Saya ada satu kekeliruan tentang isu nikah tanpa pengetahuan wali mujbir.
Permasalahannya begini. Saya dan pasangan saya masih belajar di peringkat universiti. Namun kadang-kadang batas pergaulan kami melebihi yang sepatutnya. Secara jujurnya, kami ingin sangat untuk berkahwin secara nikah khitbah demi mengelakkan dosa maksiat ini. Bagi kami itu sahaja jalan penyelesaiannya iaitu kahwin.
Permasalahannya jika kami berkahwin tanpa pengetahuan bapa kepada kekasih saya, iaitu bernikah di Thailand, adakah ianya sah? Kami ingin mengambil langkah ini kerana tidak ingin menimbulkan masalah atau kesulitan dari kedua-dua belah pihak keluarga.
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Terima kasih atas pertanyaan saudara. Pertanyaan saudara menyentuh beberapa perkara iaitu:
Nikah gantung atau nikah khitbah
Nikah lari ke Thailand.
Pertama: Nikah Gantung Atau Nikah Khitbah
Sesungguhnya, tiada istilah nikah gantung atau nikah khitbah di dalam Islam. Jika perkahwinan dilakukan dengan memenuhi syarat dan rukunnya, maka ia adalah perkahwinan secara Islam yang sah. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang memenuhi 5 rukun:
Suami
Isteri
Wali
Dua orang saksi
Ijab dan Qabul
Nikah gantung atau dalam Bahasa Arab disebut Nikah Khitbah yang sering disebut oleh masyarakat sebenarnya bermaksud perkahwinan di mana pasangan pengantin tidak duduk serumah dalam satu-satu tempoh tertentu hasil persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak. Dalam kata lain, majlis akad nikah diadakan terlebih dahulu tapi majlis kenduri kahwin (walimatul urus) diadakan kemudian.
Jika begitulah maksudnya, maka nikah gantung itu harus dilakukan kerana majlis kenduri dan hantaran yang besar itu bukan rukun dan bukan syarat bagi perkahwinan. Kenduri walimah untuk menjemput saudara mara dan kenalan bagi meraikan pasangan mempelai hanya sunat sahaja. Kenduri secara kecil-kecilan pun sudah memadai. Manakala hantaran adalah hadiah pihak lelaki kepada wanita. Hadiah ialah pemberian ikhlas, tidak wajib. Tetapi masyarakat kita hari ini seolah-olah mewajibkan hantaran ini dan menjadikannya sebagai suatu kebanggaan.
Antara sebab-sebab utama kenapa sebahagian memilih nikah gantung adalah :
Ads
Suami masih tidak mampu menyara sepenuhnya kos hidup isteri seperti rumah sewa, pakaian, peralatan, makanan dan sebagainya.
Pasangan masih lagi menuntut dan masih belajar.
Kebaikan yang terdapat daripada nikah gantung adalah mengelakkan berlakunya zina dan melahirkan anak luar nikah dan itulah tujuan utama nikah ini diamalkan oleh sebahagian masyarakat. Walaupun mereka melakukan nikah gantung, tetapi mereka bebas sebenarnya melakukan sebarang aktiviti bersama walaupun tanpa mahram dan pasangan boleh jadi mengandung dan melahirkan anak. Anak hasil daripada hubungan seperti ini adalah yang sah dan tidak haram. Hal ini kerana mereka adalah pasangan suami isteri yang sah di sisi agama Islam dan undang-undang kerajaan Malaysia. Mereka tidak perlu melarikan diri, menggugurkan bayi, membuang bayi, atau membunuhnya.
Walaupun ia dikatakan harus, sebaik-baiknya berbincanglah dengan ibu bapa dan keluarga kedua-dua pihak supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. Perkahwinan bukan sekadar berkawan, tetapi hubungan yang menyatukan dua jasad dan dua jiwa. Kami peringatkan kepada mereka dengan satu hadis yang sepatutnya sentiasa diletakkan di hadapan:
Maksudnya: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”
Riwayat al-Tirmizi (194)
Perlu diingatkan bahawa perkahwinan ini ada bahayanya terutama apabila pasangan lelaki hanya berkahwin dengan tujuan untuk memuaskan nafsu seks semata-mata tanpa memberikan sebarang nafkah zahir. Hal ini kerana apabila selesainya akad nikah dan tamkin (isteri di serahkan kepada suami), maka perkahwinan tersebut melibatkan hak dan tanggungjawab antara suami isteri secara zahir dan batin.
