
Bahagia melihat kehidupan pelakon, Nad Zainal bersama suaminya, Ungku Ismail sekarang. Dengan kehadiran anak ketiga, itu salah satu tanda cinta mereka sebagai suami isteri.
Mengorek kisah rumah tangga pasangan ini, Nad sempat mengucapkan terima kasih kepada suaminya yang sentiasa ringan tulang membantu menjaga anak selain membantu melakukan kerja rumah.
Pesanan Nad Zainal
Kata pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin itu, kadangkala golongan isteri terlupa untuk menghargai usaha suami yang sentiasa memberikan layanan terbaik untuk seisi keluarga.

“Terima kasih buat semua suami, kadangkala kita lupa nak berterima kasih kepada suami yang memberikan layanan terbaik kepada anak dan isteri.
“Buat semua lelaki bergelar bapa yang rajin dan sentiasa memberikan semangat kepada isteri, mereka banyak membantu dalam menempuh hari-hari yang memenatkan.
“Terima kasih ya suamiku sayang, saya cinta awak,” katanya menerusi perkongsian video dalam TikTok.
Biasakan Ucap Terima Kasih
Sementara itu, aktres berusia 33 tahun itu turut meminta agar peminatnya berterima kasih kepada pasangan masing-masing sebagai tanda apresiasi.

“Cepat ucap terima kasih dekat suami masing-masing, hargai mereka sebaiknya,” jelas Nad.
Nad sebelum ini pernah pernah berkahwin dengan Faliq Amiruddin, namun bercerai pada 3 September 2022 selepas tujuh tahun hidup bersama.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, setahun.

Pada 23 Januari lalu Nad mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan aktor Ungku Ismail.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak Murah Rezeki, Duit Belanja Jangan Buat-buat Lupa

Kebanyakan suami isteri nak murah rezeki dalm rumah tangga tetapi kurang sedar ada banyak perkara yang terlepas pandang dan langsungtak pernah amalkan.
Jom kutip perkongsian yang baik-baik daripada saudara Firdaus Mokhtar ini, inshaa Allah bahagia akan datang masuk dalam rumah tangga tanpa disangka-sangka.
Nak Murah Rezeki

1. Makan sama-sama. Ini yang kita kena buat selalu. Lagi-lagi pasangan yang suami isteri bekerja. Masa yang ada cuma masa balik daripada kerja dan dua-dua dah penat.
Balik dengan emosi. Balik dengan masalah tempat kerja dan kerja yang tidak selesai. Apa pun berlaku, cari masa untuk makan bersama. Walau pun cuma makan biskut kering bersama.
Kalau tak larat nak masak lepas balik kerja, ajaklah pasangan keluar makan di luar. Itu pun dah ada waktu makan bersama.
2. Layani anak-anak dengan penuh kemesraan. Bila dah ramai anak, biasalah ragam mereka juga berbagai-bagai. Seorang macam ini, seorang macam itu. Yang pertama ajak main, yang kedua ajak makan, yang paling kecil ajak tidur. Serentak semuanya.
Ini normal. Santuni anak-anak elok-elok. Banyakkan bercakap dengan mereka. Bagi logik supaya mereka belajar untuk berfikir.
“Adik tu dah lama jaga, lama juga dia main tadi. Adik dah penat tu bagi ayah tidurkan adik dulu ya. Abang Ngah baru bangun tidur ada tenaga banyak lagi. Pergi tolong mak sekejap. Adik tidur nanti ayah tolong abang Ngah buat kerja tu.”
Kena sangat-sangat sabar. Mereka tak tahu apa lagi.
3. Beri panggilan yang baik untuk suami dan isteri. Dalam situasi apa sekali pun, tenang atau pun konflik. Kemesraan panggilan kena kekalkan.
Dan bila isteri panggil, suami jawablah elok-elok. Pandang muka isteri dan senyum. Hah, begitu.
Duit Belanja Jangan Buat-buat Lupa

