. Kalau suami kau jenis boros, nasihat la sikit. Kalau tak jalan jugak, cuba azankan sikit. Begitu juga sebaliknya.
Akhir kata, kau boleh elakkan ekonomi kewangan kau bertambah barai. Berpada-padalah dalam berbelanja. Rancang kewangan keluarga kau dengan sebaik-baiknya.
Yang dah tunang tu boleh baca juga untuk panduan di masa depan. Kau tag la pakwe kau. Jangan asyik duk tag post benda-benda sweet je kat kau pakwe kau. Kewangan dia kena power dulu kalau nak jadi ketua keluarga. Kah!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak salah jika isteri bertindak sebagai gabenor bank keluarga. Seorang isteri sebenarnya lebih teliti daripada suami. Isteri boleh berfikir lebih mendalam manakala kaum suami kebanyakan suka ambil mudah sesuatu perkara.
Banyak kes perceraian berlaku disebabkan kegagalan menguruskan kewangan dengan baik. Jadi, sudah tiba masanya kaum wanita mengambil peduli tentang pengurusan kewangan yang betul agar tidak timbul isu yang melibatkan masalah kewangan sehingga melibatkan perceraian.
Jika kaum suami tidak menghiraukan bajet kewangan keluarga, seharusnya kaum isteri melantik diri sendiri sebagai gabenor bank keluarga. Apa salahnya melantik diri sendiri sekali sekala kan.
Menyediakan bajet kewangan tidaklah begitu susah. Perkara asas yang boleh dilakukan ialah dengan monitor berapa perbelanjaan dan ke mana wang gaji telah pergi. Antara cara yang boleh dilakukan :
1. Senaraikan Pendapatan
i. Senaraikan gaji suami / isteri yang diterima setiap bulan.
ii. Senaraikan gaji bersih setelah dipotong KWSP dan potongan cukai.
2. Menentukan Kategori Perbelanjaan
i. Perbelanjaan tetap seperti pembiayaan perumahan, ansuran kereta, rumah dan hutang yang harus dibayar setiap bulan.
ii. Perbelanjaan berubah seperti kos makan minum, barang dapur, utiliti, pakaian, petrol dan sebagainya.
3. Buat Anggaran Perbelanjaan Sebulan
i. Buat anggaran perbelanjaan setiap bulan.
ii. Perbelanjaan seharusnya tidak melebihi pendapatan.
iii. Bezakan antara keperluan dan kehendak.
iv. Utamakan keperluan terlebih dahulu.
v. Jika pembelian melibatkan kos yang besar, bawa berbincang sama ada ia diperlukan ataupun tidak.
4. Merekodkan Perbelanjaan
i. Buat senarai barang yang hendak dibeli dan beli apa yang disenaraikan sahaja.
ii. Rancang pembelian supaya tak perlu selalu ke pasar raya.
iii. Beli barangan mengikut keperluan terlebih dahulu.
iv. Simpan resit pembelian supaya dapat monitor jumlah perbelanjaan bulanan.
5. Monitor, Menilai Semula, Baiki Bajet
i. Semak rekod perbelanjaan pada akhir bulan.
ii. Pastikan perbelanjaan mengikut apa yang dirancang.
iii. Jika ada terlebih berbelanja, bulan depan mesti ganti balik jumlah wang yang terlebih belanja tersebut.
iv. Baiki apa yang perlu dikurangkan dalam perbelanjaan.
v. Cari langkah penjimatan yang sesuai untuk meningkatkan lagi simpanan.
vi. Cari langkah yang boleh menambahkan pendapatan keluarga.
Alangkah indahnya jika suami dan isteri bersama-sama membaiki kewangan dan berbincang tentang kewangan keluarga. Sebulan sekali, cari masa untuk duduk bersama dan berbincang mengenai kewangan keluarga.
Kalau suami bijak merancang kewangan, ajar dan bimbing isteri supaya menjadi sama-sama bijak. Begitu juga sebaliknya. Jangan asyik nak marah pasangan kalau dia tak pandai merancang kewangan. Hidup suami isteri kan harus saling melengkapi.
Merancang kewangan bersama barulah sweet. Janganlah ada rahsia antara suami isteri tentang kewangan ini. Hal ehwal kewangan suami isteri mesti sama-sama tahu dan bersama-sama fikir jalan yang terbaik jika ada apa-apa masalah.
