Akhirnya teka-teki penyatuan dua jiwa usahawan dan selebriti terkenal Malaysia, Noor Neelofa Mohd Noor bersama pendakwah Haris Ismail diijabkabulkan pada hari ini dengan disempurnakan adik kandungnya, Mohd Aqief Mohd Noor di salah sebuah hotel terkemuka Kuala Lumpur tepat pukul 11.30 pagi tadi.
Sesuci rona putih yang menghiasi dewan ballroom yang direka dalam suasana yang begitu indah dan elegan, dekorasi bunga-bunga putih menghiasi hampir keseluruhan dewan. Malah, para tetamu yang hadir juga berpakaian putih, mencerminkan kesucian sebuah percintaan penuh kasih sayang.
Begitu harmoni sekali suasana majlis ijabkabul yang diadakan pada hari ini. Reka Teemor nyata berjaya membawa aura Neelofa dan Haris dalam setiap kuntuman bunga yang dipersembahkan dalam majlis tertutup ini. Dalam masa sebulan, keseluruhan dekorasi ini direalisasikan dengan sempurna.
Neelofa yang begitu anggun dengan persalinan dres panjang rona putih rekaan Alia Bastamam telah disolek manis jurusolek Sharman Yee manakala styling tudung Neelofa pula oleh Didiyana Ehsan. Pada majlis tersebut, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor menerima mas kahwin sebentuk cincin.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami. Kami
berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT,
insya-Allah,” ujar Neelofa dan Haris.
Turut hadir ahli keluarga Neelofa iaitu Dato’ Halim Khan dan Datin Noor Kartini serta ahli keluarga Haris; Dato’ Seri Ismail Nobat dan Datin Seri Normah Johari.
Sejak bila agaknya pertemuan Neelofa dan Haris?
“Sejujurnya, saya mula mengenali Haris pada tahun 2017. Sekitar bulan Jun kalau tak salah. Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya untuk sebuah projek. Selepas kolaborasi tersebut, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian. Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing.
Dia merupakan seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa. Dia juga merupakan seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran atau masalah.”
Sebaik bergelar isteri, jelas terpancar kegembiraan di wajah Neelofa. Dengan bersandarkan kasih sayang dan kepercayaan kepada suaminya Haris, Neelofa akan terus berada dunia perniagaan.
“Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berehat sementara kerana banyak hal bisnes yang perlukan pemantauan saya walaupun selepas majlis berlangsung. Selain beberapa produk baharu yang dilancarkan di bawah jenama minuman Nilofa, koleksi raya Naelofar juga baru sahaja dilancarkan. Memang agak sibuk, tetapi saya cuba untuk membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga.
Nak jadi isteri ada juga persediaan yang saya lakukan. Selain banyak membaca, saya juga kerap bertanya dengan ibu dan rakan-rakan terdekat, banyak nasihat yang diberikan dan insya-Allah, saya akan jadikan nasihat tersebut sebagai panduan. Dalam masa yang sama, saya juga berkesempatan menghadiri kelas-kelas khusus yang memfokuskan kepada persediaan memasuki alam rumah tangga.”kata Neelofa.
Haris dan Lofa telah menubuhkan Markaz Tijaari dan akan terus fokus untuk projek ini dahulu. Selain itu, untuk pelan jangka masa Panjang, mereka merancang untuk memperkenalkan produk-produk lain di bawah jenama tersebut
Adakah Lofa meletakkan harapan untuk menerima zuriat pada masa terdekat?
“Seperti mana jodoh, perihal zuriat juga saya serahkan kepada aturan Yang Maha Esa. Jika diberikan rezeki dalam masa terdekat, saya terima dengan tangan terbuka. Harapan Neelofa terhadap perkahwinan: Semoga Allah SWT sentiasa memberikan rahmat kepada keluarga kecil yang baru sahaja kami bina, dan semoga setiap rahmat itu dapat memupuk hubungan kami sebagai pasangan suami isteri. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya dan juga suami.”kata Neelofa.
Majlis indah ini turut mendapat tajaan dari Swarovski, Lancome dan Dyptique dari Kens Apothecary.
Kredit foto: Wedlocx.co
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI