
Masih ramai lelaki pakai inai 3 jari waktu majlis persandingan, ini merupakan salah satu tradisi dalam majlis perkahwinan di negara ini.
Lelaki Pakai Inai 3 Jari

Kalau pengantin perempuan biasanya akan memakai inai pada kesemua 10 jari sempena hari bahagia. Tetapi pengantin lelaki pula, akan berinai pada tiga jari tangan kanan dan tiga lagi jari di tangan kiri.
Namun, mungkin masih ramai lagi yang belum peka akan hakikat pengharaman pemakaian inai pada jari pengantin lelaki.
Boleh Pakai Inai Pada Bahagian Tertentu

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), lelaki hanya dibolehkan memakai inai pada rambut, janggut dan misai yang telah beruban.
“Apakah hukum pengantin lelaki pakai inai pada tangan pada hari perkahwinan, macam perempuan? Hukumnya haram.
“Yang boleh lelaki pakai inai (adalah) pada rambut, janggut, pada misainya yang beruban. Faham tak?
“Pakai pada tangan tak boleh. Menghias tangan dengan warna merah hanya diharuskan, khusus untuk kaum wanita.
“Ulama-ulama fatwakan haram lelaki memerahkan tangannya dengan inai,” ujarnya.
Azhar berkata demikian menerusi klip ceramahnya yang tular di aplikasi TikTok.
Termasuk Dalam Hiasan Wanita

Kami cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada kedua tangan atau kaki mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias.
Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita.
Oleh itu, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai sama ada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya melainkan untuk tujuan berubat yang mana dengan berinai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu.
Adapun bagi lelaki untuk mengenakan inai pada rambut, maka hal yang demikian itu tiada masalah. Ini kerana terdapat hadis yang membenarkannya.
Jadi, harap semua jelas tentang pemakaian inai waktu kahwin. Jom, ubah!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jadi Isteri Biarlah Tahu Menjaga Aib, Tak Pasal-Pasal Suami Kena Tanggung Dosa

Soalan: Adakah sahih suami akan menanggung segala dosa isterinya?

Jawapan:
Di dalam al-Quran banyak ayat yang memerintahkan agar setiap daripada manusia itu menjaga diri mereka dan juga orang-orang yang berada di sekitar mereka daripada melakukan maksiat atau dosa. Antara firman Allah SWT yang menceritakan perkara tersebut adalah:
- Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
al-Tahrim:6
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”
Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 476/14]
Berdasarkan soalan di atas, secara asalnya di dalam syara’ setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
al-An’am:164
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”

Imam al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT: [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 383-384/3]
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ
Fatir:18
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”
Melihat kepada ayat dan kenyataan daripada Imam Ibn Kathir di atas, jelas menunjukkan di dalam syara’ bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya. Adapun, suami itu atau sesiapa sahaja akan berdosa bila mana dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya seperti menasihati isteri dalam perkara yang ma’ruf dan menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadith iaitu:
- Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” [Riwayat Muslim (1829)]
Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan pemimpin di dalam hadith ini sebagaimana yang dikatakan oleh ulama’ adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaikkan setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada dibawah penjagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/12]
Selain itu juga, di dalam al-Quran terdapat firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa lelaki merupakan pemimpin buat wanita. Antaranya:
- Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
al-Nisa’:34
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”
Kata Syeikh al-Sa’di, maksud lelaki adalah pemimpin di dalam ayat ini adalah kaum lelaki wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak Allah seperti menjaga perkara-perkara yang fardhu dan mengahalang mereka daripada melakukan perkara maksiat. Ayat ini menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki (suami) terhadap wanita (isteri) dalam memastikan mereka menjalankannya hak-hak tersebut. [Lihat: Taysir al-Karim, 177]
Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Adapun, jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur (dinasihati) atau si isteri melakukan maksiat di belakang suami (tanpa pengetahuan suami) maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. Ini kerana, tanggungjawab adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak jika si suami cuai dalam mendirikan hal tersebut. Untuk itu, kami tegaskan bahawa kenyataan bahawa suami akan menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas.
Penutup
Kesimpulannya, setiap insan (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah SWT apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita isteri-isteri yang solehah dan menjadikan keluarga yang terbina itu penuh dengan sakinah (ketenangan), rahmah (rahmat) dan mawaddah (kasih sayang). Amin.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan Ambil Mudah! 4 Perkara Ini Jika Tak Dibendung, Boleh Jejaskan Hubungan Suami Isteri

Dalam hubungan rumah tangga, setiap pasangan perlulah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan ikatan yang dibina kekal utuh dan berkekalan. Jika berlaku pergaduhan, segeralah bawa berbincang dan selesaikan dengan cepat. Jangan biarkan ia berlarutan hingga boleh mengganggu emosi anda mahupun pasangan.
Jika anda mula rasa risau akan situasi tersebut, anda mungkin boleh buat beberapa persediaan minda dengan menyedari 4 sebab yang menjadi punca keretakan hubungan. Anda boleh nilai sendiri dan kemudian sediakan minda anda untuk menghadapinya dengan sikap positif.
Di sini Pesona Pengantin kongsikan 4 penyebab hubungan cinta suami isteri tak kekal lama dan selalu berentakan.
1. KURANG KOMUNIKASI

Komunikasi adalah asas kepada setiap perhubungan. Bila anda mula berkenalan dengan pasangan yang anda sukai, anda akan bercerita, berkongsi pelbagai macam kisah dalam masa yang lama.Jika tidak bercakap, khidmat pesanan ringkas (SMS) juga boleh jadi. Semua komunikasi tiba-tiba terhenti dan anda dapati anda begitu kesunyian serta bersusah payah mencari topik untuk disembangkan. Ketika ini anda patut sedar pasangan anda bukanlah seperti yang dahulu lagi.
2. HILANG NIKMAT HUBUNGAN INTIM

Hubungan yang sihat dibuktikan dengan keserasian pasangan terutama ketika perhubungan seksual.Apabila salah seorang tidak lagi mempunyai keinginan tersebut maknanya tanda amaran hubungan sudah terjejas telah timbul. Pasangan yang menginginkan pula pasti berasa begitu kecewa, rasa diketepikan dan keseorangan.
Perasaan ini menjurus kepada pergaduhan jika berterusan. Jika anda sudah melalui peringkat ini maka janganlah terlalu bersedih. Fikirkan perkara lain dan sibukkan diri bersama anak-anak atau teman di pejabat.
3. MENYAMPAH DENGAN PASANGAN

Apabila setiap perkara yang dilakukan pasangan membuatkan anda menyampah. Sepatutnya apabila pasangan bercinta, walau si dia berperlakuan pelik anda menerima seadanya. Namun, jika anda semakin jelek dan menyampah, sebagai contoh pasangan anda minat bola sepak, tapi anda mula membebel tidak berkenan dengan hobi pasangan anda itu, maka itu satu tanda bahawa anda perlu putuskan hubungan sebelum anda semakin sakit hati dengannya dan melakukan perkara yang bukan-bukan.
4. SELALU BERI PELBAGAI ALASAN

Alasan adalah tanda perhubungan yang tiada persefahaman. Jika anda semakin kerap melahirkan alasan, anda tanya diri sendiri kenapa. Jika anda sedar bahawa pasangan anda tidak mencapai tahap yang anda mahukan, tapi anda masih boleh memberikan pandangan positif tentang dirinya di hadapan sahabat anda, maknanya anda masih boleh mempertahankan hubungan tersebut. Tapi jika anda mula membangkitkan sekecil kecil kelemahan dirinya maka lebih baiklah anda memutuskan sahaja hubungan tersebut sebelum ia memudaratkan diri sendiri dan orang lain.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan Semua Perempuan 24 Jam Nak Barang Berjenama, Cukuplah Bertanya Khabar Dan Ambil Berat

Hadiah perlu dibeli. Bajet pula tak cukup. Kalau beli jugak nanti pokai lah aku!” Keluah seorang jejaka yang bakal menyambut hari jadi kekasihnya pada pertengahan bulan ini.
Situasi di atas sering berlaku dalam kehidupan pasangan yang asyik bercinta. Membeli cenderamata atau hadiah buat yang tersayang antara pemberian bermakna pengikat kasih sayang. Jika ada bajetnya mungkin tidak menjadi hal namun berlaku sebaliknya perlu ada langkah awal yang harus diambil. Maksudnya sasaran kewangan yang digunakan itu biarlah berpada-pada. Ini untuk memastikan anda tidak pokai dan kekasih pula tidak lari!