Sumber : Amir Syahir
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masuk bab perasaan ni, bukan semua benda nampak mudah. Sebab kita bermain dengan jiwa dua manusia. Bukan apa, takut ditolak jika terlebih berharap. Wan Muhammad Najib kongsi tip cari jodoh. Kalau dah berkenan, yakin dengan diri sendiri.
[ TIPS MENCARI JODOH ]
1.Bila umur dah cecah 24 tahun ke atas, bila niat nak cari pasangan hidup. Kena serius merancang dan memilih. takde masa nak kenal main-main.
2.Jangan buang masa bermain perasaan hidup dalam teka teki. Dilemma, dia ni dah berpunya ke belum. Dia ni suka aku ke tidak. Dia ni serius ke tidak.
3.Kalau dah berkenan, berani dan yakin dengan diri sendiri. Approach sendiri. Pergi tanya sendiri dekat dia. PM FB / INSTA / WHATSAPP dia. Dunia teknologi dah sekarang. Dia dah berpunya ke belum. Kalau dia single, kau cakap ja kau nak berkenalan dengan secara serius. Kalau dia okay, okay cun ON ! Kalau dia banyak tapi tapi, tak sedia MOVE ON ! Kalau dia dah berpunya, MOVE ON ! Takpayah panjangkan drama sailang awek orang.
4.Kalau dah berkenan, tapi tak berani. Mintak tolong orang lain yang kau percaya. Tanyakan soalan yang sama macam dalam nombor 3.
5.Cuma nak cakap, orang perempuan lagi suka kalau kita cakap sendiri. Lebih macho gitu ( betul kee ? )
6.Bila dah ada peluang berkenalan, manfaatkan sebaiknya. Jangan kau buat rosak anak dara orang, lepas tu kau blah. Nak bercinta ni bukan main celup-celup. Hukum hakam agama jangan dilupakan. Kalau dah yakin dia jodoh kau. Solat istikharah. Tanya mak bapak kau. Jumpa mak bapak dia. Kalau dua dua setuju pandai pandai lah kau nak handle macam mane. Kalau tak setuju, aku tak dapat nak share tips. Sebab pak mak mertua aku green light terus ( gitu. Konfiden sungguy ?? ). Kalau depa tak setuju, cuba convince depa. Kalau depa tak convinced juga, MOVE ON LA !
7.Kalau perempuan start dulu nak kenal, pelik tak ? Tak pelik. Sebab isteri aku pun dulu, acah-acah pm aku tanya pasal iphone murah yang aku jual. Last-last aku pulak tersangkut. Alhamdulillah sangkut- sangkut aku sampai ke jinjang pelamin. Orang Perempuan kena bijak, lelaki harus terbuka.
8.Kau rasa hidup ni mana yang lebih pahit ? Cinta tak kesampaian sebab kau tak sampaikan perasaan tu. Atau cinta tak kesampaian sebab kau kena reject. Kalau aku, aku lebih rela kena reject, at least aku boleh move on & cari yang lebih baik, berbanding perasaan cinta terpendam sampai ke akhir hayat.
9.Bab cinta ni kena setel dengan cepat bila kau dah ready. Bukan desperate, tapi sebab nak jimat masa. Kau banyak bnda lagi nak buat dekat atas muka bumi ini dari sibuk menanam perasaan cinta yang tak berbunga-bunga.
Sekian saja coretan hati aku bagi mereka yang masih mencari jodoh. Saya bukan doktor cinta atau doktor hati. Cuma saya pernah lah juga jadi mangsa cinta tak kesampaian.
Mujur Farah Shakina Ezani muncul selamatkan keadaan. Alhamdulillah saya ucapkan.
Sekian.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Meniti alam perkahwinan di usia yang muda mungkin banyak cabarannya. Tambahan lagi, status sebagai seorang pelajar yang mempunyai kekangan membahagikan masa untuk keluarga dan pelajaran.
Menurut pasangan yang berkahwin di usia yang masih hijau, Fatin Amirah Amirrazli, 23 dan pasangannya Muhammad Nor Suhardy Azreen Samsuddin, 24, kematangan, sifat sabar dan bertolak ansur harus dipegang dan dijadikan prinsip hidup agar perkahwinan di usia muda sentiasa utuh.
Fatin yang mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun manakala pasangannya ketika itu berusia 21 tahun membuktikan masjid yang dibina selama ini bahagia hingga ke hari ini. Hasil perkahwinan selama tiga tahun telah mengurniakan mereka dengan seorang cahaya mata yang menjadi permata hati dan penambah kekuatan untuk pasangan ini terus bahagia hingga ke akhir hayat.
Detik Perkenalan
Kami mula berkenalan melalui media sosial dan ketika itu kami berdua masih belajar. Aku di matrikulasi manakala Suhardy di Politeknik. Niat sekadar berkawan membawa hubungan kami semakin akrab dari sehari demi sehari. Pada Disember 2013, kami mengatur satu perjumpaan di pusat beli belah Kuala Lumpur untuk bertemu buat kali pertama.
Pertemuan pertama kali itu membawa hubungan persahabatan kami semakin akrab. Rasa sayang mula timbul dan terdetik rasa rindu saat kami berjauhan. Perkenalan selama 30 bulan menjentik hati kami untuk membawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Ketika umur aku 21 tahun dan Suhardy 22 tahun, kami selamat diijabkabulkan dan sah bergelar suami isteri.
Saudara Menentang
Pertemuan Suhardy dengan keluargaku pada kali pertama agak formal. Setelah berbincang dengan cukup mendalam dan terperinci, ibu bapa aku memutuskan untuk menyatukan aku dengan Suhardy secepat mungkin.
Persetujuan di antara kedua-dua belah keluarga rupanya mencetuskan ketegangan yang tidak disangka. Ini kerana ada saudara-mara terdekat aku yang tidak bersetuju di atas perkahwinan aku dengan Suhardy. Mereka bimbang aku tidak dapat memberikan perhatian dalam pembelajaran sejurus aku berkahwin kelak.
Mereka mencadangkan agar kami menangguhkan perkahwinan ini. Disebabkan kedua orang tua aku sudah bersetuju serta yakin aku mampu bergelar isteri dan pelajar yang baik, perkahwinan kami diteruskan jua. Keluarga Suhardy juga merasakan perkara yang sama dan yakin bahawa Suhardy dapat menjadi suami yang bertanggungjawab walaupun usia kami masih muda.
Banyak Kelebihan
Aku bangga bergelar isteri pada usia muda, begitu juga Suhardy. Perkahwinan kami membuatkan kami matang dalam menguruskan kehidupan. Menjadi isteri dan ibu pada usia yang muda membuatkan aku rasa lebih bertanggungjawab kepada keluarga. Malah pemikiran kami juga lebih dewasa dan terbuka.
Isu kahwin muda dipandang negatif oleh segelintir masyarakat di Malaysia. Ramai yang menganggap berkahwin muda merupakan sesuatu perkara yang tidak wajar. Sedangkan jodoh dan ajal manusia itu telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Jadi, usia bukanlah ukuran kepada sesebuah kebahagiaan dalam perkahwinan.
Pilihlah pasangan yang tepat dan memahami anda dan keluarga. Sentiasalah mengutamakan keluarga terlebih dahulu dalam memilih pasangan agar perkahwinan berkekalan dan diberkati. Restu keluarga amat penting dan paling utama, tanya pada diri anda, adakah anda yakin dan mampu untuk menjadi isteri dan suami terbaik di usia yang muda. Pastikan juga anda mampu menggalas tanggungjawab.
WALAUPUN PERKAHWINAN NAMPAK INDAH, NAMUN DI SEBALIK PERKAHWINAN ITU BANYAK ONAK DAN DURI YANG PERLU DIHADAPI. PERSIAPAN TENTANG ILMU AGAMA, KEWANGAN DAN MENTAL AMAT PENTING SEBELUM BERGELAR PASANGAN SUAMI ISTERI. RASA CINTA, JUJUR DAN SABAR MERUPAKAN ANTARA SIFAT YANG HARUS DISEMAI DALAM DIRI UNTUK MEMBENTUK SEBUAH KELUARGA YANG BAHAGIA.
Foto : Koleksi Peribadi Fatin & Suhardy
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!