
Jika sebelum kahwin, perempuan ni dia boleh lepak dengan kawan-kawan, boleh teman shopping, teman minum kopi, tapi berbeza lepas sudah berkahwin. Lepas kahwin, segala-galanya suami dan jika ada anak, suami dan anak pasti dia dahulukan.Baca perkongsian lelaki bernama Amir Syahir ini tentang hidup berumah tangga.
Dulu aku macam tak kisah sangat bila isteri aku mengadu itu ini sebab aku rasa perkara kecil macam tu pun nak mengadu. Lama-lama baru aku faham. Isteri ni memang suka mengadu dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara. Kalau kita tak beri perhatian, dia akan cari medium lain untuk meluahkan perasaan.
Lagi bahaya kalau dia cerita kat media sosial. Habis satu dunia tahu perangai kau. Habis satu dunia tahu masalah kau. Siapa yang malu? Kau nak marah isteri pun tak boleh jugak. Sebab silap kau sendiri yang taknak dengar luahan hati isteri.
Tak mustahil jika kau terlalu sibuk untuk dia, akan ada orang lain yang sanggup luang masa untuk isteri kau nanti. Kalau sayang, luang masa. Jangan duk cipta alasan.
Macam isteri aku dia suka cerita pasal anak-anak murid dia. Kadang-kadang pasal isu hot kat sekolah. Hari-hari ada je la cerita. Melalui penceritaan dia sedikit sebanyak aku dapat memahami anak-anak istimewa dan bidang pendidikan ni.
Perempuan ni bila dah kahwin, dunianya adalah suaminya, anak-anak dan keluarganya. Dah kurang masa dengan kawan-kawan. Aku tengok isteri aku pun, kalau kawan nak ajak makan lepas sekolah memang dia tak pergi. Sebab dalam kepalanya fikir nak ambil anak dan pergi makan dengan suami. Itu lebih penting buatnya.
Sebab tu lah, suami adalah sahabat baik, sahabat susah senang. Dengan cara mengadu, bercerita itu ini dapat membuatkan dia bahagia dan senang hati. Apa salahnya luangkan sedikit masa dengar apa isteri nak cakap. Simpan sekejap telefon tu. Bukan dia minta duit seribu pun.
Sekalipun kau baru balik kerja dan penat, jangan sesekali hampakan keluhan hatinya. Kau tak tahu yang dia lagi penat. Mana dengan kerja, uruskan hal anak-anak dan rumah tangga. Apa salahnya beri dia sedikit masa kau dan pinjamkan sekejap telinga kau.
Suami yang baik adalah suami yang dapat menjadi seorang pendengar yang baik. Kerana bukan senang nak jadi seorang pendengar yang baik. Jangan manjang kau duk main telefon je. Kah!
SHARE | TAG pasangan dan bakal pasangan korang
[ASY]
#AmirSyahir
Adab-Adab Menantu Kena Jaga Bila First Time Beraya Di Rumah Mertua

Walaupun tidak dinafikan perasaan sedih tetap ada kerana tidak berhari raya dengan keluarga sendiri dan sanak saudara di kampung halaman, namun saat pertama berhari raya dengan keluarga mertua adalah momen penting dalam sejarah perkahwinan. Lelaki ini kongsi, adab beraya di rumah mertua.
Adab Beraya di Rumah Mertua.
Setiap tahun, pasti banyak keluarga yang akan beraya di kampung. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan ini saya tujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mertua.
1. Bantu mertua di dapur.
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas.
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak.
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri.
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar.
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Tinggalkan kerja di rumah.
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding.
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat.
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua.
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan.
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua.
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri.
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka dengan barang dapur mertua.
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat.
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar).
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby.
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air.
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
__________
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Semoga dengan penulisan ini dapat membuka mata kita semua. Janganlah terlepas pandang lagi.
Tolong SHARE supaya satu Malaysia lebih peka tentang adab beraya di rumah mertua.
Bertunang Lama-Lama, Potensi Nak Putus Tu Memang Tinggi

