
Jika anda pandai uruskan kewangan, tak kira gaji kecil ataupun besar, anda pasti akan mampu menyimpan. Anda kena ingat tindakan kewangan kau sekarang akan beri kesan yang besar dalam 5-10 tahun akan datang.
Bagaimana nak uruskan wang keluarga kau? 7 tips ini mungkin dapat membantu sedikit sebanyak. Jom baca.
1. Merangka, Merekod & Analisa Perbelanjaan
Bila dah berkeluarga, banyak nak pakai duit. Jadi, kena ada bajet kewangan untuk kos barang keperluan setiap bulan.
Penting untuk merekod segala perbelanjaan keluarga. Paling tidak pun, catat segala belanja yang telah dibuat. Barulah tahu ke mana duit telah pergi. Nak beli barang dapur pun, senaraikan barang nak beli. Barulah tak borong satu kedai.
Bila dah sentiasa catat perbelanjaan setiap bulan, anda akan dapat mengesan dan menganalisa cara berbelanja.
Banyak aplikasi yang bagus contohnya My Tabung BNM, Money Manager, Spending Tracker dan sebagainya.
2. Membuat Tabung / Pecahan Keperluan
Daripada pendapatan keluarga, eloklah merancang semua kos keperluan hidup dan perlu dibincang bersama-sama. Antara kategori yang boleh dijadikan panduan ialah;
-Barang dapur
-Belanja makan
-Ansuran rumah
-Ansuran kereta
-Kos bil air & elektrik
-Hiburan
-Perlindungan takaful
-Tabung simpanan
-Tabung pelaburan
-Tabung pendidikan anak-anak
-Tabung kecemasan / luar jangka
-Tabungan bercuti
-Tabung pencen
-Tabung baik pulih kenderan / rumah
Tabungan kecemasan amat penting kalau terjadi sesuatu diluar jangka dan anda ada tunai untuk digunakan. Biar ada 3 bulan gaji dalam tabung kecemasan tu. Boleh simpan dalam Tabung Haji, ASB.
3. Menyimpan & Melabur
Dapat gaji saja, simpan dulu sebahagian. Paling minimum adalah 10% dari gaji. Kalau dapat simpan 50% gaji, lebih bagus dan sangat digalakkan.
Jika anda berbelanja dahulu, lebihan itulah baru dijadikan simpanan. Kalau tak boleh simpan, takpe. Kalau dapat simpan syukur. Tak boleh macam tu. Simpan RM100 sebulan pun okay.
Mulakan dengan melabur di instrumen pelaburan yang dijamin selamat. Antaranya ialah unit amanah Islamik, hartanah, pelaburan emas, ASB Financing, AHB dan sebagainya.
4. Perlindungan Takaful
Lindungi keluarga dengan takaful. Banyak takaful yang bagus. Jadi, jangan ambil remeh hal ini. Biarlah tak ada tv pun asalkan ada perlindungan takaful. Bila dah dalam kesusahan dan kena bayar kos perubatan yang tinggi, mula la menggelupur menyesal.
5. Pendapatan Sampingan
Jika anda rasa duit perbelanjaan sentiasa tak mencukupi, anda mungkin perlukan sumber pendapatan sampingan untuk menambahkan kewangan keluarga.
Cuba cari pendapatan sampingan yang halal dan tidak salah di sisi undang-undang. Seimbang juga dengan luang masa berkualiti bersama keluarga.
Boleh cuba buat Grabcar, Uber, jual online, jadi runner, ambil upah basuh kereta, ejen takaful dan sebagainya.
6. Hindari Hutang Jahat
Apabila dah berkeluarga, banyak benda nak guna duit. Nak beli katil, almari, dapur semua. Ingat, jangan sampai berhutang. Kumpul duit, beli secara tunai lagi bagus daripada bayar ansuran. Tidur atas tilam lipat pun bukan dosa. Kawan datang duduk bersila tanpa sofa pun sedap juga bersembang.
Hutang jahat ini adalah hutang yang kau kena bayar setiap bulan tetapi tak menjana pulangan untuk keuntungan anda.
Contoh hutang jahat adalah hutang peribadi, hutang kereta jika ansuran bulanan lebih separuh gaji ataupun hutang kad kredit yang berlambak.
7. Kad Kredit Cukup Satu
Jika pasangan anda ada dua kad kredit, limitkan kepada satu. Pergi beli barang dapur bersama, isi minyak kereta pun guna satu kad kredit je. Senang nak uruskan dan jaga kewangan. Kalau anda tak reti kawal penggunaan kad kredit, tidak wajib ada.
Sumber : Amir Syahir
Hargailah Mak Ayah. Lepas Tu Doalah Untuk Dapat Jodoh Lebih Cepat

Banyak cara uutk kita ‘menjemout’ jodoh. Selain doa dan usaha, kita kena juga tengok apa lagi yang kita lakukan dalam hidup kita untuk mendapat keberkatan hidup dari Allah. Setiap langkah kita ada kena mengena dengan apa yang kita hajatkan dalam hidup.
Lungka masa unutk baca ni. Sedikit sebanyak boleh ubah diri kita menjadi lebih baik.
#1-Hargai Ayah & Ibu.
Setiap agama di dunia ini melarang seorang anak menderhaka kepada ayah dan ibu. Perbuatan tersebut sangat dikeji Tuhan dan tidak berperikemanusiaan di mata manusia.
Nabi S.A.W bersabda:
“Semua dosa akan ditangguhkan pembalasan sampai nanti hari kiamat kecuali derhaka kepada ibu atau bapa, maka sesungguhnya Allah akan segerakan pembalasan kepada pelakunya dalam hidupnya (di dunia) sebelum dia meninggal dunia.”
(HR Hakim)
Wajib untuk kita memuliakan kedua-duanya, tanpa mengira kecukupan yang diberikan oleh mereka semasa membesarkan kita.
Semasa kita kecil dan masih lagi bersekolah, merekalah yang menjadi pelindung, penjaga dan penghibur hati kita. Sekarang sudah sampai masanya untuk kita ambil alih tanggungjawab tersebut dan berbakti kepada mereka.
Insha Allah, jika dengan ayah dan ibu kita hormat, jaga hati dan perasaan mereka maka Allah Ya Rozzaq akan memperluaskan lagi rezeki untuk kita. Jodoh yang cepat dan baik itu juga rezeki dari Allah.
#2-Hati yang Baik akan Menarik Jodoh yang Baik-baik
Bagaikan magnet. Gelombang yang di pancarkan, itulah yang akan menarik perkara di sekelilingnya.
Begitulah jua hati kita. Hati yang baik akan menarik sifat yang baik-baik dan positif seperti kasih sayang, kesabaran, kecintaan dan kehormatan. Tak mustahil jodoh yang baik juga akan datang pada kita.
Hati adalah raja segala-galanya. Baiknya hati, maka insha Allah akan lebih mudah untuk kita menemui kebahagian. Jadi, bersihkan hati dan tambahkan iman dahulu ya sahabat-sahabat.
#3-Tingkatkan Kualiti Diri
Dalam menjemput jodoh, kualiti pada diri adalah satu hal yang memang orang akan pandang. Bonus jika ada diantara sifat peribadi anda merupakan kriteria yang si dia cari selama ini.
Setiap manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Ayuh! Kita tingkatkan kualiti diri dan baiki kelemahan diri. Contohnya tingkatkan kualiti pada penampilan. Jaga penampilan dan auratnya. Biar sedap mata memandang.
#4-Cantikkan Bahasa dan Gaya Pertuturan
Cara pertuturan kita menjadi halwa telinga pada yang mendengar.
Cantikkah jika bahasa yang keluar dari mulut seseorang itu seperti ‘bodoh’ atau ‘sial’ ? Orang yang mendengar pun berasa tidak selesa apatah lagi orang yang ditujukan perkataan tersebut kepadanya. Pasti banyak terasa hati dan pendam perasaan.
Ingat tak diatas tadi kita cerita mengenai hati yang baik akan menarik benda-benda baik dari sekeliling. Jadi cantikkan dan sedapkan sikit bahasa pertuturan anda supaya mudah untuk komunikasi berlaku.
Gaya bercakap yang kasar dan keras tidak begitu ketara masalahnya. Insha Allah sedikit-sedikit boleh berubah apabila bertemu pasangan yang gaya bercakap sebaliknya. Kalau tak berjaya, tak nampak tanda-tanda dia akan berubah anda perlu ambil langkah yang bijak sikit dengan balas percakapannya mengikut gaya dia. Kadang-kadang langkah sebegini adalah cara kita memberi teguran terhadap dia.
#5-Banyak-banyakkan Perihatin
Anda hidup dalam sebuah komuniti masyarakat. Selain tanggungjawab pada ibubapa dan keluarga, tuntutan tanggungjawab anda juga ada pada masyarakat.
Keprihatinan anda pada persekitaran dan masyarakat seperti tolong-menolong akan memudahkan pergaulan sosial anda. Insha Allah, selepas berkahwin anda akan mudah menyesuaikan diri dan beramah mesra bersama keluarga mertua.
Mana tahu, sifat keprihatinan anda menjadikan ramai yang selesa bersahabat dengan anda dan akan ada yang merisik bertanya tentang anda.
#6-Bangkit dari Kekecewaan dan ‘Move On’
Ada satu cerita, mereka kata kita hanya benar-benar jatuh cinta dengan tiga orang yang pernah hadir dalam hidup kita.
Yang pertama: Ini kisah cinta zaman persekolahan, masing-masing begitu muda. Cinta ini membuatkan kita tidak peduli dengan pandangan orang lain kerana cinta kita lebih penting.
Yang kedua: Cinta kali ini penuh drama dan kita sangat berharap inilah cinta yang betul. Cinta kedua ini memberikan kita pengajaran tentang siapa kita dan bagaimana yang kita inginkan untuk dicintai.
Yang ketiga: Cinta ini cinta yang tidak pernah dijangkakan kehadirannya. Inilah cinta yang datang dengan mudah dan kita merasakan mustahilnya akan terjadi cinta. Tidak meletakkan harapan yang tinggi pada kriteria seseorang dan kita lebih bebas menjadi diri sendiri.
Kebenaran cerita di atas tiada siapa yang dapat pastikannya kerana setiap orang mengalami pengalaman yang berbeza. Tapi sesuatu yang pasti, selepas dikecewakan kita harus bangkit dan ‘move on’
Antara tujuh tips ‘move on’ dari si dia. Langkah pertama, refleks positif pada diri. Pejamkan mata sambil tu ‘flashback’ dan tanya diri sendiri: “Siapa anda sebelum bertemu dengan si dia”, “Bagaimana diri anda..(sambung baca disini)
#7-Beri Kasih Sayang untuk Mendapatkan Kasih & Sayang
Tip yang ketujuh ini penting sekali. Sebelum kita menerima, kita terlebih dahulu harus memberi. Memberi kasih dan sayang supaya orang sekeliling kita merasa dihargai dan disukai.
Sama seperti kita mahu dicintai Allah, kita wajib terlebih dahulu menanamkan rasa cinta kepadaNya.
Hargai seseorang yang hadir dalam hidup dengan ucapan sekurang-kurangnya terima kasih. Moga-moga kita dihindarkan dari sifat sombong dan kedekut (tidak mahu memberi, hanya tunggu untuk menerima)
Akhirnya, nak dikongsikan tip jodoh untuk sahabat semua. Setiap kali keluar rumah, selepas niatkan tujuan perjalanan kita selitkan juga niat untuk bertemu jodoh. Semoga diberikan laluan kebenaran dan cahaya petunjuk dari Allah. Insha Allah.
sumber : https://graphology.com.my/
Pasangan Suami Isteri Patut Amalkan Zikir Ini Untuk Mudahkan Segala Urusan Harian

“Zikir Fatimah” merujuk kepada sebuah hadis sahih yang panjang.
Ali bin Abi Thalib menceritakan bahawa Fatimah (isterinya, juga puteri Rasulullah) merasa sakit tangannya kerana menumbuk (menguli) tepung dan ketika itu pula ada seorang pelayan yang menawarkan dirinya (untuk berkhidmat) kepada Rasulullah.
Fatimah datang menemui Rasulullah untuk meminta seorang pembantu. Akan tetapi dia tidak berhasil menemui Rasulullah dan hanya bertemu dengan Aisyah.
Kemudian Fatimah menitip pesan kepada Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah. Ketika Rasulullah tiba di rumah, Aisyah pun memberitahu baginda tentang kedatangan Fatimah.
Ali berkata, lalu Rasulullah pergi ke rumah kami ketika kami tengah berbaring hendak tidur. Maka kami segera bangun, tetapi baginda mencegahnya seraya berkata: “Tetaplah di tempat kalian!” Kemudian Rasulullah duduk di antara kami hingga saya merasakan dinginnya telapak kaki beliau yang menyentuh dada saya.
Setelah itu, Rasulullah bersabda: “Inginkah kalian berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta? Apabila kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) tiga puluh empat kali, tasbih (Subhanallah) tiga puluh tiga kali dan tahmid (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.”
Selanjutnya Ali menerangkan:
“Saya tidak pernah meninggalkan bacaan tersebut semenjak saya mendengarnya daripada Rasulullah.” Seseorang bertanya kepadanya: “Wahai Ali, apakah kamu juga tidak meninggalkan doa ini pada malam perang Shiffin?” Ali menjawab: “Ya. Saya tidak pernah meninggalkan bacaan (zikir) ini pada malam perang Shiffin sekalipun.” [Shahih Muslim, no: 4906]
Berdasarkan hadis ini, dapat kita pelajari bagaimana Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah bekerja keras dengan urusan rumah seperti memasak. Namun Rasulullah tidak memberikan Fatimah dan Ali seorang pembantu rumah.
Sebaliknya baginda mengajar mereka beberapa kalimah zikir yang mudah dibaca sebelum tidur, iaitu Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali.
Zikir ini menjadi pengganti kepada pembantu rumah yang diminta oleh Fatimah sehingga ia masyhur dikenali sebagai “Zikir Fatimah”.
Rahsia di sebalik pengajaran zikir ini ialah, Allah membalas kepada kita apa yang kita berikan kepada-Nya atau kerana-Nya.
Bahkan Allah akan membalas dengan tambahan dan gandaan. Apabila kita bersedekah kerana Allah, Allah akan membalas dengan tambahan rezeki.
Apabila kita bersikap rahmat kepada makhluk lain kerana Allah, Allah akan menggandakan rahmat-Nya kepada kita.
Demikianlah juga, apabila kita meluangkan masa dan usaha kepada Allah, Allah akan menambah masa dan memudahkan usaha kita.
Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Bin Abdullah Juruterbang MAS
Baca Pesanan Menarik Lelaki Ini, Jodoh Yang Allah Telah Tetapkan Tidak Pernah Salah Orang!

Jodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia merupakan perancangan Allah SWT yang tidak ketahui oleh hamba-Nya. Ia tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya.
Kupasan menarik ini boleh anda ikuti menerusi perkongsian daripada penulis buku dan penceramah bernama Shukery Azizan di laman sosial beliau. Semoga impian anda untuk bertemu jodoh yang baik akan dipermudahkan Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang ‘blur’ pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu DEFINISI JODOH. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang daripada bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau ( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri.
Allah kata dalam Al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.
Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut! Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?
Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu.
Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
“Dah siap-siap nak berbuka belum?”
“Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?”
Ataupun waktu nak sambut hari raya, kita biasa akan sebut,
“Dah buat persediaan nak raya Cik Siti Pepsikola?”
“Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?”
Jadi apakah maksud “PERSEDIAAN” itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka.
Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata, “Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta daripada sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Adakah daripada keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.
Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?
Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.
Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah:
• Ucap kalimah syahadah dan peluk Islam.
• Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
• Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
• Ikut dan buat dakwah tarbiah.
• Selalu bertaubat dan jaga amal.
• Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
• Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
• Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
• Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
• Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
• Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
• Bernikah.
Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah:
• Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
• Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
• Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
• Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
• Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
• Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
• Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah.
Bila mak kata, “Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?”
Kau pun jawab, “Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya.”
Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itu pun sebab mak ayah telefon dulu.
• Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang.
Bila cakap bab kahwin, terus kata,“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi…”
• Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
• Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000.60 sen (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
• Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Formulanya adalah:
Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.
Di ruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.
Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?
Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.
Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.
Kalau kau berkahwin dengan orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada:
• Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
• Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
• Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau, dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan ingkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Kalau Cerai Pula Macam Mana?
Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al-Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.
Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hamba-Nya lakukan apa yang diketahui-Nya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian”
(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam Al-Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hamba-Nya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumah tangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumah tangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau.
Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat masyhur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam. Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah.
Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia, “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap, “Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.