Kesimpulannya, sesuatu perkahwinan yang cukup syarat dan rukunnya walaupun dinamakan ‘nikah gantung’ walaupun tidak dikendurikan dengan majlis kenduri secara besar-besaran dan seolah-olah tiada ‘rumah tangga’ perkahwinan, hukumnya harus dan boleh dilaksanakan. Hubungan suami isteri ‘nikah gantung’ ini adalah seperti suami isteri perkahwinan yang biasa yang boleh menjalankan hak dan tanggungjawab mereka.
Kedua: Nikah Lari Ke Thailand
Ads
Saudara bukan sahaja terlibat dengan nikah gantung tetapi juga terlibat dengan perkahwinan lari ke Thailand. Nikah lari sering kali dikaitkan dengan perkahwinan yang dilakukan tanpa wali nikah yang terdekat.
Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia merupakan salah satu daripada rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali, maka ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah terdiri daripada orang yang berkelayakan.
Susunan atau tertib Wali Perempuan yang sah mengikut Hukum Syarak adalah seperti berikut:
Bapa Kandung.
Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
Adik Beradik Lelaki Sebapa.
Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
Anak Saudara Lelaki Sebapa.
Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
Maksudnya: “Seorang wanita yang berkahwin tanpa izin walinya maka pernikahannya adalah batil, batil, batil. Dan apabila mereka (wali) bersengketa, maka pemerintah adalah wali bagi wanita yang tidak memiliki wali.”
Riwayat Ahmad (24417), Abu Daud (2083) dan al-Tirmizi (1102)
Dalam hadis yang lain, daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, Rasulullah SAW bersabda :
لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ
Ads
Maksudnya: “Tidak sah pernikahan kecuali dengan adanya wali”.
Riwayat Abu Daud (2085) Tirmidzi (1101) dan Ibn Majah (1881)
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Wanita tidak boleh mengahwini wanita (wanita tidak boleh jadi wali). Dan tidak boleh pula wanita menikahkan dirinya sendiri. Wanita penzina adalah wanita yang menikahkan dirinya sendiri.”
Riwayat Ibnu Majah (1882), al-Daraqutni (384) dan al-Baihaqi (7/110)
Perkahwinan yang dilakukan di dalam kawasan di mana wali mujbir kepada perempuan bermastautin hendaklah dilakukan dengan izin daripadanya. Namun, jika perempuan tersebut keluar daripada kawasan tersebut sejauh dua marhalah maka perkahwinan tersebut sah walaupun tanpa mendapatkan persetujuan wali.
Menurut Muhammad Bin Ismail as-Syaikh Daud al-Fathani dalam Matla` Badrain, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri), hlm. 414
“ Sultan berkuasa mengahwinkan seorang perempuan apabila wali ^Aqrab ghaib sejauh 2 marhalah, atau sedang dalam ihram, atau enggan kurang dari 3 kali untuk mengahwinkan seorang perempuan yang telah mukallaf yang diminta dikahwinkan dengan lelaki yang kufu’, jika wali aqrab ghaib kurang daripada dua marhalah, tidaklah boleh dikahwinkan oleh sultan, kecuali mendapat keizinan daripadanya”.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat :
Pernikahan itu mengikut rukun nikah
Pernikahan itu melebihi dua marhalah
Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin.
Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie. Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.
Adalah dinasihatkan agar sebaik-baiknya, pasangan yang ingin berkahwin, contohnya di negara Thailand atas apa-apa sebab termasuk sebab tidak mendapat izin wali atau tanpa kebenaran poligami daripada isteri hendaklah terlebih dahulu mendapatkan surat kebenaran untuk berkahwin di luar negara dari Pejabat Agama di negeri masing-masing. Ini akan melibatkan beberapa langkah, seperti menghadiri kursus pra-perkahwinan, mendapatkan surat kebenaran poligami jika ingin berpoligami tapi tidak mendapat izin daripada isteri, mengemukakan surat akuan status diri (dara, janda atau balu) dan sebagainya. Sekiranya berkahwin di Siam setelah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara, proses pendaftaran nikah Thailand di Malaysia akan menjadi lebih mudah setelah kembali dari Siam nanti.
Seksyen 31 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi sudah kembali ke Malaysia perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di sini.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Malam berinai? Sebenarnya malam berinai ni perlu ke? Tradisi siapa sebenarnya? Rasa tema macam mana yang sesuai? Sekarang memang kebanyakan pengantin akan membuat majlis malam berinai. Bagi yang tertanya-tanya pasal malam berinai ini, Jom baca apa itu malam berinai sebenarnya.
Sebenarnya Malam berinai ini merupakan tradisi perkahwinan Melayu tapi makin dilupakan, kini sudah menjadi trend kembali.Cuma berbeza sedikit dahulu dan kini, zaman dulu malam berinai ini terbahagi kepada dua iaitu berinai kecil dan berinai besar. Malam berinai kecil biasanya diadakan pada waktu petang tiga malam sebelum hari perkahwinan. Biasanya cuma ahli keluarga terdekat sahaja yang hadir waktu majlis tersebut, untuk merias pengantin perempuan. Inai akan dipakaikan pada kedua-dua belah tangan dan kaki pengantin perempuan. Pengantin lelaki juga diletakkan inai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan sahaja.
Manakala untuk malam berinai besar biasanya diadakan pada malam sebelum hari perkahwinan. Rakan-rakan dan saudara mara dijemput hadir untuk memeriahkan majlis. Masa majlis ini tetamu lelaki akan melemparkan sikit nasi kunyit pada sebelah kiri dan kanan pengantin lelaki. Proses yang sama diulang dengan menggunakan bertih dan tangkai daun wangi dicelup dalam air daun setawar. Di akhiri dengan sedikit pes inai diletakkan di atas daun sirih dan diletakkan pada tapak tangan pengantin lelaki.
Berbeza dengan zaman sekarang pula, sesetengah masyarakat menganggap malam berinai ini satu majlis yang tidak perlu dan satu pembaziran. Maka, hanya yang mampu sahaja yang akan membuat malam berinai. Sesetengah pulak fikir yang malam berinai ni satu majlis wajib dan perlu dilakukan dan ada jugak yang siap buat acara mandi bunga pada majlis malam berinai tu.
Malam berinai ni sebenarnya tidaklah wajib pun sebenarnya, tapi lebih kepada adat. Kalau mampu dan rasa hendak buat, buatlah kahwin buka selalu sekali seumur hidup. Kos perbelanjaan kali ini pun bukanlah murah berbeza dengan zaman lampau. Malam berinai ini, lain tempat lain caranya, lain definisi malam berinai. Tetapi biasanya, waktu malam berinai ini, bakal pengantin akan membuat persalinan beberapa baju mengikut daerah masing-masing, tetapi kini sepasang baju sahaja di pakai. Sebenarnya Majlis Malam Berinai ini dibuat secara berperingkat.
1) Berinai curi – Diadakan tiga malam sebelum hari berlangsung majlis untuk saudara mara terdekat sahaja.
2) Berinai kecil – Diadakan dua malam sebelum hari berlangsung majlis untuk saudara mara, jiran tertangga dan sahabat handai sahaja.
3) Berinai besar – Yang ni diadakan satu malam sebelum hari berlangsung majlis atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan,macam yang orang sekarang buat.
Kesimpulannya Majlis Malam Berinai ini tidak juga penting tapi lebih kepada adat. Ikut bajet masing-masing sebenarnya. Biar bersederhana asalkan gembira dan meriah sewaktu majlis berinai anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Harga barang semakin hari semakin tinggi. Tipulah jika anda tidak bersusah-payah untuk survive setiap bulan dengan ekonomi negara yang kian merosot sekarang ini bukan?
Namun, jika anda mempunyai niat yang baik seperti mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati anda, ianya tidak menjadi halangan buat anda untuk bekerja lebih keras demi membina masjid.
Siapa sangka, dengan menggunakan kos bawah RM10k pun, anda masih boleh mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana. Ingin tahu caranya?
Baca perkongsian oleh seorang wanita iaitu Syazliah di laman Facebook yang berkongsi tips beliau mengadakan majlis kahwin dengan kos serendah RM4,000 sahaja. Menarik bukan?
Tips kahwin bajet dengan kos serendah RM 4115.90 khas untuk semua:
Canopy aku ambil yang biasa jer, memang bajet RM200 je. Janji tak kena panas dan hujan. Plan tak nak renda-renda tu awalnya. Rezeki, jiran sebelan rumah nak sponsor lagi RM 50 untuk tambah renda-renda tu. Alhamdulillah, rezeki jangan ditolak.
HARGA : RM200 (khemah biasa)
Katering pula, aku ambil dengan orang sekampung yang memang semua orang tau makanan yang dia masak super sedappp. Mula-aku bajet nak tempah untuk 150 orang makan je, sebab aku tak jemput ramai orang. Jemput jiran sebelah rumah dan kawan-kawan terdekat je.
Sebelum kita rasa sakit kepala sebab nak kena fikir kos bayar katering beribu-riban, set kat kepala dahulu. Berapa orang kita nak jemput. Macam kes aku, family aku kecil. Lepas tu mak cik-mak cik, nenek semua tak larat nak masak, memang kena ambil katering.
Terus terang, dalam banyak perkara pasal majlis kahwin, katering paling aku risau, dok fikir mana nak cari duit wei. Ribu-ribu. Setakat makeup, pelamin semua tu aku tak risau, sebab aku pernah cakap kat suami.
Takpe takda pelamin, takpe tak mekap, takpe takda baju cantik-cantik. Fikir nak cari duit makan je sekarang ni. Ada duit lebih boleh la tempah yang lain-lain tu. Alhamdulillah, rezeki. Akak katering bagi Rm10 jer untuk 1 pax, harga asal belas-belas ringgit. Dia tolong. Alhamdulillah, rezeki lagi.
Nenek cakap tempah untuk 200 orang makan, kalau 150 je, nanti kang tak cukup. Dia kata baik lebih dari kurang. Aku setuju, so aku tempah untuk 200 orang makan. Duit aku, bajet aku ada banyak tu je. Aku tak mampu nak jemput orang ramai-ramai. Buat yang termampu.
HARGA : RM10 x 200 pax = RM2000
Barang hantaran dan juga goodies
(Gambar kat atas ni sekadar hiasan sebab tak jumpa cari mana gambar barang hantaran)
Untuk barang hantaran, aku cakap kat suami nak cari barang sendiri. Dia cari barang dia. Aku beli barang masa tengah sale. Pasal barang hantaran ni sebenarnya bergantung pada individu. Kalau bajet besar, boleh la beli barang-barang branded.
Macam aku, adalah ‘seketul’ dua barang branded yang aku beli. Tapi aku akan cover balik benda-benda tu semua dengan barang yang lagi murah. Set mandian aku beli Rm15 je. Dapat body lotion, scrub dan mandian. Boleh la cover harga handbag idaman.
Macam buah-buahan, pulut kuning sepupu dan jiran sponsor. Jimat dah kan hehe. Alhamdulillah.
Untuk goodies. Aku just beli surah yaasin 100 pcs, dapat harga 30 sen je satu. Sepanjang aku dok survey, tu paling murah dan cantik yang aku jumpa. Gula-gula makanan ringan sepupu aku sponsor. Tu pun tak sampai RM 100 pun.
💸TOTAL ANGGARAN KASAR : RM 500
Kos baju pengantin
Dari awal-awal lagi memang aku dah set dalam kepala tak nak sewa baju. Bagi aku, baik beli sendiri, habis beratus pun baju tu tetap jadi milik kita. Takpe la baju tak grand, janji raya haji nanti aku boleh recycle balik pakai baju ni. Jimat bukan.
Bila orang tanya tema majlis aku semua colour apa. Serius aku takda jawapan. Masa cari baju pun aku tak tau nak colour apa. Sampai kedai, mana yang aku nampak cantik, ada saiz aku ambil je. Suami aku pun jenis tak kisah jugak.
Nampak baju biru cair ni, tengok saiz 36. Ok cun! Aku try, suami pun cakap cantik. So aku terus beli. Jadi tema wedding aku biru cair. Baju ni, aku pakai untuk akad nikah sekali dengan sanding. Sengaja tak nak colour putih, takut nanti tak terpakai pulak. Kang pakai pergi jalan-jalan orang kata pengantin sesat mana ni.
Baju suami beli kat Gene Martino, Rm100 je. Nasib baik jumpa cari baju yang colour sebijik macam baju aku. Sebab kat situ ada 100 cod color baju. Tudung yang aku pakai tu aku beli murah je, sandal pulak beli kat Vincci. Selesa la jugak even 3,4x aku jatuh.
💸Baju : RM 229
💸Tudung : RM 7.90
💸Sandal : RM 109
💸TOTAL : RM 345.90
Kos make up pengantin perempuan
Part ni aku suka. Siapa tak suka wei bila tengok muka sendiri lepas make up. Cantik. Sorry terperasan. Makeup ni yang cantik sebenarnya hehe. Muka aku rasa tak pakai apa-apa, ringan dan tak melekit. Syok wei, rasa nak suruh akak MUA makeup kan lagi hehe.
Aku tak guna sebarang span atau tisu untuk lap peluh even akak MUA pesan suruh dap-dap kan muka dengan span basah bila peluh. Aku dah test dok tengah panas, make up langsung tak cair, terbaik sangat make up dengan akak comey lote ni.
Aku minta MUA makeup kan aku untuk sanding terus. Sebab aku nikah pukul 11.00 pagi, kira lepas tu terus sanding. Jimat masa, jimat kos, jimat segala-galanya.
💸Boleh jenguk FB : Eyla D’touch
💸HARGA : RM250
💸tak termasuk caj perjalanan
Majlis sambut menantu
Majlis sambut menantu lepas Asar. Boleh dikatakan semua benda settle dalam masa 1 hari. Untung kahwin dengan orang dekat ni.
Baju majlis ni, aku pinjam baju sepupu. Tudung dan veil pun aku pakai tudung yang sama. Pukul 4.00 petang aku cuci makeup, solat zohor and makeup siap-siap sementara tunggu azan Asar.
Makeup kali ni, mohon jangan kecam. Sebab aku makeup sendiri. Dah namanya penjual Bc Cream. Takkan tak nak promote kan? Meh laa beli dyxy dengan kita.
Aku just calit-calit jer bc cream, guna brush ratakan. Lipstick yang aku pakai pon set dyxy cod Sexy Nude. Aku letak blusher Rm10 sikit kat pipi kasi pinkish-pinkish gitu.
Ok tak? So untuk majlis sambut menantu aku tak perlu keluarkan duit 1 sen pun huhuhu.
Menurutnya, selama 2 tahun bertunang dengan pasangan hidupnya, duit tidak pernah cukup. Sehingga soalan yang ditabur oleh orang luar tentang bila majlis perkahwinan akan dijalankan tidak terputus.
Ingat. Setiap perkara yang baik-baik, insya Allah, segalanya akan dipermudahkan.
Aku bertunang selama 2 tahun. Duit tak pernah cukup. Setiap kali orang tanya bila nak kahwin, jawapan aku ‘takda duit macam mana nak kahwin’.
Mac 2017, aku pakat dengan suami. Kahwin tahun ni. 22 Julai. Sama tarikh dengan hari lahir aku. Pasal duit tolak tepi. Kita dah pasang niat nak buat masa tu, hari tu, DIA akan tolong.
Syukur. Semuanya berjalan lancar.
Ini merupakan tips yang terakhir untuk pasangan di luar sana yang ingin mendirikan rumahtangga tidak lama lagi:
1. Set dalam kepala jangan ikut atau dengar cakap orang. Even kau buat majlis grand kat hotel pun pasti orang mengata juga. Pilih ikut kemampuan!
2. Jangan berhutang. Lepas kahwin banyak lagi duit yang nak diguna. Duit banyak tu, takat tu je la majlis kita. Sekali lagi, ABAIKAN CAKAP ORANG.
3. 3-4 bulan sebelum tarikh kahwin dah boleh beli barang-barang kahwin. Beli awal tak rasa duit tu keluar laju macam air paip.
4. Bila kau down, tengok duit makan tinggal seringgit sebab beli barang-barang kahwin. Pejam mata. Tenangkan hati. Takpe, Allah SWT tolong. Aku selalu pujuk hati macam tu.
5. ABAIKAN MULUT ORANG.
3 kali aku ulang ‘abaikan mulut orang’. Kenapa? Sebab kalau kau jenis hati tisu memang lambat la majlis nak berlangsung. Kecuali duit memang dah kepok-kepok.
Sudah jodoh yang tertulis, Ina Naim kahwin dengan lelaki pilihannya, Mohd Khairul Rizal Shukor semalam dan perkahwinan ini menjadi perhatian para peminat.
Ina Naim Kahwin Kali Kedua
Kalau ikutkan hampir setahun bergelar balu, pemilik nama Nordiana Mohd Naim, 40, mengakui bukan mudah untuk membuka pintu hati untuk menerima insan baharu di sisi.
Sikap penyabar, penyayang dan karakter lelaki yang bertugas sebagai jurutera itu yang disenangi anak-anak menawan hatinya.
“Persamaannya sangat banyak dengan arwah suami, itu yang membuatkan saya tertarik. Khairul juga sangat penyabar dan penyayang orangnya.
“Saya lihat dia hantar mesej kepada anak-anak dan mereka juga baik. Mudah menerima apa yang diajar Khairul.
“Itulah yang dikatakan qada dan qadar, rukun iman yang keenam. Kita tidak boleh tentukan nasib kehidupan kita. Sekarang ini saya sudah menjadi isteri kepada Khairul. Itu adalah takdir ALLAH, Alhamdulillah,” katanya lagi.
Syukur Terlepas dari Fitnah
Pelantun lagu Duhai Hati itu turut melahirkan rasa syukur kerana kembali bergelar isteri dan terlepas daripada fitnah.
Katanya, gelaran ibu tunggal terlalu berat dan keputusan untuk kembali berumah tangga juga bukan mudah.
“Saya rasa bersyukur kerana terlepas daripada sebarang fitnah. Biasalah bila hidup sebagai ibu tunggal banyak fitnah di luar. Alhamdulillah ALLAH selamatkan saya daripada fitnah-fitnah itu.
“Agak lama juga saya buat keputusan untuk bernikah lagi. Tapi bila dia (Khairul) datang bawa resume, saya terima keikhlasan yang ada pada dia, keduanya saya rasa dia boleh bantu saya untuk meneruskan perjuangan sebagai bapa untuk mengajar anak-anak,” ujarnya.
Khairul pula memberitahu, hatinya terbuka menerima Ina sebagai isteri kerana mahu membela nasib ibu tunggal dan anak-anak yatim.
Malah dengan pengalamannya sebagai pendidik, Khairul yakin dapat membimbing anak-anak tirinya. Beliau malah sudah menyiapkan perancangan pendidikan untuk mereka.
“Apa yang saya nampak, ini (pernikahan) peluang untuk amal jariah. Bila saya tengok ada empat orang anak yatim dan seorang ibu tunggal untuk dibela nasibnya, saya rasa kena ambil peluang ini.
“Alhamdulillah ALLAH kurniakan saya pengalaman sebagai seorang pendidik. Sebelum ini saya bekerja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya cadangkan kepada Ina perancangan untuk anak-anak agar mereka dapat meneruskan pembelajaran dan membesar menjadi individu lebih baik,” katanya.
Anak Sulung Restu Perkahwinan Ibu
Anak sulung Ina, Ehmad Hadie Elfardie yang dilihat menitiskan air mata saat ijab kabul merestui perkahwinan ibunya.
Jelas Hadie, Mohd Khairul Rizal yang dipanggilnya Daddy diharapkan mampu menjaga ibu dan adik-adiknya.
“Alhamdulillah saya bersyukur, sekurang-kurangnya ada orang yang sanggup menerima dan menjaga. Saya syukur serta gembira, Alhamdulillah.
Ehmad Hadie menerima bapa baharu dengan hati yang terbuka dan mendahulukan adik-adiknya dalam hal itu.
“Saya fikirkan adik-adik dan ibu. Dia (Khairul Rizal) melayani ibu dan adik dengan baik,Alhamdulillah.
Dalam pada itu, Ehmad Hadie sempat mengucapkan selamat pengantin baharu buat ibu dan ayah barunya.
“Selamat pengantin baru ibu dan daddy. Semoga dipermudahkan urusan dan diberkati ALLAH SWT,” katanya.
Dalam majlis yang berlangsung di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM100, wang hantaran RM7,000, kelengkapan solat, seutas gelang emas, sebentuk cincin dan lima dulang hantaran.
Terdahulu, Ina yang kini aktif berniaga mi siput dan produk kecantikan kemudian menjelaskan bakal bernikah dengan bapa tunggal kepada dua orang anak dikenali sebagai Mohd K.
Sekadar info, Ina berkahwin dengan Suhaimi yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Inteam pada 12 Ogos 2007.
Beliau menggalas status ibu tunggal selepas Suhaimi meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!