Hukum membatalkan pertunangan
“Pembatalan pertunangan ini hukumnya adalah harus, samada pembatalan itu dari si lelaki, atau wanita, atau wali kepada si wanita, kerana pertunangan itu bukanlah akad nikah atau perkahwinan, akan tetapi ia adalah janji untuk bernikah. Bagaimanapun pembatalan ini menjadi makruh sekiranya bukan kerana sebab-sebab yang jelas lagi syarie seumpama si wanita atau walinya nampak sesuatu yang tidak kena pada si lelaki sehingga memerlukan kepada dibatalkan pertunangan dan membatalkan penerimaan yang telah dibuat. Ataupun si lelaki nampak sesuatu yang tidak kena pada tunangannya yang memerlukan kepada pembatalan pertunangan, asalkan ianya daripada sebab-sebab yang diterima syarak.”
Dr Abdul Karim Zaidan, Al-Mufasshal Fi Ahkam Al-Mar’ah Wal Bait Al-Muslim – (4/ 74)
Jadi jelas kepada kita bahawa meminang atas pinangan orang lain itu hukumnya haram, manakala memutuskan pertunangan dengan sebab-sebab yang perlu adalah harus, dan dengan sebab-sebab yang tidak perlu (semata-mata mahu putus tanpa sebab) hukumnya adalah makruh.
Menyembunyikan pertunangan.
Hikmah sebenar pertunangan adalah untuk kenal mengenal dan mencari keserasian antara pasangan dan kedua-dua belah pihak keluarga. Jika tiada keserasian ataupun ada masalah ketika perhubungan, ia bukanlah suatu kesalahan untuk memutuskan perhubungan.
Atas sebab itulah ada hadis yang menyarankan supaya pertunangan tidak dihebahkan demi menjamin maruah kedua-dua belah pihak sama ada pihak lelaki mahupun perempuan. Lafaz tersebut berbunyi; “Zahirkanlah (war-warkan) perkahwinan dan sembunyikan (rahsiakan) pertunangan.” Namun hadis ini dhoif (lemah) seperti yang dinilai oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dhoifah bilangan: 2494, dan di dalam Dhoif al-Jami’ al-Soghir 922.
Walaupun taraf hadis tersebut adalah dhoif dan tidak boleh dijadikan hujah, namun ia masih boleh dipakai untuk kegunaan sendiri bagi menjamin maruah diri dan menjaga aib jika suatu pertunangan itu tidak seperti yang diharapkan hingga ke jinjang pelamin.
Malah, ada sebahagian ulama ada yang beranggapan sunat menyembunyikan pertunangan jika bimbangkan kejahatan hasad orang lain yang sudah tentu akan berusaha untuk menggagalkan pertunangan tersebut. Hal ini seperti yang dinyatakan di dalam Hasyiah al-‘Adawiy ‘Ala Syarh Mukhtasar Khalil 3/167 dari Mazhab Maliki. Mereka menguatkan pendapat ini dengan hadis;
“Bantu-membantulah untuk menjayakan hajat-hajat dengan menyembunyikannya, kerana sesungguhnya setiap yang ada kemanfaatan itu didengki.”
(Hadis Riwayat al-Tabarani. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, bilangan: 943.)
Namun hadis ini tidak khusus kepada pertunangan sahaja. Sebaliknya anjuran supaya menyembunyikan setiap perkara dari pengetahuan orang-orang yang dengki.
Kesimpulan.
Pembatalan sesebuah pertunangan bukanlah suatu perkara yang menggembirakan. Namun adakalanya, ia menjadi langkah yang terpaksa dibuat demi menjaga maslahat yang lebih besar. Maka saya nasihatkan, bertunanglah dengan menjiwai hikmah pertunangan, agar pertunangan tidak menjadi fitnah dan benar-benar dapat dicapai kehendaknya yang digariskan syarak. Sebaik-baik pertunangan adalah dengan menyegerakan pernikahan, kerana ia lebih selamat dari fitnah dan lebih menyempitkan ruang-ruang untuk diganggu oleh syaitan.
Persiapan Khas Untuk Pengantin Lelaki. Nampak Remeh Tapi Ni Yang Selalu Terlepas Pandang

Persediaan awal dan rapi dalam merencanakan majlis perkahwinan buat pasangan merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan sebelum berlangsungnya sebuah majlis bahagia.
Kesibukan dalam mengatur perjalanan menjelang hari bahagia kadangkala merunsingkan hingga pasangan terlupa akan beberapa perkara penting.
Segalanya harus berjalan seperti yang dirancang sebelum majlis berlangsung dan pastikan tiada apa yang terlepas daripada pandangan mata.
Duit upah tok kadi
Mas Kahwin
Bawa IC
Ambil Wudhu sesiap