HIDUP berpasangan adalah fitrah semula jadi dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang dengan malam, pasang dan surut. Begitu juga dengan manusia, melalui perkahwinan menemukan pasangan untuk mengharungi segala suka duka kehidupan.
Perkahwinan dapat merubah hidup seseorang yang dahulunya terumbang-ambing kepada lebih berwawasan. Ada banyak ayat al-Quran mengenai pensyariatan perkahwinan memenuhi tuntutan fitrah semula jadi manusia.
Berkahwin menjadi wajib apabila seseorang itu berkemampuan fizikal dan mental serta bimbang jika diri akan terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan zina. Perkahwinan boleh menjadi sunat apabila seseorang itu yakin tidak akan terjebak dengan zina dan maksiat.
Namun, pada masa sama dia juga tidak ragu untuk berkahwin kerana mampu menyediakan keperluan asas dan menjaga kebajikan isteri dengan baik.
Makruh melangsungkan perkahwinan seandainya seseorang itu bimbang ragu akan melakukan kezaliman terhadap isteri seperti tidak mampu menyediakan keperluan asas. Kebimbangan itu tidaklah cenderung kepada yakin, tetapi sedikit ragu sahaja.
Begitu juga yang mempunyai penyakit serius, berjangkit seperti HIV adalah makruh bagi mereka berkahwin.
Individu diharamkan berkahwin ialah yang mempunyai kesanggupan berkahwin, tetapi menimbulkan bahaya kepada bakal isterinya seperti lelaki yang berkahwin dengan tujuan menyakiti bakal isterinya. Maka perkahwinan itu hukumnya haram.
Fitrah hidup berkasih sayang
Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia seperti ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup dan keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang. Oleh itu, menurut Muhammad, mereka yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Islam turut memberi panduan bagi generasi muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya tidak mencukupi menanggung keluarga.
Dalam hal ini, jika usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepas menunaikan segala tanggungjawab sebagai suami isteri sebaiknya, yakinlah rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.
Di negara Barat menerima perkahwinan sesama jantina dan Islam sama sekali-kali tidak mengiktiraf hubungan sedemikian. Bahkan, Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina.
Adil dalam perkahwinan
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka berkahwin dengan seorang sahaja, atau hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa’, ayat 3)
Allah SWT menetapkan seorang lelaki itu berkahwin tidak boleh lebih daripada empat isteri. Ia bertujuan membatasi lelaki supaya tidak berbuat sesuka hatinya kerana mereka dibenarkan berkahwin lebih daripada satu dengan syarat berkemampuan serta mampu berlaku adil.
Jika bimbang tidak dapat berlaku adil, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang hebat kepada suami yang berlaku adil terhadap isterinya.
Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang berlaku adil di sisi Allah nanti akan ditempatkan di atas mimbar yang diperbuat daripada cahaya dari sebelah kanan al-Rahman ‘Azza wa Jalla (Allah) lalu Nabi mengangkat tangan kanannya. Orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang.” (Riwayat Muslim)
foto hiasan : Tangkap Pictures
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI