Jika seorang wanita itu kematian suami atau pun bercerai dengan suami, mereka perlu menjalani tempoh iddah di mana 3 kali suci bagi wanita yang bercerai dan 4 bulan 10 hari bagi wanita yang kematian suami.

Iddah bermaksud kiraan, bilangan atau hitungan. Dari segi istilah pula bermaksud tempoh menunggu seorang perempuan setelah pemergian suami disebabkan penceraian atau kematian. Ia dilakukan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah.

Iddah mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan perlu dipatuhi oleh wanita yang terbabit. Antara hikmahnya adalah:

IKLAN
  1. Untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu. Ia bagi mengelakkan benih antara suami dahulu dengan suami yang baru dikahwini.
  2. Untuk iddah bagi talak raj’ie, tempoh iddah boleh menjadi ruang buat kedua-dua pihak menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang telah dilakukan. Ia juga memberi semula peluang kepada mereka untuk rujuk semula.
  3. Bagi wanita yang kematian suami pula, tempoh iddah boleh menjadi tempoh untuk mereka berkabung untuk menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu. Ia seperti menjaga adab, kehormatan dan nama suami.

Selain itu, tempoh berkabung juga merupakan lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT. Semasa di dalam tempoh iddah, terdapat beberapa perkara yang dilarang untuk dilakukan. Antaranya:

IKLAN
  1. Haram terima pinangan atau berkahwin dengan lelaki lain. Jika perkahwinan dilangsungkan dalam tempoh tersebut, pernikahan itu dikira tidak sah dan pasangan itu wajib dipisahkan.
  2. Tidak dibenarkan keluar rumah atau untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan. Contohnya, untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan jika sakit, membeli barang keperluan yang dianggap penting dan mendesak.
  3. Bagi wanita yang bercerai, bekas suaminya masih wajib memberikan nafkah tempat tinggal kepada isteri semasa tempoh iddah.
  4. Bagi wanita yang beriddah kerana kematian suami, mereka dilarang untuk berhias. Antaranya:
  1. Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang.
  2. Memakai barang kemas contohnya gelang, cincin, rantai.
  3. Bersolek, memakai celak, berinai atau lain-lain yang dianggap berhias dalam kalangan masyarakat.

Tempoh iddah ini juga memberi ruang kepada para wanita untuk menilai semula hubungan perkahwinan yang telah dijalani, membuat refleksi dengan lebih mendalam dari segi kelebihan dan kekurangan yang boleh diperbaiki pada masa hadapan.

IKLAN

Selain itu, tempoh iddah ini juga memberi ruang kepada wanita untuk menenangkan fikiran serta menyesuaikan diri dengan perubahan hidup yang dialami tanpa gangguan ramai pihak. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan fitnah.

Sumber: Natirah Azira via tzkrh