Trend gubahan hantaran perkahwinan sentiasa berubah saban tahun. Daripada hiasan klasik tepak sirih sehinggalah trend moden di mana dulangnya lebih santai dan terbuka, semuanya ada ciri-ciri tarikan yang tersendiri.
Tapi apa yang kita sebenarnya tidak tahu mengenai hukum menggunakan dulang hantaran yang disadur perak atau emas. Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu berbalik kepada perkara paling asas iaitu hukum menggunakan dulang emas dan perak itu sendiri.
Soalan:
Assalamualaikum, apa hukum berikut:
1. Apakah hukum menggunakan dulang yang disadur perak untuk menghidang air kepada tetamu? Dulang dibuat dari logam biasa
2. Apakah hukum menggunakan mangkuk kaca untuk makanan tetapi mangkuk kaca ini ada tudung yang disadur perak? Tudung mangkuk itu dibuat daripada logam biasa.
Jawapan:
Waalaikumussalam.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Ads
Para ulama bersepakat bahawa bekas-bekas seperti dulang, mangkuk dan sebagainya yang diperbuat daripada emas dan perak adalah haram jika tiada hajat yang mendesak. Ini kerana menggunakan bekas-bekas yang diperbuat daripada emas dan perak adalah daripada perbuatan orang yang sombong dan juga meluluhkan hati orang miskin yang tidak mampu memilikinya.
Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah
Maksudnya : “Sesiapa yang minum (dan makan atau apa sahaja) daripada bekas (yang diperbuat daripada) emas atau perak. Maka perutnya akan menggelegak disebabkan api neraka.”
Ads
Riwayat Muslim (5509)
Al-Imam Al-Nawawi ketika memberi komentar terhadap hadis ini beliau menyebut :
“Kata Ashab kami telah berlaku ijmak terhadap pengharaman menggunakan bekas-bekas daripada emas dan perak sama ada untuk makan, minum dan sebagainya kecuali di sana terdapat pendapat daripada Daud al-Zahiri dan qaul Qadim al-Imam al-Syafie. Akan tetapi kedua-dua pandangan ini (pandangan Daud al-Zahiri dan Qaul Qadim al-Imam al-Syafie) ditolak berdasarkan nas dan Ijmak.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/27)
Ads
Berbeza hukumnya jika bekas itu disadur sepertimana soalan yang dikemukakan. Para ulama mempunyai pandangan berkenaan hal ini:
Mazhab Hanafi – Boleh menggunakan bekas yang disadur emas atau perak dengan syarat bahagian saduran tidak boleh dipisahkan kembali.
Mazhab Syafie– Boleh menggunakan jika saduran itu sedikit
Mazhab Hanbali– Hukum menggunakan bekas yang disadur emas atau perak sama sahaja seperti menggunakan bekas yang diperbuat dari emas dan perak. Justeru haram menggunakannya.
Secara ringkasnya, para ulama menyatakan:
Jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan dari bekas itu maka harus menggunakannya kerana emas atau peraknya telah musnah di dalam logam lain.Ianya dianggap seperti tiada.
Jika saduran itu banyak iaitu dapat dipisahkan dari bekas melalui proses lebur dan sebagainya. Maka haram menggunakannya.
Walaupun begitu, kami lebih selesa jika penggunaan dulang tersebut dapat dielakkan kerana kaedah menyebut:
الخُرُوجُ مِنَ الخِلاَفِ مُستَحَبّ
“Keluar daripada khilaf adalah sesuatu yang harus”.
Kewibawaan Padzillah Enda Sulaiman dalam meneraju bidang keusahawanan telah mendapat pengiktirafan di tanah air tercinta iaitu ;
#1- Women Entrepreneur Award 2016
#2- Anugerah Usahawan Wanita E50 2017
#3- Menerima Anugerah Perdana dan Anugerah Pemasaran Digital oleh SME Corp
#4- Anugerah Superbrand Deloitte, yang meletakkan jenama Siti Khadijah sebaris dengan nama besar seperti 7 Eleven dan Bank CIMB.
Pengiktirafan yang diperoleh ini bukanlah satu nikmat yang dikecapi dalam masa sehari semalam. Ada kesungguhan, kegagalan, pengorbanan dan seribu satu cabaran yang dilalui dan didepani.
Di sebalik kejayaan jenama Siti Khadijah, ada watak utama seorang wanita yang punyai impian yang besar dan kecekalan hati yang tinggi.
Penghasilan telekungnya bukan hanya bermatlamatkan keselesaan, malah ia memenuhi tuntutan ukhrawi iaitu sebagai pelaburan untuk saham akhirat.
Mari kita dekati rahsia kejayaan Puan Padzillah Enda Sulaiman, pengasas jenama Siti Khadijah.
#1 – Bermula Dengan Minat
Benarlah kata orang, tiada apa yang mustahil bagi orang yang mempunyai minat dan semangat untuk berjaya.
Semasa di peringkat sekolah menengah rendah lagi, Padzillah begitu cenderung untuk menjahit. Walaupun tidak mengambil aliran sains rumah tangga, keinginan beliau untuk menjahit dan menghasilkan sesuatu daripada seni jahitan tangannya sendiri begitu tinggi.
Demi memenuhi permintaan seorang anak saudaranya yang ketika itu berusia lapan tahun, Padzilllah berjaya menghasilkan sehelai maxi (baju labuh) yang kemas, cantik dan rapi jahitannya, tanpa menggunakan mesin jahit.
Dengan minat beserta bakat yang ada, Padzillah tidak mahu mempersiakan anugerah yang telah diberi Ilahi.
#2 – Nekad Demi Bebas Dari Cengkaman Kemiskinan
Beliau merupakan anak bongsu daripada 13 orang adik beradik. Dilahirkan di Kampung Pekan Lama, Sungkai, Perak, sebuah kampung yang letaknya jauh di pedalaman.
Ibu beliau meninggal dunia ketika melahirkannya. Kehidupan di kampung yang amat mundur, tiada bekalan air dan elektrik, tiada jalan tar yang sempurna menyebabkan beliau ingin cepat keluar daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.
Kehidupan yang penuh sukar di kampung mendorongnya untuk gigih berusaha menamatkan pelajarannya hingga ke Tingkatan Lima.
Beliau juga sentiasa mengimpikan bakal suami yang terpelajar dan daripada golongan berada untuk merasai nikmat kehidupan yang lebih senang dan terjamin.
#3 – Mengutamakan Keselesaan Beribadat
Setiap kali Ramadhan menjelma, beliau pasti membeli sehelai telekung baharu untuk mengerjakan ibadah tarawih.
Baginya, untuk ibadah yang memakan masa yang agak lama seperti solat tarawih, haji dan umrah, pemakaian telekung haruslah selesa, menepati syariat dan juga nampak menawan untuk si pemakai.
Kecewa kerana tiada satu telekung pun yang menepati citarasa beliau, setiap telekung yang dibelinya pasti diubah suai terutama sekali di bahagian muka agar tampil kemas, selesa dan anggun.
Siapa sangka, tabiatnya itu mula mendapat perhatian seorang rakan, mencadangkan beliau memulakan perniaagaan telekung secara komersial.
#4 – Siti Khadijah A.S Sebagai Aspirasi
Bagi Padzillah, nama Siti Khadijah A.S mempunyai nilai penjenamaan yang tersendiri. Siapa yang tidak mengenali ikon srikandi solehah yang amat dekat pada hati Rasulullah S.A.W.
Figura ini adalah insan agung yang menjadi suri teladan bagi wanita Islam, isteri yang setia, usahawan ternama yang disegani yang sentiasa dipandang tinggi oleh Rasulullah S.A.W.
Padzillah mahu jenama Siti Khadijah sentiasa meniti di bibir dan melekat di hati pelanggan.
“Ingat telekung, ingat Siti Khadijah.”
#5 – Menggunakan Pelbagai Medium Pemasaran
Memulakan perniagaannya pada tahun 2009, Padzillah dibantu oleh anak sulungnya, berjaya membuka domain perniaagaan atas talian, www.sitikhadijah.com.
Beliau juga berhubung rapat dengan wartawan akhbar arus perdana untuk mempromosikan produk telekungnya.
Ternyata strategi promosi beliau berjaya apabila salah seorang pelanggan telekung Siti Khadijah merupakan seorang penerbit rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang bersiaran di TV3.
Beliau dijemput sebagai tetamu di WHI dan dari situ permintaan telekung Siti Khadijah meningkat di luar jangkaan, mengatasi bekalan telekung.
Pada tahun 2014, Siti Khadijah menerima tawaran untuk muncul dalam rancangan Astro Go Shop.
Bermula dengan 50,000 pasang telekung yang ditempah secara belian terus oleh Go Shop, jalinan perhubungan perniagaan antara Siti Khadijah dan Go Shop diteruskan. Terkini, jualan melalui Go Shop melebihi 10 juta ringgit.
#6 – Ujian Dalam Bisnes
Padzillah memulakan perniagaan telekungnya bermodalkan RM10,000 dengan sejumlah 200 pasang telekung yang dijahitnya sendiri.
Sasaran awal pelanggan pada masa itu ialah syarikat-syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji dan umrah.
Ternyata rezeki tidak menyebelahi beliau kerana syarikat-syarikat yang ditemuinya berpendapat telekung Siti Khadijah terlalu eksklusif dan mahal harganya.
Namun, kegagalan beliau sebenarnya bukan kerana masalah harga yang mahal dan premium, tetapi kegagalan dalam menentukan sasaran pelanggan.
Setelah mempromosikan telekungnya di dalam ruangan akhbar perdana dan media massa, bertali arus panggilan dan tempahan yang diterima oleh beliau.
Beliau juga pernah menyaman sebuah syarikat jualan langsung antarabangsa pada tahun 2010 atas dakwaan meniru rekaan produk jenama Siti Khadijah yang sudah pun didaftar di bawah reka bentuk hak cipta dan industri.
Dengan kesabaran dan kesungguhan, beliau memenangi kes tersebut.
#7 – Tip Bisnes
Padzillah berpendapat setiap orang mempunyai potensi untuk berniaga. Tanamkan minat dan kesungguhan terlebih dahulu dan sentiasa mencipta peluang.
Asah bakat yang ada supaya ia tidak terhakis dan hilang begitu sahaja. Bakat juga boleh dibentuk dengan keazaman yang tinggi. Pesan Padzillah kepada individu yang ingin memulakan bisnes;
“Seseorang itu perlu berfikiran positif, memiliki kekuatan dalaman, berani, tidak mudah putus asa, rajin mencari ilmu dan sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.”
#8 – Mengaplikasikan Blue Ocean Strategy
Pembabitan awal Padzillah dalam perniagaan menjahit telekung menimbulkan banyak tanggapan negatif.
Orang sekeliling mempersoalkan yang produk telekung sudah banyak di pasaran. Ada juga yang terkejut dengan keputusan beliau.
Namun, beliau menepis kata-kata yang tidak membina dan negatif itu dengan bijaksana. Dengan merujuk kepada Blue Ocean Strategy, perniagaan produk telekung sememangnya sudah banyak di pasaran.
Pengusaha bisnes telekung dikatakan berada di dalam samudera merah, masing-masing perlu bersaing dan memastikan produk mereka kekal bertahan dan mendapat sambutan.
Baginya, tidak salah untuk terjun ke samudera merah, tetapi pastikan para pengusaha ini berenang ke samudera biru yang lebih cantik dan mendamaikan.
Di sini, perlu ada daya kreativiti dan inovasi daripada para pengusaha dalam penghasilan produk mereka. Di dalam samudera biru, produk mereka ada keistimewaan dan keunikan dalam kelas yang tersendiri.
#9 – Sokongan Daripada Suami Dan Keluarga
Padzillah bertuah kerana suami dan enam orang anaknya yang kesemuanya lelaki terlibat dalam membangunkan jenama Siti Khadijah.
Menantunya juga menjadi model untuk produk telekung yang dihasilkan. Beliau amat berbangga dengan anak sulungnya, Mohammad Muzammil yang sentiasa aktif mempelajari, menambah ilmu dan mengikuti kursus-kursus keusahawanan untuk memajukan perniagaan.
Mengimbas kembali pengalaman membesarkan anak-anaknya, Padzillah sentiasa menitikberatkan didikan agama.
Beliau dan suami berusaha untuk memberikan contoh yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ternyata kesungguhan dan keikhlasan Padzillah dan suami dalam mendidk anak-anaknya membuahkan hasil yang baik.
Padzillah adalah ikon usahawan wanita yang patut menjadi contoh kepada pengusaha-pengusaha wanita yang lain.
Dalam keghairahan memajukan bisnesnya, beliau tidak lupa tanggungjawab kepada ibu, bapa, suami dan anak-anak. Baginya, rahsia kejayaan dan kebahagian itu terletak pada restu ibu dan bapa.
Jalankanlah tanggungjawab yang diamanahkan tanpa rungutan dan pertikaian. Hanya Allah yang menentukan sebaik-baik ganjaran.
Pantang larang dengan masyarakat melayu berpisah tiada. Setiap apa yang kita lakukan, pasti akan berkait rapat dengan pantang larang. Walaupun kita berada di zaman moden, masih ada pantang larang nenek moyang yang masih diamalkan hingga kini.
Setiap pantang larang pasti ada kebaikannya dan ia merupakan satu pilihan. Tidak semestinya anda wajib amalkannya. Perubahan gaya hidup yang serba moden ini pasti buat ramai individu menganggap ia sebagai amalan yang konservatif.
Sumber: Pinterest
Kami ingin berkongsi pantang larang orang dulu-dulu yang berkaitan dengan bakal mempelai. Jom baca!
Nasihat 1
Jangan sesekali keluar dengan bakal isteri atau suami selama 40 hari sebelum akad nikah. Kalau nak keluar, bawa peneman
Sumber: Google
Nasihat 2
Jangan keluar langsung lepas Maghrib atau lewat malam jika tiada hal penting
Nasihat 3
Jangan tidur atas katil pengantin, tak elok dilihat orang lain (Nampak sangat tak sabar tu)
Nasihat4
Tidurlah secukupnya atau paling baik dapatkan 8 jam tidur yang ideal
Sumber: Google
Nasihat 5
Elak berjemur atau duduk di bawah matahari yang panas terik untuk elak kulit jadi gelap dan kurang berseri
Allah menjadi perempuan sebagai pasangan bagi lelaki. Keduanya akan menikah dan melahirkan anak. Perempuan dan anak juga dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai penyejuk hati bagi lelaki, suami mahupun bapa.
Betapa bahagianya sebuah keluarga yang di dalamnya terdapat suami yang soleh dan amanah, isteri yang solehah, serta anak-anak yang taat dan berbakti.
Kebersamaan yang membahagiakan ini adalah hak semua insan. Siapa pun ia, dari mana pun bangsa atau sukunya. Teruslah berusaha dan berdoa, insya Allah, Allah s.w.t akan memakbulkannya.
Dengan doa di bawah ini, semoga siapa pun yang belum berjodoh segera didekatkan oleh Allah s.w.t dengan jodoh terbaiknya.
“Ya Allah, nikahkanlah aku dengan lelaki yang shalih yang menyejukkan hatiku (tenang dipandang) dan aku pun membahagiakan hatinya, wahai Dzat yang Mahaluhur dan mulia.”
Allaahumma innii uriidu an atazawwaja faqaddir lii minar-rijaali man hum a’affu wa ahfazhuhum lii fii nafsii wa maalii wa ausa’uhum rizqan wa a’zhamuhum barakatan wa qaddir lii waladan thayyiban taj’alu lahuu khalaqan shaalihan fii hayaatii wa mamaatii.
“Ya Allah, sungguh aku ingin menikah, maka tetapkanlah untukku lelaki yang sangat peduli untuk menjaga diriku dan hartaku, yang sangat luas rezekinya, yang besar keberkahannya. Dan tetapkanlah untukku anak yang baik yang Engkau jadikan sebagai pewaris yang baik dalam hidupku dan matiku.”
“Ya Allah, nikahkanlah aku dengan perempuan shalihah yang menyejukkan hatiku (tenang dipandang) dan aku pun membahagiakan hatinya, wahai Dzat yang Mahaluhur dan mulia.”
Allaahumma innii uriidu an atazawwaja faqaddir lii minan-nisaa’i man hunna a’affuhunna farjan wa ahfazhuhunna lii fii nafsihaa wa maalii wa ausa’uhunna rizqan wa a’zhamuhunna barakatan wa qaddir lii waladan thayyiban taj’alu lahuu khalaqan shaalihan fii hayaatii wa mamaatii.
“Ya Allah, sungguh aku ingin menikah, maka tetapkanlah untukku perempuan yang sangat menjaga kehormatannya, yang sangat menjaga dirinya untukku dan hartaku, yang sangat luas rezekinya, besar keberkahannya. Dan tetapkanlah untukku anak yang baik, yang Engkau jadikan sebagai pewaris yang baik dalam hidupku dan matiku.”
Kemudian, baik lelaki mahupun perempuan selanjutnya bolehlah membaca doa nabi Zakaria a.s berikut ini :
Rabbi laa tadzarnii fardan, wa anta khairul waaritsiin.
“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya : “Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.”
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!