Setelah dua tahun menyepi, industri perkahwinan kini sudah mulai meriah. Semestinya penghargaan patut diberikan kepada penggiat industri perkahwinan yang masih kekalkan momentum bisnes biarpun pandemik melanda dunia.
Datin Seri Masdiana Mohamad menyampaikan anugerah Outstanding Wedding Planner of The Year kepada Perunding Perkahwinan Reka Teemor.
Berlangsung di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur, majlis Anugerah Pesona Pengantin 2022 dihias indah dengan aura bunga-bungaan menjadi latar pentas utama. Dalam majlis ini menyaksikan lapan penerima anugerah yang menerima penghargaan melalui hasil sentuhan kreativiti mereka dalam bidang perkahwinan.
Majlis dimulakan dengan pertunjukkan fesyen busana perkahwinan daripada pereka fesyen terkenal tanahair seperti Rizman Ruzaini, Alia Bastamam, Yuleza, Qudyn, Fuzana Mokhtaza, Ambianze by Scha Awal, Delilah by Siti Shukri, Celest Thoi, Mimpi Kita, Syomir Izwa dan Hatta Dolmat.
Pertunjukkan fesyen daripada 12 pereka fesyen tanahair.
Perunding Perkahwinan, Reka Teemor dinobatkan sebagai penerima anugerah utama iaitu Outstanding Wedding Planner of the Year di majlis Anugerah Pesona Pengantin yang julung kali diadakan pada tahun ini bersempena ulang tahun majalah Pesona Pengantin yang ke-20.
Ads
Di dalam majlis ini, penerima anugerah Timeless Wedding Makeup Artist diberikan kepada Datin Saidatulnisa Aminuddin, The Most Glam Wedding Designer, Rizman Ruzaini, The Best Classic Wedding Designer, Man Kajang dan The Best Wedding Planner pula diterima oleh Muas Mo Wedding & Event Stylist serta Flair Design & Events.
The Best Classic Wedding Designer: Man KajangThe Most Glam Wedding Designer: Rizman RuzainiTimeless Wedding Makeup Artist: Datin Saidatulnisa AminuddinThe Best Wedding Planner: Flair Design & EventsThe Best Wedding Planner: Muas Mo Wedding and Event Stylist
Namanya majlis perkahwinan, sudah tentulah Pesona Pengantin mengambil peluang untuk meraikan pasangan pengantin yang baharu sahaja mendirikan rumahtangga. Hadir dalam busana rona sedondon, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman dan Datin Seri Heliza Helmi menerima anugerah The Most Memorable Wedding Celebrities. Masakan tidak, perkahwinan mereka berlangsung tanpa khabar angin!
Ads
The Most Memorable Wedding Celebrities : Datin Seri Heliza Helmi & Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman
Anugerah The Most Sweet Pengantin pula diberikan kepada Raja Syahiran dan isteri tercinta Uyaina Arshad yang hadir cantik menawan. Kesemua anugerah ini disampaikan Datin Seri Masdiana Muhamad, isteri Menteri Besar Selangor, YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri DiRaja Farinawati Datuk Mohd Din serta Puan Sri Nooraisha Fariza.
The Most Sweet Pengantin: Uyaina Arshad & Raja Syahiran
Bertemakan ‘White Blue’, majlis eksklusif tajaan The Wedding KL dan Shangri-La Kuala Lumpur ini turut membariskan jenama barangan kemas mewah Ceres sebagai penaja utama. Suasana di perkarangan ballroom Shangri-La Hotel Kuala Lumpur begitu indah dengan wall of fame tajaan daripada Melur Putih. Manakala jambangan bunga buat penyampai anugerah pula ditaja Fasya Bridal.
Ads
Sebelum berakhir, para tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada Suki Low dengan dua buah lagu cinta.
Sudah lali, penyanyi Dayang Nurfaizah memberitahu dia tidak terasa hati walaupun kerap diajukan soalan mengenai jodoh.
Seperti orang lain, Dayang Nurfaizah Awang Dowty juga mempunyai keinginan untuk menamatkan zaman bujang namun rezeki itu masih belum berpihak kepadanya.
Justeru itu, dia memohon agar peminat mendoakan semoga cepat dipertemukan jodoh. Dalam temu bual bersama mStar baru-baru ini, Dayang meluahkan isi hatinya tentang isu ini,
“Saya daripada umur 18 tahun pun orang selalu bertanya mengenai isu bila nak kahwin ni dan sampai sekarang pun orang masih bertanya pada saya soalan yang sama.
“Nak cakap mengenai jodoh ni pun saya susah sebab kadang-kadang ia ada depan mata, kena tengok juga sebab kerja macam saya ni perlu cari seseorang yang memahami serta keserasian itu yang penting… Dayang tak pernah letakkan syarat tertentu kalau bab jodoh ni.
“Saya tak pernah terasa pun dan doakan yang terbaik untuk saya semoga cepat dipertemukan jodoh okay amin,” katanya lagi.
Jodoh adalah sebahagian dari takdir iaitu ketentuan ALLAH yang sudah ditetapkan saat manusia masih berada di dalam rahim. Sama seperti rezeki dan kematian.
Jodoh merupakan sesuatu yang ghaib atau kata lain tidak ada satu pun manusia yang tahu siapa jodohnya kelak dan bila waktu akan tiba. Kita perlu sangka baik kepada ALLAH walaupun kita belum nampak kebaikan disebalik takdirnya.
Bukan saja orang cepat dapat jodoh itu rezeki. Lambat dapat jodoh juga rezeki. Rezeki hidup lebih dengan ibu bapa. Rezeki lebih bersama keluarga. Rezeki kita tak sama. Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain. Itu salah.
Tapi, kalau kita bandingkan diri kita yang dahulu dengan yang sekarang itu betul. Sebab itu lorong hidup kita masing-masing. Kita tahu tahap kemampuan kita. Kebahagian kita.
Kalau tengok rezeki Dayang sekarang, dia cukup berjaya dalam kerjayanya. Mungkin Allah lorongkan rezekinya dari sudut itu dulu. Jadi raikan apa yang tiba dulu. Sampai masa nanti, dapatlah jodohnya.
Belajarlah menerima dan menghormati ‘hak’ orang lain, jika jodohnya lambat pun, itu bukan kuasanya. Doa yang baik-baik untuk kebahagiaan hati semua pihak. Begitulah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu keputusan yang baik, pelakon, Puteri Sarah beri kebebasan Syamsul Yusof jumpa anak-anak selepas dia sah bercerai di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Malahan Puteri Sarah Liyana berharap hubungannya dengan pengarah itu dapat diteruskan dengan baik demi anak-anak.
“Alhamdulillah semua selesai. Semalam kami ada berjumpa dan sudah selesaikan semuanya dari A hingga Z (perkara yang melibatkan dua pihak).
“Harapan saya agar selepas ini tiada lagi persengketaan dan kita berbaik macam biasa. Macam kita dah berjanji,” katanya sebaik sahaja selesai prosiding pengesahan perceraian itu.
Ditanya momen ketika bersalaman buat kali terakhir dengan Syamsul, Puteri Sarah tersenyum.
“Biar saya seorang saja tahu,” jawabnya ringkas.
Bercakap soal hak penjagaan anak pula, Puteri Sarah menjelaskan dia memberi kebebasan untuk Syamsul melawat mereka pada bila-bila masa sahaja
“Hak penjagaan anak-anak diberikan kepada saya tapi Syamsul boleh jumpa tanpa halangan.
“Tiada jadual untuk Syamsul berjumpa dengan anak-anak. Saya rasa tak perlu lah,” ujarnya.
Terdahulu sebelum melafazkan cerai itu, Puteri Sarah dan Syamsul dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang.
Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.
Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.
Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais.
Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.
Kemudian pada 18 April lalu, pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari tarikh tersebut.
Bagaimanapun saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada penceraian antara Puteri Sarah dan Syamsul.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan yang sedang hangat bercinta, pasti mengimpikan satu percutian yang penuh romantis untuk dikenang selamanya. Bagi anda yang baru diijabkabul dan masih tercari-cari lokasi untuk berbulan madu, apa kata anda cuba memadu asmara di Pulau Kandolhu Maldives.
Pulau yang terletak 70 kilometer dari bandar Male ini sangat sesuai untuk mereka yang dambakan percutian penuh privasi dan intimasi kerana hanya terdapat 30 buah villa di atas pulau ini.
Jika dilihat dari pandangan atas, pulau ini kelihatan seolah-olah berbentuk hati yang dikelilingi oleh terumbu karang dan air laut berwarna biru firus. Percaya atau tidak anda boleh berenang dan snorkeling mengelilingi pulau ini dan hanya mengambil masa kurang dari satu jam untuk selesai satu pusingan.
Terdapat lima jenis villa yang disediakan disini merangkumi ‘Jacuzzi Beach villas’, ‘Pool Villas’, ‘Duplex Pool Villas’, ‘Ocean Villas’, dan ‘Ocean Pool Villas’. Penulis amat bertuah kerana diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menginap di dua jenis villa yang berbeza.
Disebabkan penulis sudah menginap di Pulau Kuramathi terlebih dahulu, jadi perjalanan ke Pulau Kandolhu ini hanya memakan masa selama lebih kurang 30 minit menaiki bot laju. Suasana di pulau ini agak sunyi kerana tidak ramai yang menghuni di sini. Malah saiz pulau ini juga sangat comel dan anda boleh berjalan mengelilingi pulau ini dalam masa 5-10 minit sahaja.
Untuk hari pertama, penulis diberi peluang untuk menginap di ‘Ocean Villa’ iaitu villa atas air yang menghadap hamparan lautan yang luas terbentang. Untungnya saya kerana villa ini betul-betul menghadap ke arah matahari terbenam.
Salah satu kelebihan yang ada di Pulau Kandolhu ini yang tiada di pulau-pulau lain di Maldives ialah setiap Villa disediakan kamera Go-Pro untuk digunakan penginap sepanjang berada di pulau ini. Jadi anda tidak perlu khuatir jika terlupa membawa kamera sendiri kerana setiap detik anda pasti akan dirakam dengan adanya kemudahan yang disediakan ini.
Selain itu setiap bilik di Villa ini turut menyediakan I-Pad, peralatan untuk aktiviti pantai serta internet berkelajuan tinggi. Dengan adanya I-Pad yang memuatkan segala maklumat mengenai pulau ini, amat mudah untuk anda melakukan segala aktiviti termasuklah melihat menu makanan di setiap restoran. Anda juga boleh membawa I-Pad ini kemana-mana sahaja di kawasan pulau.
Menariknya di Villa ini, anda boleh terus turun dari beranda untuk menikmati pengalaman snorkeling yang menakjubkan. Sesekali jika bertuah akan ada penyu yang akan menyinggah di hadapan villa anda. Dan penulis sangat bertuah berpeluang melihat sindiri di depan mata kehadiran penyu di hadapan villa.
Peluang untuk menatap matahari terbenam dari ruangan bilik sendiri digunakan sepenuhnya. Puas rasanya dapat menikmati keindahan langit senja yang perlahan-lahan bertukar warna sehingga matahari tenggelam sepenuhnya di dasar lautan luas terbentang. Sungguh mengasyikkan!
Malam menjelma, perut juga sudah mula berkeroncong, peluang untuk menikmati makan malam disini adalah antara yang paling dinantikan. Mana tidaknya terdapat 5 buah restoran di atas pulau kecil ini. Dan anda boleh pilih untuk menikmati dimana-mana restoran disini kerana semuanya sudah termasuk di dalam pakej penginapan di sini. Antara restoran yang terdapat di pulau ini ialah The Market, Olive, Sea Grill, Banzai dan Ata Ora.
Menariknya terdapat juga menu masakan Melayu disini seperti sate ikan, nasi goreng dan juga kari ayam. Apa lagi, peluang ini digunakan sebaiknya penulis untuk melepaskan rindu terhadap masakan Malaysia. Makanan laut disini semuanya segar-segar belaka kerana di tangkap di laut berhampiran. Di restoran Sea Grill anda boleh melihat sendiri bagaimana chef yang bertugas di sini menyediakan makanan. Hidangan-hidangan yang lazat disini dicipta oleh Chef terkemuka dari Perancis iaitu Chef Mickael Farina.
Masuk hari kedua penulis diberi peluang untuk menginap di Villa kedua iaitu di Jacuzzi Beach Villa. Villa ini terletak di bahagian pantai di mana katil bilik ini menghadap ke luar pantai. Menariknya bilik ini turut menyediakan jakuzi serta pancur terbuka bertaraf spa. Setiap villa di sini mempunyai kemudahan yang sama seperti kamera Go-Pro dan juga I-Pad.
Peluang menginap di Villa berdekatan pantai ini digunakan sepenuhnya untuk lepak santai di kerusi malas serta menelaah karya kegemaran sambil menghirup air kelapa segar. Nyaman sekali!
Bertuahnya kunjungan penulis ke sini kerana diberi peluang untuk bersnorkeling sambil ditemani petugas yang mengendalikan aktiviti ini. Lebih menyeronokan kerana beliau tahu dimana spot yang menarik untuk kami melihat hidupan akua yang unik dan cantik. Ibarat memasuki ke alam yang lain, keindahan dunia marin di sini sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan unik ada disini. Malah ada sesetengahnya yang tidak terjangkau dek akal.
Penulis turut dibawa menelusuri ke tempat istimewa penyu bermain. Penyu disini sangat jinak malah seakan menerima kunjungan kami ke sini kerana asyik berenang berdekatan kami. Sempat juga penulis merakam gambar kenangan dibawah air bersama hidupan istimewa ini. Mujur ada kamera Go-Pro.
Terlampau asyik menikmati keindahan hidupan dalam air ini sehingga tidak terasa sudah hampir satu pulau telah dikelilingi. Begitulah asyiknya melakukan aktiviti snorkeling di sini. Pelbagai jenis sukan air tidak bermotor ditawarkan di Pulau Kandolhu ini antaranya luncur angin, perahu dayung berdiri, pelayaran katamaran, bot belayar dan kayak.
Selepas puas bermain air, penulis diberi keistimewaan untuk memanjakan diri di Spa Veru yang terletak di tengah-tengah pulau ini. Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, tawaran untuk merehatkan diri ini diterima dengan hati yang terbuka dan berbunga. Mana tidaknya, badan juga sudah lenguh-lenguh kerana asyik berenang, kulit juga sudah terbakar disambar sinaran mentari. Inilah masa yang terbaik untuk merawat kembali tubuh supaya kembali bugar.
Di waktu malam, jika bosan terperap di dalam villa, anda boleh melepak di tepi pantai atau di restoran sambil berhibur dengan alunan muzik yang romantik. Atau anda boleh melepak membaca di perpustakaan mini yang dibuka selama 24 jam yang terletak di bahagian penyambut tetamu.
Sebelum berangkat pulang, penginap disini akan diberikan ‘pendrive’ sebagai tanda penghargaan di mana ‘pendrive’ itu memuatkan segala foto dan video yang dirakam menggunakan kamera Go-Pro yang disediakan.
Penulis memilih untuk pulang menggunakan pengangkutan udara iaitu ‘Seaplane’ untuk ke lapangan terbang kerana mahu menjimatkan masa. Nyata pengalaman menginap di Pulau Kandolhu ini tidak akan dilupakan buat selamanya. Jika ada rezeki, pasti akan kembali ke sini lagi.
Penulis : Muhamad Helmi Bin Anuar
Foto : Kandolhu Island
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelakon dan juara Dewi Remaja 2023, Nurel Baharin, 24, membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila selamat bergelar isteri kepada pilihan hati, Esmeer Mansor, dalam...