Daging berlebihan atau skin tag atau nama saintifik fibroepithelial polyp adalah daging berlebihan yang bertangkai atau tidak bertangkai pada kulit. Skin tag ini tidak berbahaya, ia sering muncul di bahagian leher, dada, punggung, ketiak, bawah payudara atau di celah paha.
Skin tag sering timbul pada wanita terutama yang baru mengalami kenaikan berat badan, perubahan hormon, faktor usia dan disebabkan faktor genetik.
Daging berlebihan ini biasanya tidak menyebabkan rasa sakit, kecuali ketika mengalami geseran daripada baju atau perhiasan contohnya, rantai pada bahagian leher.
* Pakar Kecantikan, Aestetik, Klinik Pesona
1. Tidak bahaya
Jika terdapat skin tag di bahagian tubuh, tidak perlu khuatir kerana daging berlebihan ini tidak bahaya. Biasanya bersifat individual, ada yang hanya satu, ada yang banyak, ada yang kecil dan ada yang besar.
2. Rawat sendiri
Walaupun sekarang ramai boleh mendapatkan ubat atau krim yang dijual di pasaran, namun hal ini tidak digalakkan kerana tidak akan berjaya, malah akan membuat kulit luka sehingga boleh menimbulkan komplikasi dan meninggalkan bekas yang lebih buruk.
3. Boleh dibuang
Skin tag yang tidak bahaya, tak perlu dibuang. Namun, kadang kala kita akan berasa terganggu dengan adanya skin tag. Kaedah menghilangkan skin tag ialah menerusi prosedur perubatan yang sangat ringan, bahkan untuk skin tag yang kecil, kadang-kadang tidak memerlukan suntikan bius.
4. Tiada gejala
Selalunya ia berlaku tanpa gejala walaupun geseran dengan pakaian ataupun perhiasan boleh menyebabkan melecet. Kadang-kadang pesakit datang kerana rasa sakit pada skin tag akibat ngilu atau tersepit sehingga menjadi bengkak dan menyakitkan.
5. Prosedur rawatan
Prosedur membuang skin tag biasanya disesuaikan dengan keadaan dan dengan menimbangkan keselesaan pesakit. Jika skin tag bersaiz kecil dan tidak terlalu banyak, ia boleh dilakukan dengan teknik ablasi, iaitu menggunakan laser, pembedahan tanpa bius dilakukan. Ia hanya rasa seperti dicubit dan tidak rasa sakit.
Teknik lain, melakukan laser kepada skin tag yang besar dan banyak, biasanya hanya disapu krim kebas untuk keselesaan pesakit.
Jika skin tag bersaiz besar, teknik laser dan pembedahan avulsion dilakukan dengan suntikan bius setempat terlebih dahulu sebelum melakukan prosedur. Selepas prosedur, pesakit mungkin rasa panas di bahagian itu.
Pesakit akan diberi krim antibiotik supaya luka cepat sembuh. Skin tag besar atau kecil berbeza mengikut individu. Disarankan berjumpa doktor supaya boleh periksa kulit secara teliti terlebih dahulu sebelum memulakan rawatan.
6. Punca skin tag
Punca sebenar masih belum diketahui, namun biasanya berkaitan dengan kegemukan, masalah gula dalam darah, diabetes dan kehamilan. Mudah timbul pada kawasan yang berlipat. Kira-kira separuh daripada pesakit yang datang dengan masalah skin tag adalah remaja dengan berat badan berlebihan.
7. Tidak berjangkit
Ini adalah konsep yang salah. Pembuangan skin tag tidak akan membuatnya bertambah banyak. Dibuang atau tidak dibuang, jika ia tumbuh banyak, ia akan tumbuh juga. Skin tag juga tidak berjangkit dan anda juga tidak akan dapat skin tag daripada jangkitan orang lain.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI