
Fakta ini mungkin sedikit berbeza dengan apa yang selalu diperkatakan oleh sesetengah pihak bahawa berkahwin menyebabkan lebih banyak tekanan. Oleh itu, macam-macam penyakit boleh datang. Itu adalah apa yang mereka dakwa.
Walau bagaimanapun, menurut kajian yang dimuatkan di dalam National Center for Biotechnology Information (NCBI), ia menunjukkan sebaliknya. Kajian yang bertajuk Factors Affecting Hypertension among the Malaysian Elderly ini mengatakan bahawa kes hipertensi lebih tinggi dalam kalangan bujang iaitu 48% manakala 42% dalam kalangan yang sudah berkahwin, dengan sampel lebih 2000 orang.

Bagaimana ia boleh berlaku?
Jika dilihat dengan teliti, banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kepada dapatan kajian tersebut.
Antaranya adalah orang yang berkahwin mempunyai kadar hormon stres kortisol yang lebih rendah berbanding bujang atau bercerai. Hormon ini, dalam jangka masa panjang, berpotensi meningkatkan tekanan darah. Sokongan sosial yang berlaku antara pasangan mungkin menyumbang kepada keadaan ini.
Selain itu, pasangan berkahwin cenderung mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Tanggungjawab yang bertambah serta peranan sebagai ibu dan bapa menjadikan mereka lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam membuat keputusan sebelum mengambil kira ahli keluarganya. Contohnya, jika ingin membeli rokok, mereka akan lebih berkira-kira dengan wang yang ingin digunakan serta kesan kesihatan yang mungkin terpalit kepada pasangan dan anak-anaknya. Malah, ada kajian yang menemui bahawa pasangan berkahwin lebih mudah berhenti merokok.
Pasangan berkahwin juga secara amnya lebih sihat berbanding orang lain. Ada beberapa kajian yang menemui bahawa golongan ini lebih berkemungkinan untuk berjaya melawan kanser dan kurang risiko serangan jantung serta strok. Menariknya, lelaki dilihat lebih banyak mendapat manfaat dalam perkahwinan berbanding wanita. Ini adalah kerana golongan wanita lebih terdedah kepada penganiyaan dan lebih terkesan dengan konflik rumah tangga.

Namun, mungkin juga boleh berlaku di mana bukan perkahwinan yang menggalakkan kesihatan. Sebaliknya, orang yang lebih sihat dan berharta serta berpendidikan cenderung untuk berkahwin.
Itu semua hanyalah fakta dan nombor daripada beberapa dapatan kajian. Setiap orang adalah berbeza dengan pelbagai pengaruh di dalam kehidupan sekelilingnya. Selain sosial dan demografi, banyak lagi faktor-faktor lain yang menyumbang kepada tekanan darah tinggi.
SUMBER : (https://hellodoktor.com/)
OLEH : Muhamad Firdaus Rahim
GAMBAR : TANGKAP PICTURES
Kahwinlah Bila Jodoh Dah Sampai, Pintu Rezeki Akan Sentiasa Terbuka

Perkahwinan merupakan satu sunnah Rasulullah yang sangat digalakkan untuk menjadi ikutan ummah. Banyak hikmah yang diperolehi jika anda bernikah dengan niat yang betul. Orang yang bernikah kerana Allah tidak akan sia-siakan pernikahan tersebut.
Justeru, Allah akan menolong orang yang ingin bernikah atas dasar yang betul. Perkahwinan juga akan memberikan tanggungjawab kepada anda kepada isteri dan anak-anak. Justeru, Allah akan membuka pintu rezeki kepada anda jika anda menjalankan kewajipan anda kepada keluarga.
1. Allah akan mencukupkan rezeki mereka yang akan berkahwin
Jika dilihat dalam masyarakat zaman sekarang, ramai antara mereka yang mulanya miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah An-Nur ayat ke-32 yang bermaksud;
“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.
(Surah An Nur : Ayat 32)
2. Jangan ragu-ragu
Penyakit ragu-ragu sering menjadi persoalan utama jika seseorang yang ingin menikah. Seseorang yang telah memikirkan lebih mendalam mengenai kehidupan dan perjalanan selepas perkahwinan, adalah seorang yang berkeyakinan dan pasti dengan apa yang di lakukan tanpa ragu-ragu. Anda harus meletakkan keyakinan kepada Allah, kerana sebaik-baik perancang adalah Allah. Mohon kepadanya agar kehidupan anda untuk membina sebuah keluarga berjalan dengan lancar dan diredhai.
Jika umur sudah sampai waktunya dan memang wajib untuk segera menikah. Maka, langkah yang seterusnya adalah kita berikhtiar. Jika berikhtiar telah dilakukan, maka jangan pernah berhenti untuk berdoa. Percayalah, Allah swt. telah menentukan saat-saat yang tepat dan terbaik bagi hamba-Nya yang tak pernah putus asa dari Rahmat-Nya.
Kita sebagai seorang muslim perlu terus menunaikan kewajiban kita dan untuk mempercayai dan yakin dengan janji Allah. Jangan sampai bisikan-bisikan syaitan menyusup ke dalam hati. Ianya akan dapat mengugat keimanan kita terhadap kebenaran janji Allah swt, termasuk ketika Allah swt. berjanji akan mencukupkan hamba-Nya yang miskin apabila menikah.
Tiada yang mudah dalam hidup, semuanya perlu di teruskan walaupun sesakit mana pun kita. Allah swt jika ingin memberikan kurnia kepada hamba-Nya. Sungguh, Allah swt. Maha Pemurah dan pemberi rezeki. Ia terserah kepada kita meyakini atau tidak. Dengan keyakinan itu, hidup kita akan lebih optimis dan selalu memikirkan yang positif.
Jaga Adab Bercakap Dengan Orang, Jangan Asyik Tanya Bila Nak Kahwin

Kadang-kadang kita ni menjadi terlalu ramah sampai ada orang yang rasa kurang selesa. Tak kisah jika hendak mengambil tahu sedikit hal orang lain apatah lagi kaum keluarga dan sahabat handai. Tetapi perlu juga mengambil kira sensitiviti dan penerimaan orang lain.
Sebab itu kita perlu banyak belajar tentang adab. Membaca gerak tubuh orang juga membolehkan anda tahu bagaimana penerimaan seseorang terhadap persoalan yang dilontarkan. Sebagai manusia, kita kan memang akan menunjukkan pelbagai ekspresi. Jadi jaga-jaga dengan ekspresi itu ya.
- Jangan call seseorang berturut-turut. Kalau tidak berjawab, maknanya mereka sedang buat sesuatu yang penting. Mesej selepas itu dan tanya bila masa sesuai untuk call.
2. Jangan sesekali pesan menu yang mahal bila ada orang belanja. Lebih molek, minta orang yang belanja pilihkan menu. Sensitif terhadap orang yang belanja.
3. Jangan lah bertanya soalan janggal seperti, “Oh, belum kahwin ya? Umur sudah berapa ni?”, atau “Belum ada anak ya? Kan dah lama kahwin?”, “Kenapa belum beli rumah?”. Itu hal peribadi. Tidak perlu ditanya. Bukan hal kita.
4. Selalu buka dan pegangkan pintu untuk orang dibelakang kita, terutamanya warga tua atau ibu sedang dukung anak. Tidak rugi bantu mudahkan orang lain.
5. Berhati-hati dalam bergurau. Tidak semua orang boleh terima cara kita. Kalau orang tidak suka, hentikan. Jangan diulang lagi.
6. Bila terima mesej, balas walaupun terlambat atau sedang sibuk. Ingat, bukan kita sahaja sibuk. Bila sudah lapang, tetap balas dan mohon maaf atas kelewatan.
7. Beri pujian di khalayak, tetapi beri kritikan secara peribadi dan tersendiri. Niat untuk menambah baik, bukan mengaibkan.
8. Jangan buat perancangan di depan mereka yang tidak terlibat atau tidak dijemput sekali. Kalau sudah terbagi tahu, eloklah jemput terus.
9. Hormati seseorang pada nilainya, bukan jawatan atau posisi. Seorang tukang cuci layak dilayan sama seperti seorang CEO. Mereka sama-sama manusia. Layanan kita yang penuh adab adalah cerminan nilai dalam diri kita.
Kredit: Facebook Rahsia Kahwin Muda
Amalan Memakai Cincin Perkahwinan Bukan Daripada Ajaran Islam

1. HUKUM MEMAKAI CINCIN
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عنه قَالَ: اتَّخَذَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم خَاتَمًا مِنْ ذَهَبٍ وَفِي رِوَايَةٍ: وَجَعَلَهُ فِي يَدِهِ الْيُمْنَى ثُمَّ أَلْقَاهُ ثُمَّ اتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ الْوَرق نُقِشَ فِيهِ: مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَقَالَ: «لَا يَنْقُشَنَّ أَحَدٌ عَلَى نَقْشِ خَاتَمِي هَذَا» . وَكَانَ إِذَا لَبِسَهُ جَعَلَ فَصَّهُ مِمَّا يَلِي بَطْنَ كَفه.
Daripada Ibnu Omar radhiyallahu ‘anhuma dia berkata: “Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah memakai cincin daripada emas (dalam satu riwayat: Baginda memakainya di tangan kanannya) lalu Baginda melemparkannya dan memakai cincin daripada perak dengan ukiran: Muhammad Rasulullah. Dan Baginda bersabda: Jangan ada yang mengukir seperti ukiran cincinku ini. Ketika memakainya Baginda akan menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” (Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, walaupun ia sebahagian daripada Sunnah amalan Baginda, dalam masa yang sama harus diingat bahawa ia termasuk dalam kategori Sunnah Adat (السنة العادية) dan bukan Sunnah Ibadah (السنة التعبدية). Ini kerana Baginda tidak memakainya untuk tujuan ibadah dengan niat untuk mendapat pahala. Sebaliknya, Baginda memakainya untuk tujuan yang tertentu iaitu mengecop surat-surat Baginda kepada ketua-ketua negara ketika itu.
Sebagaimana dalam riwayat Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya tatkala Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ingin mengutuskan surat kepada Raja Rom, Baginda dimaklumkan bahawa mereka tidak akan menerima kecuali surat-surat yang telah dicop. Maka Baginda pun memakai cincin yang dibuat daripada perak dan aku seolah-oleh melihatnya (ketika ini) dengan tertera pada kepala cincinnya ukiran Muhammad Rasulullah.” (Bukhari)
Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah memakai cincin untuk keperluan Baginda sebagaimana Baginda memakai jubah, sarung, serban dan selipar yang kesemuanya termasuk dalam kategori Sunnah Adat dan bukan Sunnah Ibadah.
Maka berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memakai cincin, para Ulama menyimpulkan bahawa hukum memakai cincin adalah harus.
2. LARANGAN MEMAKAI CINCIN EMAS, BESI ATAU TEMBAGA SAMA ADA UNTUK LELAKI ATAU WANITA DAN DIBOLEHKAN SELAIN DARIPADANYA
Kaum lelaki dilarang daripada memakai cincin emas. Hal ini jelas dalam hadis riwayat Al-Bara’ bin Aazib radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada cincin emas” (Bukhari dan Muslim).
Begitu juga dalam riwayat Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melihat seorang Sahabat lelaki memakai cincin emas pada tangannya, maka Baginda mencabut dan melemparkannya seraya bersabda: Seorang kamu mengambil bara api lalu meletakkannya pada tangannya?!” (Muslim)
Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para Ulama, tetapi berdasarkan pendapat yang lebih kuat (rajih) yang didokong oleh dalil, wanita turut dilarang daripada memakai cincin emas.
Larangan ini jelas dalam hadis daripada riwayat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُحَلِّقَ حَبِيبَهُ حَلَقَةً مِنْ نَارٍ فَلْيُحَلِّقْهُ حَلَقَةً مِنْ ذَهَبٍ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُطَوِّقَ حَبِيبَهُ طَوْقًا مِنْ نَارٍ فَلْيُطَوِّقْهُ طَوْقًا مِنْ ذَهَبٍ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُسَوِّرَ حَبِيبَهُ سِوَارًا مِنْ نَار فليسوره مِنْ ذَهَبٍ وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِالْفِضَّةِ فَالْعَبُوا بِهَا.
“Barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan cincin daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan cincin emas; barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan rantai daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan rantai emas; dan barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan gelang daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan gelang emas. Sebaliknya hendaklah kamu menggunakan perak. Bermainlah dengannya.” (Hasan. Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Disamping hadis di atas, terdapat beberapa hadis lain tentang permasalahan ini yang telah dihimpunkan oleh Syeikh Al-Albani dalam kitab beliau Aadaab Al-Zafaaf (Adab-Adab Perkahwinan). Dalam Kitab ini, beliau turut menjawab hujah-hujah yang digunakan oleh pihak yang membolehkan pemakaian cincin disamping rantai dan gelang yang dibuat daripada emas (emas berlingkar) buat wanita.
Adapun tentang larangan memakai cincin besi (termasuk yang dibuat daripada tembaga dan yang sejenisnya) sama ada bagi lelaki atau wanita, larangan ini dinyatakan dalam hadis daripada riwayat Abdullah bin Amru radhiyallahu ‘anhu iaitu:
أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم وَفِي يَدِهِ خَاتَمٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَأَعْرَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا رَأَى الرَّجُلُ كَرَاهِيَتَهُ ذَهَبَ فألقى الخاتم، وأخذ خاتم مِنْ حَدِيدٍ فَلَبِسَهُ، وَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: “هَذَا شَرٌّ؛ هَذَا حِلْيَةُ أَهْلِ النَّارِ”. فَرَجَعَ، فَطَرَحَهُ، وَلَبِسَ خَاتَمًا مِنْ وَرِقٍ، فَسَكَتَ عَنْهُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم.
“Bahawasanya seorang lelaki mendatangi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sedang di tangannya terdapat cincin emas maka Baginda berpaling daripadanya. Melihat kebencian Baginda lelaki itu pun membuang cincin itu dan memakai cincin besi. Melihatnya Baginda bersabda, “Ini lebih keji, ia adalah perhiasan ahli neraka.” Setelah melemparkannya lelaki itu pun memakai cincin perak dan Baginda berdiam diri terhadapnya.” (Sahih. Riwayat Ahmad dan Bukhari dalam Adab Al-Mufrad)
3. PADA JARI MANA DILETAKKAN CINCIN
Sama ada bagi kaum lelaki mahupun wanita, dibolehkan bagi mereka memakai cincin pada jari manis, kelingking ataupun ibu jari. Adapun jari telunjuk dan tengah, keduanya adalah dilarang.
Hal dinyatakan dalam sebuah athar daripada Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasnya (Rasulullah) melarangku memakai cincin pada jari ini dan ini – seraya mengisyaratkan kepada jari telunjuk dan jari tengah.” (Sahih. Riwayat Al-Nasa’i)
4. SUNNAH MEMAKAI CINCIN PADA TANGAN KANAN ATAU KIRI
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah memakai cincin pada kedua-dua tangannya sebagaimana dalam hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah memakai cincin perak pada tangan kanannya di mana kepala cincinnya daripada Habsyah; dan Baginda menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” ( Bukhari dan Muslim)
Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu turut meriwayatkan, “Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memakai cincin pada jari ini – sambil mengisyarat pada jari manis tangan kirinya.” (Muslim)
Berdasarkan kedua-dua riwayat yang sahih ini dapat disimpulkan bahawa sama ada cincin itu diletakkan pada tangan kanan mahupun tangan kiri, kedua-duanya adalah Sunnah kerana ia telah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. (Al-Syarah Al-Mumti’ oleh Syeikh Ibnu Uthaimin, 6/116)
5. KEPALA CINCIN DILETAK PADA BAHAGIAN DALAM TELAPAK TANGAN
Sunnahnya adalah mengarahkan kepala cincin ke arah dalam telapak tangan sebagaimana dalam hadis riwayat Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” (Bukhari dan Muslim)
6. PENJELASAN TENTANG HADIS “CARILAH (MAS KAHWIN) SEKALIPUN CINCIN DARIPADA BESI”
Hadis di atas merujuk kepada riwayat Sahl bin Sa’ad radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam didatangi seorang wanita yang berkata: Wahai Rasulullah, aku telah menghadiahkan diriku kepadamu. Setelah wanita itu berdiri lama seorang lelaki berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah, kahwinkanlah aku dengannya sekiranya engkau tidak mempunyai hajat kepadanya. Rasulullah pun berkata: “Adakah engkau mempunyai apa-apa (mas kahwin) untuk diberi kepadanya?” Jawab lelaki itu: Aku tidak ada kecuali sarungku ini. Berkata Baginda: “Carilah (mas kahwin) sekalipun cincin daripada besi.” Lelaki itu pun mencari tetapi tidak mendapati apa-apa. Maka Rasulullah pun berkata: “Apakah engkau mempunyai apa-apa (hafalan) daripada Al-Quran. Jawabnya: Ya, Surah ini dan Surah itu. Kata Baginda: “Aku kahwinkan engkau dengannya dengan apa yang engkau ada daripada Al-Quran.” (Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar ketika mensyarahkan hadis di atas menjelaskan bahawa hadis ini tidak menunjukkan bahawa Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam membolehkan memakai cincin besi. Ini kerana keizinan untuk memilikinya tidak bererti keizinan untuk memakainya. Berkemungkinan Baginda memaksudkan tujuan lain supaya si isteri dapat mengambil manfaat daripada harga cincin besi itu. (Fathulbari Syarah Sahih Al-Bukhari oleh Ibnu Hajar, 10/266)
Syeikh Albani menjelaskan bahawa andainya ia menunjukkan keharusan memakai cincin besi, hendaklah dianggap bahawa peristiwa ini berlaku sebelum datangnya larangan memakai cincin besi. Ini adalah penting bagi menghimpunkan antara kedua-dua hadis yang mengharus dan melarang pemakaian cincin besi. Inilah pendapat yang didukung oleh Imam Ahmad, Ibn Rahawaih dan Imam Malik. (Adaab Al-Zafaaf oleh Syeikh Albani, hlm. 219)
7. LARANGAN MEMAKAI CINCIN PERKAHWINAN
Perlu dijelaskan bahawa amalan memakai cincin perkahwinan bukan daripada ajaran Islam. Ia tidak dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para Sahabat radhiyallahu ‘anhu mahupun generasi awal Islam. Sebaliknya ia adalah adat tradisi yang diwarisi daripada orang Kristian dalam urusan perkahwinan mereka.
Amalan menyarung cincin perkahwinan adalah adat Kristian sejak turun-temurun di mana si pengantin lelaki akan meletakkan cincin pada hujung ibu jari pengantin perempuan lalu berkata: “Dengan nama Bapa”. Setelah itu dia akan memindahkan cincin ke hujung jari telunjuk dan berkata: “Dengan nama Anak”. Selepas itu dia beralih ke jari tengah seraya berkata: “Dengan nama Roh Al-Qudus”. Dan tatkala dia berkata “Amin” dia akan menyarungkan cincin itu pada jari manis pengantin perempuan itu.
Syeikh Albani menukilkan kenyataan Angela Talbot, editor Majalah Women yang berpusat di London dalam keluaran ke-19 pada 19 Mac 1960 di mana ketika menjawab soalan tentang mengapa cincin perkahwinan diletakkan pada jari manis tangan kiri, Angela Talbot berkata: “Dikatakan bahawa terdapat urat saraf yang berhubung secara terus daripada jari tersebut ke jantung.” (Adaab Al-Zafaaf oleh Syeikh Albani, hlm. 212-214)
Syarak melarang keras Umat Islam meniru orang kafir apatah lagi dalam urusan yang bersangkut-paut dengan kepercayaan keagamaan mereka. Perbuatan seperti ini jelas boleh membawa kepada kufur wal iyazubillah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengecam mereka yang meniru orang kafir dalam sabda Baginda, “Barangsiapa merenyerupai sesebuah kaum maka dia tergolong dalam kaum itu” (Hasan. Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Oleh itu, jelas memakai cincin yang khas buat pertunangan atau perkahwinan adalah haram kerana ia menyerupai amalan orang Kristian. Lebih sulit lagi sekiranya cincin itu dibuat daripada emas. Dalam hal ini dua kesalahan telah dilakukan. Pertama, menyerupai orang kafir. Kedua, memakai cincin emas. Harus diingat, bukan sahaja kaum lelaki tetapi wanita juga turut dilarang daripada memakai cincin emas sebagaimana dalam hadis-hadis yang telah disebutkan dalam Perkara ke-2 dalam tulisan ini.
وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم
Kajang, 29 Ogos 2012
Idrissulaiman@yahoo.com