4. Beri isteri duit belanja sekali pun isteri ada pekerjaan dan ada gaji sendiri. Benar zaman ini zaman suami isteri bekerja. Suami ada pendapatan, isteri juga sama. Banyak juga berlaku gaji isteri lebih besar.
Tak kesah hal itu, ambil berkat beri isteri sedikit duit belanja. Sekali pun cuma RM10.
Yang isteri bila dapat duit daripada suami ucapkan terima kasih. Ambil cara elok dan senyum juga. Iya sama, sekali pun cuma RM10. Huhu.
5. Selalu tenangkan hati pasangan ketika resah. Seorang suami pasti faham dan tahu emosi isteri yang sedang resah. Begitu juga bagi seorang isteri.
Rupa kerut dahi yang mencantumkan kening suami itu pasti dia tahu sebab apa. Punyalah hebat isteri ini. Maka, tenangkan. Ajak bersembang dan mungkin berjalan.
Kalian, semua ini adalah perkara yang merapatkan lagi kasih sayang antara suami isteri. Dan memang itulah rahsianya. Kalau kalian nak rumah tangga kalian murah rezeki, kena tingkatkan kasih sayang antara tonggak utama rumah tangga itu.
Suami dan isteri kena sangat menzahirkan kasih sayang. Maka dengan itu rezeki akan datang sebanyak-banyaknya.
Namun ingat juga ya, rezeki bukan soal duit semata-mata. Anak yang baik, mertua yang memahami, jiran yang selalu membantu, kereta yang tak pernah rosak, dapat solat jemaah sama-sama, makan yang tak pernah putus dan paling tidak masih dapat melihat suami dan isteri itu hidup bersama juga adalah rezeki.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
PU Riz Pesan, Kalau Badan Isteri Dah Berubah Bentuk, Tetaplah Hargai

Kalau badan isteri dah berubah bentuk selepas melahirkan zuriat, tetaplah hargai dan sayanginya seperti awal perkahwinan.
Perubahan ini adalah biasa apabila seseorang selesai melahirkan anak tidak kira secara normal atau pembedahan. Jadi suami kena banyak bagi semangat pada golongan isteri.
Mungkin ada suami yang boleh terima tetapi yang sebaliknya, boleh ubah pandangan untuk lebih menhargai pengorbanan isteri lahirkan anak.
Kalau Badan Isteri Dah Berubah Bentuk

Berbincang soal ini, baru-baru ini pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz menasihati golongan suami agar menghargai pengorbanan para isteri terutama saat mereka bertarung nyawa melahirkan cahaya mata.
Ujar Haris atau nama lengkapnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 29, kaum hawa merupakan golongan terhebat.
“Besar pengorbanan isteri kita, dia sudah melahirkan zuriat dan kita pun tenang tengok anak-anak membesar dengan sihat.
“Kalaulah ada lebihan-lebihan ‘tayar spare’ dekat badan dia atau badan dia dah tak macam dulu, janganlah dilihat kepada itu semata-mata.
“Kita pandang dari sudut pengorbanan seorang isteri yang berjuang melahirkan benih kita juga,” katanya menerusi satu video dalam TikTok.
Masuk Tengok Isteri Bersalin

Berkongsi pengalaman, bapa kepada dua putera itu sempat menceritakan momen berharga ketika menyaksikan sendiri proses kelahiran kedua-dua permata hatinya, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.
“Sebab tu orang lelaki, kalau isteri tengah bersalin tolonglah masuk tengok. Saya pertama kali masuk rasa nak pitam dalam bilik tu, selepas itu yang kali kedua pun saya rasa nak muntah, bukan geli, tapi rasa kasihan.
“Perubahan fizikal pada tubuh badan wanita selepas bersalin seharusnya dihargai. Kalau dia pakai seksi dan ada ‘beberapa lebihan’, jadikan satu peringatan untuk kita.
“Kita hargailah pasangan kita, terutama yang pernah bersalin dengan penuh kesusahan,” ujarnya panjang lebar.

Tinjauan menerusi ruangan komen video tersebut mendapati rata-rata netizen senada dengan PU Riz selain menyifatkan Neelofa sebagai seorang wanita bertuah kerana memiliki suami yang matang dan memahami.
Sekadar info, Haris dan Neelofa mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua putera iaitu Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas, tujuh bulan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
‘Saham’ Dunia & Akhirat, Islam Galak Suami Isteri Punya Zuriat, Mengapa Anggap Anak Sebagai Beban

Zuriat adalah kurniaan yang Maha Esa kepada hamba-Nya. Dalam setiap perkahwinan sudah pasti kita mengharapkan kehadiran zuriat yang akan menjadi penyejuk hati dan penenang perasaan.
Memiliki cahaya mata merupakan anugerah terindah bagi setiap pasangan bergelar ibu bapa. Anak juga sering dikatakan pembawa rezeki dalam keluarga dan penyeri rumah tangga.
Dalam Islam sendiri, meramaikan zuriat adalah sesuatu yang digalakkan untuk meramaikan umat Nabi Muhammad SAW.
Mendidik anak ibarat membuat kuih. Bagaimana acuannya, begitulah bentuk kuih yang terhasil. Ibu sebagai acuan, perlu menjaga akhlak kerana anak-anak akan terkesan dengan sikap dan tauladan yang dipamerkan.
Ibu dan bapa sepatutnya menjadi role model atau contoh ikutan anak-anak yang paling berkesan. Maka tentulah menjadi role model perlu mengusahakan segala sifat baik yang dianjurkan oleh Islam dengan mengamalkan ilmu dan panduan daripada al-Quran dan Sunnah. Jika tidak, usaha pendidikan itu pasti gagal.

Namun ada juga pasangan yang berkahwin enggan memiliki anak. Malah ada yang menganggap anak sebagai satu beban.
Seorang influencer dari Indonesia, Gita Savitri menjadi bualan hangat bukan sahaja di kalangan masyarakat di Indonesia tetapi juga di Malaysia. Dia mendakwa bahawa wanita yang berkahwin dan memilih untuk memilih tidak mempunyai anak akan kelihatan awet muda.
Ujarnya lagi, wanita yang tanpa anak tiada gangguan seperti wanita yang memiliki anak. Ibu-ibu yang tidak memiliki anak juga akan mendapat tidur yang cukup selama lamapn jam dan tidak perlu menghadapi jeritan anak-anak.
Kenyataan itu disebutkan ketika membalas komen pengikutnya yang bertanya tentang rahsia awet mudanya walaupun sudah berusia 30 tahun.
Wanita dari Palembang ini dengan tegas berkata, anak-anak sebenarnya adalah satu bebanan, bukan hadiah yang sering dikumandangkan orang ramai.
“Ya, ia adalah beban untuk saya (anak). Bagi anda, ia bukan (tetapi) hadiah. Ia adalah beban untuk saya, jadi saya tidak mahu (beranak). Dan tidak ada yang salah dengannya” kata Gita dalam sesi live di Instagramnya.
Pengakuan Gita Savitri bahawa dia hanya mahu meneruskan hidup berdua dengan suaminya, Paul Andreas Partohap, adalah kontroversi pertama yang menjadi perhatian. Kenyataan Gita yang tidak mahu mempunyai anak serta-merta menjadikan istilah ‘childfree’ (bebas anak-anak) itu terkenal dalam masyarakat.
Alasannya, keinginan untuk tidak mempunyai anak dianggap luar biasa di Indonesia sehingga dia juga mendapat banyak cacian. Gita mendedahkan mempunyai zuriat adalah tanggungjawab besar sehingga dia dan suami bersetuju untuk tidak memiliki anak.
MENGAPA ISLAM MENGGALAKKAN MEMPUNYAI ANAK:
*Islam menggalakkan setiap pasangan suami isteri untuk mempunyai anak. Pada pandangan Islam, perkahwinan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan biologi tetapi juga untuk memperolehi hikmah lain salah satunya ialah untuk mendapatkan zuriat.
*Tujuan perkahwinan adalah untuk memelihara kehidupan manusia. Dengan perkahwinan, umat Islam dapat melahirkan zuriat yang soleh dan solehah.
*Apabila sepasang suami isteri Islam yang sudah berkahwin mempunyai anak, bilangan umat Rasulullah SAW bertambah di muka bumi. Itulah antara sebab Islam menganjurkan untuk mempunyai anak.
*Dalam bukunya Al-Mabsuth, Muhammad bin Ahmad bin Abi Sahl As-Sarakhsi mengatakan, faedah perkahwinan bukan sahaja melindungi wanita dan menghindari zina. Tetapi, ia juga menambah bilangan umat Nabi Muhammad SAW.
“Antaranya juga menambah bilangan hamba Allah dan umat Nabi Muhammad SAW, dan memastikan kebanggaan rasul terhadap umatnya.”
*Memiliki anak juga merupakan kebahagiaan yang diperoleh manusia di dunia, sebagaimana hadis riwayat Ad Dailami, Rasulullah SAW bersabda, “Empat jenis kebahagiaan manusia, iaitu isteri yang solehah, anak yang soleh, sahabatnya orang yang soleh, dan penghidupannya di negeri sendiri.”
*Memiliki anak bukan sahaja membawa kebahagiaan kepada keluarga. Allah SWT juga memberi ganjaran yang melimpah ruah kepada ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan baik dan ikhlas.
*Berjaya mendidik anak-anak menjadi muslim yang khusyuk dan khusyuk memberikan ganjaran yang tidak putus-putus kepada ibu bapa.
*Rasulullah SAW bersabda, “Apabila manusia meninggal dunia, maka terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh.”

*Doa dan istighfar dari anak-anak yang soleh dapat meningkatkan darjat ibu bapanya di dunia akhirat.
*”Sesungguhnya Allah mengangkat darjat seorang hamba yang soleh di syurga, lalu dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, dari mana aku dapat semua ini?’ (Riwayat Ahmad).
Kesimpulannya, Islam tidak menganjurkan mempunyai anak tanpa sebab. Pada pandangan Islam, mempunyai zuriat akan membawa kebahagiaan, sehinggalah pahala yang melimpah ruah.
Sumber: harapanamalmulia.org Instagram Gita Savitri Kredit foto (top image): Pixabay
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

