Mengapa situasi pertengkaran dikatakan perlakuan yang merapatkan hubungan hidup pasangan? Selidiki tahap hubungan anda. Bila kali terakhir anda bergaduh atau berselisih pendapat? Tidak pernah? Erm…ada sesuatu yang pelik terjadi di sini. Jika anda tidak pernah bergaduh atau bertengkar selepas berkahwin bertahun lamanya, ini bermakna hubungan itu ada yang tidak kena.
Mengapa terjadi?
Ia adalah luahan hati anda atau pasangan mengenai pendapat, keinginan dan pencarian kata putus dalam sesuatu perkara.
Perkahwinan adalah sesuatu perjalanan dan ia tidak mudah. Setiap hari adalah perkara baru, maka persefahaman perlu sentiasa dicari.
Ads
Pertengkaran Positif
Pertengkaran/perselisihan pendapat yang tidak melibatkan pergaduhan luar biasa seperti terjerit-jerit terhadap pasangan, baling barang atau melakukan kekasaran fizikal.
Perselisihan yang tidak melihatkan siapa menang dan siapa perlu patuh. Sebaliknya pergaduhan ini terjadi secara spontan dan akhirnya keputusan yang terbaik berjaya dicapai.
Pergaduhan yang tidak berlanjutan lebih 10 minit.
Adakah anda pernah mengingati semula detik pertengkaran antara anda dan pasangan? Bukankah ia mampu membuatkan anda tersenyum sendiri apabila terkenang saat itu? Lucu bukan, bergaduh dan bermasam muka hanya kerana memilih warna terbaik untuk kereta baru.
Komunikasi dua hala
Ads
‘ Yahya sudah berkahwin selama lima tahun. Sudah mempunyai seorang anak dan perkahwinannya dirasakan bahagia dan berjalan baik bersama Farhana kerana mereka tidak pernah bertengkar.
Entah mengapa suatu hari, Farhana memfailkan penceraian. Yahya tersentak seakan tidak percaya dengan tindakan isterinya. Disangka Farhana bahagia hidup bersamanya kerana Farhana tidak pernah bersungut dan menerima segala percaturan yang dilakukannya dalam rumah tangga mereka.
Ads
Setelah disiasat, Farhana menjelaskan dia tidak tahan dengan kehidupan tersebut. Malah Farhana rasa terkongkong dan perasaannya bagaikan tidak pernah dipedulikan. Yahya tidak pernah bertanya tentang apa kemahuannya walhal Yahya sedar bahawa Farhana ‘berat mulut’.
Daripada kes benar ini, dapat disimpulkan bahawa hidup berpasangan memerlukan komunikasi. Secara terus yakni baik atau secara pertengkaran kecil. Ini kerana ia medium untuk melontarkan pendapat dan hak masing-masing.
Semakin anda bertengkar maka semakin dalam anda mengenali pasangan. Anda tidak boleh hanya memikirkan apa anda rasa dan mahu, sebaliknya fikir juga perasaan dan kemahuan pasangan anda.
Tipu, jika hidup berpasangan tidak pernah bergaduh. Anda selidik apa yang tidak kena jika anda tidak pernah bergaduh dengan pasangan. Si dia mungkin telah memendam perasaan dan akan meledak bila-bila masa sahaja.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selain dekorasi pelamin dan meja beradab, bilik tidur adalah antara ruang yang sering dijengah oleh tetamu yang akan mengadakan masjlis kahwin di rumah. Bilik tidur merupakan ruang peribadi buat bakal pengantin seharusnya dihias menarik bagi memberi mood untuk anda dan pasangan.
Oleh itu, serikan dengan wangian yang memberi kesan romantis dan menukar warna dinding dengan cat atau menggunakan kertas dinding. Tip berikut boleh anda aplikasikan untuk hiasan bilik pengantin.
1) Sama ada pemilihan yang sederhana atau ringkas. Bilik tidur sebaiknya kelihatan TENANG dan MENDAMAIKAN
2) JANGAN TERLALU SARAT dengan pelbagai hiasan, “mood’ pengantin akan hilang.
3) HIASAN SEDERHANA sudah memadai. Namun, masyarakat tetap mahukan bilik pengantin dihias gah dan mewah.
4) Sebelum hias, fikirkan dulu warna cadar, bantal, warna dinding atau aksesori hiasan. Ini bertujuan untuk tentukan WARNA TEMA bilik pengantin
5) Pilih SET BILIK (katil, meja solek, langsir, karpet, cadar) yang sesuai dengan keluasan bilik.
6) Pilih CADAR BERWARNA PUTIH ATAU ‘PASTEL’. Elakkan daripada memilih cadar bercorak besar kerana ia boleh menyebabkan bilik nampak kecil dan sempit. Elak dari memilih cadar rona terang.
7) Elak meletakkan jambangan bunga yang besar atas tilam. Lebih baik memilih jambangan bunga segar bersaiz kecil dengan kuantiti banyak supaya boleh diletakkan di tepi kiri dan kanan katil dan lebih manis gayanya.
8) Hias meja solek dengan barangan seperti botol haruman bersaiz kecil, lilin serta bekas potpuri.
Jadi, kesimpulan nya ‘LESS IS MORE’, baru nampak bilik pengantin tu lebih WOW.
Sumber : Kak mell deco decci
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Assalamu’alaikum S.S. Mufti, saya ingin bertanya adakah majlis walimah atau kenduri kahwin itu merupakan tanggungjawab suami ataupun keluarga pengantin perempuan ? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.
Riwayat Muslim (1427)
Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan. Meskipun begitu, para ulama berbeza pendapat kepada implikasi tuntutan tersebut, sama ada ia membawa kepada hukum wajibnya majlis walimah ataupun hukumnya adalah sunat sahaja.
Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: ‘’Kata perintah membawa hukum wajib’’.
Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.
Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Oleh kerana itu, Imam Abu Dawud dalam menukilkan hadis-hadis walimah ini beliau letakkan di bawah tajuk:
باب فِي اسْتِحْبَابِ الْوَلِيمَةِ عِنْدَ النِّكَاحِ
Iaitu ‘’Bab Pada Menyatakan Sunatnya Walimah ketika Perkahwinan’’.
Demikian juga dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji menyebut: ‘’Hukum walimah adalah sunat muakkad’’.
Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.
Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib. Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama. Namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.
Majlis Perkahwinan Tanggungjawab Siapa ?
Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga mertua.
Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri. Lalu beliau menyatakan: ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.
Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri (Hlm. 597).
Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas. Ini kerana, baginda S.A.W menyatakan kepada beliau أولم (lakukanlah walimah). Namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf أولموا (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan). Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki.
Selain itu, kenikmatan (perkahwinan) pada hak seorang suami adalah lebih besar berbanding kenikmatannya pada hak seorang isteri. Demikian juga menjadi kebiasaan bahawa orang lelaki yang melamar dan meminta seorang perempuan untuk menjadi isterinya, serta sangat jarang berlaku orang perempuan yang meminta orang lelaki mengahwininya.
Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur.
Surah Saba’ (13)
Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.
Manakala berkaitan isu majlis walimah yang dilakukan oleh pihak mertua iaitu bapa pengantin perempuan sebagai contohnya, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri: ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami dan wali, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis (Hlm. 598).
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.
Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran. Hal ini kembali kepada apa yang disebutkan oleh sebuah kaedah yang masyhur:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Kami turut menyatakan, hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan juga membazir. Inilah hikmah dari arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.
Begitu juga kami nasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Sumber : Mufti Wilayah Perseketuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hidup berumah tangga perlu sentiasa seronok dan rasa bahagia, bahkan anda berdua perlulah saling memahami antara satu sama lain. Dalam sesebuah perkahwinan, gurau senda merupakan satu keperluan hidup dan cara yang boleh melahirkan rasa gembira, menghiburkan dan menjalin keakraban antara suami dan isteri. Barulah hubungan suami isteri itu makin bersemut!
Bergurau senda dan bergelak ketawa sememangnya fitrah manusia. Tidak ada manusia yang suka pada kesedihan dan rasa bosan dalam perkahwinan. Dengan bergurau senda dan ketawa, ia sekali gus dapat melahirkan suasana bahagia dalam rumah tangga, seterusnya melahirkan ahli keluarga yang saling menyayangi antara satu sama lain.
Jelaslah bahawa nikmat cinta dan sebuah perkahwinan hanya akan lebih terkesan dengan adanya sikap yang membahagiakan melalui gurau senda dan gelak ketawa dalam rumah tangga.
Jangan terlalu serius
Amalan bergurau dengan pasangan adalah sesuatu yang digalakkan dalam hubungan suami isteri. Malah Islam sendiri menyatakan bahawa bergurau dengan suami atau isteri adalah satu ibadah. Dalam melayari kehidupan, pasangan yang sudah berkahwin tidak boleh terlalu serius dan meletakkan banyak syarat serta banyak pantang larang dalam hidup.
Mereka perlu lebih santai dan tidak membesarkan perkara kecil atau masalah remeh. Malah dengan bergurau dapat memberi alternatif kepada penyelesaian masalah yang kecil yang dibuat secara menyeronokkan dan membahagiakan dua pihak.
Manusia suka pada sesuatu yang boleh membuat hati mereka gembira, tersenyum dan tertawa. Jika ditanya pada kebanyakan pasangan mesti ada yang suka pasangan mereka seorang yang kelakar dan selalu suka bergurau. Tidak dinafikan satu cara untuk menyenangkan hati pasangan ialah dengan cara bergurau.
Ada kalanya jika si suami atau isteri merajuk, bergurau dapat menamatkan perang dingin dan rajuk yang berpanjangan. Secara tidak langsung dengan cara ini ia membuat hubungan suami isteri lebih akrab.
Bagaimanapun bergurau ini ada banyak cara dan mempunyai adap tertentu. Dalam perkahwinan bergurau tidak boleh dilakukan setiap masa sehingga pasangan akan beranggapan semua yang dibuat adalah sebuah gurauan. Bergurau juga biar bertempat dan jangan sakitkan hati pasangan dengan gurauan.
6 adab gurau senda dengan pasangan
1. Bergurau tentang sesuatu yang boleh membuatkan kita tergelak dan rasa kasih pada pasangan. Umpamanya memuji dan membelai pasangan dengan cara yang menghiburkan.
2. Bergurau, biar sesuai dengan masa dan bertempat, jangan bergurau ketika pasangan sedang dalam keadaan yang amat sedih seperti kehilangan ahli keluarga atau ditimpa malapetaka.
3. Berguraulah dengan perkara yang benar dan menghiburkan, jangan bergurau mengenai perkara yang sensitif. Umpamanya mengungkit kisah lampau pasangan dan mengejek mengenai fizikal pasangan.
4. Walaupun sudah berkahwin dan menjadi pasangan, bergurau perlu ada batasnya, jangan bergurau sehingga boleh membawa sesuatu yang memudaratkan pasangan.
5. Bergurau senda biarlah berpada-pada. Bukan semua perkara boleh dijadikan gurauan dan dalam perkahwinan perlu ada saat serius membincangkan mengenai sesuatu. Jangan anggap semua perkara adalah gurauan. Perlu membezakan gurauan dan perkara serius dalam kehidupan.
6. Dalam bergurau, jangan ada unsur-unsur yang boleh menakut-nakutkan dan membuat pasangan rasa cemas dan panik. Ini kerana rasa takut dan cemas akan membuat pasangan tidak suka apabila bergurau. Mereka mungkin menganggap bergurau sedemikian akan mengancam diri dan tidak dapat membezakan kebenaran dan gurauan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!