- Merancang Lebih Awal
Ingat akan tarikh-tarikh penting itu perlu! Terutama yang berkaitan hari jadi atau ulang tahun ikatan percintaan. Ini penting untuk anda membuat belanjawan lebih awal. 6 bulan merupakan tempoh terbaik anda mula menyimpan jika mahu memberikan hadiah istimewa kepada si dia. Setidak-tidaknya anda boleh mengetepikan dahulu kehendak diri dan memberi laluan untuk kekasih.
- Sasarkan Tujuan
Sasarkan apa yang anda ingin beli untuk kekasih. Mungkin telefon bimbit, jam atau tas tangan. Buat rangkaan bajet yang bersesuaian dengan gaji anda. Lakukan tinjauan di beberapa butik atau kedai untuk ketahui harganya. Selepas itu anda sudah mula menyimpan.
- Disiplin
Dalam tempoh menyimpan jangan sesekali anda mengeluarkan wang itu untuk kegunaan sendiri. Ini adalah kerana ia akan memberi kesan terhadap keseluruhan perbelanjaan dalam bulan itu. Pastikan anda telah menetapkan peruntukan lain untuk membayar ansuran kereta atau sewa rumah. Disiplin amat penting dalam misi untuk kekasih ini.

- Dating Sederhana
Dalam tempoh menyimpan itu anda juga akan keluar dating. Ketika ini anda perlu bijak menghadkan kos keraian. Mungkin anda boleh mengurangkan menonton wayang atau makan di tempat kurang eksklusif sebagai opsyen. Perlu diingat anda ada satu misi yang lebih penting, jadi utamakan tujuan itu. Anda perlu sasar dan rancang lokasi yang lebih bermakna untuk menyambut hari kelahiran atau ulang tahun sang kekasih kelak.
- Perubahan Ikut Kesesuaian
Sebagai contoh 3 bulan sebelum hari jadi kekasih, ketika berjalan-jalan di pusat membeli belah anda boleh lihat apa yang si dia berkenan di hati. Ketika anda sudah menetapkan telefon bimbit dengan harga tertentu sebagai pilihan, mungkin kekasih hati lebih terpikat akan tas tangan jenama terkenal. Dalam situasi ini anda tidak digalakkan untuk membeli keduanya tetapi lebih bijak pilih hanya satu. Lihat kembali bajet yang anda ada itu perlu ditambah atau masih lagi sesuai mengikut keadaan semasa.

- Jangan Meminjam!
Jangan sesekali meminjam dari mana-mana pihak jika anda tidak cukup dana membeli hadiah atau keluar untuk tujuan dating. Ini bukan sahaja menambahkan hutang dan sudah pasti anda juga akan dipandang sinis oleh rakan-rakan.
- Elakkan Kad Kredit!
Adalah tidak digalakkan sama sekali jika anda mahu membeli suatu perkara yang bukan kepentingan utama menggunakan kad kredit. Melainkan jika anda mampu membayar semula sebanyak mana anda gunakan pada setiap hujung bulan, mungkin tidak menjadi masalah. Kad kredit boleh mengakibatkan anda muflis dengan penggunaan yang tidak terkawal. Sebaiknya kos yang berkaitan keraian ini dibuat secara tunai atau debit kad.

- Jangan Tunggak Bayar Utiliti
Menyimpan wang untuk hadiah kekasih bukan alasan untuk tidak membayar segala bil-bil elektrik, air, kereta dan telefon. Oleh sebab itu segala rangkaan perbelanjaan dan bajet telah dibuat dari awal lagi. Jangan menangguhkan segala bayaran kerana ini akan memberi kesan kewangan jangka masa panjang untuk anda.
- Sekadar Simpanan Jangka Masa Pendek
Perlu diingatkan sekali lagi, segala yang anda sasarkan seperti hari jadi, ulang tahun dan sebagainya merupakan simpanan jangka masa pendek anda untuk mencapai sesuatu tujuan. Jangan lupa membuat tabungan untuk jangka masa panjang seperti perkahwinan, membeli rumah dan lain-lain lagi.
- Ukur Baju Badan Sendiri
Walau apa sekalipun tujuan anda adalah lebih penting untuk mengukur baju di badan sendiri. Lihat kedudukan kewangan anda sebelum putuskan untuk membeli sesuatu barangan. Kebiasannya material tidak boleh menjamin cinta yang akan kekal buat selamanya. Hati dan perasaan anda terhadap kekasih lebih penting dari sekadar sebuah hadiah hari lahir semata-mata.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

